JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 16 (AKHIR)

“Zara, kita kena keluar dari bilik ni,” kataku berbisik.

“Dah gelap macam ni, nak keluar macammana?” Zara menyahut.

“Kau jangan lepas tangan aku, kita jangan terpisah. Kita jalan perlahan-lahan, pintu kat tepi tu je,” kataku lagi sambil melangkah perlahan-lahan menghala ke arah pintu yang baru saja tertutup sendiri tadi.

Kami dengar bunyi rengusan yang kuat di telinga kami. Aku cuba baca Al-Fatihah, tak tahulah betul atau tak. Tonggeng langgang rasanya. Aku cuba baca 4 Qul yang selalu aku baca masa nak tidur, pun aku rasa dah bercampur aduk ayat antara 4 Qul tu. Sekarang baru aku faham apa maksud ustaz yang aku dengar ceramahnya di facebook hari tu. Kita mungkin tahu membaca keseluruhan ayat Al-Quran, tapi belum tentu kita memahaminya. Kita mungkin hafal banyak surah tapi kita tak dapat membacanya ketika kita betul-betul perlukannya. Sebab kita membaca sebab keperluan, bukan sebab hati kita ingin membaca dan mendalaminya mahupun mencintainya. Allahu Akbar!

Sedang aku berjalan sambil meraba-raba dinding, aku terpegang sesuatu. Seperti uraian rambut yang panjang yang telah keras kerana lama tak dibasuk, sesuatu yang keras seperti ranting kayu yang telah reput dan kuku yang agak panjang.

“Darahku milikmu, satukanlah, kita bersatu. Kau berikan aku kehidupan, aku berikan kau kesenangan. Api dengan tanah bersatu, keraslah tanah, sejuklah api. Tinggi-tinggi matahari, tinggi lagi kehendak kita. Darah menyatukan kita, titiskan darahmu, aku ingin merasainya. Setelah itu, akan kuturuti semua mahumu.” Aku dengar suara garau menyebutkan ungkapan itu beberapa kali.

“Zara, kau dengar tak suara garau tu?” aku berbisik kepada Zara yang berada berhampiran dengan aku.

Zara tak menyahut. “Zara? Kau dengar tak?” aku tanya lagi. Masih tiada sahutan. Aku tarik tangan Zara dengan kuat, dan tangan itu terputus. Aku menjerit terkejut. Aku lepaskan tangan yang aku pegang sejak dari tadi.

“Zara, kau ok ke?” aku tanya dalam kegelapan dan ketakutan. Tiada sahutan.

“Ya Allah, Zara, kau kat mana?” aku masih memanggil Zara dengan suara terketar-ketar. Aku makin takut bila tahu aku keseorangan kat situ. Zara dah pengsan agaknya.

Tiba-tiba aku rasa ada benda yang agak kasar merayap di leher aku, seakan mencengkam leher aku hingga aku tak dapat bernafas dengan elok. Aku terasa jari hantu di tangan kiri aku pedih, seakan ditekan dengan sesuatu yang tajam. Aku tak mampu berbuat apa-apa, hanya terdiam menunggu apa yang akan terjadi seterusnya.

Sedang aku dalam keadaan tak dapat membantu diri sendiri tu, tingkap bilik tiba-tiba terbuka sendiri. Keadaan bilik terang sikit dari tadi. Tiada lagi rasa cengkaman di leher aku. Tapi aku nampak satu makhluk di depan aku, sedang melutut menggigit jari aku. Aku tarik jari aku, dan makhluk itu mendongak memandang aku. Rasa nak longlai bila aku tengok rupa makhluk tu. Macam tengkorak hidup, tinggal sikit saja daging yang masih melekat di mukanya. Rambutnya juga berpintal-pintal macam tali kapal.

Kaki aku lemah, aku tak mampu bergerak. Makhluk tu berdiri di depan aku, tinggi sangat. Dia angkat tangannya dan pegang kepala aku. Aku masih kaku di situ, nak menangis pun air mata tak keluar. Dada aku berdegup kencang sampai sakit rasanya, nak tarik nafas pun tak mampu.

“Lepaskan dia. Dia bukan milikmu, dan kau bukan miliknya. Dia tak mahukan kau, sama seperti tuan lama kau yang tak mahukan kau,” aku dengar suara Ustaz Saiful, tapi aku tak nampak susuk tubuhnya.

