KEKASIH DARI LAUT

Bab 1

Aku Borhan. Masih bujang. Aku kerja kat sebuah kilang buat jam. Aku memang peramah, sebab tu aku ada ramai kawan. Walau begitu, aku pemalu dengan perempuan. Mulut aku bising juga, tapi bila berdepan dengan perempuan, aku jadi malu. Entahlah kenapa. Walaupun perempuan tu rakan sekerja aku, walaupun perempuan tu sepupu aku. Kalau namanya perempuan, pula tu dalam baya-baya aku, aku malu.

Kat tempat kerja aku, aku kerja kat bahagian kawalan kualiti. Kerja aku ialah memeriksa setiap jam yang dah siap, kalau semua ok, aku bagi la cop lulus. Kalau ada cacat sikit tu, kira tak lulus la tu. Nampak macam best, tapi kalau dah hari-hari buat benda sama, 8 jam tanpa henti, nak muntah juga.

Tapi apa nak buat. Nak muntah pun kena kerja juga. Dulu mak abah aku suruh belajar pandai-pandai, aku malas. Sekarang kawan-kawan sekolah aku jadi engineer, jadi arkitek, jadi cikgu, tapi aku jadi ni la, Pegawai Kawalan Kualiti. Ok apa jawatan aku.

Dalam 8 orang adik beradik, aku seorang je kerja kilang bahagian operasi macam ni. Yang lain, kalau kerja kilang sekalipun, bukan bahagian operasi macam aku. Diorang up sikit levelnya. Terkilan? Jauh hati? Dulu ada juga la, rasa sikit-sikit. Nak pula adik beradik aku bila bila balik kampung, semua naik kereta mahal-mahal. Aku? Naik bas. Bujang kot, buat apa drive sendiri kan. Baik aku naik bas, dah tentu ada driver, boleh tidur lagi. Kan kan kan…. Ayat nak sedap hati je tu.

Tapi mak aku la idola aku. Semua rasa kecil hati tu hilang bila dengar mak aku cakap apa. Kadang bila berkumpul semua adik beradik aku, aku mesti duduk jauh-jauh sikit. Sebab aku taknak dengar sembang diorang, nanti aku rasa kecil hati lagi.

Mak aku perasan. Satu hari tu, masa aku duduk makan kat meja dapur, sorang-sorang, mak aku datang. Mak aku cedukkan gulai tempoyak rebung kat aku. Mak letak kat atas meja. Lalu duduk kat tepi aku.

“Tadi kenapa tak makan masa yang lain makan?” mak aku tanya.

“Tadi belum lapar,” aku jawab tak pandang mak aku sambil menghirup kuah tempoyak yang mak aku baru letak.

“Iye ke tak lapar?” mak aku duga aku lagi. Masa ni aku pandang mak aku.

“Iyelah mak, tadi tak lapar. Sekarang baru lapar,” aku jawab. Tapi tak berani nak tentang mata mak aku.

“Tau tak kenapa ada orang boleh jadi bos, ada orang kena kerja dengan orang, ada orang kena kerja kotor, ada orang dapat kerja tempat bersih.” Mak aku mula dah. Aku angkat muka aku, kunyahan aku makin perlahan. Aku tak boleh la bila mak aku mula cakap madah berhelah kat depan aku macam ni.

“Sebab kalau semua orang nak kerja atas, siapa nak buat kerja bawah ni? Kalau semua orang nak kerja tempat bersih, siapa nak kerja kat tempat kotor? Kalau semua orang nak kerja senang, siapa nak kerja susah? Kalau semua orang nak kerja pakai tali leher, siapa nak jahitkan tali leher tu?” aku terus berhenti makan. Tercekik rasanya rebung kat anak tekak aku ni ha. Dah la campur dengan ikan terubuk yang banyak tulang tu. Aku ambil air dan minum.

“Kenapa pula mak tiba-tiba cakap macam tu?” aku buat-buat bertanya walhal aku faham dah.

“Saja je mak cakap macam tu. Dah lama mak tak sembang dengan anak mak yang senang kecil hati ni,” kata mak aku sambil tersenyum pandang aku.

“Mana ada Aan kecil hati?” aku cuba kontrol perasaan aku. Hish, kualiti aku boleh kontrol, tapi perasaan depan mak aku memang tak boleh nak kontrol. Mak aku ni macam ada bela saka yang beritahu mak aku apa yang ada dalam hati aku.

“Elleh, mak kenal la kamu tu Aan. Kenal sangat. Kamu tahu tak, mak bangga dengan kamu. Kalau kamu tak luluskan satu barang tu, barang tu tak boleh keluar. Walau yang cipta barang tu adalah orang yang bijaksana, yang pandai segalanya. Betul tak?” mak aku cakap kat aku.

“Along kamu tu arkitek, tak boleh buat kerja kamu. Angah peguam, pun lagi la. Nak harap Alang dan Andak walaupun engineer tapi tahunya duduk kat atas laut je main dengan minyak hitam. Adik-adik kamu pun sama. Acu dengan Adik sekolah pun tak habis lagi. Kamu je yang boleh buat kerja kamu tu. Tak semua orang boleh buat,” kata mak lagi.

