JANGAN KELUAR RUMAH

Bab 1

Aku termenung sejenak. Aku pandang jam dinding, baru pukul 3 pagi. Malam ni adalah malam ketiga berturut-turut aku terjaga di waktu yang sama kerana bermimpi perkara yang sama. Hati aku mula berkata-kata. Mimpi itu mainan tidur tapi kalau berturut malam macam ni, adakah ia masih mainan tidur.

Hari tu aku ada bertanya pada Kak Rozi di pejabat, katanya kadangkala kalau kita terlalu teringatkan kat seseorang tu pun boleh menyebabkan kita mimpikan dia. Tapi aku tak pula selalu teringatkan Azira ni. Dia bukan kawan baik aku aku pun. Kat sekolah, dia bukannya bercampur dengan kawan-kawan. Dah la duduk kat kelas akhir, tak bercampur dengan orang lain pulak tu. Walhal ramai je kawan-kawan kat kelas akhir, elok je berkawan dengan kelas pertama.

Azira tak ramai kawan. Waktu rehat semua orang di kantin tapi dia duduk kat bawah pokok kat tepi pagar sekolah. Jarang aku nampak dia makan di kantin. Dia selalu bawa bekalan roti je. Disebabkan sikapnya begitulah, tiada yang nak berkawan dengan dia.

Sampai satu hari tu, aku nampak dia menangis di dalam kelas seorang diri masa kawan lain semua pergi ke kantin. Aku pula masa tu bertugas sapu sampah dalam kelas sebelah. Tapi sebab aku dengan bunyi tangisan, aku jenguk kelas dia dan nampak dia lalu aku masuk melalui pintu belakang. Mungkin dia tak perasan aku ada kat belakang kelas. Masa tu aku beranikan diri menegur dia.

“Azira, kenapa kau menangis?” aku tanya dia. Azira macam terkejut bila aku tegur dia. Dia pandang ke arah lain sambil mengelap air mata yang mengalir di pipinya.

“Azira? Kau ok ke?” aku tanya lagi bila dia tak menjawab.

“Azira, aku selalu tengok kau sendirian je. Bukan kawan-kawan taknak berkawan dengan kau tapi kau yang taknak berkawan dengan mereka. Kenapa ye?” aku tanya lagi.

“Aku malu.” Azira jawab.

“Kenapa?” aku tanya.

“Mak ayah aku dah bercerai. Sekarang ni aku tinggal dengan mak. Adik aku tinggal dengan ayah. Aku rindu kat adik aku. Ayah aku kata dia nak tuntut hak penjagaan aku dari mak aku. Sebab mak aku tak mampu nak jaga aku. Mak aku Cuma kerja cleaner je. Ayah aku kerja kerajaan. Semalam mak aku beritahu aku bahawa aku mungkin terpaksa ikut ayah aku. Memang aku rindukan adik aku, tapi aku taknak berpisah dengan mak aku,” Azira bercerita panjang lebar dengan esakannya.

Aku pun terkejut dia boleh bercerita begitu kepada aku. Mungkin dah tak tertahan rasa agaknya.

“Azira, kau tak boleh simpan semua masalah kau sendiri dengan cara menjauhkan diri dari kawan-kawan. Itu akan buat kau makin tersepit. Kau kena luahkan masalah kau, baru kau rasa lega.” Kataku.

“Aku tak tahu nak bercerita dengan siapa. Aku malu kalau semua orang tahu pasal keluarga aku,” kata Azira lagi.

“Takde apa nak dimalukan Zira. Setiap keluarga ada kisahnya. Ada kisah suka, ada kisah duka. Semua keluarga macam tu. Macam aku, memang kau nampak aku happy je, tapi aku pun ada masalah juga. Adik aku OKU, setiap kali balik rumah, aku kena jaga adik aku sebab mak aku pergi kerja. Aku dah takde ayah. Mak akulah ayah dan mak aku dan adik aku. Tapi itulah kehidupan kita. Kita lalui je. Tenangkan hati, terima ujian Allah. Bergaul dengan kawan-kawan. Kita ada kehidupan untuk dilalui. Masa di sekolah, kita berkawan dengan kawan-kawan kita. Bila kita balik ke rumah, kita lalui dengan keluarga kita,” kataku lagi.

Azira tak menjawab. Dia lap air matanya. Dia pandang aku.

“Aku tak tahu pun kau ada adik OKU,” katanya.

“Sebab kau pun tak pernah bersembang dengan aku,” sahutku. Azira diam.

