JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 13

“Apa benda ni sebenarnya ustaz?” Zara tanya.

“Sesuatu yang kita dah ganggu,” sahut Ustaz Saiful.

“Azira ke?” aku pula bertanya.

“Macam yang saya cakap haritu, Azira adalah satu perkara kecil. Tapi ada benda lain dalam rumah tu.” kata Ustaz Saiful lagi.

“Mak mertua Azira?” Zara bertanya. Ustaz Saiful diam.

“Susah saya nak jelaskan di sini pada tengah malam macam ni. Nanti orang pandang serong pula. Kamu dah jumpa ke dengan mak Azira dan suami Azira? Dah tahu apa yang menyekat dari Azira pergi ke alam seterusnya?” Ustaz Saiful bertanya.

“Kami dah jumpa emaknya. Nampaknya seperti semua ok. Tapi kami syak suaminya. Sebab Azira pernah kata bahawa suaminya berpesan supaya jangan keluar rumah selagi dia tak balik. Dan pada hari kematian dan pengebumian Azira, suaminya tak balik sebab berada di luar kawasan. Suaminya hanya balik seminggu selepas tu. Jadi, mungkin itulah sebabnya. Suami Azira akan balik minggu depan. Nanti Ustaz boleh jumpa suaminya di rumah tu,” kataku menerangkan panjang lebar.

Ustaz Saiful diam.

“Tapi ustaz, perlu ke kita tunggu suami Azira balik? Kalau Azira dan kes perempuan tua ni takde kena mengena, kita selesaikanlah hal perempuan tua ni dulu,” kataku lagi.

“Hmmm….. Kalau boleh, saya nak keluarkan Azira dulu. Barulah berdepan dengan benda yang satu lagi tu,” kata Ustaz Saiful.

“Tapi betul kan ustaz, perempuan tua ni dengan mak mertua Azira ada kena mengena?” Zara bertanya. Dan Ustaz Saiful masih diam.

“Macam ni la, esok pukul 10 pagi, kita jumpa kat rumah Azira tu, boleh?” Ustaz Saiful bertanya.

“Kami kerja ustaz. Hari Selasa boleh?” sahutku.

“Boleh, tapi saya takut benda tu mengganggu lagi je. Sebab dia dah tahu kita akan buat sesuatu,” kata Ustaz Saiful.

“Kalau esok petang boleh tak ustaz? Dalam pukul 5 macam tu?” aku tanya, Zara pun anggukkan kepala tanda setuju.

“Ok, Esok pukul 5 petang kita jumpa kat sana,” kata Ustaz Saiful.

“Saya balik dulu,” kata Ustaz Saiful.

“Perempuan tua takkan ganggu kami lagi malam ni kan ustaz?” Zara bertanya.

“Dia dah pergi. Malam ni dia takkan datang lagi, In Shaa Allah. Tapi dia sedang berada dalam keadaan yang agak terdesak dan kedudukannya dalam keadaan tak selamat, jadi mungkin saja dia datang dan buat onar tanpa ganggu kamu semua,” kata Ustaz Saiful.

“Kalau ustaz cakap macam tu, kami ok la,” kata Zara.

“Banyakkan zikir. Segalanya di atas izin Allah, bukan dari apa yang saya cakap,” kata Ustaz Saiful.

“Baiklah ustaz,” kami menyahut serentak.

Ustaz Saiful balik pada ketika jam dinding menunjukkan pukul 12.30 tengah malam. Kami semua kunci pintu, tutup semua tingkap. Biarkan lampu berpasang. Atikah dan Suraya bawa bantal mereka masing-masing dan tidur di bilik aku dan Zara. Mereka tak berani tidur sendirian di bilik mereka.

“Sebenarnya apa dah jadi ni?” Atikah tanya aku.

