JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 3

Lepas makan, aku masukkan beberapa helai pakaian dan barangan peribadi aku ke dalam beg. Awal pagi esok aku nak pergi ke rumah Azira. Makin aku fikirkan pasal dia, makin aku kesian. Sedang aku berfikir pasal dia, telefon aku berbunyi. Aku tengok, dari nombor yang tak dikenali. Aku angkat.

“Hello?” tiada sahutan, cuma kedengaran bunyi angin dan sesekali kedengaran bunyi yang terputus-putus.

“Hello, siapa tu? Line tak klear,” aku bersuara di talian.

Masih dengan suasana tadi. Aku letak telefon. Tiba-tiba je hati aku rasakan yang cuba hubungi aku itu adalah Azira. Mungkin dia hubungi aku menggunakan public phone depan rumahnya tapi mungkin public phone tu tak sempurna.

Masa ni aku terus bangun, buka almari baju aku, tengok kat dalam laci. Aku cari telefon lama aku. Berbunga hati aku bila nampak kotak telefon tu masih ada. Aku buka kotak tu, telefon tu masih ada, masih elok lagi. Memang aku simpan telefon tu, sebab itulah telefon pertama yang aku beli. Bukan smartphone, takde internet pun. Telefon biasa je tapi nilai kenangannya yang tak terhingga yang membuatkan aku masih simpan telefon lama tu.

Aku cas telefon tu. Masih ok. Aku cuba masukkan simcard aku, juga masih berfungsi dengan elok. Ok, esok aku beli nombor baru untuk Azira. Harap-harap dia boleh gunakan telefon aku tu. Zaman sekarang ni telefon tu dah jadi keperluan, bukan lagi kehendak macam dulu. Tambahan Azira seorang yang tak berdikari, semua mengharapkan bantuan orang.

“Ayu,” tiba-tiba aku terdengar satu suara memanggil aku perlahan. Meremang sekejap bulu roma aku. Aku pandang ke arah suara itu, Zara sedang menjenguk ke dalam bilik memandang aku.

“Dah kenapa kau panggil aku macam tu? Seram la. Terkejut aku,” kataku dengan wajah mencuka memandang Zara. Zara letak jarinya di bibir sebagai tanda suruh aku jangan cakap kuat-kuat.

“Kau dah kenapa Zara?” aku tanya. Zara menggamit aku, mengajak aku keluar dari bilik. Aku pun ikut langkahnya dengan wajah penuh tandatanya.

Zara membawa aku ke tingkap sebelah kanan rumah kami. Rumah kami adalah lot tepi. Jadi walaupun teres, kami tiada jiran. Tepi rumah kami adalah lorong yang mana kereta masih boleh lalu kat situ.

Zara membuka sedikit tingkap tu. Dia tarik tangan aku suruh aku tengok keluar tingkap. Aku pun jenguk sekali. Aku nampak macam ada seorang perempuan tua bertudung dan berjalan dengan terbongkok-bongkok kat situ.

“Siapa tu?” Aku tanya Zara. Zara angkat bahu sambi terus melihat keluar tingkap.

“Biar je la.” Kataku.

“Dah lama aku perhatikan dia. Dia berjalan dari hujung sini ke hujung sana, lepas tu dia ulang semula. Aku tengok dekat sejam dah.” Kata Zara.

“Kau rasa siapa tu?” aku tanya.

“Aku risau kalau dia adalah orang tua yang menghidap alzaimer tu. Takut dia tak ingat jalan balik, sebab tu dia ulang alik kat situ.” Kata Zara.

“Kau nak pergi tolong ke?” aku tanya.

“Tu yang aku panggil kau ni. Nak pergi tanya ke?” Zara tanya aku lagi.

“Manalah aku tahu. Tapi kenapa aku rasa seram semacam je tengok makcik tu?” kataku. Memang bulu roma aku berdiri bila aku tengok kelibat makcik tu.

“Sebenarnya aku pun ada perasaan macam tu. Tapi kalau betullah makcik tu tak ingat jalan balik, kesian pula,” kata Zara masih memandang ke arah makcik tu yang masih berjalan terbongkok-bongkok kat lorong tepi rumah kami.

“Jom la kita pergi tengok sekejap,” kata Zara. Aku pun nak taknak anggukkan kepala. Takkan nak biar Zara pergi sendiri.

Kami pun keluar dari rumah dari terus berjalan ke arah lorong sebelah. Tiada sesiapa kat situ. Aku dan Zara berpandangan sesama sendiri.

“Mana makcik tadi?” Zara tanya aku. “Mana aku tahu,” sahutku.

“Takkan cepat sangat dia jalan?” kata Zara lagi.

“Jom kita tengok ke depan sana, kot dia dah keluar dari lorong ni,” Zara mengajak. Aku ikut je.

Sampai kat hujung lorong, kami tak nampak makcik tu. “Jom la kita masuk rumah Zara, aku rasa sejuk lain macam je malam ni,” aku mengajak. Zara anggukkan kepala walaupun matanya masih melilau melihat keliling mencari kelibat makcik tu. Aku tarik tangan Zara.

