KEKASIH DARI LAUT

Bab 4

Aku berpaling ke dinding, pejamkan mata dan cuba tidur. Mata aku mengantuk sangat sebenarnya tapi hati aku tak tenang. Rasa macam diperhatikan.

“Ulikkkkk, Mayang diulikkkkkkk, Ulik dengan tuannya puteriiiiiii,” tiba-tiba aku dengar satu suara bisikan seakan menyanyikan lagu tu. Aku tetap batukan diri, aku tak berani bergerak.

“Ulikkkkk, Mayang diulikkkkkkk, Ulik dengan tuannya puteriiiiii,” sekali lagi suara tu kedengaran, masih dengan nada berbisik tapi macam semakin dekat dengan belakang aku. Aku masih tak bergerak tapi aku pasang telinga.

Aku kat dalam penghawa dingin dengan suhu 16 darjah celcius, kipas tiga, tapi aku berpeluh-peluh di bawah selimut. Aku melompat bila terasa bahu aku digoncang oleh seseorang. Sudin berdiri di tepi katil aku, meletakkan jari telunjuknya di bibir sebagai isyarat menyuruh aku diam. Dia kemudiannya menggamit aku menyuruh aku ikut dia.

Aku pun bangun perlahan-lahan mengikut Sudin. Jantung aku berdegup kencang. “Kenapa ni?” aku bertanya dengan nada berbisik. “Shhh,” Sudin suruh aku diam.

Sudin bawa aku ke sliding door untuk keluar ke balkoni bilik kami. Sudin tunjukkan ke arah satu susuk tubuh di balkoni. Terbeliak biji mata aku. Aku nampak Azli sedang menari di situ! Nampak macam tarian tradisional, tarian seorang perempuan. Aku dan Sudin berpandangan sesama sendiri. Sudin angkat bahu tapi aku nampak jelas wajahnya agak kebimbangan.

“Kenapa dia jadi macam tu?” aku tanya lagi. “Mana aku tahu,” Sudin menjawab.

“Habis tu, kita nak buat apa ni?” aku tanya sambil tengok jam tangan, pukul 3.30 pagi.

“Cuba call Pak Radhi, suruh dia datang ke sini,” kata Sudin.

“Dia tengah tidur kot. Entah-entah dia off telefon dia,” sahutku.

“Kau cuba je boleh tak?” kata Sudin dengan nada keras sedikit.

Masa ni Azli menoleh ke arah kami. Aku dan Sudin dah keras kejung kat situ. Nak angkat jari pun tak larat dah. Azli melangkah perlahan ke arah kami, dengan lenggok badannya seakan seorang perempuan dan kakinya berjengket seperti penari ballet.

“Ulikkkk, Mayang diulikkkkk, Ulik dengan tuannya puteriii,” aku dengar suara yang sama macam aku dengar tadi tapi kali ni aku dengar ia dari mulut Azli.

Azli mengelilingi aku dan Sudin, sambil membelek-belek kami melihat dari atas ke bawah, dari bawah ke atas, seperti tak pernah melihat manusia. Aku dan Sudin berpeluh-peluh kat situ, tak tahu apa yang perlu kami buat. Kami bukannya nampak hantu pun, yang kat depan kami ni ialah Azli kawan kami. Tapi kami jadi tak bermaya dan seram sejuk.

“Heee heeee heeee….” Azli ketawa perlahan, masih dengan nada berbisik. Aku tutup mata.

Tiba-tiba bahu aku ditepuk orang. Aku melompat lagi. Terkejut weh. Rasa macam nak lari balik rumah mak aku waktu tu juga.

“Korang ni dah kenapa berdiri kat sini?” aku dengar suara Azli bertanya. Aku buka mata, begitu juga dengan Sudin. Azli berdiri kat tepi kami, memandang kami dengan kerutan di dahi.

“Korang kenapa tengok aku macam tu?” Azli tanya lagi.

“Tadi kau kenapa?” Sudin tanya.

“Tadi aku kenapa? Aku tidur la. Aku tersedar sebab rasa rasa sejuk sangat, macam ada angin yang bertiup. Rupanya korang bukak sliding door ni. Masa aku tersedar, aku tengok korang berdua berdiri kat sini macam apa dah,” kata Azli.

Aku dan Sudin berpandangan sesama sendiri. “Li, tadi kau menari kat balkoni tu,” Sudin cakap kat Azli buatkan Azli ketawa berderai. “Kau mimpi agaknya, dah kenapa aku nak menari kat situ? Aku tidur le,” sahut Azli.

“Kalau kau tak percaya, kau tanya Aan. Dia pun nampak,” kata Sudin. Azli pandang aku. Aku anggukkan kepala aku.

