JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 8

Aku masuk ke dalam bilik air, aku ambil wudhu. Aku nak buat solat hajat. Keluar dari bilik air, aku nampak seseorang berdiri di luar tingkap yang terbuka luas. Walaupun aku yakin tadi aku dah tutup dan kunci tingkap tu. Seorang perempuan tua, memandang aku dengan wajah yang marah. Aku pandang Azira dan Ayu Sofea, mereka sedang tidur lena.

“Jangan ganggu urusan di sini, kerana ia bukan urusan kamu. Keluar dari sini sebelum kamu tersesat lebih jauh,” aku dengar suara garau perempuan tua itu. Aku cuba pandang wajahnya dengan jelas, tapi tak nampak sebab suasana gelap.

“Makcik ni siapa?” aku bertanya.

“Jangan tanya aku siapa, tapi cari siapa diri kamu.” Perempuan tua itu bersuara lagi.

“Saya tak faham,” aku beranikan diri bertanya.

“Kamu dah jauh tersesat. Dunia kamu bukan lagi di sini. Pergilah ke dunia kamu yang sebenar. Tinggalkan apa yang perlu kamu tinggalkan. Pergilah ke tempat yang selayaknya untuk kamu,” kata perempuan tua tu lagi.

Aku terdiam, berkerut dahi aku memikirkan apa yang perempuan tua tu cakap. Aku rasa itu adalah perempuan tua yang sama yang aku jumpa dah beberapa kali sejak dia dilihat di kawasan rumah aku malam tu. Aku angkat kepala semula dan memandang ke arah perempuan tua tu tadi. Tapi dia tiada di situ. Hanya tingkap yang tertutup rapat.

“Ayu,” Azira panggil aku perlahan. Aku pandang Azira yang duduk di atas katil sebelah bayinya.

“Kenapa ni?” Azira tanya aku.

“Takde apa. Kau tidurlah. Aku nak buat solat sunat.” Kataku. Azira akur, dia baring semula.

Selesai solat, aku baring di atas sofa yang terletak di tepi dinding. Aku cuba memikirkan apa yang cuba disampaikan oleh perempuan tua tu tadi. Tapi aku tetap tak faham. Dan akhirnya aku terlena.

Tiba-tiba aku rasa seperti badan aku terapung di awangan. Aku nampak mak aku, adik aku, Zara, kawan tempat kerja aku, kawan masa sekolah, aku nampak semua tapi mereka semua tak nampak aku. Aku panggil setiap seorang, tapi tiada yang mempedulikan aku. Semua leka dengan kehidupan masing-masing. Tiada yang nampak aku.

Dan ketika badan aku terapung makin tinggi dan hampir menjauh dari semua orang, kaki aku dipegang oleh seseorang. Lalu dia menarik aku untuk berdiri di bumi semula. Aku menoleh melihat siapa yang menarik kaki aku, aku nampak Azira. Dia tersenyum pandang aku.

“Azira, kau nampak aku?” aku tanya. Azira tersenyum dan menganggukkan kepala.

“Kenapa yang lain tak nampak aku?” aku tanya lagi. Azira hanya tersenyum dan memegang tangan aku.

Azira menarik tangan aku agar aku berjalan mengikutnya. Dan aku menurut langkahnya. Aku menoleh melihat keliling, aku nampak semua orang yang aku kenal, tapi mereka seperti tak nampak aku. Aku pandang Azira, dia masih tersenyum memandang aku.

“Kau nak bawa aku ke mana?” Aku tanya Azira. Azira tetap tak menjawab. Tapi dia masih melangkah dan menarik tangan aku untuk ikut bersamanya.

“Azira, mana anak kau?” aku tanya lagi. Azira tetap tak menyahut.

Aku ikut langkah Azira hinggalah kami sampai ke satu lubang yang agak dalam. Aku menjenguk melihat ke dalam lubang tersebut. Terlalu dalam hingga tak nampak dasarnya. Tapi di kiri kanannya ada air jernih yang mengalir perlahan, cantik sekali. Ada beberapa pokok bunga yang hidup di dalam air tu.

“Tempat apa ni Azira?” aku tanya.

Azira tarik tangan aku untuk terjun ke dalam lubang itu. Aku cuba melarang dia tapi dia terus terjun, Sebab tangannya memegang aku, aku pun ikut terjun sekali. Aku takut sangat masa tu. Tapi aku tak berdaya melawan tarikan tangan Azira yang dah terjun ke dalam lubang itu.

Dan tiba-tiba ada seseorang memegang tangan aku yang satu lagi. Menarik aku dari jatuh ke dalam lubang itu bersama Azira. Aku menoleh. Aku terasa tubuh aku digoncang dengan agak kuat.

“Ayu! Ayu!” aku dengar nama aku dipanggil. Aku buka mata. Aku nampak Azira. Aku bangun dan memandang keliling.

