JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 9

“Azira, marilah turun sini. Beritahu ustaz ni apa yang kau alami sejak kebelakangan ni,” aku menggamit Azira.

“Anak aku belum tidur. Nanti dia dah tidur aku datang. Kau beritahu je apa yang kau dah lalu dengan aku selama kau berada dalam rumah ni,” kata Azira memandang aku. Zara mendongak memandang ke arah Azira sambil mengerutkan dahinya.

“Takpelah, biar dia di atas. Kita tengok kat bawah ni dulu,” kata Ustaz Saiful.

“Siapa ustaz?” Zara tanya Ustaz Saiful

“Tuan rumah ni la,” sahut Ustaz Saiful. Zara pandang aku, “Itulah kawan aku yang aku ceritakan kat kau tu,” aku cakap kat Zara. Zara sekali lagi memandang ke tingkat atas, tempat Azira berdiri.

“Boleh saya buka bilik ni?” Ustaz Saiful bertanya sambil menunjukkan ke pintu bilik utama.

“Boleh ustaz. Kat situlah selalu ada gangguan,” kataku. Ustaz Saiful memulas tombol pintu bilik dan menolak daun pintu lalu terus masuk ke dalam bilik. Aku dan Zara mengikut dari arah belakang.

“Ustaz, semalam saya nampak beberapa orang kat luar rumah, bahagian belakang. Mereka berdiri di tepi hutan. Belakang rumah ni adalah hutan. Tapi orang-orang tu semua hanya pandang dari jauh saja. Cuma ada seorang perempuan tua yang beberapa kali munculkan diri dan seperti bagi amaran kat kami,” kataku memberitahu Ustaz Saiful.

“Perempuan tua?” Ustaz Saiful tanya aku semula sambil mengerutkan dahinya.

“Haah, perempuan tua. Kalau tak silap saya, perempuan tua tu juga saya pernah nampak di kawasan perumahan tempat saya tinggal. Zara, kau ingat tak malam tu ada perempuan tua berjalan mundar mandir kat rumah kita, lepas tu kita nampak dia intai ke dalam rumah kita. Perempuan tua tu ada mengganggu kat rumah ni. Aku syak perempuan tua tu bukan manusia la,” aku beritahu Zara. Zara hanya diam.

Ustaz Saiful melangkah ke bahagian dapur. Dia lalu membuka pintu dapur dan merenung ke kawasan hutan di belakang rumah. Lama dia berdiri di situ.

Hampir 10 minit dia di situ, kemudian dia kembali ke ruang tamu. Ustaz Saiful berdiri betul-betul di tempat perempuan tua semalam berdiri. Ustaz Saiful mendongakkan kepalanya, memandang ke siling rumah. Aku dan Zara pun ikut sekali memandang ke atas tapi tak nampak apa-apa pun.

Sejenak kemudian, Ustaz Saiful melangkah ke luar rumah. Aku dan Zara masih mengikutnya. Aku sempat menoleh ke tingkat atas, tak nampak Azira. Mungkin dia dah masuk ke dalam bilik menidurkan anaknya.

Di luar rumah, Ustaz Saiful tunduk dan mengambil segenggam pasir lalu membalingnya ke pintu rumah Azira. Aku dan Zara berpandangan sesama sendiri. Tapi kami tak berani bertanya Ustaz Saiful.

Tak lama kemudian, sebuah kereta berwarna Volvo lama berwarna putih memasuki perkarangan rumah Azira. Aku, Zara dan Ustaz Saiful hanya memandang. Seorang perempuan muda keluar dari tempat pemandu. Dan kemudian seorang makcik keluar dari tempat duduk belakang. Wajahnya seperti pernah aku jumpa.

“Assalamualaikum,” mereka bagi salam kat kami yang berada di situ.

“Waalaikumussalam,” kami menyambut salam serentak.

“Cik semua ni siapa? Dan buat apa di sini?” perempuan muda tu bertanya kami.

Belum sempat aku jawab, makcik tu tanya aku, “Apa kau buat kat sini?” Aku terkejut, baru aku perasan, makcik itulah yang aku nampak di kawasan rumah aku dan di dalam rumah Azira.

“Zara, makcik ni yang kita nampak malam tu kan?” aku tanya Zara. Zara merenung makcik tu dan mengangguk perlahan.

“Aku tak pernah jumpa kamu,” makcik tu menjawab, dengan wajah yang kurang senang.

“Kami minta maaf makcik. Kami dipanggil oleh sahabat kami ni, untuk melihat keadaan rumah ni. Sebab katanya kawan dia tinggal di sini, selalu ada gangguan,” kata Ustaz Saiful.

“Kamu jangan nak buat lawak la pagi-pagi buta ni. Mana ada orang tinggal kat sini,” kata makcik tu lagi.

“Kawan saya tinggal di sini makcik,” sahutku.

“Siapa kawan kamu tu?” Makcik tu tanya lagi.

