KEKASIH DARI LAUT

Bab 3

Di sepanjang masa aku melangkah ke chalet, aku dengar macam ada langkah yang mengikut aku. Bila aku berhenti melangkah, bunyi tu pun berhenti. Aku cuba bertenang, mungkin itu bunyi bawaan angin. Aku kan dekat dengan laut, macam-macam bunyi boleh aku dengar kat sini. Jadi aku jalan tanpa pedulikan bunyi tapak kaki yang mengikut langkah aku.

Chalet aku di tingkat 1. Ketika aku lalu di depan kolam, aku mendongak melihat ke chalet aku. Nak tengok lampu masih menyala ke, sebab Sudin dah lama balik ke bilik. Aku tengok lampu masih menyala. Pintu menghadap ke kolam terbuka sebab aku nampak langsirnya berkibar di tiup angin.

Aku tak nampak Sudin tapi aku nampak susuk tubuh seseorang. Aku yakin itu bukan Sudin. Tubuh Sudin agak gempal. Tapi susuk tubuh yang aku tengok tu kurus, dan ianya seakan susuk tubuh perempuan dari segi pemakaian tu. Ahh.. Ini yang aku tak suka ni.

Aku memang pantang kalau kawan lelaki aku bawa perempuan masuk ke tempat penginapan lelaki. Aku pantang. Bukan sebab aku panik bila berdepan dengan perempuan, tapi sebab agama. Pergaulan antara lelaki dan perempuan ada batas, tak kiralah betapa modennya hidup seseorang tu.

Aku cuba husnuzon, mungkin aku terlihat bilik orang lain kot. Aku mencari klu untuk pastikan itu bilik aku. Tapi tak jumpa. Sedang aku memerhati tu, aku nampak Sudin lalu kat pintu. Kali ni aku yakin itu bilik aku. Dan menyirap darah aku bila aku nampak perempuan tu peluk Sudin dari arah belakang. Dan Sudin biarkan je. Aku rasa muka aku dah panas. Patutlah aku rasa tak sedap hati je dari tadi. Rupanya Sudin buat maksiat kat bilik chalet. Patutlah mereka nak sangat datang sini, tiada yang menghalang, tiada yang menegur. Aku tak kira, aku mesti tegur perbuatan Sudin.  Lupa dah aku pada bunyi tapak kaki yang ikut aku. Lupa dah aku pada Azli dan Sahak yang masih di laut memancing ikan. Lupa dah aku bahawa sekarang aku bukan kat rumah aku, bukan rumah mak aku.

Aku berlari menaiki tangga. Sampai kat bilik, aku terus buka pintu, kebetulan kad pintu bilik aku yang pegang. Memang Sudin bagi aku tadi, sebab katanya risau masa kami balik nanti dia dah tidur. Dia malas nak bangun untuk buka pintu. Lagi dia risau kalau dia tak sedar kami kat luar pintu. Sebab dia tidur mati. Campak ke laut pun tak sedar nanti.

Sebaik aku tolak pintu bilik, aku nampak Sudin sedang duduk di katil menonton televisyen. Dia pun macam terkejut bila nampak aku.

“Dah habis memancing?” Dia tegur aku. Aku tak jawab. Aku mencari-cari perempuan yang aku nampak tadi. Aku jenguk bilik air, aku jenguk almari.

“Kau cari apa Aan?” Sudin tanya aku.

“Kau dengan siapa tadi?” aku tanya Sudin dengan nada yang agak keras.

“Mana ada siapa. Aku seorang je dari tadi, tengok tv,” Sudin menyahut sambil mengerutkan dahi memandang aku.

“Aku nampak ada perempuan dalam bilik ni tadi,” kataku. Sudin pandang aku macam nak terkeluar biji matanya.

“Perempuan? Mana ada perempuan kat bilik ni. Kan perempuan semua kat tingkat bawah sekali.” Kata Sudin masih memandang aku yang berkeliaran di dalam bilik menyelak segala langsir bagai sebab nak cari perempuan tadi.

“Takdelah Aan, takde perempuan dalam bilik ni. Aku seorang je. Kau ni dah kenapa? Kau takut dengan perempuan sampai ternampak-nampak kat mata kau kat mana-mana pun ada perempuan,” kata Sudin sambil tergelak kecil.

Aku berdiri depan Sudin. Aku pandang wajah Sudin. Sudin pun pandang aku.

“Kau ni kenapa Aan? Tak pernah aku tengok muka kau macam ni. Kau nak marah apa sangat ni? Aku sumpah, takde perempuan dalam bilik ni. Aku sumpah, dari tadi aku seorang je. Kau tengok bilik lagi kot,” kata Sudin.

“Aku nampak kau sekali Sudin. Perempuan tu peluk pinggang kau dari belakang, tapi kau biarkan aje,” aku cakap, aku yakin dengan apa yang aku nampak.

