JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 11

“Ayu, Ayu, bangun,” aku dengar nama aku dipanggil berulang kali. Aku buka mata. Aku nampak Zara dan Ustaz Saiful. Aku terus duduk. Aku pandang keliling. Aku berada di rumah aku. Bila masa pula aku balik sini?

“Aku hidup lagi ke?” aku tanya.

“Kau ni dah kenapa? Belum mati lagi kau tu,” kata Zara.

“Azira kata, kalau aku nampak dia, maknanya aku sama alam dengan dia,” kataku lagi.

“Sebab dia tak dapat terima kenyataan tu. Dia belum sedar, dia dah tiada,” kata Ustaz Saiful.

“Ya Allah, Alhamdulillah. Subhaballah. Allahu akbar,” ucapku berkali-kali. Rasa nak sujud syukur. Banyak lagi bekalan aku tak cukup kalau aku mati sekarang.

“Habis tu, macammana nak beritahu dia?” Zara tanya.

“Kita cari kubur dia,” kata Ustaz Saiful.

“Lepas tu?” Zara tanya lagi.

“Tunjukkan kat dia. Baru dia sedar,” kata Ustaz Saiful lagi.

“Kalau macam tu, hujung minggu ni saya balik ke kampung. Saya tanyakan maknya. Mesti maknya tahu,” kataku.

“Elok juga tu,” kataku.

“Aku ikut kau,” sahut Zara. Aku anggukkan kepala. Memang aku perlukan teman. Dalam keadaan aku sekarang, aku tak rasa emosi aku stabil. Ni kalau ada orang kata aku dah mati pun, mahu aku percaya ni. Rasa bodohnya aku sebab boleh terpedaya helah roh yang bergantungan.

Seminggu aku bekerja seperti biasa. Walaupun hati aku tak tenang. Aku hanya alami mimpi. Mimpikan Azira. Minta tolong kat aku. Aku rujuk kepada Ustaz Saiful, katanya mungkin mimpi benar, tapi mungkin juga mimpi mainan tidur, atau mimpi godaan syaitan. Ustaz Saiful ada bagi air untuk aku minum dan basuh muka. Katanya jin suka ganggu orang yang mudah terpedaya. Tapi Azira bukan jin.

Ketika aku balik kampung, aku terus ke rumah mak Azira. Mak Azira nampak masih kuat, tinggal sendirian dalam rumah lamanya. Dia tak cam aku, tapi aku cam dia.

“Makcik, saya ni kawan Azira masa sekolah dulu.” Kataku memulakan bicara setelah dipelawa masuk bersama dengan Zara.

“Setahu makcik, dia tiada kawan,” kata Mak Azira.

“Dia memang tiada ramai kawan, tapi dia ada kawan. Cuma dia tak pandai bergaul,” kataku.

“Sian Azira,” Mak Azira bersuara sedih sambil tunduk memandang lantai.

“Makcik, Azira selalu ceritakan pasal makcik. Pasal adik dia yang dibawa pergi oleh bekas suami makcik. Azira seorang kawan yang baik. Tapi dia selalu rasa kerdil bila berdepan dengan kawan lain,” kataku, cuba memberi kata semangat kepada Mak Azira.

“Makcik, sebenarnya tujuan saya datang ni, saya nak ziarah kubur Azira. Boleh makcik tunjukkan saya kuburnya?” aku bertanya perlahan, risau mengganggu perasaannya. Zara yang duduk kat sebelah aku hanya berdiam diri.

“Sejak Azira meninggal dunia, dia selalu datang dalam mimpi makcik. Makcik tak tahu kenapa. Makcik dah buat tahlil, dah buat apa yang makcik ingat masa hidupnya dia selalu buat. Tapi dia masih datang dalam mimpi makcik, bercerita dengan makcik, seakan dia masih hidup.” Kata Mak Azira.

“Makcik, dia pernah ceritakan kepada makcik pasal keluarga suaminya tak?” aku tanya lagi.

“Dia tak pernah ceritakan pasal keluarga mertuanya. Tapi makcik pun tak pernah fikir buruk pasal keluarga mertuanya. Sebab suaminya sangat baik. Sangat baik. Dialah yang betulkan rumah makcik ni. Dulu macam nak roboh, sekarang kamu tengoklah. Dia tanggung semua belanja makcik dari dulu, hingga sekarang ni, dia masih masukkan duit dalam akaun makcik. Dia memang seorang menantu yang baik,” kata Mak Azira.

“Besan makcik macammana?” Zara bertanya setelah sekian lama diam.

“Besan makcik jarang jumpa. Rasanya lepas mereka berkahwin, ada dua kali je makcik jumpa dia. Itupun dia datang masa raya, bersama dengan Azira dan suaminya,” kata Mak Azira.

“Selalu ke makcik mimpikan Azira?” aku bertanya.

“Boleh kata setiap malam,” kata Mak Azira.

“Makcik pernah tanya mana-mana ustaz tak pasal ni?” aku tanya lagi.

“Makcik ada tanya ustaz kat masjid tu. Katanya kalau sekali dua mungkin mainan tidur, tapi kalau dah selalu, mungkin ada sesuatu yang ingin disampaikan,” kata Mak Azira. Aku dan Zara berpandangan sesama sendiri.

