JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 12

“Hari yang aku ikut kau balik kampung kau untuk jumpa Mak Azira tu, Suraya kata dia dengar bunyi orang bersembang kat ruang tamu. Bila dia tengok, katanya takde orang. Lepas tu, Atikah pula, dia kata dia dengar bunyi buaian besi kat depan rumah berbunyi macam ada orang yang duduk kat atas tu dan ayunkannya, tapi bila dia tengok takde siapa kat buaian tu,” kata Zara lagi.

“Hish kau ni, seram pula aku dengar. Seram aku tinggal dengan orang dah mati pun tak sudah lagi, kau tambah pula lagi.” Kataku memandang Zara.

“Aku bukannya nak takutkan kau. Kau jangan nak pengsan pulak kat sini. Cuma aku beritahu apa yang mereka mengadu kat aku. Dan aku pun ada perasaan yang sama macam mereka. Tu aku pelik kenapa kau tak rasa apa-apa,” Kata Zara.

“Entahlah, samada memang takde apa atau sebab aku terlalu fokus dengan kes Azira ni. Aku nak selesaikan cepat, sian dia dan anaknya,” kataku.

“Apa rancangan kau?” Zara tanya aku.

“Aku nak suaminya pergi ke rumah tu, bercakap dengan Azira, suruh Azira pergi ke tempatnya yang sepatutnya. Kan dia taat sangat dengan cakap suaminya, jadi biarlah suaminya yang suruh dia pergi.” Kataku.

“Kau yakin suaminya akan nampak Azira kat dalam rumah tu?” Zara tanya aku.

“Mestilah Azira akan muncul depan suaminya kan. Sebab dia memang menunggu suaminya,” kataku.

“Kalau dia tak muncul?” Zara tanya aku.

“Ayu, Zara, mari sini kejap,” tiba-tiba aku dengar suara Atikah memanggil kami dengan nada berbisik. Aku dan Zara yang sedang menghadap televisyen, memandang ke arahnya.

“Kenapa?” Zara tanya Atika sebaik sahaja kami merapatinya.

“Ada perempuan tua berdiri memandang ke arah rumah kita, dari tingkap dapur. Seram pula aku aku tengok.” Kata Atikah membuatkan aku dan Zara berpandangan sesama sendiri.

Kami sama-sama mengikut langkah Atikah ke dapur. Kat dapur, aku nampak Suraya sedang mengintai keluar dari tingkap dapur tu. Kami menghampiri Suraya. Terkejut dia.

Aku dan Zara mengintai dari tingkap, memang nampak seorang perempuan tua, dengan rambut mengerbang, gigi menyeringai, sedang memerhati kami dari luar rumah. Meremang bulu roma melihat keadaannya.

“Berapa lama dah dia kat situ?” Zara tanya.

“Lama dah. Masa kami mula makan, memang dah nampak dia. Tapi takdelah kami perhatikan. Lepas kami habis makan, masa nak basuh pinggan, nampak dia masih kat situ dengan posisi yang sama.” Kata Suraya.

“Zara, ini bukan perempuan tua yang kita nampak malam haritu ke?” aku tanya Zara.

“Aku tak berapa nampak jelas. Tapi dari sosok tubuh tu, memang macam perempuan tua tu. Apa dia buat kat sini?” kata Zara.

“Maksud korang, sebelum dia korang pernah nampak makcik ni ke?” Atikah tanya aku.

“Haah, minggu lepas. Tapi masa tu dia jalan mundar mandir. Dan dia bukan kat bahagian dapur, dia kat bahagian tepi. Dia jalan dari hujung lorong sana ke hujung lorong sini. Lepas tu bila kami keluar nak tanya, dia hilang. Sedar-sedar dia dah berdiri kat tepi tu, mengintai ke dalam rumah kita melalui tingkat tepi,” kataku menceritakan kejadian malam tu.

“Tapi kan Ayu, makcik ni juga yang kau kata kau nampak kat rumah Azira kan? Dan kau kata sama macam rupa mak mertua Azira,” Zara tanya aku.

“Haah la. Apasal dia cari kita sampai sini?” aku tanya balik.

“Mana aku tahu,” Zara jawab.

“Hish korang ni bersengkokol kes apa pulak ni? Lain macam je aku dengar,” kata Atikah sambil memandang kami. Suraya pun macam tu.

“Entahlah, panjang kisahnya. Nantilah bila free aku ceritakan,” kataku.

“Eh, makcik tu dah takde la,” Zara bersuara sambil terjenguk-jenguk kat luar mencari perempuan tuan tadi. Aku, Atikah dan Suraya turut sama menjenguk keluar, memang makcik tu dah takde kat situ.

“Kreeeekkkkkk….!” Kami berempat terdiam bila terdengar bunyi pintu rumah kami terbuka.

