SAMPAIKAN HAJATKU

Bab 8 (AKHIR)

Petang Jumaat, Halim call aku dari hospital. Dia suruh aku ambil dia. Katanya dia dah boleh discaj. Aku kerut dahi juga, dah boleh discaj? Cepatnya? Tapi aku tak tanya banyak la. Aku minta izin Pak Sani untuk keluar awal. Lagipun kalau ikut jadual asal, aku dah minta cuti hari Jumaat tu sebab nak balik kampung untuk kenduri perkahwinan Zura. Tapi sebab aku nak teman Halim di sini, aku ingat awal pagi esok baru aku nak balik.

Pak Sani pun suruh aku balik, suruh aku selesaikan hal Halim.

Sampai kat hospital, Halim dah tukar baju. Dia dah bungkus semua barang yang aku bawa untuk dia semalam. Kakinya masih bersimen. Tapi balutan kat kepalanya dah dibuka. Dia senyum lebar bila nampak aku sampai.

“Biar betul Lim? Kau dah boleh balik?” aku tanya dia lagi seakan tak percaya. Tapi memang dia nampak sihat dan ceria.

“Betullah, apa pula aku nak tipu. Dah, jom tolong aku ambil ubat. Lepas tiga minggu aku kena datang hospital semula untuk buka simen ni. Sekarang ni kita terus balik kampung, boleh?” Halim tanya aku.

“Cemana nak naik motor macam ni? Kaki kau bersimen kot,” tanyaku masih terpinga-pinga.

“Aku dah call Pak Sani, dia bagi pinjam kereta dia,” kata Halim lagi.

“Pak Sani tak cakap apapun dengan aku tadi. Aku dari bengkel ni,” kataku.

“Aku baru je call dia.” Kata Halim cuba bangun dan betulkan tongkatnya. Cepat-cepat aku bantu dia. Entah kenapa hati aku tak berapa senang. Macam ada yang tak kena je ni. Takkan dia boleh keluar seawal ni. Tapi aku taknak la tanya dia banyak kali, nanti dia kecil hati.

Segalanya berjalan lancar. Pada pagi sabtu, Halim segak bergaya dengan baju melayunya. Dia sendiri menikahkan Zura dengan suaminya. Mak Siti senyum sampai telinga, Zura dan adik-adik yang lain pun sama.

Aku pun baru tahu, suami Zura seorang yang kaya tapi hidup sebatang kara. Tiada adik beradik, ayahnya dah lama meninggal dunia. Dia ada emak yang lumpuh otak, dijaga oleh jururawat di rumahnya. Orang gaji pun ada tiga orang. Dah rezeki Zura dapat suami macam tu. Mereka berjumpa sebab suaminya ada projek pembinaan bangunan di kampung tu.

Sebaik sahaja selesai kenduri petang Sabtu tu, Halim ajak aku balik KL. Aku terkejut juga, cepat sangat dia ajak aku balik. Takkan taknak tunggu majlis buka hadiah di sebelah malamnya. Lagipun saudara mara masih ramai kat rumah maknya. Takkan dah nak balik.

Walau aku yang sihat ni pun tak terfikir akan balik malam ni juga. Aku dah beritahu mak aku bahawa aku akan balik hari Ahad.

“Kenapa kau nak balik awal sangat? Tak habis lagi majlis adik kau ni. Malam nanti kana da majlis suai kenal dengan saudara mara. Takkanlah kau takde,” kataku.

“Alaa, dia dah kenal aku. Aku yang pegang tangan dia masa nikah tadi,” kata Halim.

“Kau dah cakap kat mak kau ke?” aku tanya.

“Belum lagi. Aku cadang nak keluar je, taknak bagitahu. Dah separuh jalan nanti aku call la. Mak aku sibuk tu. Aku taknak dia kalut aku nak balik pulak nanti,” kata Halim.