“Kenapa pula mak cakap macam tu. Diorang tu lagi pandai kot. Apa sangatlah setakat kerja macam Aan ni,” kataku, mula rasa sebak. Tak boleh kontrol dah.

“Itulah yang mak nak cakap. Kamu tak payahlah rasa rendah diri, kecil hati, jauh hati dengan adik beradik kamu. Semua orang ada kelebihan dan kelemahan. Tak pandai belajar takpe, jangan tak pandai hidup. Tak kerja tinggi takpe, jangan malas. Mak tak suka tengok kamu selalu jauhkan diri bila bersama dengan adik beradik kamu. Mereka pun tak sisihkan kamu,” kata mak lagi.

“Takdelah mak. Bila berkumpul semua, Aan terasa juga. Dulu mak abah suruh Aan sambung belajar tapi Aan degil, Aan taknak. Sekarang Aan kerja kilang je. Nak bagi duit banyak kat mak pun tak boleh. Ini bujang lagi, kalau dah kahwin entahlah,” kataku.

“Mak ni dah tua. Duit bukan yang mak harapkan sangat. Abang kakak dah bagi duit, tapi mereka jarang balik sebab mereka sibuk. Tapi kamu setiap bulan balik, kadang-kadang dua kali sebulan kamu balik. Itupun mak abah dah cukup seronok dah. Kamu ingat mak lahirkan anak ramai-ramai sebab nak harapkan semua bagi mak duit ke? Bila ramai, setiap seorang akan ada tugas masing-masing. Yang berduit bantu duit, yang kuat bantu tenaga, yang kurang duit, bagi kasih sayang, bagi masa. Cukuplah tu. Kalau kamu pun sibuk macam abang kakak kamu, mak dah kurang satu kan?” mak aku membebel. Aku diam. Rasa nak luruh air mata jantan aku kat dalam pinggan nasi.

“Dah, lepas ni jangan nak sisihkan diri. Sama je semua anak mak.” Kata mak aku sambil gosok kepala aku dengan rambut yang kusut masai.

“Habiskan nasi tu. Nanti nasi tu menangis,” kata mak aku sambil bangun dari duduknya dan pergi ke almari lauk.

“Andak, makan tak ajak. Amboi!” tiba-tiba adik aku yang kami panggil Acu sergah aku dari belakang. Aku gosok mata yang basah.

Acu tarik kerusi dan duduk kat tepi aku. Sambil menarik mangkuk gulai tempoyak yang mak aku letak tadi lalu menghirupnya. “Itu mak cedok untuk aku la,” kataku menarik balik mangkuk tersebut dari tangannya.

“Kau tau Andak, mak tu kalau tahu kau nak balik, segala hutan diredahnya. Dia tahu kau suka makan rebung. Haish. Aku la jadi mangsa kena ikut mak masuk hutan. Dah la hutan tu banyak pacat,” kata Acu, herot berot mukanya memerli mak aku. Aku pandang mak aku, mak aku sengih je kat tepi sinki.

“Apa bising sangat ni? Dari depan dengar suara,” abah aku pula muncul. Diikuti dengan Along dan Angah. “Kan aku dah cakap, kalau Andak hilang, dia mesti tengah curi makan kat dapur.” Kata Angah. Masing-masing duduk kat meja, berebutkan mangkuk gulai tempoyak tadi.

Betul mak aku cakap, aku je yang rasa terkilan, jauh hati. Walhal adik beradik aku semuanya ok. Sejak itu aku takdelah rasa diri aku bodoh sangat kerja kat kilang sedangkan adik beradik aku yang lain kerja bagus-bagus. Betullah tu, kalau semua pandai nak kerja tinggi-tinggi, siapa pula nak buat kerja rendah-rendah ni. Takkanlah orang ada PHD yang sepatutnya bergaji 5 angka nak kerja kualiti kontrol dengan gaji 3 angka ni kan. Sian diorang belajar tinggi-tinggi, duit dah habis banyak, kerja gaji ciput. Macam aku tak belajar tinggi takpelah, duit belajar pun tak habis banyak.

Jadi, pesanan aku kat adik-adik, abang-abang, kakak-kakak yang tak berpeluang belajar tinggi, atau tak pandai macam aku ni, jangan sesekali rasa rendah diri. Nilai kita sama tinggi dengan diorang tau. Hahaha….

Panjang pula celoteh aku ni. Bukan itu yang aku nak ceritakan kat sini sebenarnya. Aku nak ceritakan pasal aku dan kawan-kawan aku ni. Aku rapat dengan empat kawan aku ni. Sahak, Azli, Ejey dan Sudin. Kami ni kerja kat kilang sama tapi bahagian lain-lain, syif pun berbeza-beza. Yang buat kami rapat ialah kami ni tinggal kat rumah sewa yang sama.

Aku dan Ejey paling lama kerja kat kilang jam tu. Kemudian baru datang Sahak, Azli dan Sudin. Diorang ni semua ada ‘marka’ masing-masing. Tahu ke apa tu ‘marka’. Awek la. Aku je yang takde. Jadi kalau hujung minggu atau hari cuti, aku kena tinggal juga. Seorang diri kat rumah. Sebab tu aku rajin balik rumah mak aku. Dua jam je naik bas. Bas pun sampai betul depan rumah aku. Panjang tengkuk mak aku menunggu aku kat depan rumah kalau dia tahu aku nak balik.