“Ayu, Ayu, kau bertahan sekejap. Jangan lelapkan mata, bertahan sekejap je lagi,” aku dengar suara Zara, juga aku tak nampak susuk tubuhnya.

Aku buka mata walaupun mata aku berat sangat, macam dah berhari-hari tak tidur. Aku cuba bertahan. Bila terdengar suara Ustaz Saiful dan Zara, aku yakin mereka sedang mencari jalan untuk bantu aku. Aku perlu bertahan.

Aku dengar bunyi tapak kaki kecil dari arah tingkap. Dengan susah payah aku buka mata dan pandang ke arah tingkap yang terbuka sedikit. Aku nampak seorang budak lelaki dalam usia sepuluh tahun, berjalan menuju ke arah aku. Dia pegang tangan aku.

“Kau jangan masuk campur. Ini urusan aku dengan dia, kau balik tempat kau,” aku dengar suara garau memarahi budak itu. Tapi budak itu memandang ke arah makhluk yang masih memegang kepala aku. Masa ni aku nampak mata budak tu berwarna putih keseluruhannya.

“Pergi ke tempatmu wahai anak kecil. Aku tak mahu kamu cedera,” suara garau dari makhluk itu bersuara lagi. Tapi budak itu masih berdegil dan memegang tangan kanan aku. Aku makin menghilang, tubuhku makin longlai.

Aku cuma dapat dengar suara Ustaz Saiful membacakan beberapa ayat Al-Quran dan diselangi dengan laungan takbir Allahu Akbar. Aku dengar suara esakan dari Zara, sambil suaranya memanggil nama aku tak putus. Tapi suara-suara itu semakin perlahan, dan akhirnya hilang dari pendengaran aku.

Aku sedar bila aku terasa tubuh aku kedinginan yang amat sangat, seperti berada dalam peti sejuk. Aku buka mata bila ada sesuatu yang sejuk menyentuh pipi aku. Aku lihat di depan aku ada beberapa orang, perempuan dan lelaki, dewasa dan kanak-kanak. Salah seorang kanak-kanak itu ada budak lelaki yang masuk ke dalam rumah Azira dan memegang tangan aku ketika aku ditawan oleh makhluk pelik tadi.

Aku duduk, memerhatikan keliling. Aku berada di dalam hutan. Beberapa orang di situ, kesemuanya memakai pakaian berwarna putih, memandang aku dengan wajah sedih.

“Di mana saya ni? Kenapa saya ada di sini? Kamu semua ni siapa?” aku bertanya tapi tak seorang pun menjawab. Mereka hanya memandang aku dan berbisik sesama mereka. Aku bangun. Budak lelaki tadi menghampiri aku dan memegang tangan aku lalu membawa aku ke suatu tempat. Aku pandang keliling, hutan itu cantik. Ada air sungai yang mengalir tenang.

Aku dibawa oleh budak lelaki itu hingga sampai keluar dari kawasan hutan. Budak lelaki itu berhenti di tepi hutan dan menunjukkan kepada aku sebuah rumah yang sedang terbakar. Aku seakan tersentak, aku baru sedar, aku sekarang sedang berada di dalam hutan di belakang rumah Azira. Hutan yang kulihat amat menyeramkan, hutan yang aku selalu nampak beberapa orang di dalamnya walaupun tiada orang di situ.

Aku menoleh ke arah budak lelaki tadi. Tapi budak lelaki itu tiada di situ. Aku berpusing mencari budak lelaki tadi, aku nampak dia sedang berlari masuk semula ke hutan dan meninggalkan aku di situ.

“Dik, tunggu sekejap,” aku panggil budak itu. Budak itu menoleh kepadaku.

“Ayah suruh hantar sampai sini je,” kata budak itu.

“Ayah?” aku tanya. Tapi budak itu terus berlari masuk ke dalam kawasan hutan. Mula-mula aku ingat nak ikut budak tu, tapi aku takut nanti aku sesat pulak kat dalam hutan tu. Dah la hutan tu menyeramkan.

“Ayu. Alhamdulillah kau selamat,” tiba-tiba aku jeritan Zara. Aku menoleh semua ke arah kawasan luar hutan. Zara berlari mendapatkan aku. Ustaz Saiful turut mengikuti langkah Zara, cuma dia tak berlari.

Zara terus peluk aku sambil menangis. Aku pun ikut menangis sama. Aku tak tahu apa yang dah jadi, tapi aku pasti aku masih hidup.

