JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 2

“Kenapa dengan anak sulung kau? Mana dia?” aku tanya.

“Mak mertua aku dah ambil bawa tinggal dengan dia.” Sahut Azira dengan nada yang amat perlahan.

“Kenapa pula mak mertua kau ambil dia?” aku tanya lagi. Azira dah mula menangis.

“Mak mertua aku kata, aku tak pandai jaga anak. Dia ambil anak aku. Dia tinggalkan yang kecil tu sebab yang tu masih menyusu badan,” kata Azira, dah mula teresak-esak.

“Suami kau tak cakap apa-apa ke?” aku bertanya.

“Suami aku tak balik dah empat bulan. Last dia balik masa aku lahirkan anak aku tu je. Lepas tu sampai sekarang dia tak balik,” kata Azira.

“Ya Allah, habis tu takkan dia tak call kau langsung. Dia tahu tak mak mertua kau dah ambil anak sulung kau?” aku tanya lagi.

Azira hanya gelengkan kepala. Masa ni aku faham dah, Azira memang dalam kesusahan. Patutlah aku mimpikan dia tiga malam berturut-turut.

“Jadi, sekarang kau nak buat macammana? Kenapa lalang dah penuh kat kiri kanan rumah kau? Tukang kebun tu tak datang potong rumput ke?” aku tanya lagi.

“Takde siapa datang dah. Haritu mak mertua aku ada datang, dia bawa orang untuk tengok rumah ni. Aku dengar dia nak jual rumah ni. Kalaulah mak mertua aku jual rumah ni, aku nak tinggal kat mana?” kata Azira masih dalam esakannya.

“Kau tak tahu ke alamat tempat kerja suami kau?” aku tanya. Azira gelengkan kepala.

“Zira, kau ni tak berubah langsung sejak sekolah. Kau dah berkahwin, dah ada keluarga, ada anak-anak. Kau tak boleh terus bergantung harap kat orang lain. Kau kena ambil tahu, kat mana suami kat kerja, rumah ni nama siapa. Kau tahu kat mana rumah mak mertua kau?” aku tanya lagi.

“Aku tak pasti, sebab selama aku berkahwin, ada sekali je suami aku bawa aku ke rumah mak mertua aku. Aku pun tak ingat dah kat mana,” kata Azira. Aku mengeluh perlahan. Buntu tak tahu macammana nak tolong Azira.

“Ayu, kau tidurlah kat rumah aku malam ni. Temankan aku. Aku berdua dengan anak kecil aku je. Anak aku tu suka menangis malam. Aku ni lepas bersalin, macam hilang arah. Ada sekali aku rasa macam aku nak bunuh diri.” kata-kata Azira membuatkan aku mengangkat muka aku dan pandang dia.

“Istighfar Azira. Mengucap. Kau tak boleh cakap macam ni. Macam orang tak percaya takdir dah,” aku tegur dia dengan agak tegas. Rasa terkejut bila dia cakap macam tu.

“Kau tahu kan, aku ni takde kawan. Kau je la. Aku tak tahu nak mengadu kat siapa. Bila anak aku menangis, aku pun menangis sama,” kata Azira, sayu sangat suaranya.

“Kenapa kau tak balik ke rumah keluarga kau kat kampung?” aku tanya, tiba-tiba teringat bahawa Azira masih punyai keluarga.

“Mak aku kata, lepas anak perempuan berkahwin, tempatnya adalah di sisi suami. Kena taat pada suami. Lagipun kau tahu je la keluarga aku macammana kan. Ayah aku dah tak tahu kat mana. Aku kahwin pun guna wali hakim. Mak aku sendirian kat kampung. Aku taknak dia susah hati. Dah la dia asyik merindui adik aku sampai sekarang ayah aku bawa pergi, langsung tak jumpa kami dah.” Kata Azira.

Masa ni aku teringat kisah hidupnya yang selalu dia ceritakan kepada aku. Memang dia tiada tempat untuk mengadu.

