JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 7

Aku tutup paip air. Aku pandang keliling. Tiada sesiapa. Dari sinki tu, aku intai keluar rumah melalui tingkap kaca yang terbuka sedikit. Aku nampak pergerakan. Aku tolak cermin tingkap agar terbuka luas sikit.

Aku nampak beberapa susuk tubuh di luar rumah. Seakan satu kumpulan. Ada perempuan, ada lelaki, ada kanak-kanak. Mereka berdiri di pinggir hutan dan memandang ke arah rumah Azira. Aku tak nampak jelas wajah mereka sebab gelap tapi aku nampak pakaian mereka dan pergerakan mereka. Mereka berjalan mundar mandir seperti menunggu sesuatu. Yang agak menyeramkan ialah mereka memandang ke arah rumah Azira.

“Krekkkkk,” Pintu dapur yang terletak di sebelah sinki, terbuka sendiri dengan perlahan. Aku tersentak seketika, meremang bulu roma. Lama aku pandang ke arah pintu tu. Menanti kalau-kalau ada yang masuk. Aku pandang ke arah sosok-sosok tubuh di pinggir hutan, mereka masih di sana.

Perlahan-lahan aku melangkah ke pintu dan menutup pintu tersebut kembali. Rasa macam kaki aku berat sangat nak melangkah. Nak angkat tangan pun rasa macam ada batu berat membebani bahu aku. Aku kunci pintu dapur. Aku tarik rak pinggan yang tak jauh dari pintu tu, lalu menahan pintu tu agar tak terbuka lagi.

Aku tutup suis lampu dapur dan terus melangkah ke ruang tamu, meninggalkan ruang dapur. Belum pun beberapa langkah aku meninggalkan ruangan dapur, bunyi paip air terpasang kembali. Ah sudah! Sekali lagi?

Aku menghentikan langkah, lalu mengundur beberapa tapak. Aku jenguk paip air di sinki, dalam kegelapan tu, aku memang dengar paip air terpasang. Kali ni bukan hanya paip air, tapi aku dengar bunyi seakan bakul sampah sedang digeledah. Aku cuba perhatikan bakul sampah dalam kegelapan tu, aku nampak sesuatu yang bergerak. Tapi aku tak pasti apa dia. Nampak seperti manusia yang sedang membongkok di tepi bakul sampah tu, menggeledah sampah yang aku buang dalam bakul sampah tu.

Aku beranikan diri mengangkat tangan aku ke arah suis lampu. Belum sempat aku petik suis lampu, aku dapat rasai kehadiran seseorang di tepi aku. Bulu roma aku meremang, kulit tangan aku berbiji-biji macam kulit ayam. Aku rasa macam aku berada di dalam peti sejuk bahagian sejuk beku waktu tu.

“Kenapa Ayu?” Azira tegur aku. Jantung aku yang seakan terhenti tadi, kini berdegup semula.

Aku pandang Azira yang memandang aku dengan wajah pelik. Aku letakkan jari telunjuk ke bibir aku, sebagai isyarat menyuruh Azira diam. Azira memahami dan dia merapati aku.

Aku tunjuk paip air yang terpasang dengan sosok tubuh yang sedang menggeledah bakul sampah.

“Siapa tu?” Azira berbisik kat tepi telinga aku. Aku angkat bahu.

Tap! Aku petik suis lampu. Terang benderang dapur tu. Namun tiada sesiapa di situ. Aku dan Azira berpandangan sesama sendiri.

“Tadi kau nampak tak paip tu dan benda yang menggeledah sampah tu?” aku tanya Azira. Azira anggukkan kepala.

“Kau tak pernah nampak ke benda-benda ni?” aku tanya Azira lagi.

“Ayu, dulu aku macam kau, siasat semua benda bila dengar bunyi macam ni dalam rumah. Tapi lama-kelamaan, aku jadi lali. Waktu macam ni, aku akan berada di bilik aku dengan anak aku. Aku kunci pintu bilik aku. Aku biarkan je, aku tak peduli walau aku dengar macam-macam bunyi. Sebab aku tahu aku tak boleh buat apa-apa kalau aku siasat sekalipun,” kata Azira.

“Kau taknak ambil tahu ke apa benda yang mengganggu rumah kau ni?” aku tanya lagi.

“Jika aku tahu, apa aku boleh buat?” Azira tanya aku. Aku terdiam.

“Esok aku panggil ustaz tengokkan rumah ni. Aku yakin ada sesuatu kat sini,” kataku. Azira diam.

Aku biarkan lampu dapur berpasang. Aku ajak Azira ke ruang tamu. Televisyen tak pasang macam tadi. Mata aku terpandang kat jam dinding, jarum jam menunjukkan pukul 10.

