JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 10

“Ustaz, yang saya nampak orang lain tu, yang saya dengar macam ada orang lain tu, itu siapa? Adakah berpunca dari Azira juga?” aku tanya Ustaz Saiful.

Ustaz Saiful gelengkan kepala.

“Macam ni la, kita hantar Azira dan anaknya balik dulu. Lepas tu baru selesaikan bahagian yang satu lagi,” kata Ustaz Saiful.

“Hantar dia balik ke mana?” aku tanya.

“Ke tempat yang sebenarnya untuk dia dan anaknya,” kata Ustaz Saiful.

“Macammana nak hantar dia balik? Boleh suruh macam tu je ke?” kataku. Dan masa ni bulu roma aku meremang. Teringat pula aku tidur dengan Azira, bersembang, mendengar kisahnya, tak sangka pula aku berbual dengan orang yang dah mati.

“Nombor satu, dia tak sedar yang dia dah mati. Nombor dua, dia tak sedar sebab ada sesuatu yang  menahannya dari pergi ke alam seterusnya,” kata Ustaz Saiful.

“Jadi, kita kena beritahu dia bahawa dia dah mati?” Zara bertanya pula setelah sekian lama terdiam, mungkin masih cuba memahami situasi di depan kami.

“Ustaz, siapa pula perempuan tua yang datang ke rumah kami malam tu? Sebab saya nampak dia juga di dalam rumah ni. Dan mukanya sama dengan mak mertua Azira cuma rupa perempuan tua tu lagi hodoh la. Lagi satu, macammana pula saya hilang dah seminggu sedangkan baru semalam saya datang ke rumah ni?” Aku tanya bertubi-tubi.

Sebenarnya aku masih lagi tak percaya sepenuhnya dengan apa yang Ustaz Saiful cakap. Kalau Azira dan mati, kenapa aku boleh bercakap dengan dia? Aku nampak anak dia. Aku makan bersama dia. Dia dengar aku baca Al-Quran. Dia tengok aku solat. Kalau dia dah mati, dan jadi hantu, mesti dia panas dengar bacaan Al-Quran kan?

“Ada beberapa perkara yang tak dapat kita lihat dengan mata kasar. Tapi andai Allah izinkan sesuatu tu terjadi, ia pasti terjadi. Hantu tak wujud, yang ada ialah jin dan syaitan. Ketahuilah bahawa syaitan dengan arif dengan bacaan Al-Quran berbanding kita. Ketahuilah juga bahawa syaitan pernah berada di dalam syurga sedangkan manusia belum tentu masuk syurga. Ada perkara yang susah nak dijelaskan jika tak nampak di depan mata. Jika segalanya jelas, pasti tiada orang yang melakukan dosa kerana mereka dah nampak betapa dahsyatnya neraka. Tentu semua orang berebut buat ibadah, kerana mereka dah nampak indahnya syurga. Faham tak?” Ustaz Saiful menerangkan satu persatu.

Aku dan Zara diam. Faham dan tak faham tu sama banyak.

“Sekarang ni macammana nak suruh Azira pergi ke alamnya?” Zara tanya aku.

“Memandangkan Ayu yang boleh berinteraksi dengannya, maka Ayu yang perlu laksanakan tugas ini,” kata Ustaz Saiful. Dan aku pandang dia dengan mata terbuntang tanpa kelip.

“Saya?!” aku terkejut. Ustaz Saiful anggukkan kepala.

“Tapi saya tak berani dah nak jumpa dia,” kataku. Suaraku dah agak menggeletar. Sebelum ni aku tak tahu Azira tu dah mati, bolehlah aku bercakap dengan dia. Kalau aku tahu dia dah mati, memang takkanlah aku nak datang jumpa dia.

“Jangan takut. Dia juga makhluk Allah macam kita. Dan dia tak merbahaya. Ayu cuma perlu berbual dengan dia, cakap macam biasa.” Kata Ustaz Saiful.

“Nak cakap apa kat dia? Nak beritahu dia bahawa dia dah mati?” aku tanya lagi.

“Ya,” Ustaz Saiful jawab. Dan sekali lagi aku buka mata aku luas-luas memandang ke arah Ustaz Saiful.

“Ustaz, saya minta maaf. Saya tak mampu lakukannya,” kataku dengan suara bergetar.

“Kamu tak kesian kat dia? Dia berhak tahu. Dan dia berhak pergi ke tempat yang sepatutnya,” kata Ustaz Saiful lagi.

“Ayu, dah alang-alang kau berniat nak bantu dia, teruskanlah. Dia hanya ada kau. Sebab tu Allah datangkan mimpi mengenai dia kat kau. Kalau bukan kau yang tolong dia, siapa lagi? Nak harap suaminya pulang, entah bila. Ustaz Saiful akan bersama kau. Jangan risau.” Kata Zara memujuk aku.