“Kenapa ni?” Azira tanya aku.

“Astaghfirullahal azim,” ucapku sambil mengusap muka aku dengan kedua-dua belah tangan aku.

“Kau ok ke Ayu?” Azira tanya aku lagi.

“Aku mimpi,” kataku.

“Kau mimpi apa sampai menjerit macam tu? Terkejut aku,” kata Azira.

“Aku menjerit ke?” kataku.

“Haah, menjerit macam takut sangat,” kata Azira. Aku diam. Aku tengok jam tangan aku, pukul 5 pagi.

“Takde apalah, cuma mimpi. Dah nak subuh ni. Aku nak bersiap untuk solat dan lepas tu aku nak keluar kejap.” Kataku.

“Kau nak ke mana?” Azira tanya aku.

“Aku nak jumpa seorang ustaz ni. Aku nak minta tolong dia tengokkan rumah kau,” kataku sambil bangun dan melipat selimut. Azira pun turut bangun dan keluar dari bilik. “Aku siapkan sarapan ye,” katanya sebelum keluar. Aku hanya anggukkan kepala.

Sementara tunggu masuk waktu solat Subuh, aku mengaji. Sesekali aku pandang anak Azira. Dia tak bergerak dari tadi. Sejak aku bangun pukul 5 tadi, aku dah mandi, mengaji dan dah nak solat, anaknya tak bergerak langsung. Aku bangun nak lihat, tiba-tiba laungan azan berbunyi dari telefon aku.

Tak sempat aku menoleh sekali lagi kat anak Azira, tiba-tiba Azira muncul dari luar bilik. “Ayu, aku dah masak bihun goreng. Dah selesai solat nanti, kau makanlah sebelum keluar. Aku rasa pening kepala. Aku bawa anak aku tidur kat bilik tingkat atas ye,” kata Azira.

“Anak kau tak bergerak dari tadi,” kataku.

“Haah, dia memang macam tu. Semalam dia asyik berpusing sana-sini tak berapa lena. Mungkin sebab bertukar tempat tidur. Ini aku nak bawa dia tidur tempat selalu dia tidur. Kau sarapan dulu sebelum keluar tau,” pesan Azira sebelum dia mendukung anaknya dan terus keluar dari bilik. Aku hanya memerhati.

Selesai solat, aku terus bersiap. Lepas tu aku keluar dari bilik dan memerhati keliling. Senyap sunyi. Aku melangkah ke dapur. Memang ada bihun goreng di bawah tudung saji. Ada air teh o juga. Azira ni baik orangnya. Walaupun tak berapa sihat, tapi sempat juga dia memasak untuk aku. Sedap pula tu.

Selesai sarapan, jam dah pukul 8 pagi. Aku tunggu kejap ingat kot Azira turun dari tingkat atas tapi takde. Mungkin dia masih tidur. Aku tak nak ganggu dia lalu aku terus keluar dari rumah Azira. Semalam Azira ada bagi aku kunci pendua. Dia suruh aku kunci je pintu dari luar. Katanya suaminya pun selalu buat macam tu.

Sebaik aku keluar dari pagar rumah Azira, telefon aku berdering. Aku berhentikan kereta di tepi jalan. Zara call. Aku terus angkat telefon.

“Kau kat mana? Apasal aku call tak jawab?” kata Zara tanpa salam terus terjah. Marah sangat bunyinya.

“Aku kat rumah kawan aku ni la. Tapi rumahnya kat kawasan berhutan, jadi line tak berapa elok. Sorry la, jangan marah ye,” aku memujuk Zara.

“Bila kau nak balik?” Zara tanya aku lagi.

“Kan aku dah beritahu kau, aku nak carikan ustaz untuk tengokkan rumah kawan aku ni. Macam-macam benda yang aku nampak kat rumah dia, memang ada penunggu,” kataku.

“Kau cadang nak cari ustaz mana?” Zara tanya aku.

“Aku cadang nak cari masjid berdekatan je, jumpa AJK mesti diorang tahu pasal ustaz yang pandai bab ni,” aku jawab.

“Tak payah, kau tunggu kat mana kau sedang berada sekarang ni. Aku datang bawa seorang ustaz,” kata Zara.

“Haa, lagi baik. Aku hantar location kat kau ye,” kataku lalu meletakkan telefon dan menghantar location kepada Zara.

Masa ni aku nampak ada banyak whatsapp dan missed call kat telefon aku. Zara saja dah 16 missed call. Pak Jabar pun call aku sejak semalam. Ada beberapa missed call lagi. Belum sempat aku buka whatsapp, pintu kereta aku diketuk oleh seseorang. Aku menoleh dan nampak seorang perempuan muda. Aku turunkan tingkap.

“Ya cik?” aku tanya dia.

“Cik datang dari rumah tu ke?” dia tanya aku sambil menunjukkan ke arah rumah Azira.