Sebaik kami berpusing untuk berpatah balik ke arah lorong tepi rumah kami, kami nampak kelibat makcik tu sedang berdiri di tepi tingkap rumah kami dan sedang memandang ke dalam rumah kami melalui tingkap yang terbuka sedikit kerana kami mengintai makcik tu tadi.

Aku dan Zara sekali lagi berpandangan sesama sendiri. “Dia sedang tengok ke dalam rumah kita la,” aku cakap kat Zara. “Haah, apa dia buat kat situ?” sahut Zara.

“Macammana ni?” aku tanya Zara.

“Jom la kita tegur dia,” kata Zara. “Aku takutlah Zara,” kataku.

“Takde apalah. Makcik tua je kot. Apa je dia boleh buat kat kita?” kata Zara sambil melangkah perlahan-lahan ke arah makcik tu. Aku hanya mengikut walaupun hatiku berkata jangan ikut.

Ketika kami sampai kat tepi makcik tu, Zara bagi salam. “Assalamualaikum Makcik,” Makcik tu menoleh ke arah kami dan dia pandang aku. Berderau jantung aku. Wajahnya taklah buruk, macam orang biasa tapi pandangannya yang agak tajam tu agak mendebarkan dada aku.

“Makcik cari siapa?” Zara tanya. Makcik tu tak jawab tapi dia masih pandang aku.

“Makcik kenal ke kawan saya ni?” Zara bertanya bila makcik tu tak lepas dari memandang aku.

“Jaga diri sendiri, jangan sibuk hal orang,” Makcik tu bersuara perlahan dan berlalu pergi. Aku dan Zara berpandangan sesama sendiri.

“Jom la masuk rumah. Aku seram sejuk la,” kataku sambil melangkah masuk ke pagar rumah kami. Aku memandang keliling mencari kelibat makcik tu tadi tapi tak nampak dia di mana-mana.

“Cepat betul makcik tu hilang,” kata Zara. Aku tak menyahut, terus masuk ke dalam rumah dan duduk di sofa.

“Siapa makcik tu tadi? Kenapa dia cakap macam tu? Dan paling penting, kenapa dia pandang kau lain macam?” Zara tanya lagi. Aku masih tak menyahut. Dada aku masih berombak kencang. Rasa tak senang hati.

“Makcik tu salah orang kot. Atau dia salah rumah,” Zara masih meneka-neka bila melihatkan aku masih diam.

“Ayu, kau diam je. Kau kenal ke makcik tu?” Zara tanya aku. Aku gelengkan kepala.

“Takde apalah. Makcik tu salah rumah ni. Dah la, kau pergilah tidur. Esok awal pagi nak pergi rumah Azira kan?” kata Zara menepuk bahu aku.

Aku baring di sofa. Zara buka televisyen. Aku dan Zara menonton sampai aku terlena kat sofa bila Zara kejutkan aku pada pukul 12.30 tengah malam ajak aku masuk bilik.

Aku tersedar sebaik terdengar azan subuh berkumandang melalui telefon aku. Aku bangun dan mengeliat sedikit. “Dum!” tiba-tiba aku dengar bunyi pintu ditutup dengan kuat di luar bilik kami. Ianya mungkin bilik Suraya atau Atikah. Zara pula bingkas bangun sebab terkejut dengan bunyi dentuman pintu. Dia pandang aku.

“Siapa tu?” Zara tanya aku. Aku angkat bahu.

“Suraya atau Atikah dah balik kot,” kata Zara lagi lalu bangun dan melangkah ke pintu.

“Zara, kau nak ke mana?” aku bertanya secara berbisik.

“Aku nak tengok siapa yang hempas pintu kat luar tu. Sebab seingat aku semua pintu bertutup masa kita masuk tidur semalam,” kata Zara sambil memulas tombol pintu bilik kami.

“Janganlah Zara, aku takut,” kataku, masih berbisik.

“Kau nak takut apa? Dah subuh ni, mana ada hantu,” kata Zara.

“Kalau bukan hantu pun, aku takut pencuri pecah masuk rumah kita. Baik kita call polis je,” kataku masih berbisik kepada Zara.

“Takkanlah pencuri nak hempas pintu kuat-kuat,” kata Zara lalu terus membuka pintu bilik. Dia pandang keliling di luar bilik.

“Ada apa-apa ke Zara?” bisikku dari belakang Zara. Zara tak menyahut. Dia melangkah perlahan ke arah ruang tamu lalu memetik suis lampu. Kami berdua pandang keliling. Tiada apa yang tak kena. Rumah masih dalam keadaan tersusun, pintu bilik Atikah dan Suraya masih bertutup rapi. Aku ikut Zara ke dapur, keadaan sama je, tiada apa yang pelik.

“Takde apa pun. Angin kot,” kata Zara. Aku diam je walau hati masih risau.

“Dah la, kau mandi kat bilik air kita. Aku mandi kat bilik air dapur. Lepas solat kita pergi sarapan kat kedai depan tu. Lepas tu kau pergilah ke rumah Azira,” kata Zara. Aku tak banyak cakap, terus melangkah masuk ke bilik.