“Macam ni makcik. Biarlah kami berterus terang. Saya pun sama macam makcik, saya mimpikan dia tiga malam berturut-turut membuatkan saya terus cari dia di rumahnya. Saya jumpa dia makcik. Saya tidur kat rumah dia, saya makan bersama dia, saya jumpa bayi kecilnya,” kataku. Mak Azira angkat muka dan pandang aku.

“Bila kamu jumpa dia?” Mak Azira tanya aku. Matanya memandang tepat ke mata aku.

“Minggu lepas,” sahutku.

“Merepeklah kamu ni. Azira dah mati dengan bayinya dalam kebakaran kat rumahnya. Jenazahnya dah di tanam sama liang dengan anaknya. Dan anak sulungnya sekarang dijaga oleh besan makcik,” kata Mak Azira. Ok, di sini aku dan Zara mengakui ceritanya sama.

“Di situlah masalahnya. Saya tak tahu dia dah mati. Tapi dia panggil saya jumpa dia. Kami dah bawa ustaz, ustaz tu kata, roh Azira tak pergi ke tempat sepatutnya sebab ada janji yang perlu ditebus,” kataku.

“Janji apa?” Mak Azira tanya aku.

“Itulah yang kami sedang cari. Tapi yang pasti, Azira masih tak sedar bahawa dia dah mati,” kataku.

“Ya Allah,” Mak Azira bersuara dan air matanya mengalir deras di pipi tuanya.

“Jadi, kami sekarang cuba nak bantu sedarkan dia bahawa dia dah mati.” Kata Zara.

“Macammana?” Mak Azira bertanya.

“Saya perlu lihat kuburnya,” kataku.

“Sekejap makcik pakai tudung. Jom makcik tunjukkan kuburnya,” kata Mak Azira yang tanpa bertangguh terus bangun dan masuk ke bilik. Seketika kemudian dia keluar dari bilik dengan memakai tudung sarungnya. Dia terus keluar dari rumah walaupun kami masih di dalam rumah. Aku dan Zara saling berpandangan lagi. Nampak sangat Mak Azira terkejut dengan kisah tu dan amat risaukan anaknya.

Mak Azira terus berjalan keluar dari perkarangan rumahnya. Aku ajak Zara ikut Mak Azira. Kami tolong tutupkan pintu rumahnya. Cepatnya Mak Azira berjalan, sekelip mata je dia dah jauh kat depan kami hingga kami terpaksa berlarian untuk bersaing dengannya. Aku risaukan Mak Azira, risau dia panik sangat. Kalau tak, takkan dia boleh tinggalkan kami dalam rumahnya yang terbuka. Adakah cara kami yang terlalu mengejut?

Lebih kurang lima belas minit kami mengekori langkah Mak Azira, tanpa sepatah kata, kami sampai ke kawasan perkuburan. Mak Azira terus berjalan hingga sampai ke kubur yang hujung sekali. Ada dua nama pada batu nisan tu. Nur Azira binti Ayub dan Nur Ayu Sofea binti Fikri. Tarikh meninggal dunia tiga bulan yang lepas. Al-Fatihah.

Sayu je rasanya. Rasa nak menitis air mata aku melihat kubur Azira. Sekarang aku yakin, Azira dah meninggal dunia. Azira, kau dah mati sahabat. Pergilah ke tempat kau yang abadi. Kau insan baik, pastinya tempat kau yang baik menanti di sana. Kenapa kau masih tinggal di sini?

“Makcik, Azira pernah cakap apa-apa tak dengan makcik. Contohnya dia kena dera ke, atau mertua dia tak suka dia ke?” aku masih bertanya soalan yang tadi aku dah tanya.

“Tak, dia tak pernah ceritakan kesusahannya.” Kata Mak Azira.

“Makcik dapat rasakan tak kenapa rohnya belum pergi?” aku tanya lagi.

“Ada satu perkara yang makcik kurang suka, dia terlalu bergantung kepada suaminya. Bila makcik minta dia balik kampung, dia kata nanti tanya suami. Bila makcik minta dia belikan sesuatu, dia kata nanti tanya suami. Apapun yang makcik cakap, dia kata nanti tanya suami. Pernah sekali makcik sakit, minta dia balik temankan makcik sekejap. Tapi dia kata nanti tanya suami. Sedangkan suaminya jarang berada di rumah. Bayangkanlah kalau makcik sakit, dia nak tanya suami yang berada entah di lautan mana. Akhirnya makcik terpaksa minta tolong jiran sini bawakan makcik ke hospital,” kata Mak Azira.

“Makcik rasa suaminya mengongkong dia ke?” Zara tanya.

