JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 6

Selesai solat maghrib, aku keluar dari bilik bila terdengar bunyi televisyen berpasang. Aku pandang keliling ruang tamu, tiada sesiapa tapi televisyen berpasang. Aku melangkah ke dapur bila terdengar bunyi air paip terpasang.

Kat dapur aku nampak Azira sedang membasuh pinggan di sinki. “Azira, kau buat apa? Tak payah la masak apa-apa dah. Aku dah kenyang. Jom kita duduk kat ruang tamu,” aku menegur. Tiada sahutan.

“Azira?” aku panggil lagi. Azira masih tak menyahut, dia masih berdiri membelakangkan aku di sinki. Tapi paip air dah ditutup. Aku melangkah perlahan mendekati Azira yang masih berdiri kaku di sinki.

Tiba-tiba aku dengar bunyi tangisan bayi di belakang aku, aku menoleh. Azira berdiri di pintu dapur sambil mendukung Ayu Sofea yang merengek-rengek. Berkerut dahi aku bila nampak Azira berdiri di situ. Aku menoleh semula ke arah sosok tubuh yang berdiri di sinki tadi, dah tiada sesiapa di situ.

“Kenapa ni Ayu?” Azira tanya aku.

“Tadi aku nampak kau berdiri kat sini,” kataku.

“Aku baru je turun dari tingkat atas. Anak aku meragam, dia kembung perut agaknya,” kata Azira dan menepuk-nepuk belakang Ayu Sofea yang sedang dalam dukungannya.

Aku pandang semula ke sinki, tiada sesiapa di situ.

“Aku tak masak apa-apa Ayu. Tadi kau kata taknak makan malam ni. Kalau kau lapar, kita masak mee segera je la, boleh?” Azira tanya aku.

“Eh, tak. Aku memang taknak makan malam ni. Cuma tadi aku nampak macam……” aku berhenti bercakap bila aku nampak sesusuk tubuh perempuan tua keluar dari bilik utama.

“Azira, siapa tu?” aku tanya sambil menuding jari ke arah perempuan tua tu. Azira menoleh. Wajahnya berubah pucat. Dia mengundur beberapa langkah sehingga hampir melanggar aku.

“Siapa tu?” Bisikku.

“Aku tak tahu. Hari ini adalah kali pertama aku nampak dia. Selama hari ni, aku cuma dengar bunyi je dari bilik tu,” kata Azira, juga separuh berbisik. Wajahnya jelas ketakutan.

Kami diam di situ, sambil memerhatikan sosok tubuh perempuan tua tadi yang berjalan keluar dari bilik dan terus ke ruang tamu. Kami mengikutnya dari belakang. Tak tahu nak buat apa.

Lama susuk tubuh tu berdiri di tengah ruang tamu, diam terpaku kat situ.

“Kita nak buat apa ni?” Azira tanya aku. Aku angkat bahu.

Tiba-tiba pintu dapur terbuka sendiri dan daun pintunya terhempas kuat. Aku dan Azira berpaling melihat ke arah pintu yang terbuka luas tu.

“Pintu tu tak kunci ke?” Aku tanya Azira. “Aku dah kunci tadi,” Azira menyahut dengan suara yang terketar-ketar. Ya Allah, apa benda yang berada di dalam rumah ni sebenarnya.

Kami menoleh semua ke arah perempuan tua yang berdiri di ruang tamu tadi, tapi dia tiada di situ. Kami memerhati keliling, tidak kelihatan sesiapa di situ. Aku menoleh ke arah pintu dapur yang masih terbuka. Aku melangkah perlahan menuju ke pintu dapur, Azira mengikut belakang aku. Aku jenguk keluar pintu, tiada sesiapa, hanya kegelapan malam yang disinari bulan mengambang penuh.

“Auuuuuuu….!” Kedengaran anjing menyalak panjang dari arah hutan kat belakang rumah. Meremang bulu roma aku. Seketika kemudian aku dengar bunyi tapak kaki seseorang sedang berjalan di belakang rumah, seakan menuju ke arah kami yang sedang berdiri di pintu.

“Ayu, tutup pintu tu. Aku seram la,” kata Azira. Aku akur. Cepat-cepat aku tutup pintu tu dan menguncinya.

“Jom kita duduk kat ruang tamu. Kita fikirkan apa yang perlu dibuat. Kau ada Al-Quran tak?” aku tanya Azira.

“Kat bilik atas ada satu, kat dalam bilik yang kau guna pun ada satu, kat dalam almari tepi pintu,” kata Azira.

“Aku pergi ambil sekejap,” kataku. Azira anggukkan kepala. Aku terus masuk ke dalam bilik aku, lalu membuka pintu almari yang Azira katakan. Memang ada senaskah Al-Quran di situ. Aku mengambilnya dan membawa keluar dari bilik. Azira masih mendukung Ayu Sofea. Mujurlah Ain Sofea dah berhenti merengek.