“Dah la, perasaan korang je kot. Dah la, tutup sliding door tu, sejuk la. Aku nak tidur. Korang pun tidur la,” kata Azli sambil naik semula ke atas katil dan baring di tempatnya. Aku dan Sudin masih berdiri di tempat kami tadi, berpandangan sesama sendiri dan sesekali kami memandang ke arah Azli.

“Aku tak tahu nak cakap apa Aan. Aku rasa ada benda yang tak kena. Esok pagi kita tanya Pak Radhi.” Kata Sudin sambil menutup pintu sliding.

Aku duduk di atas katil bujang. Sudin pun duduk kat tepi aku. Kami berdua mengadap Azli yang lena. “Aku mengantuk ni,” Sudin kata. “Aku pun,” aku menyahut. Memang aku mengantuk dari masa aku balik dari laut tadi lagi. Tapi aku tak boleh lena.

“Kau tidurlah kat atas katil ni, aku baring kat bawah.” Kata Sudin sambil menarik satu bantal dari sebelah Azli lalu berbaring di lantai di antara katil bujang dan katil yang Azli sedang baring.

“Kenapa tidur kat lantai? Sejuk nanti simen tu. Tidurlah kat atas ni. Aku tak makan orang la,” Azli bersuara tanpa bergerak mahupun buka mata. Aku dan Sudin terus berpandangan sesama sendiri.

Sudin tak menyahut. Dia bagi isyarat kat aku suruh aku tidur. Dia pun sama, terus baring di lantai dengan beralaskan comforter yang ditarik dari katil aku. Mungkin kami agak keletihan, mental dan fizikal, kami terlena.

Kami sedar bila terdengar laungan azan dari telefon aku. Memang aku set waktu azan subuh sebagai alarm bangun pagi aku. Kalau awal masuk waktu subuh, awallah aku aku bangun. Kalau lewat waktu subuh, lewatlah aku bangun. Dan terbiasa dari dulu.

Aku bangun dan duduk. Aku tengok Sudin, masih berlingkar di lantai, berselubung dengan selimut. Sejuklah tu. Aku pandang katil Azli, dia tiada di situ. Aku pandang keliling. Aku tak nampak Azli. Aku bangun, melangkah ke bilik air, ada bunyi air di dalam. Dan pintu pun terkunci dari dalam.

“Li?” aku panggil.

“Ya, aku kat dalam ni, tengah mandi,” kata Azli dari dalam bilik air.

Aku kembali ke katil aku. Aku tepuk bahu Sudin beberapa kali sambil panggil nama dia. Sudin bangun sambil menggosok matanya.

“Pukul berapa dah ni?” Sudin tanya aku, dengan mata masih terpejam.

“Dah pukul 6 pagi,” sahutku sambil menyusun bantal dan selimut di atas katil aku.

“Li mana?” Sudin tanya aku. Aku muncungkan mulut menunjukkan ke arah bilik air.

“Dia ok ke?” Sudin tanya aku. Aku angkat bahu tanda tak tahu.

“Kau rasa, apa yang kita tengok semalam tu, betul ke atau imaginasi kita je?” Sudin tanya aku.

“Entahlah Din. Aku pun tak tahu. Tapi takkanlah kita berdua boleh imaginasi benda sama pada masa yang sama?” aku tanya Sudin. Sudin terdiam.

“Kau rasa semalam Li kena sampuk ke?” Sudin tanya aku.

“Imaginasi apa ni? Siapa kena sampuk?” Azli tiba-tiba muncul kat tepi kami sambil mengelap rambutnya dengan tuala chalet.

“Takde apalah Li. Cepat kau bangun,” aku cuba mengalih perhatian ke topik lain.

“Aku tak boleh lena sangat semalam. Mungkin berubah tempat tidur kot,” sahut Azli lalu pergi ke beg pakaiannya dan mengambil t-shirt lalu memakainya. Dan dia ambil sejadah lalu solat kat tepi almari.

“Din, dia ok kot aku rasa. Kalau tak ok, takkan dia boleh solat pulak,” kataku berbisik. Sudin diam dan bangun dari lantai.

“Takpelah, kita lupakan apa yang jadi semalam. Mungkin khayalan kita, atau syaitan nak permainkan kita. Kau pergi mandi dulu, lepas tu aku pulak,” kata Sudin sambil melipat comforter yang dijadikan alas tempat tidurnya.

Aku pun tak cakap banyak dah, terus bangun capai tuala dan masuk ke bilik air. Wangi semacam bau bilik air tu. Wangi sampai rasa meremang bulu roma. Macam bau bunga. Tapi sebab aku tak biasa ke tempat macam ni kan, jadi aku rasa itu perkara biasa.

Selesai mandi dan solat, kami bertiga keluar dari bilik chalet dan terus ke kafe. Itu yang tertulis dalam tentatif program kami sepanjang tiga hari dua malam kat sini. Hari ni ada aktiviti sukan mencari harta karun, pertandingan memasak bagai aku tengok. Aku ikut je la.