“Tak juga. Sebab suaminya sentiasa izinkan dia balik ke sini jumpa makcik. Tapi Azira tu. Dia yang mengongkong dirinya sendiri. Mungkin pengalaman hidupnya dengan ayahnya menyebabkan dia terlalu menghargai suaminya. Dia terlalu patuh hingga menyekat dia dari melakukan apa yang dia suka. Dia tak pernah keluar rumah pada masa suaminya tiada di rumah. Semua barangannya dibeli oleh seorang budak lelaki yang diupah oleh suaminya. Bukan suaminya tak benarkan dia keluar tapi kamu tahu kan Azira tu macammana? Perasaan rendah diri dia memakan diri. Membuatkan dia terlalu taat pada orang yang dia rasa anggap macam penyelamat dirinya. Entahlah, makcik pun tak tahu nak cakap. Masa dia belum kahwin dulu, makcik pernah bawa dia jumpa doktor. Doktor kata dia menghidap sejenis penyakit dalam bahasa mudahnya rasa rendah diri yang tak terkawal. Doktor nasihatkan dia keluar dan bergaul dengan masyarakat. Sebab itulah makcik carikan dia kerja. Baru je kerja dua bulan, dah dia bertemu jodoh dengan suaminya. Maka, kembalilah dia dengan dunianya. Tambahan pula dia dapat suami yang tak selalu bersama dia. Maka makin hanyutlah dia dengan dunianya. Sebab tu makcik selalu ajak dia balik sini masa suaminya tiada. Tapi dia memang taknak, dia takkan keluar rumah bila suaminya tiada. Jadi, makciklah yang selalu ke sana kalau tahu suaminya tiada. Cuma rumah dia terbakar tu, makcik tak pergi sana sebab makcik di Mekah menunaikan umrah. Pada hari makcik balik ke Malaysia, makcik dapat berita Azira dan anaknya meninggal dunia dalam kebakaran. Kebetulan masa kejadian, anak sulungnya mengikut mak saudaranya keluar ke kedai. Makcik terkilan sangat, tapi makcik redha, sebab itu ketentuan Allah,” kata Mak Azira panjang lebar.

Aku dan Zara terlopong mulut mendengarnya. Rendah diri yang tak terkawal pun boleh jadi satu penyakit?

“Apa saja yang suaminya sebut, dia mesti patuh. Sebab tu suaminya jarang memberi arahan kepadanya, sebab risau dia menurut tanpa syarat, tanpa kelonggaran.” Kata Mak Azira lagi.

“Aku rasa aku tahu dah kenapa dia masih kat rumah tu,” aku cakap kat Zara.

“Kenapa?” Zara tanya aku.

“Dia ada cakap, suaminya kata jangan keluar rumah masa dia tiada di rumah. Sebab tu dia tunggu suaminya balik untuk izinkannya keluar dari rumah,” kataku.

“Masa Zara dikebumikan, suaminya ada tak?” Zara tanya Mak Azira.

“Masa dikebumikan suaminya berada di luar negeri mengikut kapal. Dia tak dapat dihubungi. Jadi dia tak balik. Pihak hospital beritahu bahawa jenazahnya perlu dikebumikan segera sebab keadaannya yang agak teruk. Tak boleh tangguh lagi.” Kata Mak Azira.

“Sampai sekarang suaminya tak balik?” Zara tanya lagi.

“Lepas seminggu Azira dikebumikan, suaminya ada balik dan ziarah kuburnya,” kata Mak Azira.

“Makcik ada nombor telefon suaminya?” aku bertanya.

“Ada, nanti makcik bagi. Tapi dia susah nak dihubungi. Sebab dia bekerja di atas lautan.” Kata Mak Azira.

“Makcik tahu nombor telefon tempat kerjanya?” aku tanya.

“Makcik tak tahu, tapi yang makcik tahu dia bekerja dengan syarikat perkapalan Singapura, bukan Malaysia,” kata Mak Azira lagi.

“Takpe, makcik bagi je nombor apa yang makcik ada. Rasanya kita perlu bawa suaminya balik, untuk leraikan arahan yang suaminya bagi kepada Azira. Kalau tak boleh juga, baru kita cuba cara lain,” kataku.

Sebaik sahaja mendapat nombor telefon suami Azira, aku dan Zara terus balik ke rumah kami. Kami berjanji kepada Mak Azira untuk cari jalan selesaikan masalah ni.

Keesokan harinya, aku berjaya menjejaki tempat kerja suami Azira di Singapura. Dan aku dimaklumkan bahawa suami Azira kini berada di Los Angeles dan akan balik minggu depan. Jadi, aku terpaksa tunggu seminggu lagi.

“Ayu, kau perasan tak sejak kita balik dari rumah Mak Azira haritu, macam ada benda lain kat dalam rumah kita ni. Macam sedang memerhati kita. Kadang-kadang aku dengar macam ada suara bisikan kat tepi telinga. Mula-mula aku tak syak apa-apa, tapi bila pasu depan rumah kita berubah tempat, aku rasa macam ada yang tak kena,” kata Zara kepada aku pada satu malam.

“Entah, aku tak perasan pula. Mungkin Suraya atau Atikah yang ubah kot. Kau dah tanya diorang?” aku tanya Zara.

“Aku dah tanya, diorang kata diorang tak ubah pun pasu tu,” kata Zara.

Aku pandang muka Zara. Kes Azira tak selesai lagi, sekarang apa pulak dah?

– Bersambung –

One thought on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s