JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 14

“Jadi apa kita perlu buat sekarang ni ustaz?” aku bertanya tak sabar. Rasanya ini bukan masa yang sesuai untuk aku belajar pasal jin saka bagai ni. Aku nak selesaikan cepat, dan aku nak keluar dari rumah ni cepat.

“Jin saka ni ada kelemahannya. Dia pasti tinggalkan sesuatu yang boleh kita pegang yang membuatkan dia datang kepada kita. Kita kena cari dia,” kata Ustaz Saiful.

“Kita kena cari dia? Tak boleh ke kalau dia halau dia macam tu je. Tak perlu kot nak panggil dia mengadap kita. Puas dah tengok dia sejak kebelakangan ni, sampai kat rumah sewa kami pun dia datang melawat,” kataku.

“Tapi kan ustaz, kenapa dia ikut kami? Sampai ke rumah kami?” Zara bertanya.

“Sebab seakan bayi baru bila dia mendapat tuan baru. Bayi akan ikut ke mana maknya kan,” kata Ustaz Saiful.

“Hah? Dia ikut siapa? Siapa pula maknya?” kata Zara.

“Siapa yang buang dedaunan dari dalam rumah ni?” Ustaz Saiful bersuara tanpa pandang kami, tapi matanya meliar memerhati keliling rumah.

Zara pandang aku. Aku pula rasa kebas kaki dan tangan. Kepala rasa berpinar-pinar.

“Saya takde niat pun nak jadi maknya ustaz. Ustaz kena halau dia, jangan bagi dia dekat dengan saya,” kataku agak seram mendengar kata-kata Ustaz Saiful.

“Jangan risau. Ada janji yang perlu dibuat jika kamu nak jadi tuan barunya. Cuma buat masa ni, dia nampak kamulah tuan barunya,” kata Ustaz Saiful. Aku dan Zara diam.

“Kreeekkkkk!” Kami bertiga diam tak bergerak bila terdengar bunyi pintu ditolak dari tingkat atas.

“Tap tap tap,” kami dengar bunyi tapak kaki melangkah, juga dari tingkat atas. Aku dah rasa sejuk. Zara pegang tangan aku. Ustaz Saiful memandang ke arah bunyi tapak kaki dan membuatkan aku dan Zara turut memandang ke arah yang sama.

“Ayu, bila kau sampai?” Azira dari tingkat atas menegur aku sambil tersenyum. Aku panik sekejap.

“Lama dah aku tunggu kau. Haritu kau pergi tak beritahu aku pun. Aku tunggu sampai jauh malam, kau tak muncul juga. Sehari dua hari, aku pun dah tak ingat berapa lama kau tak datang sini,” kata Azira lagi, masih di beranda tingkat atas, dengan dinding yang masih dalam keadaan terbakar.

“Ayu, kau kecil hati ke masa aku cakap kau dah mati? Aku minta maaf tau. Aku bergurau je. Sebab aku pun tahu kau bergurau dengan aku. Kau jangan ambil hati ye. Kau jangan tinggalkan aku macam tu je tau. Beritahulah aku, jadi takdelah aku tunggu kau,” kata Azira lagi.

Dan aku masih diam. Aku tak tahu nak cakap apa.

“Kau jawab dia dulu,” kata Ustaz Saiful.

“Saya nak jawab apa ustaz? Panik ni,” aku jawab dengan nada berbisik.

“Jawab siapa?” Zara tanya aku.

“Azira ada kat tingkat atas, sedang pandang kita. Dia sedang bercakap dengan aku,” aku menjawab soalan Zara, masih berbisik.

“Ayu, kau cakap dengan siapa?” Azira tanya aku. Aku pandang Ustaz Saiful.

“Dia tak nampak saya dan Zara. Dia cuma nampak kamu,” kata Ustaz Saiful perlahan. Lagilah aku panik.

“Ustaz nampak dia tak?” aku tanya.

“Saya tak nampak jelas, tapi ada satu bayangan di kawasan dia berdiri,” kata Ustaz Saiful.

“Zara pun tak nampak?” aku tanya lagi. Zara gelengkan kepala. “Aku lagi la, bayang apapun aku tak nampak,” kata Zara.

“Tap tap tap,” aku pandang ke arah Azira. Dia sedang berjalan menuruni anak tangga dan menghampiri aku. Masa ni aku nampak wajahnya yang pucat dan matanya hanya berwarna hitam, tanpa warna putih. Kulit muka, leher dan tangannya berkeredut macam kulit manusia bila lama terendam di dalam air.

“Ayu, jawab dia. Buat macam biasa. Bimbang kalau dia tertekan lagi nanti, jadi lain pula. Biarkan dia terus dalam keadaan tenang,” kata Ustaz Saiful.

