JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 4

“Boleh aku tengok bilik tu?” aku minta izin. Azira mengangguk memberi izin. Aku bangun dan berjalan perlahan ke arah pintu bilik utama tu. Aku rapatkan telinga ke pintu, kot la boleh dengar bunyi apa-apa. Tapi aku tak dengar apa-apa bunyi.

Aku pulas tombol pintu bilik tu perlahan-lahan, lalu membukanya. Aku lihat tingkap terbuka dan langsir berayun laju seakan ditiup angin yang kuat.

“Kau memang tak tutup ke tingkap dalam bilik ni?” aku tanya.

“Aku tutup. Tapi setiap kali aku jenguk bilik ni, tingkap tu memang terbuka. Aku tak tahu siapa buka. Sekarang aku biar je,” kata Azira yang masih duduk kat tempatnya tadi sambil meriba bayi kecilnya.

Aku melangkah masuk ke dalam bilik tu perlahan-lahan. Dada aku berdebar. Tak tahulah samada sebab cerita Azira atau memang ada sesuatu kat dalam bilik tu. Aku terasa macam ada mata yang memerhatikan tapi aku tak nampak sesiapa kat dalam bilik tu. Bilik tu kelihatan kemas tersusun, tiada habuk walaupun menurut kata Azira, dah lama dia tak masuk bilik tu.

Tiba-tiba pintu almari di bahagian kiri bilik tu terbuka sendiri. Berderau jantung aku sekejap. Aku melangkah perlahan ke arah almari tu, jenguk ke dalam almari tu tapi tiada apa. Kosong. Aku rasa macam ada angin yang meniup wajah aku. Seakan ada yang bernafas di dalam almari tu. Cepat-cepat aku tutup pintu almari tu.

Sebaik aku tutup pintu bilik tu, tiba-tiba ada seseorang berdiri di luar tingkap bilik yang terbuka. Sedang memandang aku. Aku terjerit sedikit kerana terkejut. Meremang bulu roma aku.

“Cik Ayu. Lama dah saya panggil kat luar sana, tiada yang menyahut. Nasib baik saya nampak kereta Cik Ayu, tu yang saya masuk terus tu,” aku dengan suara lelaki, lalu aku buka mata aku melihat ke arahnya.

Pak Jabar, tukang kebun kat tempat kerja aku berdiri kat tingkat sambil memandang aku dengan wajah pelik. “Cik Ayu ok ke?” dia tanya aku lagi.

“Pak Jabar. Saya ingatkan siapa tadi. Saya ok. Sekejap saya keluar,” kataku mengurut dada bila melihat Pak Jabar yang berdiri di situ.

Aku terus keluar dari bilik tu dan terus ke pintu keluar. “Ayu, kau nak ke mana?” Azira tanya aku.

“Pak Jabar, tukang kebun yang aku cakap tu dah sampai. Dia panggil kat luar tadi, kita tak sedar kot,” kataku. Azira diam.

Aku keluar dari rumah dan memberi arahan kepada Pak Jabar untuk memotong rumput keliling rumah.

“Cik Ayu baru beli rumah ni ke?” Pak Jabar tanya.

‘Taklah, rumah kawan saya. Dah lama takde orang potong rumput,” sahutku.

“Ooo… Ingatkan Cik Ayu baru beli rumah ni. Rumah ni cantik, cuma nampak macam dah tak berjaga. Macammana la kawan Cik Ayu tinggal kat dalam rumah bersemak macam ni. Tak takut ular ke, atau binatang berbisa,” Bebel Pak Jabar sambil membetulkan semua peralatan mesin rumputnya.

Aku tak menjawab, aku masuk semula ke dalam rumah. Azira tiada di tempatnya tadi. Aku panggil. Azira menyahut dari tingkat atas, katanya nak tidurkan bayinya. Aku anggukkan kepala je.

Aku terus berjalan ke bahagian dapur. Segala peralatan masih ada. Aku buka peti sejuk, kosong. Aku buka beberapa kabinet dapur, semua kosong. Aku termenung sekejap. Tiada apa di dapurnya. Kesian sungguh. Macammana dia hidup dengan bayi kecilnya? Terasa kejamnya si ibu mertua membiarkan cucu dan menantunya sendirian kesusahan begitu.

“Kat sini rupanya kau Ayu. Aku cari kau kau ruang tamu tadi.” Tiba-tiba Azira menegur aku.

“Aku minta maaf, aku jenguk peti sejuk dan kabinet dapur kau. Kosong je. Kau makan apa je?” aku tanya.

Azira tunduk, wajahnya sugul. “Aku seorang je Ayu, nak makan apa sangat. Kadang-kadang aku buat bubur nasi je. Anak aku masih menyusu badan, tak makan makanan lain. Ada waktu, kalau ada orang jual ikan lalu depan rumah, aku beli la. Ni kebetulan aku memang dah lama tak beli barang basah.” Kata Azira.

“Kau ada duit belanja?” aku tanya.