“Zara, tadi bukankah kau bersama aku kat dalam bilik tu? Kita terkunci sama-sama kan?” aku tanya Zara setelah rasa bertenaga kembali.

“Mana ada. Kau seorang je yang terperangkap kat dalam bilik tu,” kata Zara.

“Taklah, kau dengan aku. Kau pegang tangan aku. Kau kata kita jangan lepaskan tangan masing-masing, sebab keadaaan gelap sangat. Lepas tu aku meraba cari pintu, kau masih pegang tangan aku,” kataku cuba mengingat semua kejadian dalam bilik tu.

“Ayu, kau tak sedar kot. Kan kita jalan sama-sama ke pintu. Aku dah keluar dari pintu baru pintu tu tertutup. Aku sempat keluar. Kau je yang tersangkut kat dalam bilik. Aku dan Ustaz Saiful berusaha buka pintu bilik tu tapi tak boleh.” Kata Zara.

“Habis tu, siapa yang pegang tangan aku?” aku tanya Zara. Zara angkat bahu.

“Takpelah, anggap je itu semua gangguan dalam perasaan kita. Bersyukurlah kamu dah selamat.” Ustaz Saiful berkata sambil tersenyum memandang aku.

“Siapa bakar rumah Azira?” aku baru teringat kat rumah Azira.

“Terbakar sendiri,” kata Zara.

“Terbakar sendiri?” aku tanya lagi sambil beliakkan mata aku.

“Iye, kami dah panggil bomba untuk padamkan kebakaran tu,” kata Zara lagi. Aku diam memandang rumah tu. Azira sayang sangat kat rumah tu.

“Ustaz, kat dalam bilik tu ada makhluk menyeramkan. Tinggi. Tinggal tengkorak je. Dia gigit tangan saya. Dia ada sebut beberapa perkataan, macam mantera pun ada. Darahmu darahku bersatu, apa entah. Apa benda tu ustaz?” aku tanya Ustaz Saiful.

“Itulah jin saka yang mahukan kamu menjadi tuan barunya. Jika dia berjaya menyedut setitis darah kamu, maka kamu dah jadi tuannya. Dia akan mengikut kamu walau ke mana kamu pergi,” kata Ustaz Saiful. Mulut aku terlopong mendengar penjelasan pendek Ustaz Saiful.

“Untuk apa jin saka ni ustaz?” Zara tanya.

“Untuk kepentingan diri. Kamu mungkin dihormati dan disegani. Kamu mungkin akan ada kelebihan lain, mungkin boleh mengubat orang, atau ada pemanis yang buatkan semua orang suka kamu, atau kamu boleh dapat pelaris dalam perniagaan kamu. Semua tu jin saka tu akan bagi kamu,” kata Ustaz Saiful.

“Tapi kenapa dia nak bagi semua tu?” Zara bertanya lagi. Buat masa ni aku hanya mampu mendengar.

“Kerana dia mahu hidup di dalam dunia kamu. Dia dan kamu ibarat satu nyawa. Kamu bantu dia, dia bantu kamu. Tak boleh terpisah. Andai mahu dipisahkan, dia tetap akan mencari tuan baru untuk dia terus kekal berada di dunia ini,” kata Ustaz Saiful.

“Ustaz, saya rasa kat dalam hutan ni ada orang tinggal. Sebab tu agaknya saya selalu nampak orang di sini semasa saya berada di dalam rumah Azira. Dan merekalah yang telah membawa saya keluar dari rumah tu. Ada seorang budak lelaki masuk ke dalam rumah tu, saya rasa dia yang bawa saya keluar dari rumah tu. Bila saya sedar, ada beberapa orang lain lagi bersama dengan budak tu. Dan budak tu la yang bawa saya sampai sini. Lepas tu dia terus lari. Katanyanya ayahnya suruh dia hantar sampai sini je,” ceritaku.

“Jin ada pelbagai rupa. Ada yang baik, beribadat dan mengucap dua kalimah syahadah seperti kita. Cuma alam mereka tak sama dengan kita. Sebab itulah kita wajib percaya pada alam ghaib, sebab ia wujud. Bersyukur bila mereka sudi membantu kamu.” Kata Ustaz Saiful tanpa memandang aku mahupun Zara.

“Ustaz, Azira terseksa ke selama ni? Sebab tinggal dengan makhluk tu?” aku bertanya.

“Azira dan makhluk tu tiada kena mengena. Azira hanya roh yang bergantungan kerana janji. Dia dah pergi ke tempatnya,” kata Ustaz Saiful.

