KEKASIH DARI LAUT

Bab 2

Sampai kat rumah aku terus letak roti kat meja dapur dan masuk bilik. Kawan-kawan aku tegur pun aku tak layan. “Tu dah kenapa dengan si Aan tu? Dah macam terserempak dengan hantu,” kata Sudin.

“Dia kalau dah muka macam jumpa hantu tu, maknanya dia ada jumpa awek la tu,” aku dengar suara Sahak menyampuk kata-kata Sudin dan berderai ketawa mereka di ruang tamu. Aku pekakkan telinga je. Aku baring kat katil aku. Pejamkan mata, cuba bertenang. Malunya aku. Siapa perempuan tadi? Aku tak ucap terima kasih pun. Aduh. Panik betul.

“Abanggggg….. ,” tiba-tiba aku dengar suara garau memanggil aku. Dan tangan aku dipegang. Aku baca. Azli ketawa terbahak-bahak kat tepi katil aku. Aku terus duduk.

“Kau jangan kacau aku macam tu boleh tak?” aku marah. Memang aku bengang setiap kali mereka mengusik aku pasal perempuan.

“Kau ni dah kenapa Aan? Kau pergi 7E je kan? Yang berpeluh-peluh satu badan, muka pucat. Kau terserempak dengan Pontianak harum sundal malam ke?” Azli tepuk bahu aku.

“Takde apalah.” Aku bangun dari katil aku dan merapati beg baju aku yang aku dah sediakan untuk rombongan kami nanti.

“Kau dah siap kemaskan baju kau dah ke?” Aku tanya Azli.

“Aku dah siap dah. Tak bawa banyak pun. Nanti sampai sana aku belilah baju lagi,” kata Azli.

“Kau tahu tak? Ini kali pertama aku nak ikut rombongan kilang. Tak tahu nak kata berdebar ke, teruja ke. Tapi jantung aku dup dap dup dap,” kataku sambil duduk kembali kat katil aku.

“Kau jangan nak dup dap sangat. Kau ikut je. Mesti seronok punya. Awek ramai,” kata Azli sambil tersenyum pandang aku. Aku terus diam. Memang kawan-kawan aku suka sangat usik aku bab awek ni. Rimas aku.

Aku dengan Azli sewa bilik yang sama. Sahak sebilik dengan Sudin. Ejey je sebilik seorang sebab bilik dia kecil, muat satu katil bujang je. Bilik yang dua lagi tu besar, siap ada bilik air sendiri.

Tiba hari rombongan, kilang kami tutup seminggu. Memang dah keluar notis lama dah. Aku tengok semua orang nampak happy je. Aku je yang rasa macam nak terkucil memanjang. Nak kata tak sedap hati, tak juga. Nak kata takut, tak juga. Aku tak tahu apa yang aku rasa. Nak pergi dengan tak pergi tu dah sama banyak je.

“Aan, kau ni dah kenapa? Duduk seorang diri kat sini. Jom la join dengan kawan-kawan lain. Semua pun kawan sama kilang dengan kita. Cuma mereka bahagian lain. Kau kenal kan?” Ejey tepuk belakang aku tiba-tiba. Terkejut aku, nasib belum buka kuda-kuda.

“Takde apalah. Aku segan,” sahutku perlahan. Aku tak sangka ramai perempuan kat kilang aku, semuanya ada hari ni. Kami sedang tunggu bas rombongan.

“Apa nak disegankan? Kawan kita semua tu. Diorang semua kenal kau,” kata Ejey lagi.

“Takpelah, kau pergilah sembang dengan diorang. Aku duduk kat sini je,” kataku sambil tundukkan muka bila seorang rakan perempuan kami yang bekerja di sama bahagian dengan aku datang menghampiri kami.

“Borhan, Ejey, jom la ke sana. Satu bas dah sampai.” Kata Ros menegur kami. Aku tunduk. Dada aku berombak kencang.

“Bas dah sampai? Sikit lagi sampailah lagi bas yang lain tu,” kata Ejey lalu bangun meninggalkan aku dan Ros di situ. Aku pun apa lagi, tanpa berlengah terus angkat beg aku dan mengikuti langkah Ejey. Taknak aku duduk kat situ dengan Ros.

“Kau ni Borhan, aku ni bukan hantu tau yang kau takut sangat nak pandang aku. Kau takut aku goda kau ye. Aku dah ada nak dua la. Takde masa aku nak goda kau,” kata Ros menegur aku.

Aku tak menyahut, terus mengikut langkah Ejey. Ros pula mengikuti langkah aku. Rasa macam dikejar hantu weh.

Kat atas bas, semua orang menyanyi-nyanyi, termasuklah bos kami Mr Richard. Baik orangnya, sebab itu kebanyakan pekerjanya adalah orang lama. Buat apa nak berhenti kerja kalau dah dapat bos yang baik kan.