“Kau kata jam tu takde bateri. Tadi aku tengok jarum jam tu pukul 3, kenapa sekarang pukul 10. Macam bergerak je jarum jam tu,” aku tanya Azira. Azira pandang jam dinding tu. Lepas tu dia pandang aku dan angkat bahu. Wajahnya betul-betul macam kebingungan.

Aku tengok jam kat tangan aku. Dah pukul 12.30 tengah malam. Suara lolongan anjing makin galak bersahut-sahutan kat luar rumah, terlalu rapat dengan rumah, aku rasa macam kat tepi dinding rumah je.

Aku duduk di sofa, begitu juga Azira.

Aku ambil telefon aku, cuba whatsapp Zara. Tanya dia samada dia dah tidur. Tapi satu tick je. Zara dah off data agaknya. Memang Zara akan off data telefonnya lepas pukul 11 malam.

Aku cuba mesej Lukman, juga satu tick je. Cepat-cepat aku delete mesej aku, segan pulak malam-malam buta aku mesej lelaki bujang. Tiba-tiba rasa segan sendiri. Risau dia salah faham nanti.

“Kau mesej siapa Ayu?” Azira tanya aku.

“Aku cuba mesej kawan rumah aku, dan kawan tempat kerja aku. Kot-kot diorang oleh tolong carikan ustaz yang pandai tengokkan rumah kau ni.” Aku jawab.

“Diorang jawab tak?” Azira tanya lagi. Aku geleng kepala. “Diorang dah tidur kot,” kata Azira lagi. “Iyelah agaknya,” aku meyahut.

“Esoklah kau cuba lagi,” kata Azira. Aku anggukkan kepala.

“Jom la kita tidur,” Azira mengajak aku. “Jom,” aku menurut kata Azira.

Belum sempat kami melangkah lagi, tiba-tiba terdengar bunyi tapak kaki berlarian di tingkat atas. Diselangi dengan bunyi tawa anak-anak kecil seperti sedang gembira bermain. Langkah aku dan Azira terhenti. Kami berpandangan sesama sendiri.

“Siapa pulak tu?” aku tanya Azira. Azira angkat bahu.

“Dah la Ayu, jom kita masuk bilik. Aku rasa jantung aku dah nak pecah ni. Macam-macam pula yang keluar malam ni,” kata Azira.

“Maksud kau, selama ini kau memang dengar semua bunyi ni?” aku tanya Azira.

“Iye Ayu, aku dengar, aku nampak, semuanya. Sebab tu bila malam menjelang, aku hanya duduk dalam bilik. Aku takkan keluar. Kadang-kadang ‘mereka’ ketuk pintu bilik aku, memanggil-manggil aku. Aku pernah menangis sepanjang malam, sebab ketakutan,” kata Azira dengan suara terketar-ketar. Aku nampak air matanya mengalir. Mungkin dah lama ditahan.

“Kau rasa apa benda tu?” aku tanya dia.

“Aku tak tahu,” Kata Azira.

“Dari mula kau tinggal sini ke jadi macam ni? Atau sejak kebelakangan ni?” aku tanya Azira.

“Sejak tiga bulan lepas, masa usia Ayu Sofea dua bulan. Dan sejak benda ni semua terjadi, suami aku belum balik. Aku ingat nak tunggu dia balik, baru aku ceritakan semuanya. Harap-harap dia akan buat sesuatu,” kata Azira.

Bum! Tiba-tiba sebiji bola jatuh dari tingkat atas ke tempat kami berdiri. Aku pandang ke tingkat atas, aku nampak seorang budak kecil berdiri di pagar besi tingkat atas, dia memandang kami. Matanya hitam, mukanya pucat. Dia tak memakai baju, hanya berseluar pendek berwarna kelabu.

Aku beranikan diri mengambil bola tersebut. Budak lelaki itu menghulurkan tangan seolah cuba menyambut bola dari balingan aku di tingkat bawah. Aku baling bola itu ke tingkat atas, budak itu menyambutnya dan berlari terus sambil ketawa. Dan dia hilang begitu saja.

Aku melangkah ke tangga, cuba nak naik ke tingkat atas. Azira menahan aku. “Tak payah Ayu, aku takut,” katanya.

“Takpe, kau tunggu kat sini, biar aku je naik,” kataku. Entahlah dari mana keberanian ini datang. Aku betul-betul ingin tahu, siapa atau apa benda yang aku nampak ni. Mereka seakan berinteraksi dengan kami. Aku pernah dengar cerita pasal hantu, tapi aku tak pernah dengar hantu makan orang, atau hantu bunuh orang. Zaman sekarang, orang lagi bahaya dari hantu. Aku tak rasa ‘hantu’ tu akan apa-apakan aku.

“Ayu, jangan berani sangat. Kita tak tahu apa benda tu,” kata Azira masih memujuk aku.