Aku duduk di salah satu sofa. Aku pandang ke arah televisyen. “Kau tutup tv ke?” aku tanya Azira.

“Tutup tv? Tv tu memang dah rosak, dah lama tak boleh pasang,” sahut Azira.

“Tapi tadi tv tu berpasang, masa aku keluar bilik lepas solat maghrib,” kataku.

Azira pandang aku sambil kerutkan dahinya. “Setahu aku tv tu dah rosak la. Aku tak tahu siapa pasang, dan macammana tv tu boleh terpasang,” katanya.

“Takpelah.” Aku membuka Al-Quran, lalu membacakan beberapa surah di dalamnya. Azira duduk di sebelah aku sambil menyusukan Ayu Sofea.

Selesai aku membaca, aku dengar bunyi berdentum dentam dari dalam bilik utama. Seperti ada yang terlalu marah dan mencampak barang di dalam bilik itu. Aku pandang Azira. Azira angkat bahu.

Aku bangun, lalu melangkah ke arah bilik utama. Aku pulas tombol pintu, pintu itu berkunci dari dalam.

“Kau kunci ke?” Aku tanya Azira yang masih duduk di sofa menyusukan Ayu Sofea.

“Aku tak pernah kunci pintu bilik dalam rumah ni. Kuncinya pun entah kat mana,” sahut Azira.

Aku cuba pulas tombol pintu tu lagi, kali ni boleh pula. Aku buka pintu bilik tu walaupun dalam keadaan terketar-ketar sebab aku pun ketakutan. Aku tekan suis lampu. Terang bilik tu, tapi tiada apa yang pelik. Keadaan dan susunan barang dalam bilik tu sama macam yang aku tengok siang tadi. Tingkap bilik tu terbuka, dan langsirnya berayun laju seperti di tiup angin sedangkan aku tak dapat rasakan angin pun.

Aku melangkah ke tingkap, cadangnya nak tutup tingkap tu. Tapi belum sempat aku tarik daun tingkap tu, aku nampak pokok besar di tepi rumah tu bergoncang kuat seakan ada yang menggoncangnya dari atas pokok. Aku cuba fokuskan mata aku mencari objek yang menggoncang pokok tu, aku nampak kelibat satu benda putih yang melompat dari satu dahan ke dahan yang lain seakan monyet besar, tapi berwarna putih.

“Auuuuuuu….!” Sekali lagi aku dengar bunyi lolongan anjing di kejauhan malam. Cepat-cepat aku tarik daun tingkap tu lalu menutup dan menguncinya. Menggeletar tangan aku. Rumah ni betul-betul menyeramkan. Macammanalah Azira dan anaknya tinggal di sini sendirian sejak lima bulan yang lepas.

Aku melangkah keluar bilik. Aku tutup lampu, tapi lepas aku tutup lampu, aku nampak macam ada sosok tubuh tergantung di dalam bilik tu. Aku pasang lampu semula tapi takde pula bayangan yang tergantung tadi. Aku tutup semula lampu dan sosok tubuh tu ada di sana. Dua tiga kali aku pasang dan tutup lampu dalam bilik tu, keadaannya tetap sama.

“Kenapa Ayu?” Azira tanya aku tiba-tiba dari arah belakang aku.

“Aku macam nampak ada sosok tubuh orang terapung kat tengah bilik ni bila aku tutup lampu. Tapi bila aku pasang lampu, takde apa pula kat situ.” Kataku perlahan.

“Dah la Ayu, tutuplah pintu bilik ni. Aku takut la,” kata Azira, mukanya macam nak menangis.

Aku tutup pintu bilik tu dengan membiarkan lampu terpasang. Sebaik aku tutup pintu, aku dapat dengar dengan jelas, bunyi suis ditutup di dalam bilik tu. Cepat-cepat aku buka semula pintu tu, ternyata lampu bilik tu dah ditutup dan sosok tubuh yang terapung tadi tiada di situ. Bahkan tingkap bilik tu pun dah terbuka semula. Jelas sekali aku nampak pokok besar kat luar rumah masih bergoyang kuat.

Aku betul-betul takut dah. Aku tak tunggu lagi, terus tutup pintu bilik tu. Azira masih berdiri rapat dengan aku. Anaknya dah terlena di atas tilam yang dia letak kat ruang tamu.

Aku dan Azira duduk di sofa. Kami diam seketika.

“Apa benda semua tu? Aku rasa ada benda lain dalam rumah kau ni Azira,” kataku dengan nada perlahan.

Azira hanya diam.