“Azira,” sahutku. Makcik tu terdiam dan pandang aku dengan wajah merah padam.

“Makcik ni siapa pula?” aku tanya kembali.

“Ini rumah aku. Dulu anak aku tinggal di sini, tapi sekarang rumah ni dah kosong, aku nak jual,” kata makcik tu lagi.

“Makcik ni la mak mertua Azira?” aku bertanya lagi.

“Iye, aku mak mertua dia,” kata makcik tu lagi.

“Sampai hati makcik pisahkan dia dengan anak sulungnya. Lepas tu makcik tinggalkan dia dua beranak dalam rumah ni, tanpa makanan dan kelengkapan. Barang semua dah rosak. Makcik pula nak jual rumah ni?” tiba-tiba je aku hilang sabar dan bertanya kepada makcik tu. Aku memang marah sangat bila aku tahu itulah ibu mertua Azira. Memang nampak seperti agak sombong orangnya.

“Apa kau merepek ni?” perempuan muda yang mengikut makcik tu tadi menegur aku.

“Kau adik iparnya kan? Kau pergilah masuk, tengoklah keadaan kakak ipar dan anak saudara kau. Kalau aku tak jumpa mereka, tak tahulah mati kebuluran agaknya. Mentang-mentanglah Azira tu jenis lurus bendul, dan bukan menantu pilihan, korang layan dia macam sampah,” kataku lagi.

Zara memegang bahu aku perlahan. Menyuruhku diam dan tak mengikut emosi marah.

“Sabar, sabar, semua. Puan, kami minta maaf sebab menceroboh masuk ke rumah puan. Puan boleh masuk ke dalam rumah puan sekarang,” kata Ustaz Saiful.

Mak mertua dan adik ipar Azira masuk ke dalam rumah. Aku nak ikut masuk tapi Zara menahan aku. Ustaz Saiful juga memberi isyarat menyuruh aku tunggu di luar rumah sahaja.

“Ustaz, saya kena beritahu mereka untuk jaga Azira. Azira tu lurus bendul. Ustaz kena tengok keadaan mereka masa saya mula-mula datang sini. Dengan rumput tinggi kat luar rumah. Dah la suaminya dah lama tak balik. Kesian sungguh.” Kataku perlahan menahan sebak. Zara dudukkan aku di satu pangkin di tepi pagar. Ustaz Saiful menunggu bersama kami.

“Ustaz, apa sebenarnya ni?” kata Zara.

“Saya tak tahu dari mana nak mulakan,” kata Ustaz Saiful.

“Takpe ustaz, beritahu je. Kami cuba fahamkan,” kata Zara lagi.

“Dari apa yang saya teliti, dalam rumah tu memang tiada orang hidup,” kata Ustaz Saiful membuatkan aku dan Zara memandangnya dengan wajah penuh tandatanya.

“Apa maksud ustaz tiada orang hidup? Azira dan anaknya ada dalam rumah tu. Ustaz pun nampak mereka tadi kan?” aku tanya semula.

“Ya, saya nampak kawan kamu tu, tapi dia bukan manusia yang sama alam dengan kita,” kata Ustaz Saiful.

“Apa ustaz nak cakap sebenarnya ni? Bukan manusia? Dia makan dan minum dengan saya. Saya nampak dia menyusukan anak dia. Saya berbual dengan dia. Saya dan dia sama-sama ketakutan bila nampak semua gangguan tu. Saya baca Al Quran kat tepi dia, takde pula dia terbakar kalau dia bukan manusia,” kataku macam tak percaya dengan apa yang Ustaz Saiful katakan.

“Memang susah untuk kamu terima semua ni. Sebab kamu dah masuk separuh ke alamnya. Jadi segalanya nampak realiti di mata kamu,” kata Ustaz Saiful lagi.

“Zara, ustaz mana kau bawa ni? Dia ingat ini cerita novel bersiri ke pun. Boleh pula masuk alam lain separuh-separuh. Merepek semua ni,” kataku makin keliru dan terasa macam Ustaz Saiful tu cuba memutarbelitkan cerita sebenar.

“Ayu, aku tak nampak pun kawan yang kau cakap tu. Aku nampak kau bercakap dengan dia, tapi aku tak nampak dia,” kata Zara perlahan sambil pegang tangan aku.

“Tapi aku nampak kau tengok dia kat tingkat atas tadi,” kataku.

“Aku pandang ke arah yang kau tunjuk, arah yang kau pandang bila bercakap. Tapi aku tak nampak sesiapa kat situ,” kata Zara.

“Jadi, kau nak kata aku yang tak betul ke macammana?” aku tanya dengan rasa macam nak marah sebab mereka tak percayakan aku.

“Ayu, tadi kau kata kau tak balik satu malam kan? Sebenarnya kau dah menghilangkan diri sejak seminggu yang lepas. Aku call kau, aku mesej kau, orang tempat kerja pun cari kau. Kami dah buat laporan polis dah tentang kehilangan kau. Mak kau dah call aku, aku cakap kau outstation kat tempat yang takde line. Aku taknak beritahu kau hilang selagi aku tak jumpa kau, samada hidup atau mati,” kata Zara panjang lebar.