Aku je duduk diam kat tepi tingkap, melihat keluar tingkap. Mak aku pesan, masuk tempat orang ni adalah elok. Kita keluar dari kehidupan kita yang selalu. Lihat budaya orang lain, di tempat lain. Mak pesan suruh aku jaga diri, jangan cakap besar. Tambahan aku nak ke kawasan laut. Mak kata kat mana-mana pun jangan tinggi diri. Aku teringat kat mak aku. Selalu hari Sabtu macam ni, aku akan balik rumah mak. Tiba-tiba aku rindu kat mak aku. Mesti mak aku pun rindukan aku.

Sampai je kat tempat rombongan kami tu, kami dibahagikan mengikut chalet. Satu chalet tiga orang. Aku sekali dengan Sudin dan Azli. Sahak dan Ejey dengan Zahid kat sebelah bilik kami. Kami berehat sementara menunggu hari petang, baru boleh keluar mandi di laut. Semua orang baring di katil masing-masing tapi aku tak boleh lelap. Ini kali pertama aku keluar dari kawasan selesa aku. Aku takut nak tidur. Aku takut nanti semua orang tinggalkan aku. Aku duduk di balkoni melihat laut menghempas pantai di bawah terik mentari.

Lebih kurang pukul 4.30 petang, laungan azan asar kedengaran dari telefon aku. Sudin bangun. “Kau tak tidur ke Aan?” Sudin tegur aku. Aku gelengkan kepala.

“Laa, kau rehatlah. Tidur sekejap. Nanti banyak aktiviti yang pihak kilang dah atur untuk kita,” kata Sudin lagi. Azli pun bangun juga, memerhatikan aku dan Sudin.

“Aku takut nanti aku tak bangun,” sahutku disambut dengan derai tawa Sudin dan Azli.

“Dah kenapa kau tak bangun? Ke kau takut kami tinggalkan kau kat sini?” Azli tanya lagi sebaik tawanya reda.

“Atau kau takut nanti ada awek chalet datang sini cari kau?” usik Sudin pula.

“Eh, perempuan boleh masuk ke chalet kita ni ke?” aku bertanya kaget.

“Aduh Aaan, aku usik je la. Kau ni kalau cakap pasal perempuan, hilang arah terus.” Kata Sudin.

“Dah dah. Jom kita solat. Lepas solat kita keluar tengok apa kawan-kawan kita buat kat luar,” kata Azli lalu bangun dari duduk diikuti oleh Sahak. Aku masih terpinga-pinga memandang ke luar chalet, melihat beberapa orang yang dah mula berjalan di tepi pantai walaupun matahari masih gagah memancar.

Selesai solat, Sahak dan Sudin bersiap untuk keluar dari chalet. Aku masih duduk di sejadah. “Aan, kau tunggu apa? Jom la keluar,” Sudin mengajak.

“Kalau aku tak keluar boleh tak?” aku tanya. Entahlah, tiba-tiba aku rasa menyesal sebab ikut rombongan ni. Lebih baik aku balik rumah mak aku, dah tentu mak aku masak sedap-sedap untuk aku.

“Ya Allah, kau nak buat apa duduk dalam bilik ni? Tiga hari kita kat sini tau. Takkan kau nak duduk je kat dalam ni. Jom lah, bersosial sikit. Mana tahu nanti kau dapat awek kat sini,” kata Azli masih nak mengusik aku.

“Kau ni Li, janganlah usik dia pasal awek. Dia kan pemalu.” Kata Sudin sambil disahut tawa oleh mereka berdua.

“Dah tu Aan, kau bangun. Tukar baju. Jom ikut kitorang keluar. Ini bukan ajakan, ini arahan. Sekarang!” kata Sudin sambil tarik tangan aku.

“Kau jangan sampai kami yang tukar seluar kau,” kata Azli pula.

Dengan berat hati, aku terus tukar baju. Lalu mengikut langkah Sudin dan Azli keluar dari bilik chalet kami. Kat luar bilik, aku nampak Sahak, Ejey dan Zahid sedang berjalan keluar ke arah pantai.

“Jom makan dulu kat kafetaria. Lepas tu ada aktiviti bola sepak tepi pantai,” kata Zahid.

“Aan, apahal muka ketat macam tu? Senyumlah sikit. Enjoy ok. Kita nak bergembira kat sini,” Ejey tegur aku.

“Dia takut jumpa awek,” sahut Sahak dan terus disambut dengan tawa mereka yang lain kecuali aku. Sedih tau, diorang asyik gelakkan aku. Panik aku pada perempuan, bukan aku buat main-main tau, aku memang panik bila jumpa perempuan. Nak kata aku minat kat lelaki, memang lagi la tak. Entahlah, susah nak jelaskan.