“Jin saka itu milik mak mertua Azira kan?” Zara pula bertanya.

“Mak mertua Azira mendapat jin saka tersebut tanpa rela kerana diturunkan dari neneknya. Dia tak mau tapi jin itu hanya mahukan mak mertua Azira menjadi tuan barunya, jika dia, jin saka itu tak mahu tinggalkan tubuh tuan lamanya iaitu nenek kepada suami Azira yang sebenarnya telah mati. Jadi, dalam keterpaksaan, mak mertua Azira terpaksa menerima jin saka itu. Dan setelah nenek suami Azira meninggal dunia, mak mertua Azira telah berusaha membuang jin saka itu. Mungkin ada syarat yang dijanjikan antara jin saka itu dengan dukun yang membuangnya. Mungkin jin itu meminta diletakkan dia di dalam rumah atau macam tu. Atau mungkin jin saka itu merayu agar tidak dibunuh atau dihantar ke tempat asalnya. Jadi berlakulah perjanjian. Ada terlalu banyak perkara yang berkemungkinan jika bercakap dengan alam jin ni. Pengetahuan kita terhad sebab kita manusia. Jadi, jangan fikir keterlaluan. Cukuplah saya katakan, jin saka itu telah di tinggalkan di bilik itu. Syarat ditetapkan, jin saka itu berjanji tidak akan mengganggu manusia selagi rumah itu berpenghuni dan tiada rumput yang tumbuh di dalam rumah itu,” kata Ustaz Saiful.

“Habis tu, di mana jin saka itu sekarang?” aku bertanya lagi.

“Berada di tempat paling selamat. Dia takkan boleh keluar sehingga kiamat,” kata Ustaz Saiful.

“Ha?” aku dan Zara bertanya serentak dengan wajah yang amat keliru.

“Saya dah tanamkan sekeping duit syiling di tanah, dan saya minta dia tunggu hingga siling itu tumbuh menjadi pokok dan menghasilkan buah duit-duitan. Itu adalah syarat yang saya beri supaya dia tak ganggu manusia lagi. Sebab dia masih mahu tinggal di alam ini, tak mahu balik ke alamnya,” kata Ustaz Saiful.

“Ustaz tanam kat mana duit siling tu?” Zara pula bertanya.

“Adalah, kamu tak perlu tahu. Yang kamu perlu tahu sekarang, jin saka itu dah takde dan segalanya dengan izin Allah swt. Jin itu juga hamba Allah,” kata Ustaz Saiful.

Aku dan Zara terdiam. Faham dan tak faham dah sama banyak. Tapi terlalu penat untuk memikirkannya.

“Sekarang ni, kamu berdua pergilah balik. Kebakaran pun dah dihentikan. Saya akan berurusan dengan pegawai bomba tu nanti. Kamu berdua rehatlah. Lupakan semua kisah ni. Jadikan iktibar untuk diri kita,” kata Ustaz Saiful.

Aku bangun. Sesekali menoleh ke arah dalam hutan. Aku masih nampak budak tu mengintai di kejauhan, sebalik pokok-pokok. Zara tarik tangan aku, kami melangkah bersama-sama ke kereta. Ustaz Saiful berbual dengan anggota bomba yang memadamkan api. Aku dan Zara balik rumah.

Sebulan lepas kejadian, aku terima panggilan Kartina iaitu ejen yang nak jual rumah Azira tempoh hari. “Cik Ayu masih berminat ke nak beli rumah lot banglo tempohari? Sebab tuan rumah dah turunkan harga 75% dari harga asal. Jika Cik Ayu masih berminat, boleh kita teruskan. Tapi kos membaiki struktur rumah yang terbakar adalah di atas tanggungan Cik Ayu,” kata Kartina di hujung talian.

“Saya call Cik Kartina semula nanti. Bagi saya dua hari untuk berfikir,” kataku. Dan Kartina bersetuju untuk menunggu panggilan dari aku dua hari lagi.

“Kau masih nak beli ke rumah tu Ayu?” Zara tanya aku.

“Aku rasa aku nak beli rumah tu. Aku tahu Azira sangat sayangkan rumah tu. Tambahan tapak rumah tu nak dijual murah. Tak dapat lagi harga tu untuk lot sebesar itu. Azira mesti suka kalau dia lihat aku jaga rumah tu kan?” kataku perlahan.

