JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 5

“Kenapa Ayu?” Azira menegur aku.

“Tadi aku nampak ada orang mengintai melalui tingkap tu. Tapi bila aku panggil, dia lari,” kataku masih cuba mencari-cari kelibat orang yang mengintai tadi.

“Biarkan je la Ayu. Kau habiskan makanan kau, pergilah solat dan rehat. Aku pun nak tidurkan anak aku. Nanti petang kita sembang lagi. Banyak yang aku nak ceritakan kat kau,” kata Azira, masih lagi mendukung bayi kecilnya.

Aku dah tak lalu nak habiskan nasi ayam aku. Tak banyak pun yang tinggal. Aku angkat bekalan nasi tu dan masukkan ke dalam bakul sampah. Lepas tu aku basuh tangan.

Aku ikut langkah Azira menuju ke arah bilik satu lagi di tingkat bawah. Azira buka pintu bilik. “Betul kau taknak gunakan bilik kat tingkat atas?” Azira tanya aku lagi.

“Takpelah, aku kat bawah ni je cukup.” Sahutku sambil melangkah masuk ke dalam bilik tu. Cantik bilik tu, masih tersusun kemas. Dengan sebuah katil queen, almari baju 4 pintu, meja solek dan ada pintu untuk masuk ke bilik air dapur. Maknanya dari dalam bilik pun aku boleh terus masuk ke bilik air tanpa perlu keluar dari bilik.

“Cantik bilik ni. Rajin kau kemas rumah ni,” kataku memuji.

“Apa lagi yang aku nak buat Ayu. Kemas je la rumah ni,” kata Azira.

Aku letakkan beg aku di sebuah meja sisi kat dalam bilik tu. Keluarkan telekung. Azira bagi kat aku sejadah dan tuala baru.

“Kau rehatlah. Aku naik tingkat atas dulu,” kata Azira.

“Ok Ayu. Terima kasih,” kataku.

“Aku yang patut ucapkan terima kasih kepada kau. Hanya kau saja yang melawat aku. Jujur aku kata, aku sangat-sangat gembira kat datang jenguk aku dan anak aku,” kata Azira.

Aku bangun dari kerusi malas. Aku melangkah menghampiri Azira dan anaknya. Aku pegang pipi bayi kecil itu yang kelihatan mengantuk. Tapi dia masih memandang ke arah aku dengan mata bulatnya. Comelnya.

“Siapa nama anak kau ni?” aku tanya sambil mengusap pipi gebu anak kecil itu.

“Ayu Sofea,” sahut Azira. Aku senyum.

“Kau tahu tak mana aku dapat nama tu?” Azira tanya aku. Aku hanya pandang Azira meminta dia memberitahu aku.

“Ayu adalah nama kawan yang pernah bersama aku, satu-satunya kawan aku dari sekolah yang tak pernah lupakan aku. Sofea adalah nama pilihan suami aku. Dia yang nak sangat anak perempuan untuk namakannya Sofea. Dua insan ini yang memenuhi hidup aku. Membuatkan aku rasa diri aku masih dihargai.” Kata Azira. Sebak pula dada aku mendengarnya.

“Ramai lagi kawan kau di luar sana Zira. Kau je yang taknak bergaul dengan mereka,” sahutku.

Azira tak menjawab. Dia melangkah ke tangga untuk naik ke tingkat atas. Aku pula tutup pintu bilik dan bersiap untuk solat zohor. Lepas solat aku terlelap dengan kain telekung masih di tubuh. Sejuk dingin je rumah tu, mungkin sebab banyak pokok di keliling rumah. Kawasan belakang banglo tu pula hutan simpan, lagi la banyak pokok di situ yang membuatkan udara di situ masih dingin dan segar.

Aku tersedar bila aku dengar bunyi tingkap bilik tu tertutup dan terbuka sendiri seperti ditiup angin yang kuat. Aku buka mata. Masa ni aku terasa seperti ada seseorang sedang memerhatikan aku. Aku terus memandang ke arah tingkap yang sedang terbuka. Aku nampak seseorang, seakan budak lelaki dalam usia 10 tahun. Budak lelaki itu lari setelah nampak aku melihat dia.

Aku berlari ke tingkap dan memerhatikan budak lelaki tadi. Dia berlari ke arah hutan di belakang kawasan rumah.

“Ayu,” aku dengar Azira memanggil aku dari luar bilik.

Aku buka pintu. “Tadi aku nampak ada seorang budak lelaki menjenguk ke dalam bilik ni, bila dia nampak aku, dia terus lari ke kawasan hutan di belakang rumah ni,” kataku memberitahu Azira.