“Kau tak cuba panggil ustaz ke tengokkan rumah ni?” aku tanya.

“Aku nak panggil ustaz mana? Aku bukannya kenal orang kat sini,” kata Azira.

“Nanti aku cuba tanya kawan-kawan aku kalau mereka boleh kenalkan aku dengan mana-mana ustaz yang boleh ‘bersihkan’ rumah kau ni,” kataku sambil memerhati keliling rumah. Aku masih merasakan ada mata yang memerhati kami di dalam rumah tu.

Aku tengok jam dinding, pukul 3. Aku kerutkan dahi. Aku tengok jam tangan aku, pukul 10 malam. “Jam tu dah habis bateri,” kata Azira bila dia perasan aku pelik tengok jam dinding rumahnya.

“Kenapa kau tak suruh aku beli bateri tadi?” kataku. “Aku pun tak ingat. Banyak sangat barang yang rosak dalam rumah ni,” kata Azira. Aku diam.

“Kau bawalah anak kau tidur kat bilik. Aku pun nak solat isya’ lepas tu nak mesej kawan aku, tanyakan hal ustaz tu,” kataku.

“Aku takutlah Ayu,” kata Azira.

“Selalu kau sendirian, berani pula,” aku tanya.

“Aku takut juga, tapi aku tiada pilihan. Lagipun selama ni aku tak nampak benda-benda tu semua. Aku cuma dengar bunyi, aku tak nampak benda macam hari ni,” kata Azira, matanya liar memandang keliling rumahnya sendiri.

“Habis tu, sekarang macammana? Takkan kau taknak tidur sampai pagi?” aku tanya Azira.

“Aku tidur dengan kau sekali la, boleh?” Azira tanya aku. Aku diam. Ada rasa simpati kepadanya. Patutlah dia nampak macam tak betul dah, rupanya dia terpaksa menjalani kehidupan sedemikian rupa sendirian.

Aku tekad, esok aku nak cari mak mertua dan suaminya. Tak dapat jumpa suaminya sekalipun, aku akan cuba dapatkan alamat tempat kerjanya. Dia perlu balik untuk bantu isteri dan anaknya. Ini betul-betul dah melampau.

“Boleh ye Ayu, aku dan anak aku tidur sekali kat bilik kau,” Azira menegurku sekali lagi. Aku anggukkan kepala. Cepat je Azira melangkah ke arah anaknya dan mengangkat Ayu Sofea masuk ke bilik aku. Aku pun mengikut sekali. Azira bentang tilam di satu sudut dalam bilik tu.

“Kau dan anak kau tidurlah kat atas katil tu. Biar aku je tidur kat bawah,” kataku.

“Tak elok pula macam tu. Kau tu tetamu, takkan nak tidur kat lantai,” kata Azira.

“Aku tak kisahlah. Tidur kat mana-mana pun boleh. Dah, angkat anak kau tidur kat atas katil. Biar tilam tu kat situ, nanti aku tidur kat situ. Sekarang aku nak solat Isya’ dulu,” kataku.

Azira akur, dia angkat Ayu Sofea lalu membaringkannya di atas katil.

“Kau dah solat Azira?” aku tanya Azira.

“Aku uzur,” Azira menyahut. Aku diam lalu melangkah ke bilik air.

Selesai solat Isya’ aku buka telefon aku. Azira dah terlena di atas katil bersama anaknya.

Tiada line. Aku bangun dan cuba bergerak di dalam bilik itu untuk mendapatkan line. Tapi tak berjaya. Mungkin sebab rumah tu terletak berhampiran dengan hutan, menyebabkan line agak teruk di situ.

Aku buka pintu bilik, nak cuba cari line kat luar bilik, kot ada. Sebaik aku buka pintu bilik, aku tengok televisyen berpasang. Meremang bulu roma aku masa ni. Azira kata televisyen rumahnya dah lama rosak. Aku beranikan diri menghampiri televisyen yang sedang terpasang. Aku cari wayarnya. Aku cari suisnya. Plugnya tak bersambung pada mana-mana suis! Ahh sudah! Macammana televisyen tu terpasang tanpa arus elektrik? Takkan guna bateri kot?

Aku dengar bunyi air paip terpasang. Dada aku berombak kencang dah. Aku tak tahulah sementara nak sampai subuh, apa lagi yang terjadi. Nak taknak aku terpaksa melangkah ke dapur, untuk melihat siapa pula yang memasang air paip tu.

Sampai kat dapur, aku petik suis lampu. Aku pandang sinki, memang betul air paip berpasang tapi tiada siapa di situ. Aku pandang keliling, tiada siapa. Walau aku terasa kehadiran seseorang di situ. Seperti bukan seorang, bukan dua orang, tapi ada ramai.

– Bersambung –

One thought on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s