“Panjang sangat ceritanya. Tak tidur kita malam ni kalau nak ceritakan. Esok nak kerja, tidurlah. Sesiapa yang terbangun nak minum ke nak buang air ke, tolong kejut seorang lagi. Jangan bergerak seorang diri, ok,” kataku kepada tiga orang lagi kawan aku.

“Ok,” mereka menyahut serentak sambil masing-masing berbaring di ruang sempit dalam bilik tu.

Alhamdulillah, tiada yang pelik terjadi sepanjang malam. Aku sedar bila alarm telefon aku berbunyi pukul 6 pagi. Serentak dengan itu, Zara, Atikah dan Suraya pun turut bangun. Masa aku nak buka pintu, Suraya menahan. Aku pandang Suraya dengan wajah penuh tanda tanya.

“Kenapa Su?” aku tanya. Zara dan Atikah turut memandang ke arah Suraya.

“Semalam masa kita semua tidur, aku terjaga sebab dengar bunyi kat luar bilik dan kat halaman rumah kita. Tapi aku tak berani nak bangun pergi tengok,” kata Suraya perlahan.

“Bunyi apa? Kenapa kau tak kejut kami?” Zara tanya.

“Aku tak berani bergerak pun,” kata Suraya.

“Bunyi apa?” Atikah tanya.

“Bunyi rengusan macam anjing sedang marah. Lepas tu bunyi benda dicampak dan pecah,” kata Suraya.

Kami berpandangan sesama sendiri.

“Ok, takpe. Jom kita keluar sama-sama, tengok apa yang jadi kat luar,” kata Zara. Kami berempat bangun dan menuju ke pintu bilik. Kami buka perlahan-lahan. Memang di ruang tamu terang benderang sebab kami tak tutup lampu semalam.

“Astaghfirullahal azim. Siapa punya kerja ni?” kata Zara bila melihat keadaan ruang tamu kami. Terbeliak mata kami melihat keadaan ruang tamu dan dapur, dengan kaca bertaburan di lantai, meja kerusi semua terbalik, macam dilanda tsunami. Betul-betul bersepah.

Aku berjalan terjingkit-jingkit bagi mengelakkan terpijak kaca dan beberapa barangan lain yang bersepah di ruang tamu, menuju ke pintu keluar rumah. Aku buka pintu dan jenguk keluar. Keadaan sama, semua pasu kami pecah, pokok dari pasu semua dicabutkan. Buaian besi kami pun dah patah.

“Kenapa kita tak dengar semua ni? Takkan jiran pun tak dengar, ini geledah besar-besaran ni, bukan geledah perlahan dah ni,” kataku.

“Kita kena buat report polis ni,” kata Atikah.

“Nak report kata rumah kita kena pecah masuk dek pencuri ke?” Suraya tanya. Atikah anggukkan kepala.

“Tapi kalau ini ada kena mengena dengan perempuan tua semalam, macammana?” Suraya bertanya.

“Siapapun punya kerja ni, kita kena report polis.” Kata Atikah lagi.

“Betul kata Atikah tu. Kita kena report polis. Korang ambil gambar rumah kita macam ni, jangan usik apa-apa. Hantar kat tempat kerja masing-masing, kita ambil cuti kecemasan.” Kata Zara.

Kami semua anggukkan kepala.

“Kau call Ustaz Saiful. Ajak dia pergi ke rumah Azira pagi ni. Kita selesaikan secepat mungkin hal ni,” kataku kepada Zara. Zara anggukkan kepala.

Kami mandi dan bersiap di dalam bilik aku je sebab ruang lain dalam rumah tu dah berselerak termasuk bilik Suraya dan Atikah. Jam 7.30 pagi aku dan Zara pergi buat laporan polis. Lebih kurang pukul 8 pagi, empat orang anggota polis, tiga lelaki dan seorang perempuan, tiba di rumah kami dan mengambil beberapa keping gambar.

Anggota polis yang datang tu pun gelengkan kepala. “Ni bukan kerja seorang dua ni, mahu tujuh lapan orang punya kerja ni. Takkan kamu semua tak sedar,” kata salah seorang anggota polis yang datang membuat siasatan.