“Korang tak kunci pintu ke tadi?” Suraya bertanya aku dan Zara. Memang kami yang sedang menonton televisyen tadi. Rasanya dah tutup pintu tu. Tapi tak ingat dah kunci ke tak. Selalunya siapa pun yang keluar masuk rumah, kami pasti akan kunci.

“Korang, pergilah tengok, siapa buka pintu rumah kita. Hishhh, aku seram ni. Dah lah malam ni bulan penuh,” kata Suraya.

“Kau ni, apa kena mengena bulan penuh dengan pintu pulak. Merepek je la,” kata Atikah walaupun aku nampak dia pun sama gundah gulana.

Zara mengambil langkah pertama, dia melangkah ke ruang tamu perlahan-lahan. Dari arah dapur, memang nampak pintu rumah kami terbuka luas. Kami berpegangan tangan.

“Ambil kayu atau apa-apa yang keras. Aku takut ada pencuri masuk rumah,” kata Zara perlahan. Atikah menggapai sekeping kayu yang memang kami letakkan di tepi dapur untuk menahan lubang di bahagian bawah pintu dapur supaya katak tak menyorok kat situ. Kami mara perlahan-lahan ke ruang tamu.

“Eeekkk…. Uuukkkkk….eeekkkkk…. uuukkkk….!” Bunyi buaian besi di depan rumah kami seakan sedang diayun. Sekali lagi kami berpandangan sesama sendiri. Zara terus mara ke arah pintu. Dia menjenguk ke arah buaian besi. Dan dia terpaku di situ. Aku, Atikah dan Suraya turut sama menjenguk ke arah buaian besi tu walaupun jantung rasa nak pecah.

Perempuan tua tadi sedang duduk berayun di atas buaian besi tu!

“Korang, siapa tu? Ya Allah, tak pernah jantung aku berdegup laju macam ni,” kata Suraya dengan suara yang macam nak menangis. Aku tengok jam dinding, pukul 11 malam.

“Zara, nak buat apa ni?” aku berbisik kat Zara.

“Tutup pintu je la,” kata Zara.

“Takpe ke macam tu?” aku tanya lagi.

“Habis tu, kau nak pergi tanya dia?” Zara tanya aku lagi.

“Dah la korang, tutup je la pintu tu. Biar je la dia nak main buai tu. Aku takut ni. Tak nampak macam orang biasa pun tu. Mana ada orang masuk ke kawasan rumah orang lain lepas tu main buaian orang macam tu je.” Kata Suraya.

“Mana tahu makcik tu orang gila. Sian dia,” kata Atikah.

“Kalau kau kesian, kau pergi tanya,” Suraya cakap kat Atikah. Atikah terus diam.

“Tutuplah pintu ni Zara. Biarkan je la dia,” aku cakap kat Zara. Zara pun terus tutup pintu dan kunci. Kami masih dengar bunyi buaian besi tu berayun, macam makin laju.

Suraya genggam tangan aku, sejuk tangan dia. Sebelah lagi Atikah pun pegang aku, tangan dia menggeletar. Serta merta aku pula jadi seram sejuk.

“Tang!” ada bunyi kat dapur. Kami berempat bulatkan mata masing-masing memandang ke arah dapur.

“Pintu dapur kunci kan?” Atikah tanya Suraya.

“Aku dah kunci petang tadi lepas buang sampah,” Suraya menjawab.

Dan kami dengar bunyi paip air dipasang. Sekali lagi kami berpandangan sesama sendiri.

“Zara, kau call la Ustaz Saiful. Aku dah kejung ni, aku takut,” kataku.

“Takkan aku nak call dia malam buta ni. Kang bini dia yang jawab nanti, dah katanya aku ada skandal dengan laki dia pula,” kata Zara.

“Habis tu, kita nak buat apa ni? Dah terang-terang kita semua kat sini, mana ada orang lain yang boleh pasang paip air kat dapur. Suraya pun dah kata dia dah kunci pintu dapur petang tadi kan,” kataku.

“Kita tengok dulu apa benda kat dapur tu,” kata Zara.

Aku, Atikah dan Suraya berpandangan sesama sendiri. Berani sungguh si Zara ni. Kami dah lemah longlai lutut nak melangkah, dia masih ada hati nak tengok siapa kat dapur rumah kami. Tapi kami pun tiada pilihan, memandangkan dia yang paling berani sekarang ni, maka kami terpaksa mengikut dia ke dapur.

Dari arah pintu dapur, kami nampak perempuan tua tadi berdiri kat sinki, membelakangkan kami. Suraya pegang tangan aku macam nak patah jari aku. Begitu juga Atikah. Zara melangkah ke arah perempuan tu tu.

Aku cuba tarik tangan Zara, tak sempat. Dia lagi laju. Kali ni aku, Atikah dan Suraya tak ikut. Kami hanya memerhati Zara menghampiri perempuan tua tu.