“Ada, suami aku memang masukkan duit ke dalam akaun bank aku. Aku cuma perlu pergi ambil je. Cuma sekarang ni aku tak boleh keluar,” sahut Azira.

“Takpelah, sekejap lagi jom kita keluar beli barang dapur. Aku bawa kau ke kedai,” kataku.

“Anak aku sedang tidur. Kalau aku minta tolong kau je untuk beli boleh tak?” Azira tanya aku.

“Bolehlah. Nanti aku keluar belikan. Kau tulis apa yang kau perlukan. Beli banyak-banyak, aku pun tak boleh selalu jenguk kau.” Kataku.

“Malam ni kau tidur sini kan?” Azira tanya aku.

“Iye, malam ni aku temankan kau ye,” sahutku. Azira tersenyum lebar, merah pipinya, jelas kelihatan lesing pipitnya. Nampak jelas dia gembira sebab ada peneman.

Lebih kurang pukul 11 pagi, Pak Jabar telah selesaikan tugasnya. Cantik dah keliling rumah tu. Aku mendapatkan Pak Jabar dan membayar upahnya.

“Berapa orang tinggal kat rumah ni?” Pak Jabar tanya aku.

“Dua orang je, kawan saya dengan bayi kecilnya baru berusia 5 bulan,” sahutku.

“Tadi Pak Jabar nampak ada seorang perempuan tua kat belakang rumah. Itu ke kawan kamu? Dah tua macam tu masih ada bayi kecil?” Pak Jabar tanya aku. Aku menoleh ke bahagian belakang rumah. ‘Perempuan tua?’ desis hati kecilku.

“Mana ada perempuan tua dalam rumah ni Pak Jabar. Kawan saya tu lebih kurang usia saya je,” sahutku.

“Ada tadi, masa Pak Jabar sedang mesin rumput kat belakang. Dia tegur Pak Jabar, katanya kenapa mesin rumput ni. Pak Jabar beritahu kau upah Pak Jabar mesin rumput ni. Dia macam tak berapa suka.” Kata Pak Jabar sambil memasukkan semua peralatannya ke dalam bonet kereta proton saganya.

“Perempuan tua tu ke mana lepas tu?” aku tanya.

“Pak Jabar tak pandang dia dah, terus je mesin rumput. Sedar-sedar dia dah takde kat situ,” kata Pak Jabar. Aku diam. Menoleh sekali lagi ke bahagian belakang rumah Azira.

“Pak Jabar balik dulu la ye. Terima kasih,” kata Pak Jabar sambil menghidupkan enjin keretanya dan berlalu pergi.

Aku pula yang berkerut dahi di situ. Aku berpaling memandang keliling rumah Azira. Nampak cantik semula sebab semua lalang dah ditebas. Aku melangkah perlahan ke arah belakang rumah. Aku perhatikan sekeliling, tapi aku tak nampak sesiapa.

“Anak beli rumah ni ke?” Tiba-tiba aku dengar seseorang menegur. Aku pantas menoleh ke arah suara tu. Ada seorang wanita dalam usia mak aku, sedang berdiri di dalam pagar rumah sebelah.

“Tak makcik, saya tolong kawan saya bersihkan je,” sahutku sebaik ternampak makcik tu.

“Tu la, dah lama lalang dan semak samun. Makcik bukannya apa, risau ular atau binatang bisa je. Tuan rumah ni pun dah lama tak nampak rupa. Dulu ada juga dia datang bersihkan keliling rumah. Tapi sekarang dah tak nampak dia datang sini, lama dah. Last dia datang dulu, katanya nak jual rumah ni.” Kata makcik tu.

“Tapi anaknya masih tinggal kat sini kan?” aku bertanya.

“Anaknya kerja ikut kapal. Setahun balik sekali je kot. Dia balik ke tak pun makcik tak perasan. Sebab tu rumah ni dah tak berjaga,” kata makcik tu lagi.

“Ayu,” aku menoleh bila terdengar suara Azira memanggil aku.

“Takpelah makcik, saya masuk dulu ye,” kataku kepada makcik sebelah rumah. Makcik tu pun anggukkan kepala tapi memandang aku dengan wajah penuh tandatanya. Aku melangkah pantas ke hadapan rumah dan masuk ke dalam rumah.

Azira berdiri di ruang tamu sambil mendukung bayinya.

“Azira, aku keluar pergi beli barang keperluan kau. Bayi kau dah bangun ni, jom la ikut sekali. Senang nanti kau tengok apa kau nak,” kataku.

“Aku taknaklah Ayu. Kau je pergi. Bawa anak kecil ni bukannya senang. Nanti dia meragam susahkan kau je. Lagipun dia terlalu kecil untuk bawa dia keluar.” Kata Azira.

“Mana senarai barang yang nak beli?” aku tanya.

Azira menghulurkan beberapa keping duit kertas lima puluh ringgit. Aku menyambutnya.