Lepas sarapan, Zara terus ke tempat kerjanya. Aku pula terus ke rumah Azira. Sampai kat rumah depan rumah Azira, aku nampak Azira berdiri di tepi tingkap sambil mendukung bayinya. Aku hon, Azira pandang aku dan lambaikan tangannya. Seketika kemudian pintu pagar rumah Azira terbuka.

Aku terus memandu kereta aku masuk ke dalam perkarangan rumah Azira. Setelah matikan enjin kereta, aku keluar dari kereta, membawa bungkusan nasi lemak dan kopi panas untuk Azira. Aku yakin dia belum makan.

Azira tersenyum-senyum memandang aku dari pintu rumahnya. Aku senyum padanya kembali dan terus masuk ke dalam rumahnya.

“Kau tunggu aku ke?” aku tanya. “Iye, dari semalam aku tunggu kau,”  Azira menyahut.

“Kan aku dah kata, pagi ni baru aku datang,” kataku sambil menghulurkan bungkusan sarapan yang aku bawa untuknya.

“Terima kasih banyak-banyak. Maaf sangat aku menyusahkan kau. Semalam aku tak boleh tidur, anak aku asyik menangis je dari semalam. Aku rasa dia nampak sesuatu,” kata Azira buatkan hati aku bergetar semula.

Azira membaringkan bayinya di atas tilam yang dibentang di ruang tamu. “Kau pergilah makan dulu, aku tengokkan anak kau,” kataku sambil memegang jari kecil anak Azira. Putih cantik macam Azira. Bulu matanya panjang, tersenyum memandang aku. Ada lesung pipit.

Aku memang suka tengok bayi kecil. Aku suka baunya. Wangi. Paling aku suka tengok bayi kecil ni ketawa. Kadang-kadang mereka menangis pun aku suka tengok. Comel sangat.

Tak lama kemudian, Azira muncul semula dari dapur. “Dah makan?” aku tanya. Azira anggukkan kepala.

“Aku dah call tukang kebun tempat kerja aku, suruh dia mesin rumput keliling rumah kau. Sekejap lagi dia sampai la tu,” kataku sambil bermain-main dengan jemari bayi kecil tu.

“Aku minta maaf sebab menyusahkan kau Ayu. Duit tunai dah habis, semua duit aku ada kat bank. Nanti kalau aku keluar, aku ambil duit kat bank. Aku bayar balik duit kau ye,” kata Azira.

“Hish, benda kecil je. Lagipun pakcik tukang kebun tu memang buat kerja ni. Dapat juga dia duit lebih ambil upah mesin rumput kat rumah orang,” kataku. Azira diam dan tunduk memandang ke lantai.

“Kenapa ni? Cuba kau ceritakan segalanya kat aku. Mana tahu aku boleh tolong,” kataku sambil duduk di sebelah Azira.

“Aku sedih dengan keadaan aku sekarang. Aku tak tahu kenapa mak mertua aku benci sangat kat aku. Tapi bila suami aku ada bersama aku, dia nampak macam ok je,” kata Azira meluahkan rasa.

“Apa yang buatkan kau rasa dia benci kau?” aku tanya lagi.

“Dia tak datang ziarah aku dan cucunya saja dah cukup membuktikan dia bencikan aku. Lagi pula dia bawa anak sulung aku, katanya aku tak pandai jaga cucunya. Memanglah anak aku yang sulung tu selalu demam,” kata Azira lagi.

“Mungkin dia ambil sementara je. Dia taknak kau letih uruskan bayi lagi.” Kataku.

“Lagi satu, aku rasa mak mertua aku ada bela sesuatu. Aku pernah terserempak dengan jelmaan mak mertua aku kat dapur, sedangkan masa tu tengah malam. Mak mertua aku dah balik rumah pun. Bila aku tegur, terus dia hilang macam tu je,” kata Azira buatkan bulu roma aku meremang. Tak pasal-pasal aku teringat kat makcik tua yang menjenguk ke rumah kami melalui tingkap semalam.

“Rumah ni ada lima bilik. Kat atas ada tiga bilik, kat bawah ni ada dua bilik. Kalau mak mertua aku datang, dia selalu guna bilik utama kat tingkat bawah ni, iaitu bilik tu,” kata Azira sambil menunjukkan ke arah satu bilik di tepi ruang tamu. Aku pandang ke arah bilik yang tertutup rapat tu.

“Selalu aku dengar ada bunyi kat dalam bilik tu,” kata Azira.

“Bunyi apa?” aku tanya.

“Macam-macam. Bunyi orang tarik kerusi. Bunyi radio terpasang. Bunyi seakan ada orang kata dalam bilik tu,” kata Azira.

“Kau tak pernah cuba tengok ke?” kataku.

“Dulu aku tengok juga. Tapi takde apa. Bunyi tu semua terhenti bila aku buka pintu bilik tu,” kata Azira lagi.

– Bersambung –

One thought on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s