“Kenapa ni Lim? Aku kenal, kau tak macam ni. Kau ni kalau balik rumah mak kau, selalunya macam dah taknak balik KL dah,” tegurku perlahan. Nak balik kampung macam ribut, dan balik KL pun macam puting beliung.

“Takde apa. Aku rasa tak berapa sihat. Orang ramai sangat ni, panas agaknya,” kata Halim.

“Kalau macam tu, kau rehat kat rumah aku je. Takde  siapa kat sana,” kataku.

“Takpe Rul. Kita balik. Dekat rumah kita nanti, aku rehat puas-puas. Aku taknak mak aku tengok aku pergi. Nanti dia susah hati. Biar aku pergi di masa masih ramai saudara mara dengannya, di masa dia sedang gembira. Aku taknak tengok mak aku sedih bila tengok aku pergi. Selalu sangat dah, mak aku tu, bila aku nak balik KL, dia buat muka sedih, sampai aku tak jadi balik.” Kata Halim.

“Lim, ada apa-apa yang aku tak tahu ke?” aku tanya Halim. Aku masih tak puas hati.

“Takde apa Rul. Kau jangan risau.” Kata Halim, seakan berjauh hati.

“Tak baik kau tinggalkan majlis adik kau sendiri macam ni Lim. Macam ni la, aku beritahu kat mak kau ye.” Kataku lagi. Halim tak menyahut.

Aku tengok jam kat tangan aku, pukul 5 petang. “Kau dah solat Asar ke Lim?” aku tanya dia. Halim geleng kepala. “On the way balik KL nanti kita singgah la masjid untuk solat,” kata Halim.

“Kita solat kat masjid sini je la. Nanti tak payah nak berhenti sana sini,” pujukku. Halim diam. Aku perhatikan Halim, wajahnya kian pucat, dia penat sangat kot. Mujurlah semua urusan majlis diuruskan oleh perancang perkahwinan yang dibayar oleh suami Zura. Takdelah kelam kabut dan penat tuan rumah. Kalau Halim nak balik petang ni pun takde masalah sebab tak banyak kerja yang perlu diuruskan tapi aku la rasa tak sesuai dia balik awal.

Aku bantu Halim masuk ke dalam rumah untuk solat asar.

“Lim, lepas maghrib nanti kita potong kek ye.” Aku dengar Mak Siti menegur anaknya. Masa ni aku teringat kat kotak hijau yang Halim nak bagi kat Zura.

“Lim, kotak hijau tu kau dah bagi kat Zura ke?” aku tanya.

“Aku dah letak kat tempat hadiah tu,” kata Halim.

“Laaa… kenapa tak bagi terus kat tangan dia? Kan lagi baik? Adik kau kot,” kataku. Halim tak menyahut. Dia tunaikan solat asarnya dengan duduk di kerusi. Aku perhatikan setiap gerakan Halim, nampak macam kekok, tak selesa. Dia sakit ke?

Selesai solat, sekali lagi Halim ajak aku balik KL. Kali ni aku betul-betul tak tahu nak pujuk dia dah.

“Ok ok. Jom kita beritahu kat mak kau dulu. Aku pun kena beritahu mak aku,” kataku.

“Tak perlu. Nanti aku call mak aku. Cepatlah, nanti lambat hari malam. Kau tu bukannya hebat sangat memandu malam. Cukuplah sekali aku terhumban kat dalam hutan tu sampai lima malam,” kata Halim berseloroh tapi aku pula rasa berdebar mendengar kata-kata Halim.

Setelah kami bersiap, aku cari Mak Siti. Aku ingat nak beritahu juga kat mak dia yang kami nak balik. Tapi aku tak nampak Mak Siti. Aku tanyakan pada adik bongsu Halim, katanya mak pergi rumah opah su dengan saudara mara yang lain. Patutlah tadi dia dah siap pesan kat Halim untuk potong kek malam nanti.