“Saya sedar, tapi saya tak berani bangun. Saya takut hantu semalam datang lagi.” Kata Suraya. Aku cuit pinggang Suraya, Suraya melompat melatah.

“Hantu?” Polis tu bertanya sambil pandang wajah kami seorang demi seorang.

“Tak, semalam kami tengok cerita hantu. Seram sangat. Sebab tu kami tidur sekali dalam satu bilik. Mujur kami tidur sekali, kalau tidur asing-asing di bilik masing-masing, tak tahulah apa jadi,” sahutku membetulkan ayat Suraya tadi. Zara dan Atikah pandang Suraya dengan mata memberi isyarat jangan terlepas cakap pasal hantu lagi.

“Dah tahu penakut, kenapa nak tengok cerita seram? Ni sampai perompak masuk rumah pun dah takut nak buat apa-apa,” kata polis tu lagi sinis. Tiga lagi kawannya yang mendengar perbualan kami, tersenyum mengejek. Kami sengih je la.

Salah seorang anggota polis tu keluar dari rumah. Aku nampak dia berbual dengan jiran sebelah rumah kami, seorang pakcik india. Pakcik tu pun mengerutkan dahinya melihat keadaan rumah kami. Pakcik tu kata dia tak dengar apa-apapun. Pelik kan? Keadaan yang macam tujuh lapan orang buat sepah macam tu, kami tak sedar langsung.

Selepas diperiksa sepenuhnya, tiada barang berharga yang hilang. Emas, tunai, barangan berharga, semuanya masih ada. Cuma dah terpelanting ke sana sini. Polis tu pun tak tahu apa motif perompak sebab barang kemas dan tunai terang-terang berselerakan di lantai tapi tak diambil. Dan lebih pelik bila bilik yang ada kami tak diselongkar juga. Paling pelik, tiada kesan cap jari ditemui!

Dan akhirnya polis menuliskan motif rompakan adalah untuk mencari dokumen penting, atau mungkin perompak tersilap rumah. Maka, kes kami dianggap selesai. Tapi polis tu berpesan, jika terjumpa apa-apa yang nampak meragukan, kami perlu melaporkan kembali ke balai polis.

“Su dan Tika, kamu berdua boleh kemaskan rumah tak? Aku dan Ayu ada urusan dengan Ustaz Saiful yang datang semalam tu, kat rumah lain.” Kata Zara.

“Korang nak ke mana?” Atikah bertanya.

“Macam yang aku cakap semalam, panjang ceritanya. Kalau aku ceritakan sekarang, nanti korang takut pula. Nanti semua dah selesai, aku ceritakan satu persatu. Buat masa ni, korang berdua cuma kemas balik apa yang patut. Buat setakat terdaya. Nanti kami dah selesai kat sana, kami balik. Kita kemas semula apa yang belum kemas,” kataku perlahan. Agak sedih juga dengan apa yang terjadi kepada kami. Tapi nak menuduh siapa yang buat kerja ni pun tak boleh juga.

Ketika aku dan Zara sampai kat rumah Azira, Ustaz Saiful dan menunggu di sana. Dia dah berdiri di depan pintu rumah Azira. Sampai sini, dada aku berdebar kencang kembali. Rasa seram aku kembali bila teringatkan aku pernah tidur di rumah ni. Siap panggil Pak Jabar tolong mesin rumput lagi.

Kami mendapatkan Ustaz Saiful. “Macammana ustaz?” Zara bertanya.

“Jom kita masuk rumah ni,” kata Ustaz Saiful. Degup jantung aku laju. Tapi aku tiada pilihan, aku nak selesaikan perkara ni segera.

Ustaz Saiful menolak daun pintu, lalu melangkah masuk selepas aku nampak dia membacakan sesuatu ke telapak tangannya dan menghalakan tangannya ke bahagian dalam rumah. Aku dan Zara mengikut dari belakang Ustaz Saiful.