“Kau belilah apa yang patut. Aku ikut je. Selama hari ni pun aku Cuma tunggu di rumah, suami aku yang belikan semuanya untuk aku. Dulu suami aku akan minta Pak Mail tu hantarkan barangan ke rumah ni setiap minggu, tapi sekarang ni Pak Mail tu dah tak hantar barang. Kau belikan je la apa-apa ye Ayu.” Kata Azira.

“Jadi, aku beli ikut apa yang aku rasa perlu la ye. Anak kau pakai pampers jenama apa?” aku tanya.

“Apa-apapun takpe,” sahut Azira.

Aku keluar dari rumah dan masuk ke dalam kereta. Aku meninggalkan perkarangan rumah Azira. Dari cermin sisi, aku nampak Azira melambaikan tangan ke arah ku dari pintu rumahnya.

Setelah selesai membeli semua barangan yang aku rasakan perlu, aku kembali ke rumah Azira lebih kurang jam 2 petang. Sesampainya di rumah, Azira masih berdiri di muka pintu sambil mendukung anaknya. Dia tersenyum memandang aku.

“Banyaknya barang kau beli Ayu. Cukup tak duit yang aku bagi tu?” Azira tanya aku dengan mata terkebil-kebil melihat barangan yang aku beli.

“Cukup. Kau jangan risau. Sekarang dah pukul 2 petang, jom kita makan dulu. Aku dah belikan nasi ayam. Kita makan sama-sama. Lepas makan aku nak solat. Kau nak aku tidur kat mana malam ni? Senang aku letak barang aku,” kataku sambil menyimpan beberapa barangan basah ke dalam peti sejuk.

“Ikut suka kau. Nak guna bilik bawah pun boleh, nak guna bilik atas pun boleh. Kalau bilik bawah, jangan guna bilik utama tu je, sebab itu bilik mak mertua aku,” kata Azira.

“Kalau macam tu, aku guna bilik yang satu lagi kat bawah tu je la. Boleh?” aku tanya Azira sambil mengeluarkan bungkusan nasi ayam dari dalam plastik dan menghidangkannya di atas meja. Azira hanya memandang sambil meriba anaknya yang sedang menyusu.

“Boleh je.” Kata Azira lagi.

Aku duduk dan makan bersama Azira. Kelihatan Azira makan dengan berselera, seakan dah lama tak merasai nikmat makan sebegitu rupa. Aku betul-betul kesian melihatnya. Aku cadang nak pujuk dia untuk keluar dari rumah tu dan balik ke rumah maknya di kampung.

Sedang kami makan, tiba-tiba terdengar bunyi pintu bilik utama dihempas kuat. Suapan aku terhenti. Anak kecil Azira menangis kuat kerana terkejut. Aku dan Azira berpandangan sesama sendiri.

“Siapa tu?” aku tanya.

“Itulah yang aku selalu dengar. Sebab tu aku nak kau duduk dengan aku di sini, sebab aku nak kau tahu apa yang aku lalui saban hari. Menahan ketakutan sendirian dengan tak tahu nak buat apa, tak tahu nak minta tolong kat siapa,” kata Azira sambil menepuk-nepuk perlahan anaknya.

Aku bangun, dengan tangan yang masih penuh nasi, aku melangkah perlahan ke ruang tamu dan memandang ke arah pintu bilik utama tadi. Pintu bilik tu masih tertutup rapat macam tadi. Aku pandang keliling, tiada yang pelik. Semua sama macam tadi.

“Dum!” aku dengar bunyi seperti orang membaling objek keras ke pintu bilik dari arah dalam. Aku merapatkan telinga aku ke pintu bilik, betul, aku dengar bunyi seperti kerusi ditarik seseorang. Oleh sebab hari masih siang, dan suasana pun terang benderang, aku beranikan diri memulas tombol pintu dan membukanya.

Sebaik dibuka, aku pandang keliling bilik. Tiada apa-apa. Sama seperti tadi. Aku pandang ke tingkap yang tadinya terbuka, tapi sekarang sudah tertutup. Aku pandang pintu almari yang tadi terbuka sendiri dan telah aku tutup, kini pintu almari itu terbuka di kedua-dua belah pintunya.

“Ayu,” melompat aku bila Azira menepuk bahu aku dari arah belakang.

“Astaghfirullah, Azira, jangan buat macam tu. Terkejut aku tahu tak. Nyaris aku takde sakit jantung. Kalau tak, mati aku kat sini sebab terkejut,” kataku.

“Maaf Ayu. Aku tak sengaja nak kejutkan kau. Aku cuma nak panggil kau, habiskan makanan kau dan pergilah rehat. Kau kata nak solat. Biarkan saja dulu bilik ni, aku dah biasa,” kata Azira.

Aku melihat tanganku yang dah kering. Lalu aku terus keluar dari bilik dan menghala ke dapur. Azira menutup pintu bilik. Sesampainya aku di dapur, aku nampak kelibat seseorang di tingkap dapur, seperti sedang mengintai ke dalam rumah.

“Siapa tu?” aku bertanya.

– Bersambung –

One thought on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s