“Ramai lagi kawan kita yang hidup susah. Yang menerima nasib yang lebih susah dari kau Zira. Sekurang-kurangnya kau masih ada ayah, kau juga masih ada mak. Mungkin terpisah rumah, tapi kau masih tahu ayah dan mak kau masih ada.” Kataku.

Sejak itulah, Azira rapat dengan aku. Takdelah rapat sangat pun, cuma aku rajin tegur dia. Kadang-kadang aku ajak dia makan sama-sama kat kantin. Dia ikut tapi bila aku bergaul dengan kawan-kawan lain, dia menghilangkan diri. Tapi bila dia nampak aku sendirian, dia akan datang bersembang dengan aku. Entahlah aku pun tak faham dengan sikapnya.

Hingga kami habis SPM, aku dengar cerita dia gagal dalam SPM. Dan hubungan kami terputus. Sampailah satu hari aku dapat kad jemputan perkahwinan. Azira hantar kad jemputan kat rumah mak aku. Rupanya dia simpan alamat rumah aku.

Aku pun hadir ke majlis perkahwinannya. Aku tak nampak kawan lain, hanya aku. Dia pun nampak gembira sebab aku datang. Alhamdulillah, rezeki Azira dapat suami yang agak berpendidikan dan bekerja sebagai engineer kapal. Aku pun tumpang gembira dengan perkahwinannya. Percaturan Allah adalah yang terbaik. Di kala aku masih struggle belajar untuk dapatkan kehidupan yang lebih baik, dengan pinjaman PTPTN lagi, Azira dah dapat suami yang kaya dalam usianya yang masih muda.

Hidupnya berubah 360 darjah. Suaminya baik. Dia selalu menjemput aku datang ke rumahnya. Walaupun dia dah hidup senang, tapi ada sikap lamanya yang masih tak berubah iaitu dia tak pandai bergaul. Kawannya hanya aku. Aku pun sibuk, bukannya boleh selalu berjumpa dia. Dia selalu call aku bercerita tentang kehidupannnya. Suaminya bekerja di atas kapal, 3 hingga 4 bulan memang tak balik rumah.

Azira kata, mak mertuanya tak begitu sukakan dia. Mungkin sebab dia bukan menantu pilihan. Azira pun berjumpa dengan suaminya ketika suaminya minum di kedai tempat Azira bekerja. Azira bekerja kat kedai makan je. Dari situlah suaminya jatuh hati kepada Azira, sebab Azira memang seorang yang lemah lembut dan mempunyai iras wajah yang agak cantik, itu aku tak nafikan. Kelemahannya cuma sifat rendah dirinya yang keterlaluan hingga taknak bergaul dengan sesiapa. Tapi kalau dah jodoh kan, Allah tetap permudahkan.

Aku pun takdelah selalu sangat jumpa dia. Lepas berkahwin, ada tiga kali kot aku pergi rumah dia. Masa dia buat kenduri cukur jambul anak pertama, masa raya sekali kalau tak silap aku. Dan kali terakhir aku melawat Azira ialah ketika dia melahirkan anak keduanya, lima bulan yang lepas. Lepas tu aku takde jumpa dia dah. Dia pun tak call atau mesej aku. Aku pun dah sibuk fokus dengan pekerjaan aku. Maklumlah, aku baru je graduate, banyak komitmen aku. Hutang PTPTN, nak bagi nafkah kat mak aku, dengan adik OKU aku lagi. Aku sendiri masih terkial-kial hidup di kotaraya.

“Kenapa ni Ayu?” tiba-tiba Zara tegur aku. Terkejut juga aku sekejap. Aku tengah fikirkan pasal Azira, tiba-tiba ada suara tegur aku.

“Kenapa kau termenung kat atas katil tu? Tak boleh tidur ke? Baru pukul 3.30 pagi ni.” Zara, kawan yang menyewa sebilik dengan aku bertanya.

“Aku mimpi lagi,” aku menyahut sambil mengusap muka aku.

“Mimpi yang sama?” Zara tanya aku. Aku menganggukkan kepala.

“Apa kata kau pergi jumpa dia. Mana tahu mimpi tu nak bagi maksud bahawa dia teringatkan kat kau. Atau dia ada masalah ke. Mungkin dia dah kehilangan nombor telefon kau ke. Kau sendiri cakap kan, dia tak pandai. Duduk rumah je. Dah la suaminya pun jarang ada kat rumah,” kata Zara bangun dari pergi ke bilik air.

Aku masih termenung. Seketika kemudian, Zara keluar dari bilik air dan melangkah kembali ke katilnya.