“Aku pun takut Azira. Tapi aku nak tahu sangat apa benda tu,” kataku perlahan. Azira menangis menahan aku agar tak naik ke tingkat atas. Kesian pula aku tengok dia. Dah la ketakutan, sekarang risaukan aku pula.

“Kau kata esok nak cari ustaz kan? Kita minta ustaz tu saja yang cari jawapan kau tu. Sekarang jom la kita tidur. Biarlah apa pun benda dalam rumah ni. Mak aku pernah cakap, benda-benda ni jangan diganggu kalau tak begitu arif. Sebab kita tak tahu apa yang mampu mereka buat,” kata Azira perlahan.

Aku akur. Aku tarik balik sebelah kaki aku yang dah berada di anak tangga pertama. Azira tarik tangan aku, aku ikut je.

Tap! Lampu terpadam. Aku dengar bunyi suis utama jatuh. Sekarang apa pula? Dada aku berdebar. Aku memang berani tapi dalam cuaca terang. Kalau dalam kegelapan, aku agak goyah.

Azira melepaskan tangannya yang memegang aku tadi. “Azira,” aku panggil Azira sebab aku tak nampak apa-apapun. Aku pula yang takut sekarang.

“Azira, kau kat mana?” aku panggil lagi. “Sekejap, aku pergi tengok suis utama,” aku dengar suara Azira.

“Kau pandai tengok ke?” aku tanya. “Selalu dah suis tu jatuh,” aku dengar suara Azira menyahut. Tapi dia bukan kat tepi aku.

Aku buka telefon aku. Cari flashlight. Sebaik flashlight menyala, ada satu lembaga kat depan aku, berdiri memandang aku dengan wajah marah. Seorang perempuan tua, dan kalau tak salah aku, itu adalah perempuan tua yang aku nampak kat rumah aku dengan Zara, semalam. Aku terkejut, telefon aku tercampak.

Aku dapat rasa kaki aku sedang dicengkam kuat oleh sesuatu yang sangat kuat dan tajam. Macam kuku yang panjang. Suara aku tak boleh keluar. Aku dengar bunyi dengusan seakan rengusan anjing yang sedang marah. Lolongan anjing pun makin kuat dan dekat aku dengar.

Dalam aku bersusah payah menahan cengkaman di kaki yang menarik aku, tiba-tiba lampu terpasang. Suasana dalam rumah terang kembali. Aku pandang keliling, tiada sesiapa, tapi memang aku terbaring dan telefon aku berada tak jauh dari tempat aku terbaring.

Aku nampak Azira kat peti suis utama. Dia berlari ke arah aku dengan wajah risau.

“Kenapa ni?” dia tanya aku sebaik saja dia sampai kepada aku.

“Tadi ada perempuan tua, dia tarik kaki aku,” kataku. Azira pandang keliling.

“Dah, jom masuk bilik,” katanya sambil membantu aku bangun. Aku tak cakap apa dah, aku terus ikut Azira masuk bilik. Walaupun dari tepi mata aku, aku tahu ada kelibat seseorang memandang kami dari arah dapur. Aku serik, aku taknak pandang dah. Kami masuk bilik. Azira kunci pintu bilik.

“Aku rasa kita dah kejutkan mereka,” kata Azira sambil berjalan mundar mandir di dalam bilik tu dengan wajah bimbang.

“Kejutkan siapa?” aku tanya.

“Penunggu rumah ni. Aku rasa rumah ni ada penunggu. Sebab sejak tiga bulan lepas, aku selalu dengar suara-suara orang lain dalam rumah ni. Aku dengar dengan jelas. Mereka seakan hidup berkeluarga dalam rumah ni. Ada anak kecil, ibu dan ayah. Suara tu ada macam-macam. Dan selalu bertukar. Mula-mula suara lain, lepas sebulan suara lain, dan kali ni aku rasa suara lain pula. Mereka macam silih berganti.” Kata Azira dengan wajah risau dan keliru. Tubuh badannya terketar-ketar.

Aku pandang tepat ke wajah Azira. Aku hentikan langkahnya. “Azira, bertenang ok. Esok kita cari ustaz. Kita cari punca semua ni,” kataku memujuk. Azira hanya anggukkan kepala.

“Pergilah tidur kat tepi anak kau,” aku cakap kat Azira. Azira seperti kebingungan, terus naik ke katil dan baring di sebelah anaknya. Aku hanya memandang. Dan entah kenapa, dan entah dari mana idea ini diilhamkan kepada aku, aku rasa Azira dah gila kerana terlalu lama berhadapan dengan situasi rumah ini yang memang berpenunggu. Aku mesti selamatkan Azira dan anaknya.

– Bersambung –

One thought on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s