“Iye, kenapa?” aku tanya.

“Saya Kartina, saya adalah ejen hartanah. Saya dilantik untuk menjual rumah tu. Saya pun baru sampai tapi tadi saya nampak cik keluar dari rumah tu. Saya nak tegur, tapi nampak cik sedang cakap di telefon,” kata perempuan muda yang baru saja memperkenalkan dirinya sebagai Kartina.

“Maksud cik, rumah tu nak dijual?” aku bertanya. Kartina menganggukkan kepala.

“Siapa suruh jual?” aku tanya.

“Puan Sabariah, dia tuanpunya berdaftar rumah ni,” kata Kartina.

“Tapi kan menantu dan cucunya masih tinggal kat rumah tu?” aku tanya lagi.

“Itu saya tak tahu. Sebab saya cuma diarahkan untuk jual rumah tu. Sebab tu saya pelik bila nampak cik keluar dari rumah tu. Saya ingat rumah tu tak berpenghuni,” kata Kartina.

“Tak tahulah apa jenis mak mertua, menantu masih tinggal di situ, cucunya pun ada di situ. Tapi anak lelakinya dah lama tak balik sebab kerja kat laut. Paling tidak pun, tunggulah anak lelakinya balik. Baru selesaikan, nak jual ke nak apa,” kataku. Kartina diam sambil memandang ke arah rumah tu.

“Saya dengar dah beberapa orang yang menawarkan diri untuk beli rumah tu, tapi semua pun tak jadi. Ramai ejen dah cuba jual rumah tu, pun tak berjaya jual. Mungkin sebab ni lah, masalah keluarga mereka,” kata Kartina.

“Cik cubalah tanya balik kat Puan Sabariah tu. Tanya dia, rumah ni ada orang duduk tak. Tengok apa dia cakap,” kataku perlahan.

“Takpelah, saya cuba tanya Puan Sabariah dulu. Pening saya nak buat kerja macam ni,” kata Kartina.

Kartina melangkah ke keretanya. Seketika kemudian, Zara sampai. Ada sebuah kereta lain mengikut di belakangnya. Zara keluar dari kereta, begitu juga pemandu di dalam kereta yang mengikut kereta Zara tadi. Seorang lelaki dalam usia 40-an, tak nampak macam ustaz pun. Tapi dia pakai songkok, kemeja batik dan seluar slack hitam.

“Ayu, kau ke mana je la. Puas aku cuba call kau. Jawab telefon pun tak. Risau aku tahu tak?” kata Zara.

“Alaa, baru satu malam aku hilang dari radar, kau dah risau macam ni?” kataku sambil ketawa kecil.

“Satu malam?” Zara pandang aku.

“Assalamualaikum,” lelaki tadi memberi salam.

“Waalaikumussalam,” sahutku dan Zara.

“Oh, aku lupa pulak. Punyalah excited aku jumpa kau ni, sampai lupa kat Ustaz Saiful. Ustaz, inilah kawan saya yang saya ceritakan tu,” kata Zara memperkenalkan aku kepada Ustaz Saiful.

Ustaz Saiful pandang aku sambil tersenyum manis.

“Alhamdulillah,” dia bersuara. Aku pandang Zara, apasal pula tiba-tiba Alhamdulillah.

“Kenapa Ustaz?” Zara tanya.

“Takde apa. Jom kita tengok apa yang kamu cakap tadi,” kata Ustaz Saiful.

“Ayu, kau ceritakanlah pasal kawan kau tu. Mana rumah dia, bawa ustaz ke sana,” kata Zara.

“Rumah dia tu ha je. Saya pun baru je keluar dari situ, Mujurlah Zara call, sebab tu saya berhenti kat sini,” kataku menunjukkan rumah Azira.

“Jom kita pergi tengok rumah tu,” kata Ustaz Saiful.

“Kawan saya masih tidur tadi. Sebab semalam kami tak berapa dapat tidur sebab ada banyak gangguan,” kataku.

“Takpe, kita tengok rumahnya dulu,” kata Ustaz Saiful. Aku dan Zara berpandangan sesama sendiri.

Aku buka pintu rumah Azira. Lalu mengajak Ustaz Saiful masuk ke dalam rumah. Masa ni aku nampak Azira berdiri kat tingkat atas, memandang aku.

“Azira, ni aku bawakan ustaz untuk tengokkan rumah kau. Nanti dia tolong kau ye, kau jangan susah hati lagi,” kataku kepada Azira. Azira hanya tersenyum dan mengangguk memandang aku dari tingkat atas.

Aku menoleh ke arah Zara dan Ustaz Saiful, Zara pandang aku. Ustaz Saiful memandang Azira.

“Boleh tengokkan ke ustaz?” Zara tanya Ustaz Saiful.

“In Shaa Allah,” Ustaz Saiful menjawab tenang.

– Bersambung –

One thought on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s