Sedih pula aku rasa. Tapi itulah, aku takut. Kalau Ustaz Saiful cakap pasal Azira saja tadi, mungkin kuat sikit semangat aku. Tapi bila Ustaz Saiful kata ada ‘benda’ lain tu, aku dah cuak.

“Iye, jangan risau. Siapapun mereka, mereka sebenarnya lebih takut kepada kita. Kerana mereka lebih rendah dari kita. Bukan kita yang perlu takut kepada mereka,” kata Ustaz Saiful. Aku dan Zara diam.

“Mula-mula saya nampak Ayu tadi, saya ucap syukur Alhamdulilah. Sebab saya nampak Ayu tak terjejas sedikitpun walaupun dah seminggu tinggal bersama roh yang bergantungan. Ayu ada kelebihan. Sebab tu tiada yang berani mengusik Ayu. Sebab tu Azira cari Ayu. Dan saya yakin, Azira adalah seorang yang baik, di dunia mahupun di alam lain dia tetap seorang yang baik, sebab tu dia tak pengapakan Ayu,” kata Ustaz Saiful lagi.

Aku pandang Zara. Zara anggukkan kepala kepada aku sebagai isyarat bersetuju dengan apa yang Ustaz Saiful katakan.

“Iye Ayu. Banyak kisah yang kita dengar, orang yang sesat di alam lain, selalunya terus sesat. Kalau jumpa sekalipun, keadaannya agak sukar, kusut masai dah macam orang gila. Perlu dirawat dan dipulihkan. Tapi kau tak. Kau nampak elok je, tidak terjejas. Masih boleh ucap salam kat aku. Masih boleh sebut nama Allah. Cuma nampak kau kurus sikit,” kata Zara memujuk aku sambil tersenyum.

Aku lihat jam tangan, dah pukul 12.30 tengahari. Perut aku dah berbunyi, aku lapar.

“Masuklah dalam rumah tu, Azira menunggu kau. Cepat kita selesaikan perkara ni, cepat kita boleh balik ke rumah kita dengan tenang. Lagipun kan kau nak beli rumah ni. Nanti kita tinggal kat sini,” kata Zara.

Aku tarik nafas panjang. Nampaknya seperti aku tiada pilihan lain. Selain dari berdepan dengan Azira.

“Ustaz akan ikut saya masuk ke dalam rumah ni dan berjumpa Azira?” aku tanya Ustaz Saiful.

“Ayu masuklah sendiri. Saya akan perhatikan dari luar. Azira nampak saya, risau nanti dia tak tenteram,” kata Ustaz Saiful.

Aku tak cakap banyak. Aku nak cepat selesaikan perkara ni. Dengan lafaz Bismillahirrohmaanirrohim, aku melangkah masuk ke dalam rumah Azira.

Sebaik masuk ke dalam rumah, Azira berdiri kat depan pintu. Dia senyum pandang aku. Goyang juga lutut aku.

“Kau ke mana Ayu? Puas aku pusing satu rumah cari kau. Risau aku,” kata Azira.

“Aku keluar sekejap,” sahutku dengan suara yang agak perlahan. Aku tak berani bertentangan mata dengan Azira.

“Kau ok ke Ayu?” Azira tanya aku, sambil memegang bahu aku. Lagi la menggeletar lutut aku.

“Aku ok. Dah tengahari ni, kau nak makan ke?” aku bercakap sambil berjalan melangkah ke dapur. Tak sanggup aku tengok Azira. Azira mengikut langkah aku.

“Aku dah masak, kita makan sama-sama ye,” kata Azira di muka pintu dapur. Masa tu aku sedang berdiri kat sinki, dengan lutut menggeletar. Aku anggukkan kepala, dada aku berdebar. Rasanya sikit lagi aku kena serangan jantung ni.

“Anak kau mana?” aku beranikan diri bertanya, tanpa memandang Azira.

“Dia tidur kat atas,” kata Azira menyahut. Dia mengambil pinggan dan meletakkan di atas meja lalu membuka tudung saji yang menutup makanan. Ada ayam goreng dan masak lemak sohon fucuk. Nampak sedap, tapi hati aku tak sedap. Selama ni Azira masak dan aku makan, apa sebenarnya yang dia masak dan apa sebenarnya yang aku makan?

Azira menarik kerusi dan memanggil aku duduk dengannya. Aku akur. Dia cedokkan nasi. Aku biarkan. Lepas tu aku tengok dia makan dengan berselera sambil berbual-bual dengan aku. Aku hanya mendengar dan melihat, tapi fokus aku memang tiada.

“Kenapa kau tak makan Ayu? Tak sedap ke aku masak?” Azira tanya.

“Sebenarnya aku masih kenyang makan bihun goreng kau pagi tadi. Selalunya kalau aku ambil sarapan berat, aku tak makan tengahari.” Kataku.

“Ooo… Takpelah kalau macam tu. Nanti bila kau lapar, kau makan ye,” kata Azira lalu menyuap suapan terakhir ke mulutnya.

“Boleh aku tanya sesuatu kat kau?” aku tanya Azira.