“Terserah pada kau. Tapi kau tak takut ke?” Zara tanya aku balik.

“Entahlah. Ingatan aku pada Azira lebih kuat berbanding ingatan aku kepada jin semua tu,” kataku.

“Aku sokong kau walau apa keputusan kau. Kau kawan yang baik. Dan Ustaz Saiful pun dah bagi jaminan bahawa jin saka tu takkan mengganggu lagi.” Kata Zara. Aku diam.

Akhirnya aku berjaya membeli tapak lot banglo Azira. Mak mertua Azira sangat baik sebenarnya. Dia uruskan tuntutan insuran untuk perbaiki bahagian yang rosak dalam kebakaran. Dia turut bersedih dengan pemergian anaknya Fikri. Dia berjanji akan membesarkan cucunya dengan baik.

Satu petang ketika hampir senja, ketika aku sedang menyiram pokok bunga di bahagian belakang rumah baru aku tu, aku nampak lagi budak lelaki tu. Memandang aku di kejauhan. Tapi aku juga hanya memandang.

Beberapa ketika kemudian, aku nampak seorang lelaki muncul dari kawasan hutan. Seseorang yang amat aku kenali. Aku nampak budak itu berlari mendapatkan lelaki yang muncul dari dalam hutan tu. Budak itu memeluk lelaki itu dan aku seakan terdengar budak itu memanggil lelaki itu sebagai ayah. Aku terkedu seketika.

“Ayu, masuklah. Dah senja ni, tak baik berada kat luar rumah masa senja ni,” aku dengar suara mak aku memanggil aku dari dalam rumah. Oh ya, lupa nak beritahu, lepas aku pindah kat rumah ni, aku bawa mak dan adik aku tinggal sekali dengan aku. Zara pun selalu tinggal dengan aku, sebab rumah ni besar. Ada lima bilik, takkan aku nak tinggal dengan mak dan adik aku je kan.

“Ayu, mak kau panggil masuk tu,” Zara menjenguk dari tingkap dapur, memanggil aku yang masih memandang ke arah hutan.

“Kau tengok apa?” Zara tanya aku.

“Takde apa,” sahutku tapi mataku masih memandang ke arah hutan sampailah Zara tarik tangan aku dan menutup pintu.

Malam tu sebelum tidur, aku sembang dengan Zara.

“Zara, kau kenal rapat ke dengan Ustaz Saiful?” aku tanya.

“Kenapa pula tiba-tiba kau teringat kat dia?” Zara tanya aku.

“Takde apalah. Kau kenal dia kat mana?” aku tanya lagi.

“Entah, masa kau hilang seminggu haritu, aku tanya kat kawan pejabat aku. Dia bagi nombor telefon Ustaz Saiful. Katanya Ustaz Saiful dah selesaikan banyak kes berkaitan hal-hal ghaib ni. Dah aku tak jumpa kau, mayat kau pun aku tak jumpa. Aku pun cubalah guna ustaz pula,” kata Zara menerangkan kat aku.

“Jadi, kau tak kenal rapat la dengan dia ye? Dia tinggal kat mana? Kau pernah jumpa isteri dan anak-anaknya?” aku tanya lagi.

“Tak pernah. Kan aku cakap, aku tak kenal rapat dengan dia. Kenal gitu-gitu je. Kenapa ni? Kau suka dia ye?” Zara mengusik aku.

“Dia dah kahwin kan?” aku tanya lagi.

“Yang aku tahu, dia dah kahwin. Sebab dia pernah cakap dia ada isteri dan seorang anak lelaki dalam usia 10 tahun macam tu,” kata Zara.

Aku diam. “Kenapa ni Ayu?” Zara tanya aku.

“Takde apa. Cuma aku rasa Ustaz Saiful tu bagus. Mungkin lain kali aku boleh rekomen dia kat kawan aku yang lain,” kataku. Zara anggukkan kepala dan berbaring. Aku tengok jam, dah pukul 12 tengah malam. Patutlah dia dah mengantuk. Mak dan adik aku dah lama masuk bilik tidur.

Malam ni aku tidur kat bilik Zara. Aku cuba pejamkan mata. Tapi ingatan aku masih kepada Ustaz Saiful dan anaknya di hutan belakang rumah aku tadi. Tak sangka ‘ayah’ yang disebut oleh budak yang bantu aku tu adalah Ustaz Saiful. Siapa Ustaz Saiful ni sebenarnya?

– T A M A T –

One thought on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s