Semua orang nampak gembira dan enjoy. Makan bersama, main bola bersama. Ada yang mandi laut. Sudin ajak aku main bola sepak sama-sama, tapi aku segan sebab ramai perempuan yang jadi penonton. Akhirnya aku duduk kat bawah pokok besar tepi chalet.

Semasa maghrib, kami semua solat berjemaah. Pak Radhi jadi imam. Pak Radhi ni orang paling lama kat kilang kami. Dia yang banyak bantu ayah Mr Richard dulu masa ayah Mr Richard mulakan bisnes jam di kilang ni. Lepas ayah Mr Richard meninggal dunia, Mr Richard ambil alih tempat ayahnya. Pak Radhi masih lagi bekerja dengan keluarga ini. Pak Radhi tak belajar tinggi, tapi kat dalam kilang tu, kedudukan dia paling tinggi walaupun dia cuma driver Mr Richard sahaja. Sungguhpun hanya driver, Pak Radhi tahu segala selok belok kilang. Kalau ada satu pasu berubah pun, Pak Radhi akan perasan. Itulah powernya Pak Radhi. Jangan main-main dengan dia.

Malam tu kami tiada aktiviti. Sekadar makan-makan dan berbual kosong. Mr Richard dah cakap, rombongan ini memang nak kami semua berehat sepuas-puasnya sambil menikmati keindahan pantai. Memang laut tu cantik dan airnya bersih, mungkin kerana ia adalah pantai persendirian milik tuan chalet yang kami sewa tu.

Selepas makan, kami semua buat hal masing-masing. Sahak dan Azli ajak aku memancing. Mula-mula aku menolak. “Kau jangan risaulah, takde perempuan ikut,” Sahak mula mengusik aku. “Haah, takde perempuan, kita bertiga je. Aku ada bawa joran ni. Jom la,” kata Azli pula.

Aku pandang keliling, kebanyakan pekerja perempuan dah masuk chalet masing-masing. Tinggal beberapa pekerja lelaki je lagi yang masih berkeliaran di tepi laut menghirup angin laut di kala malam. Aku pun ikut Sahak dan Azli memancing. Entahlah nak memancing macammana tengah malam macam ni. Sudin pun dah balik bilik, katanya perut tak selesa. Mungkin dia tak tahan makan makanan laut.

Kami mengambil satu tempat di bahagian tepi laut. Kat situ ada sebuah batu besar. Azli dan Sahak memanjat batu besar tersebut dan mula memasang umpan pancing. Aku duduk kat tepi batu memerhatikan mereka. Cantik bulan malam tu, mengambang penuh. Sesekali terdengar bunyi ombak memukul pantai dan batuan. Memang tenang.

Sedang aku menikmati ketenangan malam, aku terasa ada seseorang mencuit bahu kiri aku. Aku menoleh ke kiri. Tiada sesiapa. Aku pandang ke arah Sahak dan Azli, mereka masih berada di atas batu besar, memegang joran. Aku pandang belakang aku sekali lagi, masih tiada sesiapa. Aku tengok sepanjang pantai dengan bantuan cahaya bulan yang mengambang, tiada sesiapa dah. Semua dah berehat di chalet masing-masing agaknya. Ada la beberapa lelaki masih berbual di beranda chalet sambil menghisap rokok. Tapi di tepi pantai memang dah tiada orang, hanya aku, Azli dan Sahak.

Aku kembali merenung ke laut. Tak sampai seminit, aku rasa seseorang mencuit bahu kanan aku pula. Masa ni aku terus bangun dan berpaling ke belakang. “Siapa?” aku panggil.

Aku dengar suara perempuan tertawa perlahan. Aku dengar dengan jelas. Bulu roma aku meremang. Aku pandang keliling. Tiada sesiapa.

“Li, Sahak, dah la. Jom balik. Aku tak sedap hati la,” aku panggil Azli dan Sahak.

“Awal lagi.” Sahut Sahak. Aku tengok jam tangan, suluh dengan lampu suluh kecil yang aku bawa. Pukul 12.00 tengah malam.

“Pukul 12 dah weh. Dah la, jom balik chalet,” aku panggil lagi.

“Kau ni Aan, macam perempuan. Baru pukul 12, bukan pukul 3 pagi. Mak kau takde kat sini. Inilah masa kau nak enjoy. Mana tahu nanti ada gadis cantik dari laut muncul. Orang kata perempuan laut ni cantiknya macam bidadari,” Sahak mengusik aku lalu tertawa berderai dengan Azli.

“Lantak koranglah, aku nak balik chalet,” kataku sambil melangkah ke chalet walaupun aku masih dengar suara Azli dan Sahak mengusik aku.

– Bersambung –

One thought on “KEKASIH DARI LAUT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s