Masa ni baru aku nampak keadaan rumah tu yang sebenarnya. Semua perabot dah bersawang seperti dah lama di tinggalkan. Ada beberapa cermin tingkap dah pecah. Aku pandang ke tingkat atas, tempat yang selalu Ayu berdiri. Baru aku nampak kesan kebakaran tu. Dinding dah hitam, dan beberapa kawasan memang jelas pernah terbakar. Kenapa masa aku tidur di rumah tu aku tak nampak macam ni, semuanya nampak teratur elok je.

Aku berjalan ke bilik yang aku tidur malam tu. Aku jenguk ke dalam. Memang keadaannya tak sempurna. Dengan sarang labah-labah di merata tempat. Keadaan yang sungguh menyeramkan. Tin-tin kosong bergelimpangan, dengan beberapa rumput dan menjalar masuk melalui dinding. Aku pandang ke arah katil tempat aku tidur, tak mampu aku bayangkan macammana aku berbaring di situ. Aku solat lagi.

“Jangan rasa pelik. Fikiran kamu telah dimanipulasi. Sekurang-kurangnya dia tak sorok kamu, dia masih benarkan kamu keluar. Walaupun masa kamu sehari dalam rumah ni adalah sama dengan seminggu di luar sana. Itu semua manipulasi minda dari alam satu lagi,” kata Ustaz Saiful

“Kita nak buat apa sekarang ni ustaz?” Zara tanya.

“Untuk hantar Azira pergi ke alamnya, kita perlukan suaminya. Tapi untuk halau benda satu lagi tu, kita perlu pecahkan akadnya, dan buat akad baru supaya dia pergi,” kata Ustaz Saiful.

“Kalau macam tu, kita halau yang satu lagi tu la ustaz. Sebab suami Azira takde kat sini lagi,” kata Zara.

“Apa benda yang satu lagi tu ustaz?” aku bertanya, dah lama kami tanya tapi tak dapat jawapan pasti.

“Seseorang pernah membuang saka di sini. Atas satu perjanjian yang perlu ditepati oleh kedua-dua pihak iaitu saka dan tuan saka. Perjanjian mereka mengatakan bahawa jin saka tersebut takkan keluar dari tempat ni untuk mencari tuan baru, selagi rumah ini berpenghuni dan tiada sebarang daun yang tumbuh di dalam rumah ini,” kata Ustaz Saiful.

“Tak faham la ustaz,” kataku.

“Jin saka tersebut terikat dengan janji, dia takkan ganggu sesiapapun, takkan keluar dari tempatnya diletakkan, selagi rumah ni berpenghuni dan tiada daun di tanam dalam rumah ni. Tapi sekarang, janji itu telah dimungkiri bila rumah ini telah dikosongkan dan dah ada dedaunan tumbuh dalam rumah ni akibat tak berjaga. Jin saka itu sekarang sedang mencari semula tuannya dulu selagi dia tak berjumpa tuan baru. Tuan baru mungkin orang baru, atau tuan lamanya,” kata Ustaz Saiful.

“Ooohhh…. Walaupun saya tak begitu jelas, tapi saya faham maksud ustaz. Jadi sekarang saka tu milik siapa sebenarnya?” aku bertanya.

“Macammana nak ikat dia balik dengan janjinya?” tanya Zara pula.

“Biasanya saka akan menyerupai tuan terkini atau tuan terakhirnya sebelum dia dibuang.” kata Ustaz Saiful.

“Mak mertua Azira?” aku dan Zara bertanya serentak dengan mata terbeliak.

“Saka ini adalah keturunan jin, yang boleh hidup beratus tahun lamanya. Jin ini tak boleh dibunuh tapi boleh dikurung atau diikat melalui janji,” sambung Ustaz Saiful tanpa mempedulikan soalan dua gadis cantik sedang membeliakkan mata memandangnya.

– Bersambung –

One thought on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s