“Kau ni merepeklah Aan. Melampau sangat dah. Memang aku jahat, takde sebaik kau. Tapi aku tahu hukum la. Aku masih solat kau tau?” Sudin bangun dari duduk. Mukanya merah padam menahan rasa. Dia terus pergi ke balkoni bilik, berdiri di sana agak lama. Aku tak ikut, aku cuba tenangkan hati.

“Hello, Li, kau balik bilik sekarang. Aku takut lebam muka kawan kau seorang ni nanti. Cepat balik,” aku dengar Sudin bersuara. Mungkin dia sedang telefon Azli. Aku tarik nafas panjang. Cuba tenangkan diri. Tiba-tiba aku rasa bersalah pula, menuduh Sudin tanpa fikir perasaannya. Tapi aku yakin dengan apa yang aku nampak.

Tak sampai 10 minit, pintu bilik diketuk dari luar. Aku bangun dan buka pintu. Azli dan Sahak berdiri kat luar pintu dengan wajah risau melihat aku.

“Korang dah kenapa? Tadi elok-elok je tiba-tiba nak bertumbuk?” Azli menegur dan terus masuk ke dalam bilik, diikuti oleh Sahak. Mereka terus ke balkoni berjumpa dengan Sudin yang masih berdiri di sana.

“Kenapa ni Din?” Sahak tanya.

“Kau tanya kawan kau tu. Dia kata aku bawa perempuan masuk bilik ni. Siap perempuan tu peluk pinggang aku. Dia ingat aku ni tak tahu agama kot,” kata Sudin dengan suara yang agak keras. Matanya merah menahan marah.

“Kenapa ni Aan? Kenapa kau tuduh Sudin macam tu? Kita dah kawan lama kot, kau pun tahu perangai Sudin macammana kan? Tak pernah lagi dia buat perangai dengan perempuan,” Azli tegur aku. Aku diam dan tunduk ke lantai.

“Aan? Kau ok ke tak ni? Kita datang sini nak enjoy, seronok-seronok. Baru malam pertama. Kita ada malam esok lagi. Tak bestlah gaduh macam ni. Kau salah tengok agaknya,” kata Sahak.

Aku terus diam. Tak tahu nak kata apa.

“Tadi bukan main kau tuduh aku. Sekarang kenapa kau diam? Nak kata aku buat cerita pulak?” Sudin marah aku.

“Din, aku minta maaf. Aku yang salah, tuduh kau macam tu. Aku minta maaf sangat. Aku mengantuk kot, tu yang dengar macam-macam, nampak macam-macam,” kataku perlahan sambil pandang wajah bengang Sudin. Sudin tak menyahut.

“Kau dengar apa?” Sahak tanya. “Takde apalah. Perasaan aku je tu. Aku letih agaknya,” kataku lagi. Aku betul-betul menyesal dengan tindakan aku tadi. Sikit je yang aku nampak, tapi aku menuduh kawan yang dah lama aku kenali.

“Dah la Din. Aan pun dah minta maaf. Kita kat tempat orang ni. Tak perlulah gaduh-gaduh. Benda kecil je, dia pun dah mengaku salah,” kata Azli. Sudin tak jawab.

Aku menghampiri Sudin, tepuk bahunya perlahan. “Aku minta maaf ye Din. Betul-betul minta maaf. Aku salah,” kataku perlahan. Sudin angkat muka pandang aku.

“Macam-macamlah kau ni Aan. Terkejut aku tau tak?” kata Sudin menumbuk perlahan pipi aku.

“Aku minta maaf ye. Aku janji tak buat lagi macam tadi.” Kataku lagi.

“Iyelah. Takde apa pun. Aku terkejut je tengok kau macam tu, lepas tu kata ada perempuan pegang pinggang aku. Aku takut ada hantu je dengan aku tadi,” kata Sudin sambil ketawa perlahan. Fuh! Lega aku rasa. Aku memang taknak bergaduh dengan Sudin. Entahlah kenapa aku kalut semacam tadi.

“Kau tu kena ada kawan perempuan Aan. Jangan takut sangat dengan perempuan. Tu yang kepala kau asyik nampak perempuan je tu,” Sahak mengusik aku. Aku senyum je.

“Aku balik bilik aku dulu la. Ejey kata dia nak tidur dah. Aku takde kad bilik. Kang tak pasal-pasal aku tidur kat luar,” kata Sahak sambil melangkah keluar dari bilik kami.

Aku menukar seluar. Azli masuk ke dalam bilik air. Sudin menyambung semula menonton cerita yang dia sedang tengok tadi.