“Kau akan nampak lebih dari tu nanti. Cepatlah, aku ada goreng cucur kat dapur, jom kita makan sama-sama,” kata Azira sambil tersenyum memandang aku dan terus melangkah tinggalkan aku. Aku masuk semula ke dalam bilik lalu mengambil wudhu dan menunaikan solat Asar.

“Azira, kau tak cuba cari mak mertua kau ke?” Aku tanya Azira masa kami makan cucur udang yang Azira masak menggunakan tepung segera yang aku beli tadi.

“Dia tak suka aku, kenapa pula aku nak cari dia?” Azira tanya aku.

“Kau taknak jumpa anak sulung kau ke?” aku tanya lagi.

“Aku pernah merayu agar mak mertua aku pulangkan anak aku. Sebab masa dia ambil, dia kata nak ambil sekejap je. Tapi bila dah berbulan dia tak hantar anak aku, sampai satu hari tu dia datang sini, aku merayu nak jumpa anak aku. Dia tak pedulikan rayuan aku. Dia hanya pandang aku dengan kebencian,” kata Azira dengan nada sebak.

“Suami kau?” aku tanya lagi, cuba menukar topik mak mertuanya.

“Aku rasa dalam sebulan dua ni, suami aku akan balik.” Sahut Azira lagi. Aku pelik sebab dia nampak tenang je walau dalam suasana ni.

“Kau taknak balik kampung ke? Tinggal dengan mak kau. Bila suami kau balik, kau baliklah duduk sini.”

“Mak aku tak tahu kesusahan aku kat sini. Sebab aku tak pernah ceritakan kepadanya. Aku taknak mak aku susah hati. Kau pun tahu, hidup mak aku dah cukup susah. Suami aku baik sangat, dia tetap bagi belanja kat mak aku, sampai sekarang. Jadi, aku taknak mak aku fikir aku nak memburukkan mak mertua aku sedangkan mak aku tahu mereka ni dari keluarga baik-baik,” kata Azira.

“Haritu kau kata, kau syak ada sesuatu dengan mak mertua kau. Apa dia?” aku tanya Azira.

“Aku selalu nampak mak mertua aku di dalam rumah ni terutama pada malam hari Selasa dan Sabtu. Aku nampak dia berjalan ke sana sini dalam rumah ni. Aku pernah nampak dia seakan terbang berayun dari tingkat atas ke tingkat bawah.” Kata Azira sambil menggosok lengannya dan memandang keliling dengan wajah yang agak keliru.

“Setiap malam hari selasa dan sabtu?” aku tanya lagi. Sebab tiba-tiba aku teringat hari ni adalah sabtu.

“Haah. Kadang tu dia selongkar bakul sampah, selerakkan pakaian dalam almari. Sebab tu aku kosongkan semua almari baju.” Kata Azira.

“Kau yakin itu mak mertua kau?” aku tanya lagi.

“Aku tak nampak jelas. Tapi dari sosok tubuhnya, itu memang mak mertua aku. Tapi takkanlah mak mertua aku boleh terbang kan. Dan datang rumah aku malam-malam buta.” Kata Azira.

“Jadi kau rasa apa benda tu?” aku tanya lagi.

“Entahlah. Aku rasa mak mertua aku ada bela hantu. Mungkin hantu tu yang aku nampak tu,” kata Azira.

“Hish kau ni. Mana ada orang bela hantu sekarang ni,” sahutku cuba menenangkan hati aku sendiri.

“Nanti kau tengoklah sendiri,” kata Azira.

“Kalau betullah itu hantu mak mertua kau, apa dia buat kat sini?” aku tanya lagi.

“Mungkin mak mertua aku nak aku keluar dari rumah ni. Atau mak mertua aku nak pisahkan aku dengan suami aku. Atau mak mertua aku suruh hantu dia jaga rumah ni ke,” kata Azira dengan wajah selambanya. Aku pula yang cuak.

“Aku tak rasa macam tu. Mungkin ada cerita lain di sebaliknya. Jiran-jiran kau kat sini tak datang jenguk kat dengan anak kau ke?” aku bertanya lagi.

“Masa mula-mula aku lahirkan anak aku dulu, ada juga mereka datang. Lepas ada satu hari tu, mak mertua aku datang, dia sembang apa entah dengan makcik sebelah rumah ni, terus makcik tu tak datang dah rumah aku. Pernah sekali aku nampak makcik sebelah ni siram pokok bunga dia, aku keluarlah nak tegur dia, tapi makcik tu terus masuk rumah dia tutup pintu. Macam benci sangat tengok aku. Lepas tu aku tak pergi jumpa dia. Kalau aku nampak makcik tu pun, aku intai ikut tingkap je. Itupun makcik tu asyik terjenguk-jenguk ke rumah aku,” kata Azira.