Aku diam. Aku masih keliru.

“Habis tu, yang saya nampak tu siapa? Makan bersama saya, berbual dengan saya, itu siapa?” aku tanya Ustaz Saiful. Zara pun pandang Ustaz Saiful untuk dapatkan kepastian.

Belum sempat Ustaz Saiful menjawab, mak mertua dan adik ipar Azira keluar dari rumah tersebut. Aku melangkah ke arah mereka. Zara dan Ustaz Saiful mengikut langkah aku.

“Makcik, apa dah jadi kat Azira?” aku tanya.

“Azira dan anaknya dah meninggal dunia dalam kebakaran. Dah beberapa kali kami cuba jual rumah ni. Tapi tak berjaya. Kami pernah sewakan rumah ni, penyewa hanya bertahan paling lama dua malam sahaja, lepas tu mereka pindah. Mereka kata seperti ada ‘orang’ lain kat dalam rumah tu. Kadang-kadang dengan bunyi bayi ketawa, bayi menangis dan bunyi ibu mendodoikan anaknya. Sejak penyewa terakhir bulan lepas, kami dah tak sewakan kepada sesiapa. Cuma nak terus jual saja rumah ni. Pagi tadi ejen kami datang, katanya ada orang beritahu dia bahawa kat rumah ni masih ada orang tinggal. Sebab tu saya dan mak datang sini nak tengok,” kata adik ipar Azira yang memperkenalkan dirinya sebagai Hayati.

“Suami Azira mana?” aku tanya masih tak puas hati.

“Suami Azira sekarang berada di London. Minggu depan baru balik. Selepas kematian isteri dan anaknya, abang saya mengalami kemurungan. Untuk hilangkan sedih dan murungnya, dia mohon kat tempat kerjanya untuk pergi ke tempat-tempat yang lebih jauh. Jadi dia akan sibuk dengan kerjanya dan lambat balik sini. Dia taknak balik sini untuk mengenangkan kisah anak dan isterinya.” Kata Hayati.

“Dah Yati, jom kita balik. Kamu semua sila keluar dari kawasan rumah ni. Saya boleh dakwa kamu semua atas kesalahan menceroboh kawasan persendirian,” kata mak mertua Azira.

“Kenapa makcik benci sangat dengan Azira? Dia menantu makcik kan?” aku beranikan diri bertanya.

“Aku tak pernah benci dia. Aku terkilan anak aku lebihkan dia dari aku. Sejak dia masuk ke dalam keluarga aku, aku dah seperti kehilangan anak aku. Anak aku jarang berjumpa dengan aku…” kata-kata mak mertua Azira dipotong oleh Hayati. “Dah la tu mak, benda dah lepas. Kak Azira pun dah takde. Kita balik ye mak,” kata Hayati memujuk emaknya.

“Mana anak sulung Azira?” aku tanya lagi walaupun dah ditahan oleh Zara.

“Aiman ada tinggal dengan kami. Kami yang jaga dia setelah Kak Azira meninggal dunia,” kata Hayati.

“Sudah, cepat keluar dari rumah ni.” Kata mak mertua Azira lagi.

“Saya nak beli rumah ni,” aku terus menjawab begitu. Semua orang yang berada di situ memandang aku dengan mata tak berkedip.

“Ayu. Kau cakap apa ni? Kau sedar ke tak ni?” Zara berbisik ke telinga aku.

“Baiklah, nanti kau boleh berurusan dengan ejen aku, nama dia Kartina. Yati, kau bagi kad Kartina kat dia. Biar mereka uruskan sesama sendiri,” kata mak mertua Azira. Hayati mengeluarkan satu kad dari begnya dan menyerahkan kepada aku. Zara menyambutnya.

Selepas Hayati dan emaknya berlalu pergi, aku pandang Ustaz Saiful.

“Ustaz, rumah ni takde masalah kan?” aku bertanya.

“Susah nak cakap. Saya perlukan masa untuk melihat lagi rumah ni. Sebab macam ada sesuatu yang tak kena,” kata Ustaz Saiful.

“Pasal Azira dan anaknya?” aku tanya lagi.

“Bukan, Azira dan anaknya hanya roh yang bergantungan. Samada mereka belum sedar bahawa mereka dah tiada di dunia ini, atau ada sesuatu janji yang membuatkan mereka tak pergi ke tempat mereka yang sepatutnya.” Kata Ustaz Saiful, terus memandang ke arah tingkap bilik utama yang terbuka luas.

“Kalau bukan pasal Azira dan anaknya, pasal siapa pula?” aku tanya lagi.

“Ada benda lain lagi kat dalam rumah tu,” kata Ustaz Saiful.

Aku dan Zara sekali lagi berpandangan sesama sendiri.

– Bersambung –

One thought on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s