Segalanya berjalan lancar. Seronok rupanya. Kalau aku tahu seronoknya ikut rombongan kilang macam ni, takdelah aku mengelak setiap tahun. Kumpulan aku menang majority untuk semua pertandingan. Maka kami johan acara sukan. Malam nanti ada majlis BBQ pulak, dan penyampaian hadiah. Terkenang zaman sekolah dulu. Meriah.

Lepas solat maghrib berjemaah di surau chalet, kami semua pergi ke dewan makan di tepi padang yang lebih luas dari kafe. Di situlah kami buat BBQ. Ada ayam, daging, sosej, seafood dan macam-macam lagi. Kami pun enjoy la, apa lagi.

Ada acara karaoke juga. Bergema la tepi laut malam tu dengan suara sumbang kami. Tak tahulah siapa yang sebut nama aku, mereka panggil aku menyanyi karaoke. Aku mula panik dan gelabah. Makan-makan boleh lagi aku berkumpul dengan kawan-kawan lelaki aku. Tapi bila kena menyanyi kat depan semua orang, aku agak panik. Aku cuba mengelak, tapi kawan-kawan aku desak juga. Mereka kata sesekali apa salahnya.

Siap mereka suruh yang perempuan tunduk je, jangan pandang masa aku menyanyi. Hahaha. Gila betul diorang ni. Lagi la aku malu bila kawan-kawan aku buat macam tu.

Aku cuba kuatkan diri aku. Nak belajar buang rasa panik pada perempuan. Aku bangun dan terus ke bahagian hadapan dan menggapai mikrofon. Kawan-kawan aku bersorak dan bertepuk tangan, memberi semangat. Aku tak pandang keliling, risau semangat aku jatuh semula bila nampak kawan perempuan.

Muzik dimainkan. Aku nyanyi lagi Tiara dari Kumpulan Kris. Entahlah kenapa lagu itu yang aku pilih. Bukannya tinggi sangat pun suara aku. Mesti sumbang punyalah. Kelaut dalam perginya nanti. Padan muka diorang, nak sangat dengar aku nyanyi kan? Hah, terimalah. Tadahlah telinga tu.

Maka, aku pun bernyanyilah dengan penuh perasaan. Sampai part korus…

“Jika kau bertemu aku begini, berlumpur tubuh dan keringat membasah bumi, dipenjara…” aku terhenti di situ bila aku dengar seperti ada suara lain yang menyanyi bersama aku. Semua mata sedang pandang aku bila aku berhenti menyanyi.

“Nyanyilah Aan, Sedap suara kau,” aku dengar suara Ejey melaung.

“Tiara, menggamit kenangan zaman persekolahan..” aku nyanyi semula. Dan suara satu lagi tu pun menyanyi bersama aku. Aku pandang keliling. Tiada siapa di belakang aku. Tapi aku dengar dengan jelas ada suara kedua sedang menyanyikan bait-bait lagu yang sedang aku nyanyikan.

Aku terus berhenti menyanyi, menyangkut semula mikrofon pada tiangnya dan aku kembali ke tempat duduk aku tadi, bersama Sudin, Sahak, Azli dan Ejey.

“Kenapa kau berhenti nyanyi? Ok apa kau nyanyi,” kata Ejey.

Aku cuma angkat tangan memberi isyarat cukuplah. Aku duduk semula. Ifa, kawan kerja kami bangun dan menghampiri mikrofon. Dia nak nyanyi kot. Semua kawan lain bertepuk tangan.

Ifa mula menyanyi lagu Cindai, dendangan Datuk Siti Nurhaliza. Sedap suara dia.

Sama seperti tadi, ketika sedang asyik menyanyi, aku dapat dengar ada suara kedua yang menyanyi bersama Ifa. “Din, kau dengar tak apa yang aku dengar?” aku cuit peha Sudin.

“Mana aku tahu kau dengar apa?” Sudin menyahut.

“Cuba kau dengar setiap kami Ifa menyanyi, ada suara lain tak?” aku tanya. Sudin diam dan cuba mendengar. Lepas tu dia kerutkan dahi. Dia pandang aku. “Haah la, ada satu suara lain,” kata Sudin.

Sudin bangun, sedang Ifa menyanyi, Sudin tarik mikrofon dari tangan Ifa. Dan masa tu kedengaran jelas suara satu lagi masih meneruskan nyanyian walaupun Ifa dah tak menyanyi masa tu kerana terkejut bila Sudin tarik mikrofon dari tangannya.

Semua orang yang berada di situ terdiam. Semua pandang keliling dan berpandangan sesama sendiri. Ifa terus lari ke tempat kawan-kawannya. Masing-masing buat muka cuak.

– Bersambung –

One thought on “KEKASIH DARI LAUT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s