“Azira, dalam keadaan macam ni, kau perlukan orang lain di sisi kau. Dah la suami kerja jauh, mak mertua tak layan kau macam menantu. Rampas anak kau lagi. Kau kenalah cari jalan untuk diri kau. Takkan nak terus diam macam ni?” aku gelengkan kepala, Azira masih macam dulu, lurus bendul, tak tahu nak berfikir apa yang baik untuk dirinya.

“Ayu, boleh ye, kau temankan aku malam ni?” Azira tanya aku lagi. Aku diam sejenak. Esok aku tak kerja, boleh je kalau aku nak temankan dia. Tapi aku tak bawa pakaian lebih.

“Kalau kau risau tiada pakaian, kau pakai je baju aku. Saiz kita lebih kurang je,” kata Azira masih memujuk aku. Aku pandang Azira dari atas ke bawah, dia nampak kurus dari lima bulan lepas masa aku datang ziarah dia. Jelas sangat, pipinya nampak cengkung.

“Macam ni la, malam ni aku tak boleh temankan kau. Aku balik rumah aku dulu. Esok pagi aku datang. Aku balik ambil pakaian dan barang aku. Malam esok aku temankan kau,” kataku.

Azira diam. Wajahnya sugul. Aku pandang jam tangan, dah pukul 7 malam. Sikit lagi dah masuk maghrib.

“Ayu, aku rasa ada sesuatu kat dalam rumah ni,” kata Azira. Aku angkat kepala pandang wajah Azira.

“Sesuatu macam mana tu?” aku tanya.

“Sebab tu aku ajak kau tidur sini, duduk dengan aku. Banyak yang aku nak ceritakan kat kau. Dan aku syak semua tu ada kena mengena dengan mak mertua aku,” kat Azira.

“Ok, macam yang aku cakap tadi, aku balik dulu malam ni. Pagi esok aku datang semula. Kita bersihkan keliling rumah kau ni. Lepas tu kau ceritakan semuanya. Nanti kita sama-sama fikir macammana nak selesaikan masalah kau. Sementara tu, kau jaga diri. Solat. Jaga anak kau baik-baik. Pasal mak mertua kau, esok kita sembang ye,” kataku memujuk.

Di kejauhan, aku dengar suara orang mengaji quran. Mungkin dari arah masjid yang berdekatan.

“Azira, dah nak maghrib ni. Aku balik dulu. Kau simpan nombor aku tu. Kalau ada emergency, kau call aku. Kat depan rumah ni aku nampak ada public phone. Tapi tak tahulah boleh guna atau tak. Aku rasa aku masih simpan telefon lama aku kat rumah. Esok aku bawa. Boleh kau gunakan,” kataku sambil berdiri dan mengambil beg.

Azira ikut aku bangun dan ke pintu. Dia hanya memandang aku berlalu pergi dari pintu rumahnya. Aku memang sedih dengan keadaannya. Dari dia sekolah, sampai sekarang dah beranak pinak, macam-macam ujiannya.

Sampai kat rumah, aku terus mandi dan solat maghrib. Lepas solat, aku ke dapur. Zara dah siapkan makan malam. “Sorry Zara, kau pula terpaksa sediakan makan malam. Sedangkan sepatutnya malam ni giliran aku,” kataku.

“Alaa… Benda kecil je. Aku beli je pun lauk ni semua. Balik rumah aku masak nasi dan panaskan je. Aku dah agak dah kau akan balik lambat bila kau message aku kata nak pergi ziarah kawan kau tu,” kata Zara sambil menyedukkan nasi ke dalam pinggan aku.

“Atikah dan Suraya mana?” aku tanya. Atikah dan Suraya menyewa sekali dengan kami. Tapi mereka menyewa bilik kecil seorang satu. Cuma aku dengan Zara je berkongsi bilik sebab bilik kami besar, siap ada bilik air lagi.

“Atikah balik kampung, kan sepupu dia kahwin, lupa le tu. Suraya outstation. Minggu depan baru balik,” kata Zara. Aku ni memang duduk serumah dengan mereka, tapi jarang aku bersembang. Zara la informer aku sebab dia dah lama dengan mereka. Aku adalah orang terakhir yang masuk menyewa kat rumah ni sebab gantikan penyewa sebelum ni yang berpindah keluar kerana berkahwin.

