JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 15

Ustaz Saiful memberi isyarat kepada aku untuk diam dan perhatikan saja. Maka aku pun akur, duduk diam kat tepi dinding bersama Zara yang asyik berbisik tanya aku pasal itu dan ini, yang aku rasa aku makin keliru.

Aku nampak Azira dan suaminya berjalan bersama masuk ke dalam ruangan rumah, menaiki anak tangga dan terus ke tingkat atas yang penuh dengan kesan kebakaran. Mereke masuk ke dalam bilik Azira. Seketika kemudian mereka keluar dengan Azira mendukung Ayu Sofea. Mereka berjalan menuruni anak tangga bersama-sama, aku nampak wajah Azira yang ceria sangat, berseri-seri muka dia. Asyik tersenyum je. Seolah dia amat berbahagia pada masa itu. Dah itulah kali pertama aku lihat dia dengan wajah tersebut. Entahlah kenapa, aku rasa tumpang bahagia melihat dia begitu. Dia dah jumpa kebahagiaan yang dia impikan, di penghujung hidupnya.

Azira dan suaminya melangkah ke pintu. Di pintu, Azira berhenti. Dia menoleh ke arah aku.

“Ayu, terima kasih kerana mengambil tahu tentang diri aku. Aku pergi dulu. Jangan lupakan aku.” Kata Azira sambil tersenyum manis memandang aku. Aku membalas senyumannya.

Mereka melangkah keluar dari rumah, dan tak lama lepas tu, rumah tersebut suram kembali.

“Mereka pergi mana tu ustaz?” aku tanya Ustaz Saiful.

“Ke tempat yang sepatutnya mereka pergi,” Ustaz Saiful menjawab.

“Suaminya ikut sekali?” aku tanya.

Belum sempat Ustaz Saiful menjawab, tiba-tiba kami terdengar bunyi ketawa anak kecil. Bunyi itu yang sepatutnya comel didengar, tapi dalam keadaan kami sekarang, bunyi itu adalah bunyi yang paling menyeramkan. Zara pandang aku dengan wajah yang agak keliru, mungkin sebab dia tak faham apa-apa sejak dari mula kami masuk ke dalam rumah tu.

Aku pandang keliling, aku tengok dengan jelas Azira dah bawa Ayu Sofea bersamanya. Kenapa masih ada bunyi ketawa anak kecil dalam rumah tu. Mujurlah bunyi tu tak lama.

“Ustaz, anak kecil mana pula yang ketawa tu? Azira dah bawa anak dia pergi tadi kan?” aku tanya Ustaz Saiful. Ustaz Saiful pun kerutkan dahi dan memandang keliling rumah. Hanya kesuraman yang menyeramkan.

Dan seketika kemudian, bunyi tawa anak kecil itu berbunyi lagi. Dan aku dapat rasakan kaki aku bergetar, mungkin kerana keletihan atau ketakutan.

“Ayu, itu bukan bunyi telefon kau ke?” Zara tanya aku. Dan pling! Baru aku ingat itu adalah ringtone telefon aku. Dan telefon aku berada dalam poket seluar, patutlah kaki aku bergetar dan bunyi tawa itu dekat sangat dengan kami. Aku tarik telefon aku keluar dari poket seluar sambal memandang ke arah Zara yang memandang aku dengan wajah macam nak harimau nak terkam mangsa dan wajah Ustaz Saiful yang kemerahan menahan gelak sambil buat-buat macam tak nampak aku yang tersipu-sipu.

Panggilan dari nombor yang tak diketahui. “Cepatlah angkat, nanti dia berhenti lagi,” kata Zara. “Hish, mana boleh angkat macam tu je, kot scammer ke,” sahutku masih mengerutkan dahi memikirkan nombor milik siapa tu.

“Scammer takkan call dua kali kot. Ini mesti sesuatu yang penting, sebab tu dia call balik walaupun panggilan yang pertama tadi dah putus sebab kau tak angkat,” kata Zara. Dan aku pun rasa pendapat Zara tu betul. Maka aku jawab telefon.

“Hello, Cik Ayu ke?” ada suara halus di hujung talian.

“Iye saya Ayu. Siapa ni?” aku bertanya.

“Saya Fara, minggu lepas cik ada hubungi pejabat kami di Singapura untuk tanyakan hal seorang engineer kami yang bernama En Fikri bin Rahman. Cik minta saya hubungi cik kalau dapat contact En Fikri dengan kadar segera sebab ada kes kecemasan dan mustahak,” kata suara halus di talian.

“Ya, betul tu. Tapi takpe, En Fikri dah balik,” kataku.

“Balik?” Fara di talian bertanya kembali.