“Tanyalah.” Kata Azira sambil bangun, membawa pinggannya ke sinki dan membasuh tangan. Selepas itu dia kembali duduk di kerusinya dan pandang aku.

“Rumah ni pernah terbakar ke?” aku tanya. Azira pandang tepat ke wajah aku, masa ni aku dah panik. Ya Allah, kat depan kau ada sesuatu yang kau tahu bukan manusia, sedang memandang kau. Tak goyah ke?

Azira diam, Dia tunduk memandang lantai.

“Aku minta maaf kalau pertanyaan aku menyinggung perasaan kau,” kataku. Azira masih memandang lantai. Wajahnya nampak sugul.

“Azira, apa kata kau ikut aku keluar dari rumah ni. Mak mertua kau pun tak suka kau, suami kau pun tak balik dah lama. Untuk apa lagi kau bertahan dalam rumah ni? Jom kita balik kampung, jumpa mak kau,” kataku, cuba menguatkan semangat untuk mengorek kisah Azira.

“Siapa kata suami aku tak balik? Dia akan balik. Dia pasti balik. Pasal mak mertua aku, bukan dia yang berhak ke atas diri aku. Aku nak tunggu suami aku balik,” kata Azira dengan agak tegas, tapi masih memandang lantai.

“Aku faham, suami kau mesti akan balik, jumpa kau, jumpa anak kau. Dia mesti balik. Cuma dalam masa dia takde ni, kau tinggallah dengan mak kau. Nanti bila suami kau balik, kau datang sini balik. Sekurang-kurangnya kau ada teman,” kataku.

“Aku kena tunggu suami aku balik. Kalau aku balik kampung, mana aku tahu suami aku dah balik rumah ni?” Azira tanya aku balik, masih pandang lantai. Aku buntu, pandai pula dia.

“Kalau macam tu, jom tinggal dengan aku kat rumah aku. Bawa anak kau sekali. Setiap hari, kita lalu rumah ni, kalau-kalau suami kau dah balik,” kataku lagi, tak jemu memujuk walaupun hatiku makin goyah.

“Tidak. Aku takkan keluar dari rumah ni. Sebelum suami aku keluar bekerja, dia dah pesan kat aku, jangan keluar rumah. Aku kena taat. Itu pesanan suami aku, JANGAN KELUAR RUMAH, walau apapun yang terjadi. Aku hanya akan keluar dari rumah ni setelah suami aku izinkan,” kata Azira, tegas dan memandang muka aku dengan tepat. Kami berpandangan seketika sebelum aku melarikan anak mataku untuk memandang ke arah lain.

“Azira, kau dah mati.” Terpacul ayat tu keluar dari mulut aku. Azira diam, dia hanya pandang aku. Matanya merah seperti marah dengan ayat aku. Tapi dia tak melontarkan sebarang kata-kata.

“Azira, sedarlah. Kau dan anak kau dah mati. Tempat kau bukan di sini. Suami kau takkan jumpa kau lagi. Tapi percayalah, kau sentiasa berada di dalam hati suami kau,” kataku masih tak berani memandang wajah Azira.

“Sedarlah Azira, kau sepatutnya dah pergi ke tempat paling abadi. Kau seorang wanita yang baik, tentulah syurga tempat kau. Pergilah dengan tenang.” Kataku lagi bila Azira masih diam membisu.

“Aku dah mati?” Azira tanya aku lagi.

“Iye Azira. Kau dan anak kau dan mati dalam kebakaran dalam rumah ni. Jasad kau dah ditanam, sekarang hanya kau perlu pergi ke tempat sepatutnya,” kataku lagi.

“Macammana kau boleh kata aku dah mati, sedangkan aku sedang berdiri di depan kau, bercakap dengan kau?” Azira tanya aku, matanya merah.

Aku tak menjawab. Sebab soalan tu dari awal tadi dah bermain dalam kepala aku dan aku tak dapat jawapan yang pasti.

“Sampai hati kau kata aku macam tu? Sampai hati kau kata aku dah mati. Kau kata aku dah mati? Kau sedar tak, kalau aku dah mati, dan kau sedang bercakap dengan aku, bukankah bermakna kau juga sudah mati?” Azira tanya aku semula dan masa ni hati aku dah gundah gulana. Aku pun dah mati? Dan aku pun tak sedar, sama macam Azira?

Aku bangun, dan berlari ke pintu rumah. Aku buka pintu, aku pandang keluar. Tercari-cari Ustaz Saiful dan Zara. Mereka tak kelihatan. Aku pandang ke arah tempat kereta Zara dan Ustaz Saiful diletakkan tadi, juga tak kelihatan. Aku mula panik. Adakah apa yang Azira cakap itu betul? Aku juga dah mati? Sebab tu aku boleh bercakap dengan orang mati? Kepalaku berpinar-pinar, aku rebah dan segalanya nampak gelap.

– Bersambung –

2 thoughts on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s