“Macammana kawan kau tu?” kata Zara setelah dia duduk dan memulakan suapan pertamanya. Aku pun sama.

“Sedih sangat keadaan dia. Mak mertua memang tak suka dia, jadi memang tak datang lawat dia. Suami tak balik lepas dia lahirkan anak keduanya. Paling sedih, mak mertuanya dah ambil anak sulungnya. Sekarang dia tinggal dengan anak kecilnya saja. Sedih betullah nasib dia,” kataku sambil menyuap makanan.

“Keluarga dia sendiri di mana?” Zara bertanya.

“Kat Kedah la, dia kan sama kampung dengan aku.” Sahutku.

“Takkan keluarga dia sendiri pun tak datang melawat?” Zara tanya aku lagi.

“Tapi kalau fikir balik, dia cuma ada mak je kat kampung tu. Dia dari keluarga yang berpecah belah. Mungkin dia taknak susahkan hati maknya. Tapi aku pun terfikir kenapa dia tak ceritakan masalahnya kepada maknya. Tapi dia kata lepas kahwin, dia tak boleh mengadu hal dengan keluarganya. Tempatnya adalah di sisi suami,” Kataku lagi.

“Adoi, tipikal kampung sangat la tu. Dah suami pun takde, sampai mak mertua ambil anak, takkan nak biarkan lagi?” kata Zara.

“Iye Zara. Memang macam tu la sikap dia, dari dulu lagi. Aku ingat dah kahwin berubahlah, rupanya lagi teruk,” sahutku.

“Kesiannya dia.” Kata Zara. Aku anggukkan kepala.

“Dia kata dia pernah rasa macam nak bunuh diri,” kataku dan Zara menghentikan suapannya. Dia pandang tepat kat aku.

“Dia depression kot? Atau meroyan. Kan baru je lagi dia bersalin?” kata Zara. Aku anggukkan kepala lagi.

“Hish, bahaya sangat tu Ayu. Risau dia apa-apakan bayinya. Ya Allah, kau boleh tinggalkan dia macam tu?” kata Zara.

“Dia memang ajak aku tidur kat rumahnya. Tapi aku kan dari tempat kerja terus pergi rumah dia. Dengan takde pakaian lebih, barang aku yang lain semua takde. Esok pagi aku pergilah ke rumahnya. Tengoklah apa yang aku boleh tolong,” sahutku.

“Berdebar pula aku dengar cerita kawan kau tu. Aku yakin dia depression tu,” kata Zara.

“Dia cakap ada sesuatu kat rumah dia. Dan dia syak mak mertua dia ada buat sesuatu,” kataku lagi.

“Aku yakin dia depression la Ayu. Kalau depression memang dia akan selalu dengar bisikan, lepas tu dia akan sentiasa berfikir negative. Kau kena tolong dia,” kata Zara.

“Sebenarnya, macam yang aku cakap kat kau, aku tak rapat sangat dengan dia. Agak janggal juga bila aku nak masuk campur dalam hal keluarga dia ni,” sahutku sambil menyuap suapan terakhir ke mulutku.

“Dan kau kena ingat juga, macam yang kau cakap kat aku, dia takde kawan lain selain kau. Sekarang hanya kau yang boleh bantu dia,” kata Zara. Aku diam. Bangun ke sinki dan membasuh pinggan makan aku tadi.

Selesai basuh pinggan, aku duduk semula di kerusi aku untuk minum. Zara pula ke sinki membasuh pinggannya. “Tengoklah nanti macammana,” sahutku.

“Tu kau tinggalkan dia tu, ada makanan ke. Lepas tu kau tak tengok ke bayinya, elok sihat ke.” Kata Zara.

“Takde pula aku tanya. Bayi kecilnya tengah tidur masa aku datang,” kataku. Betul juga, aku takde pula tanya kot dia ada makanan ke untuk makan. Aku ni bukannya pandai sangat bab ni. Zara lebih arif, mungkin sebab dia anak sulung daripada enam adik beradik, dia dah biasa menjaga kebajikan keluarga. Tak macam aku, aku cuma ada mak dan seorang adik yang tak pernah bergurau senda dengan aku.

– Bersambung –

One thought on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s