Seketika kemudian, Azli keluar dari bilik air dengan tergesa-gesa sampai dia hampir terjatuh ke lantai. Aku dan Sudin memandang Azli. Muka Azli pucat, macam ternampak sesuatu. Sudin mendapatkan Azli. “Kenapa ni Li?” Sudin tanya. Mata Azli hanya pandang bilik air. Aku dan Sudin pandang bilik air tapi tak nampak apa-apapun.

“Li? Kau ok ke tak ni?” Aku tanya. Sudin bangun dan melangkah ke bilik air. Dia menolak daun pintu dan memerhati keliling. Dia menutup paip air yang terpasang dan tak ditutup oleh Azli sekejap tadi.

“Takde apapun kat dalam ni. Kau nampak apa Li?” Sudin tanya. Azli masih diam. Aku gosok bahunya. “Tarik nafas panjang, istighfar,” aku cakap perlahan kat telinga Azli. Azli pandang aku, kali ni wajahnya dah tak berapa pucat macam tadi.

“Astaghfirullahal azeem,” ucapnya perlahan.

“Kenapa Li? Kau nampak apa?” aku tanya. Azli bangun sambil mengusap mukanya dan gelengkan kepala.

“Kau ok ke tak ni?” Sudin tanya Azli.

“Aku ok. Korang jangan risau. Dah, jom tidur. Esok awal pagi dah nak bangun.” Kata Azli perlahan sambil menukar seluar tidur. Aku dan Sudin berpandangan sesama sendiri bila Azli kelihatan macam tak apa-apa sedangkan tadi wajahnya memang macam nampak sesuatu.

“Dah la, jom kita tidur. Dah dekat pukul 2 pagi. Kita masing-masing penat ni, tu yang tak tentu hala kot,” kata Sudin. Aku tak menyahut. Sekadar bangun dan menutup lampu. Sudin pula tutup tv. Kami baring di tempat masing-masing. Kat dalam bilik tu ada satu katil queen dan satu katil single. Aku dan Azli tidur kat katil queen, Sudin tidur kat katil single.

Aku baring kat sebelah Azli. Azli masa tu berbaring membelakangkan aku. Aku pun baring sambil membelakangkan dia. Baru je mata aku nak terlelap, aku rasa ada sesuatu mencuit bahu aku dari belakang. Aku menoleh. Posisi Azli dah menghadap aku. Bila dia berpusing pun aku tak sedar, tak dengar pun bunyi dia beralih.

Dalam samar lampu tidur, aku nampak Azli buka mata. Dia pandang aku sambil berbaring tu. Dia melandas kepalanya dia atas lengannya. Dia senyum pandang aku. Matanya merah. Seram pula aku tengok rupa Azli masa tu. Dah la rambutnya memang panjang serabai. Kononnya rock kapak la tu.

“Kau kenapa Li?” aku tanya dia perlahan. Azli tak menyahut, dia terus pandang aku sambil tersenyum. Aku tak selesa dengan keadaan tu. Aku bangun dan duduk. Azli masih berbaring dan pandang aku. Aku pandang Sudin, dah terbongkang dah dia lena berdengkur tak sedar diri.

Azli bangun, dia merapati aku. Dia pegang bahu aku perlahan. Jarinya menggosok lengan aku perlahan-lahan. Aku melompat bangun dari katil. “Kau ni dah kenapa Li?” aku bersuara dengan agak kuat. Sampai Sudin pun terjaga.

“Kenapa Aan?” Sudin tanya aku.

“Li ni ha,” aku cakap.

“Ha, kenapa dengan Li?” Sudin tanya aku.

Aku pandang Azli, dia sedang lena ditempatnya.

“Tadi dia….,” aku cuba bercakap tapi tak tahu macammana nak jelaskan.

“Tadi dia kenapa? Elok je dia tidur tu? Dia peluk kau ke?” Sudin tanya aku.

“Kau tidur sini la Din. Bagi aku tidur kat katil bujang tu.” kataku.

“Kau ni macam-macam la Aan. Dah la, biar aku tidur sana,” kata Sudin sambil bangun dari katilnya dan melangkah ke katil aku dan Azli. Aku pun begitu, terus melangkah ke katil bujang dan duduk di sana seketika sambil pandang Azli yang sedang lena.

“Aku minta maaf Din, ganggu korang. Mungkin aku tak biasa tidur kat tempat lain selain rumah kita dan rumah mak aku kot. Tu yang aku jadi macam ni,” kataku perlahan.

“Sebab tu kau kena selalu keluar macam ni. Baru kau boleh tengok banyak perkara lain selain kerja dan keluarga kau,” kata Sudin sambil menyelimutkan badannya dan berbaring di sebelah Azli.

“Sori ye Din,” aku ucap perlahan dan berbaring.

“Takde apalah. Benda kecil je. Dah, tidurlah. Esok nak bangun awal,” kata Sudin.

– Bersambung –

One thought on “KEKASIH DARI LAUT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s