“Iye, hal tu dah selesai. Terima kasih sebab sampaikan pesanan saya kepada En Fikri hingga dia boleh balik hari ni,” kataku.

“Tapi….,” kata Fara tergagap-gagap.

“Iye, kenapa ye? Ada masalah lain ke?” aku tanya lagi bila mendengar nada Fara yang begitu.

“Saya call sebab nak beritahu, En Fikri dah meninggal dunia. Semalam dia jatuh kat bahagian mesin bawah kapal. Kepalanya terhentak besi, berlaku pendarahan dan dia meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital akibat kehilangan darah yang banyak,” kata Fara dan mulut aku terbuka luas, sama luas dengan mata aku.

Zara cuit tangan aku, bagi isyarat bertanya aku kenapa. Aku tutup mulut aku dengan tangan.

“Keluarga En Fikri dah tahu ke?” aku tanya Fara yang masih setia di hujung talian.

“Saya dah beritahu ibunya sebelum saya hubungi cik. Pihak syarikat akan menguruskan urusan penghantaran jenazah En Fikri ke rumah ibunya secepat mungkin.” Kata Fara lagi.

“Baiklah, terima kasih Fara,” kataku perlahan.

“Tapi boleh saya tahu yang Cik Ayu kata apa tadi? En Fikri ada balik rumah hari ni?” Fara bertanya aku.

“Ohh, tak. Sori sori. Saya ingatkan Fikri lain. Saya dah konfius,” sahutku.

“Ooo… takpelah kalau macam tu. Terkejut juga saya, mana tahu saya bagi info salah. Ok Cik Ayu, terima kasih,” kata Fara dan talian diputuskan.

Aku letak telefon ke lantai. “Allahhhh!” hanya itu ayat yang mampu aku luahkan. Aku jatuh terjelepok ke lantai, lemah dan longlai. Aku tutup mulutkuku dengan tapak tangan. Tak tahu apa yang aku rasa pada masa ini. Terkejut, keliru, takut, sedih, semua bercampur baur. Aku tak dapat menahan air mata, mencurah-curah keluar dari kelopak mata. Hilang dah malu aku nak teresak-esak di situ. Aku pandang Ustaz Saiful. Ustaz Saiful hanya memandang aku tanpa sebarang reaksi.

“Kenapa ni Ayu? Siapa call? Mak kau ok?” Zara bertanya, dia nampak risau sangat melihat keadaan aku.

“Fara yang call,” kataku perlahan. Tekak aku masih sakit untuk mengeluarkan suara.

“Fara mana?” Zara tanya aku.

“Fara kata Fikri dah meninggal dunia,” aku masih cuba menjawab perlahan.

“Fikri mana pulak ni?” Zara tanya aku sambil kerutkan dahinya.

“Suami Azira dah meninggal dunia semalam,” kataku. Zara pula buat muka terkejut.

“Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Ya Allah, habis tu, macammana nak minta Azira pergi kalau dia tak dapat berjumpa dengan suaminya? Dia akan terus tunggu suaminya nanti,” kata Zara. Aku pandang Zara.

“Dengan izin Allah, Azira dah pergi ke tempatnya,” kata Ustaz Saiful.

“Iye ke ustaz? Kalau betul Alhamdulillah. Mungkin dia dah tahu suaminya menunggu dia di sana.” Kata Zara lagi.

“Suaminya datang menjemputnya. Ya Allah,” aku berbisik perlahan.

“Iya Ayu, tak sia-sia penantian Azira. Dia akan berjumpa suaminya di sana,” kata Zara.

Aku pandang Zara, sukar untuk aku jelaskan perasaan aku kepada Zara. Aku nampak dua roh, berjalan beriringan untuk pergi ke alam mereka. Betapa taat si isteri hingga Allah ambil suaminya untuk menemaninya di alam satu lagi. Air mata aku terus mengalir perlahan.

“Kenapa kau sedih sangat Ayu? Kau sepatutnya bersyukur kerana Azira dah pergi ke tempat yang sepatutnya,” Zara tanya aku. Aku gelengkan kepala dan mengesat air mata yang mengalir.

“Pranggg!” kami bertiga terkejut dengan bunyi benda pecah dari arah dalam bilik utama betul-betul di sebelah kami sedang berdiri. Kami bertiga memandang ke arah bilik tersebut.

“Ada kucing kot,” Zara bercakap sambil melangkah ke arah pintu bilik tu. Aku memegang tangan Zara, dan memberi isyarat supaya dia hentikan langkahnya.

“Kenapa Ayu?” Zara tanya aku. Aku pandang Ustaz Saiful.

“Ustaz, dalam bilik inilah Azira cakap selalu ada benda pelik. Ini adalah bilik mak mertuanya setiap kali mak mertuanya datang ke rumah ni. Mungkin ada kaitan dengan perempuan tua yang datang mengganggu rumah kami semalam,” kataku kepada Ustaz Saiful.