“Makcik ni siapa? Macammana makcik berada di dalam rumah kami? Makcik nak apa?” Zara bertanya dengan suara yang jelas dan tenang. Bunyi air paip tertutup. Perempuan tua tu tadi berpusing memandang ke arah Zara.

“Tap!” lampu terpadam. Elektrik terputus. Atikah dan Suraya menjerit. Aku suruh mereka diam.

Dalam gelap tu, aku cuba melangkah ke arah peti utama suis elektrik rumah kami di ruang tamu, di bahagian pintu masuk rumah. Atikah dan Suraya seakan berpaut kepada aku. Langkah aku pun jadi berat, sebab menampung mereka lagi, dengan aku sendiri dah goyah dan lemah lutut.

Setelah meraba-raba dinding di dalam gelap, aku sampai kat pintu rumah kami. Dan pintu tersebut terbuka sedangkan kami dah kunci tadi. Aku meraba ke arah peti suis utama, tapi aku terpegang sesuatu yang kasar dan tajam, seperti ranting kayu yang telah reput. Dan ranting kayu itu bergerak menggesel tangan aku sampai ke bahu. Sakit, seperti sesuatu yang tajam sedang menyucuk dan mengguris kulit aku. Manakala sebelah lagi tangan aku, aku cuba mencari dan memetik suis utama yang jatuh tadi.

“Tap!” Terang benderang semula rumah kami. Aku pandang keliling, Aku nampak Atikah, Suraya dan Zara berdiri di pintu dapur memandang ke arah aku.

“Eh, bila korang ke sana? Bukankah korang berpaut kat aku tadi,” aku bertanya, rasa pelik bila melihat mereka berjauhan dari aku.

“Kami memang dari mula gelap berada di sini, tak berani bergerak. Macammana pula kau berani berjalan dalam gelap terus ke depan?” Atikah bertanya.

“Habis tu, yang berpaut kat aku tadi siapa?” aku tanya.

“Aku,” tiba-tiba je perempuan tua tadi bersuara, dia muncul kat belakang aku, di tengah-tengah pintu rumah yang terbuka luas. Aku berpaling memandang ke arah perempuan tua tu. Dan kali ni aku nampak wajah perempuan tua tu dengan jelas sekali. Memang sah, dialah perempuan tua yang aku jumpa di dalam rumah Azira, di dalam bilik utama rumah tu. Dan rupa itu jugalah yang mirip dengan wajah mak mertua Azira tapi dalam versi yang lebih elok.

Aku tak bersuara. Kaki aku dah macam kena gam kat lantai. Aku dengar suara Atikah, Suraya dan Zara panggil aku, tapi aku tak boleh bergerak. Perempuan tu terlalu rapat dengan aku.

“Aku kata jangan masuk campur. Aku kata jangan masuk campur.” Perempuan tua itu bersuara garau dengan bebola matanya seakan mahu tersembul keluar dari kelopak mata.

Aku tak berdaya bergerak mahupun bersuara. Hanya mampu memandang perempuan tua itu yang seakan terlalu marah kepada aku.

“Kau lepaskan aku, aku lepaskan kau.” Perempuan tua tu bersuara lagi. Aku nampak dia seakan terangkat sedikit dari lantai. Dengan kata mudah, dia seakan terapung. Aku masih mengeras di situ. Hinggalah aku terasa ada tangan yang menarik aku ke belakang sedikit. Aku jatuh terduduk di lantai. Atikah dan Suraya memeluk aku. Zara berdiri memerhatikan perempuan tu itu.

“Kau, jangan masuk campur. Jangan masuk campur,” perempuan tu itu memandang ke arah Zara, rupanya makin menyeramkan.

“Kau siapa? Kami tak usik kau,” Zara memberanikan diri bersuara.

“Kau tak usik aku? Hahahahahhahhaa…. Kau kata kau tak usik aku?” perempuan tua itu ketawa mengilai dengan suara garau.

“Allahu akbar Allahu akbar!” tiba-tiba terdengar suara lelaki melaungkan di halaman rumah. Perempuan tua tu tadi menutup telinganya dan memadang keliling seakan takut.

Aku sempat menjeling ke arah suara laungan azan tu, aku nampak Ustaz Saiful sedang berdiri di situ memandang ke arah perempuan tua tadi sambil menghabiskan laungan azannya.

Sekelip mata, perempuan tua tu hilang dari depan kami. Hilang begitu saja.

Zara menghampiri Ustaz Saiful. “Terima kasih ustaz sebab sudi datang walaupun dah jauh malam. Maaf mengganggu ustaz malam-malam ni tapi kami tiada pilihan lain. Dia asyik mengganggu, dan malam ni agak agresif,” kata Zara.

“Saya juga diganggu,” kata Ustaz Saiful perlahan.

Atikah dan Suraya memegang aku dengan wajah masing-masing pucat lesi.

– Bersambung –

One thought on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s