Aku diam.

“Kat sini masjid terdekat kat mana? Sebab aku tak dengar bunyi azan pun.” Tegurku.

“Masjid jauh. Yang dekat ni surau. Jarang dengar bunyi azan,” kata Azira.

Aku terus diam, menikmati cucur dan teh panas. Hinggalah kami dikejutkan dengan bunyi tangisan Ayu Sofea dari bilik di tingkat atas. Azira berlari mendapatkan anaknya. Aku pula membuka pintu dapur dan menjenguk keluar.

Dari pintu rumah, aku nampak beberapa budak dalam usia 10 hingga 12 tahun, berdiri di tepi hutan di belakang rumah Azira, sambil memandang ke arah aku. Wajah masing-masing kelihatan pucat, memandang aku seolah ketakutan.

Aku lambaikan tangan ke arah mereka. Lalu mereka bertempiaran lari seperti nampak hantu. Aku melangkah keluar rumah, berjalan-jalan melihat sekitar halaman. Melihat-lihat pokok bunga yang seperti kekeringan. Aku tarik paip air dari tepi pagar, aku siram semua pokok.

Aku nampak seperti ada sesuatu yang bergerak di bahagian belakang rumah. Aku melangkah perlahan-lahan ke belakang rumah. Aku terkejut bila nampak sosok tubuh seorang perempuan tua, dengan rambut putih mengerbang panjang sedang berdiri mengintai melalui tingkap dapur. Dia seperti tak menyedari kehadiran aku di situ. Aku pandang perempuan tua itu, memakai kain batik lusuh, dengan baju kebaya berwarna coklat yang juga lusuh.

“Makcik?” aku beranikan diri untuk menegurnya.

Perempuan tua itu menoleh ke arah aku, wajahnya agak menyeramkan untuk kala senja macam ni. Matanya yang cengkung dengan bola mata dah tenggelam ke dalam kelopak mata, hidungnya yang memanjang hingga ke dagu, dia tersenyum tanpa gigi dan bibirnya yang hitam seakan kayu mati.

Kami berpandangan seketika. Aku tergamam dan dia juga kelihatan tergamam. Kaki aku terpaku di tanah. Aku lihat makcik tua itu seakan menjauh dari aku dan terus hilang dari pandangan. Aku seperti berkhayal.

“Ayu?” aku tersentak bila nama aku dipanggil. “Astaghfirullahal azim,” ucapku.

“Kenapa ni?” Azira menegur aku dari pintu dapur yang terbuka. Aku masih diam.

“Kau nampak apa Ayu?” Azira tanya aku lagi. Aku gelengkan kepala, tak tahu nak cakap apa. Aku sendiri tak pasti samada apa yang aku nampak tadi adalah nyata atau khayalan aku semata-mata.

“Dah, masuklah dalam rumah. Dah senja ni. Hari ni Sabtu, hati-hati sikit,” kata Azira, buatkan dada aku tiba-tiba berdebar.

Aku tak cakap apa-apa. Aku masuk ke rumah tapi mata aku memandang ke arah hutan belakang rumah sebab aku yakin perempuan tua tadi, termasuk budak-budak kecil tadi, berada di dalam hutan tu. Siapakah mereka? Atau apakah mereka sebenarnya? Adakah aku yang berhalusinasi?

Sebaik masuk ke dalam rumah, telefon aku berbunyi laungan azan menandakan dah masuk waktu maghrib. “Kau pergilah mandi dan solat. Nanti aku masakkan bihun goreng untuk kita makan makan. Kau ok kan kalau kita makan bihun goreng je malam ni?” Azira tanya aku.

“Aku rasa kenyang lagi makan cucur kau tadi. Tak payah masaklah kalau untuk aku. Kau masak untuk kau je. Kalau lapar nanti, aku boleh makan biskut cicah kopi je,” kataku.

“Betul kau dah kenyang? Taknak makan?” Azira tanya aku lagi.

“Betul. Kau jangan risaukan aku. Aku nak mandi dan solat. Kau pergilah uruskan anak kau,” kataku. Azira anggukkan kepala lalu memanjat tangga dan naik ke tingkat atas.

Aku terus masuk ke bilik aku. Mandi dan solat. Tak tahulah kenapa, aku rasa seperti diperhatikan. Macam ada mata-mata di setiap sudut rumah tu. Sesekali terdengar bunyi orang melangkah dan berjalan-jalan dalam rumah tu sedangkan tiada siapa di situ melainkan aku dan Azira.

– Bersambung –

One thought on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s