“Dah la Ayu. Kau tidurlah. Esok kau kata ada meeting awal pagi. Percayalah cakap aku, kau pergi lawat kawan kau tu nanti. Nak aku temankan pun boleh.” Kata Zara sambil berbaring semula di katilnya.

Aku rasa aku setuju dengan kata-kata Zara. Esok balik dari tempat kerja, aku nak terus pergi ke rumah Azira. Lagipun esok dah Jumaat, sabtu aku tak kerja. Jadi kalau aku balik lambat sikitpun takpe kot. Lalu aku pun tarik selimut dan berbaring semula. Mungkin sebab badan aku keletihan, dan mata aku memang masih mengantuk, aku terus terlelap.

Keesokan harinya, sebaik aku keluar pejabat jam 5 petang, aku terus memandu kereta kancil second hand yang aku beli dengan duit upah aku bekerja kat kedai makanan segera masa cuti semester kat university dulu. Aku baru kerja, tak sampai setahun. Taknaklah bermewah dulu walaupun gaji aku takdelah kecil sangat. Aku nak bantu mak aku, nak bantu adik aku. Nak bagi mak aku senang dulu, sebab mak aku dah lama hidup susah sebab nak menyekolahkan aku. Walau mak aku tak minta, tapi aku tahu mak aku perlukannya. Aku dah suruh mak aku berhenti kerja. Sekarang masa untuk aku jaga mak aku.

Tapi itulah, aku bekerja kat Kuala Lumpur, mak aku tinggal kat Kedah. Aku tak boleh tinggal dengan mak aku. Apa yang aku boleh buat, suruh mak aku berhenti kerja, jaga je adik aku. Tiap bulan aku balik belikan barang dapur. Setiap minggu aku masukkan duit kat Pak Mat, minta Pak Mat hantarkan makanan basah kat rumah mak aku.

Takpelah, perlahan-lahan. In Shaa Allah, aku akan terus permudahkan segala urusan mak dan adik aku. Aku harap mak aku sihat selalu.

Dalam berangan teringat kat mak aku, sedar-sedar aku dah sampai kat depan pagar rumah Azira. Jam pukul 6 petang masa tu. Aku tengok kiri kanan rumahnya dan ditumbuhi lalang. Aku keluar dari kereta. Aku tengok whatsapp aku kepada nombor Azira, masih satu tick je. Mesej pun tak jawab. Call masih masuk peti simpanan suara.

Melihat keadaan rumah banglo dua tingkat tu, aku bimbang kalau Azira dah tak tinggal di situ. Mana tahu, dia dah pindah ke tempat lain. Keadaan rumah tu tak banyak beza, cuma lalang agak tinggi seperti dah lama tiada yang memotongnya. Sedangkan Azira pernah beritahu aku bahawa setiap minggu akan ada tukang kebun yang datang membersihkan keliling rumahnya.

Aku menghampiri pagar rumah. Aku tekan loceng. Aku nampak kelibat seseorang mengintai dari arah tingkap bilik di tingkap atas. Aku bagi salam. Tak lama aku menunggu, pintu rumah terbuka dan aku nampak Azira berdiri di muka pintu sambil tersenyum pandang aku.

Pintu pagar terbuka sendiri. Aku masuk ke dalam rumah sambil memerhati halaman rumah. Pokok-pokok bunga seakan tak berjaga.

Azira pegang tangan aku kuat. Dia menangis gembira bila melihat aku. Dia ajak aku masuk ke dalam rumah. Aku duduk di sofa. Keadaan rumahnya masih macam dulu. Tersusun dan bersih. Azira memang seorang yang rajin.

“Terima kasih Ayu sebab datang lawat aku. Aku memang teringat kat kau. Tapi hari tu telefon aku rosak, sampai hari ni aku tak dapat telefon sesiapapun. Mak aku pun tak datang lawat aku. Mak mertua aku je ada datang dua kali, itupun tak lama. Kau pun tahu kan, mak mertua aku tak suka aku,” kata Azira dengan redup matanya.

Azira masih cantik macam dulu cuma dia nampak kurus. Pipinya agak cengkung. “Kau ok ke Zira?” aku tanya dia.

“Aku ok. Cuma agak kepenatan.” Kata Azira.

“Mana anak-anak kau?” aku tanya sebab tak dengar suara budak ataupun tangisan bayi.

“Yang kecil tu sedang tidur. Yang sulung tu yang jadi masalah aku sekarang,” Azira bercakap sambil tunduk ke lantai. Wajahnya berubah sedih.

– Bersambung –

2 thoughts on “JANGAN KELUAR RUMAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s