“Iya, yang inilah yang saya kata satu perkara lagi tu.” kata Ustaz Saiful.

“Boleh selesaikan hari ini?” aku tanya Ustaz Saiful.

“Saya ambil barang dari kereta sekejap,” kata Ustaz Saiful sambil melangkah keluar dari rumah.

“Mak mertua Azira selalu datang sini ke? Haritu kata mak mertua dia tak datang melawat dia pun,” Zara tanya aku.

“Memanglah mak mertuanya tak datang melawat, kat Azira dah mati. Tapi masa Azira masih hidup, dia selalu datang sini menjenguk Azira dan cucunya,” kataku.

“Maknanya takdelah jahat sangat mak mertuanya,” kata Zara lagi.

“Mak mertuanya tak jahat. Yang jadi nampak jahat ialah benda yang dia buang kat sini,” kataku.

“Benda apa yang dia buang kat sini? Zara tanya.

“Kan Ustaz Saiful beritahu semalam, dia buang jin saka dia kat sini. Sekarang benda tu yang kacau kita, sebab dia ingat aku ni tuan barunya,” kataku cuba menerangkan kepada Zara yang nampak kabur.

“Kreeekkk…,” aku dan Zara dengar bunyi pintu bilik utama tu terbuka perlahan. Dan kami nampak ada sesuatu yang bergerak di dalam bilik tersebut yang pintunya terbuka luas.

“Siapa tu?” Zara tanya aku. Aku angkat bahu. Mana Ustaz Saiful ni, lama sangat ambil barang.

Seketika kemudian, kami dengar bunyi rantai yang diseret dari dalam bilik tu. Aku dan Zara berdiri, memandang ke arah bilik tu. Bunyi rantai diseret tu seakan mundar mandir ke kiri dan kanan bilik. Sesekali terdengar bunyi rengusan nafas seseorang.

Zara melangkah perlahan ke bilik tersebut. Aku menahan langkah Zara. “Tunggu Ustaz Saiful,” kataku. Tapi Zara tak endahkan, dia melangkah terus ke bilik tersebut. Bila sampai ke bilik tu, dia menjenguk ke dalam bilik.

“Ayu, ada orang la,” Zara bersuara.

“Zara, tak payahlah. Kita tunggu Ustaz Saiful,” kataku agak cemas dengan keberanian Zara. Mungkin kerana dia tak lalui apa yang aku lalui sejak berjumpa Azira hingga terpisah dengannya baru sebentar tadi, jadi Zara agak berani.

Zara tak pedulikan aku. Dia melangkah masuk ke dalam bilik tu. Aku pula, nak atau tak, aku ikut langkahnya sebab aku bimbang terjadi apa-apa kepada Zara. Aku turut menjenguk ke dalam bilik. Macam yang Zara cakap, aku nampak seseorang sedang duduk di kerusi tepi tingkap, berpakaian lengkap, rambutnya menutup muka dan kakinya berikat dengan rantai besi.

“Cik?” Zara berani betul. Dia panggil orang tu. Aku tarik tangan Zara, tapi Zara tarik tangan dia balik. Haish, degil betul budak ni.

Belum sempat kami bertindak selanjutnya, tiba-tiba kerusi malas yang terletak di satu sudut dalam bilik tu terbang dan cuba menghentam kami. Mujur aku sempat tarik Zara untuk tunduk. Zara pandang aku dengan wajah pucat.

“Siapa baling kerusi tu?” Dia tanya aku.

“Aku tak tahu, jom kita keluar dari bilik ni. Bukan tempat kita ni,” kataku.

“Orang ni?” Zara masih berfikir pasal perempuan yang ditambat dengan rantai besi tu.

“Iye, kita keluar dulu. Report polis ke apa ke. Kita tak tahu apa benda semua ni. Jom kita keluar dulu, tunggu Ustaz Saiful,” kataku mengajak Zara keluar dari bilik tu.

Zara akur. Kami melangkah perlahan ke pintu bilik. Belum sempat keluar bilik, ‘panggg!’ pintu bilik tertutup sendiri. Baru je kami nak menoleh nak melihat ke arah tingkap, ‘dumm!’ tingkap pula tertutup sendiri. Keadaan dalam bilik tu gelap gelita. Zara pegang tangan aku dengan kuat sekali.

“Hihihiiiii…. Hihihiiiiii…..hihihiiiiiiiiiiiii….!” kami dengar bunyi ketawa yang membuatkan bulu roma meremang di siang hari, dan bunyi itu agak dekat dengan kami, macam kat tepi telinga je.

– Bersambung –

One thought on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s