Aku masih diam terpaku.

“Ayu, kalau kau tak jawab, dia akan terus hampiri kau. Lebih baik kau jawab, dia akan berhenti melangkah,” kata Ustaz Saiful.

Dan ayat itu buatkan aku lebih takut tapi terpaksa bersuara.

“Azira, aku minta maaf sebab tinggalkan kau hari tu. Kawan rumah sewa aku telefon aku beritahu mak aku dari kampung datang rumah sewa aku.”  Kataku dengan suara yang agak tergagap-gagap.

“Mak kau datang dengan adik kau ke?” Azira tanya aku. Tapi masih berdiri di anak tangga terakhir, lebih kurang dua meter dari tempat aku berdiri.

Aku nampak Ustaz Saiful berpeluk tubuh dan memejamkan matanya sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu yang aku tak berapa dengar. Zara pula terdiam kaku kat tepi aku.

“Ayu, aku tanya ni, mak kau datang dengan adik kau ke?” aku terkejut bila Azira bertanya lagi dan kali ni dia dah menuruni tangga. Dan beberapa langkah ke depan mara ke arah aku.

“Jawab cepat Ayu, nanti dia makin dekat,” Zara bisik kat aku, walhal dia tak nampak pun Azira.

“Haah, dengan adik aku,” aku menjawab.

“Mereka datang naik apa?” Azira tanya aku.

“Naik bas,” aku jawab lagi.

“Siapa kawan kau yang telefon kau tu?” Azira terus tanya aku, tapi nadanya makin keras.

“Kawan rumah aku namanya Zara,” sahutku juga dengan suara yang makin kuat sebab aku ketakutan.

“Kawan kau telefon kau, dan kau jawab dari dalam rumah aku?” Azira tanya aku.

“Dari rumah kau la Azira. Kan aku kat rumah kat masa tu?” aku tanya Azira balik. Tapi aku tak berani pandang wajahnya.

“Rumah aku tak benarkan dunia luar masuk, dan aku tak dibenarkan keluar dari rumah ni melihat dunia luar. Macammana pula kau boleh jawab telefon dari dalam rumah aku?” Azira tanya aku. Aku agak terpinga-pinga.

“Dan adik kau OKU, macammana mudah mak kau bawa dia naik bas?” kata Azira. Dan aku terus terpinga-pinga bercampur panik.

Tiba-tiba Zara yang berdiri kat sebelah aku menjerit. Dia tergantung dengan kaki ke atas. Aku menjerit sambil menarik tangan Zara tapi tak berjaya. Zara tergantung tanpa tali.

“Ustaz!” aku panggil.

“Ini kawan kau yang telefon kau tu?” Azira tanya aku. Aku diam.

“Aku ingat kau datang nak bantu aku. Tapi kau tipu aku,” kata Azira.

“Aku tak tipu kau Azira. Aku memang nak bantu kau. Aku bawakan ustaz, kan aku dah cakap kat kau, aku akan bawakan ustaz untuk tengokkan rumah kau. Kau juga yang mengizinkannya,” kataku dengan suara terketar-ketar.

“Lepaskan gadis itu. Kau tiada hak menyentuhnya.” Ustaz Saiful bersuara. Matanya dah terbuka dan dia memandang ke arah Azira.

“Azira, lepaskan kawan aku. Kau seorang yang baik. Jangan cemarkan kebaikan itu dengan amarah kau.” Kataku merayu kesian melihat Zara tergantung begitu.

“Bismillahirrohmaanirrohim. Alhamdulillahirobbil aa’lamiin, Arrohmaanirrohim,…”

“Bismillahirrohmaanirrohim, Allahu Lailaha Illahuwal Haiyul Qaiyuum, Laa Ta’ Khuzuhu Sinatun Walaanaum…”

Aku dengar Ustaz Saiful membaca Al Fatihah dan Ayat Kursi dan disambung dengan Surah A-Jinn.

Aku nampak Azira tunduk dan terus duduk. Dia menangis merintih, seram suaranya. Zara pula jatuh terjelepuk ke lantai. Aku pegang tangan Zara yang kepenatan.

“Azira, kau adalah kawan sekolah aku yang paling baik yang pernah aku jumpa. Dan lepas dewasa, kau adalah insan paling taat yang aku pernah kenali. Syurga sedang menunggu kau. Pergilah ke tempat kau, kau akan lebih gembira,” kataku memujuk. Entahlah kenapa aku rasa sebak sangat. Mengalir air mata aku.