Satu hari tu, kilang tempat kami kerja nak buat rombongan kat sebuah pulau. Seronoknya la. Aku call mak aku, bagitahu minggu tu aku tak balik rumah mak aku. Bukannya apa, mak aku ni kalau aku tak bagitahu aku tak balik, dia call aku. Tanya aku balik ke tak. Kalau aku kata tak, ditanyanya kenapa tak balik. Kalau aku kata ada hal, lagi banyak soalan cepu emas yang ditanyanya. Bukannya apa, dia nak korek rahsia kalau aku ada kekasih hati.

Jadi, sebelum mak aku call aku, aku call mak aku dulu. Aku bagitahu mak aku bahawa aku nak ikut rombongan kilang jalan-jalan makan angin kat pulau. Mula-mula mak aku macam tak percaya, lepas tu aku bagi telefon kat Sudin, biar mak aku cakap dengan Sudin. Bila Sudin dah sungguh-sungguh cakap kami nak ikut rombongan kilang, baru mak aku percaya. Haaa, itulah mak aku. Kang aku kata aku ni anak kesayangan mak aku, adik beradik aku yang lain jeles.

“Risau sangat mak kau tu Aan. Kau anak lelaki kot, dia masih risaukan kau macamlah kau anak dara,” Sudin mengusik aku.

“Dia bukan risaukan aku, dia tak percayakan aku je,” aku menyahut, cuma mengelak untuk cakap aku ni anak kesayangan. Hahaha…

“Kau kawinlah Aan, baru mak kau tak risaukan kau. Dah ada orang jaga makan pakai kau,” sahut Azli yang sedang menonton berita di ruang tamu.

“Siapalah nakkan aku ni?” kataku rendah diri.

“Hish, ramai je yang nakkan kau. Kau tu je nampak perempuan macam nampak hantu,” Sahut Sahak pula. Kebetulan mereka ada kat rumah malam tu. Ejey je yang masih kat kilang kira stok. Aku dan Ejey berpangkat tinggi sikit dari Azli, Sahak dan Sudin. Kira gred kami atas sikit je. Kalau kat pejabat penulisan, kami ni kira editor la, yang lain tu penulis. Entahlah, korang faham ke tak.

“Mana tahu kau jumpa jodoh kau kat pulau tu nanti. Orang kata, kalau dah jodoh, tak lambat tak cepat. Orang lain bercinta bagai nak rak, tapi kau jumpa awek dua tiga minggu dah plan nak kahwin. Mana tahu kan?” Sudin mengusik aku lagi.

“Hish, korang ni. Kalau tak mengusik aku, tak sah kan. Dah la tu, aku nak keluar sekejap beli ridset. Korang nak kirim apa-apa tak?” aku bangun dari duduk dan menggapai kunci motor aku.

“Itulah kau, patutlah mak kau marah. Cakap pasal awek je kau lari.” Azli terus mengusik aku. Sahak dan Sudin gelakkan aku. Aku malas nak layan mereka lagi, terus pakai helmet, start motor aku dan berlalu pergi.

Aku sampai kat 7E, cari barang yang aku nak. Masa nak bayar, RM12.30. Aku bagi RM50.00. Boleh pula cashier tu takde duit seringgit. Aku punyalah korek saku baju dan seluar, takde pulak duit kecil.

“Nah encik, saya bayarkan yang tak cukup tu.” tiba-tiba perempuan yang beratur kat belakang aku letak duit RM2.30 kat kaunter.

“Eh, takpelah. Saya ada. Tapi tu lah, letak kat mana entah,” sahutku dengan wajah merah padam. Aku tak pandang pun gadis tu. Dada aku dah berdebar, aku panik.

“Takpe, ramai dah beratur ni encik. Takkan nak tunggu encik cari duit kecil sampai kat dalam kasut kot,” kata gadis tu lagi. Makin merah la muka aku. Dah rasa panas semacam. Tangan aku dah menggeletar.

“Macammana saya nak bayar balik tu?” aku tanya, dengan suara yang agak menggigil tanpa pandang gadis tu.

“Takpe, saya sedekah je.” Sahut gadis tu lagi. Aku tak menyahut dah. Aku pandang cashier tu. Cashier tu senyum pandang aku dan ambil duit RM2.30 yang gadis tadi letak. Lalu dia pulangkan 4 keping note RM10 kepada aku.

Aku ambil 3 keping je. Sekeping lagi aku tinggal kat kaunter. “Ini untuk gadis yang letak RM2.30 tadi.” Kataku kepada cashier tu separuh berbisik.

“Dia kat belakang encik je, beritahulah dia.” Kata cashier tu lagi. Aku tak menyahut dan terus meninggalkan 7E. Lepas ni sumpah aku tak masuk dah 7E ni. Malu weh!

– Bersambung –

One thought on “KEKASIH DARI LAUT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s