Azira memang seorang yang baik. Tapi kehidupannya membuatkan dia jadi seorang yang lurus bendul. Keadaan keluarganya membuatkan dia selalu berfikir negative terhadap semua orang. Namun dia bahagia bila bertemu aku, kerana aku sudi berkawan dengannya. Dan lepas berkahwin, dia taat kepada suaminya. Kerana suaminya menjadi pelindung dan penjaganya.

“Azira, pergilah. Kau berhak untuk mendapat tempat yang lebih baik dari apa yang kau dah lalui di dunia ini. Kami di sini takkan lupakan kau, kau juga jangan lupakan kami ye,” kataku kepada Azira yang masih menangis merintih.

“Tapi suami aku suruh aku jaga rumah ni. Jangan keluar rumah selagi dia tak balik,” kata Azira dengan suara menahan tangis.

“Suami kau dah balik. Dia dah jumpa kau. Tapi dia lewat sikit. Tapi dia memang dah balik. Kau tak perasan,” kataku masih memujuk.

“Kalau dia dah balik, kenapa dia tak jumpa aku? Dia dah tak sayangkan aku?” Azira angkat wajahnya dan pandang aku. Masa ni aku rasa seram semula.

“Dia sayangkan kau. Sangat sayang sampai tak sanggup melihat kau, sebab dia sangat sedih kerana kehilangan kau. Tapi dia redha, kita semua hamba Allah, kita perlu ikut takdir kita yang telah ditentukan Allah. Kau pergilah dengan tenang. Semua akan ok,” kataku masih memujuk.

“Tidak! Aku takkan keluar selagi suami aku tak izinkan,” tiba-tiba Azira bersuara keras semula dan berdiri di depan aku. Masa ni baru aku perasan, kaki Azira tak jejak ke lantai. Aku mengundur beberapa langkah ke belakang.

“Pergi sebelum aku bertindak dengan keras,” kata Ustaz Saiful.

Azira kembali menundukkan wajahnya. Dia seakan tak berani bertentang mata dengan Ustaz Saiful.

Tiba-tiba, “ Assalamualaikum,” terdengar suara seorang lelaki memberi salam. Kami semua menoleh ke arah suara itu yang berada di muka pintu masuk rumah Azira.

Kelihatan seorang lelaki dalam usia awal 30-an berdiri di situ memandang kami semua. Aku mengerutkan dahi. Wajah lelaki itu seakan pernah aku lihat sebelum ni tapi aku tak ingat di mana.

“Waalaikumussalam.” Kami menjawab serentak.

“Abang, kenapa lambat sangat abang balik? Saya dah tunggu lama, tapi abang tak balik,” Azira berlari ke arah lelaki tersebut, walaupun jelas dia tak berlari, dia seperti terbang kerana kakinya terapung.

Azira memeluk lelaki itu. “Ayu, suami aku dah balik,” kata Azira sambil memperkenalkan aku kepada suaminya. Patutlah aku rasa macam kenal je lelaki tu, suami Azira rupanya.

“Kan aku dah cakap, suami aku akan balik jumpa aku,” kata Azira lagi, masih dalam dakapan lelaki tersebut.

Aku pandang Ustaz Saiful. “Suaminya nampak dia?” aku tanya perlahan. Ustaz Saiful anggukkan kepala.

“Jadi sekarang ni Azira dah boleh pergi ke tempatnya? Masalah Azira selesai?” aku tanya lagi.

“Sabar, suaminya yang bawa dia pergi,” kata Ustaz Saiful.

“Macammana?” aku tanya lagi, tapi Ustaz Saiful tak jawab.

Zara pandang aku. “Korang sedang bercakap tentang siapa?” dia bertanya.

“Tu suami Azira dah balik. Rasanya masalah Azira akan selesai,” aku menyahut. Dan Zara buat dahinya berkedut seribu. Matanya seakan-akan tercari sesuatu.

“Kau cari apa?” aku tanya.

“Mana suami Azira?” Zara tanya aku balik.

“Kau tak nampak ke lelaki kat pintu tu?” aku tanya.

“Takde siapapun kat pintu tu,” kata Zara. Dan aku terbeliakkan mata memandangnya. Punyalah besar lelaki tu berdiri kat pintu tu, dia boleh kata tak nampak?

“Dia tak nampak,” Ustaz Saiful cakap kat aku.

‘Dia tak nampak suami Azira? Kalau dia tak nampak Azira, saya faham. Tapi kenapa dia tak nampak suami Azira? Zara ada masalah ke?’ desis hati kecil aku sambil memandang Azira dan suaminya, Zara dan Ustaz Saiful silih berganti.

‘Atau aku yang masih dalam dunia yang bukan milik aku?’

– Bersambung –

3 thoughts on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s