“Dah la Rul. Jom kita balik,” kata Halim macam dah tak sabar nak balik KL. Aku tak berdaya menahannya, aku pun pandu kereta dan kami bergerak menuju perjalanan ke KL.

“Boleh aku tahu, apa dalam kotak hijau tu?” aku tanya Halim masa dalam perjalanan. Halim duduk di bahagian belakang sebab kakinya tak boleh berlipat lama kalau duduk kat depan.

“Itu rantai kahwin mak aku,” Halim menyahut.

“Macammana pula rantai kahwin mak kau ada kat kau? Kenapa mak kau tak bagi terus kat Zura?” aku bertanya lagi.

“Kami susah Rul. Mak aku cuma rantai kahwin tu je. Arwah ayah aku tak bagi mak aku gadai rantai tu. Mak aku pegang rantai tu, walau macammana susah pun, mak aku takkan gadai rantai tu. Mak aku kata, itu je yang dia boleh turunkan kat anak perempuannya. Itu hajat mak aku. Tapi masa kita nak ke KL dulu, mak aku kata dia takde duit nak bagi. Dia bagi aku rantai ni. Katanya gadailah. Mak aku taknak aku susah di tempat orang. Aku taknak ambil, tapi mak aku kata kalau aku tak ambil rantai tu, mak aku tak izinkan aku ke KL. Sebab tu aku ambil. Dan aku simpan, aku tak gadai walau macammana susah sekalipun. Aku simpan. Aku tekad untuk tunaikan hajat mak aku supaya rantai tu diberi kepada anaknya. Kebetulan Zura yang kahwin, jadi aku bagi kat dia,” kata Halim.

“Kau sepatutnya bagi terus kat Zura. Atau bagi kat mak kau, biar mak kau bagi kat Zura. Baru betul. Macam ni kau letak je kat situ, tak bestlah,” kataku. Halim diam. Sesekali aku dengar bunyi nafasnya agak kuat.

“Kau ok ke Lim?” aku tanya. “Aku ok,” jawabnya.

“Lim, sepanjang kau kat dalam hutan, kau makan apa?” aku bertanya, sekadar nak hilangkan mengantuk semasa memandu.

“Aku makanlah rumput, buah entah apa buah. Nasib aku tak makan buah beracun,” kata Halim.

“Apa yang kau fikir sepanjang kau kat dalam hutan tu?” aku tanya lagi.

“Aku jumpa arwah ayah aku. Dia yang tolong aku. Dia kata aku kena tunaikan hajatnya agar aku boleh nikahkan adik aku. Memang aku pernah dengar mak dan ayah aku sembang dulu. Ayah aku kata, dia berharap sangat agar dapat nikahkan anaknya sendiri. Itu impiannya. Tapi umur ayah tak panjang, ayah meninggal dunia sebelum kami sempat besar,” kata Halim.

“Jadi, melalui perkahwinan Zura ni, kau dah tunaikan hajat mak dan arwah ayah kau la kan,” kataku.

“Iye, aku puas hati sangat. Alhamdulillah, aku dapat sampaikan hajat mereka. Lepas ni kalau aku mati sekalipun, aku tak terkilan dah. Zura dah dapat suami yang baik. In Shaa Allah, dia mampu menjaga mak dan adik-adik aku. Itu yang aku minta dia janji kat aku sebelum akad nikah tadi,” kata Halim.

“Alhamdulillah. Aku pun tumpang seronok Lim,” kataku.

Seketika kemudian, aku dengar bunyi dengkur. Aku lihat kat cermin pandang belakang, Halim dah lena. Penat sangat tu. Aku terus memandu.

Ketika sampai kat rumah, hari dah malam. Aku kejutkan Halim. Halim nampak lemah sangat. Aku bantu dia masuk ke dalam rumah. Aku baringkan dia di atas katilnya. Halim kata dia nak mandi bersihkan badan. Aku pun turutkan je. Selesai mandi, Halim baring kat katil. Katanya dia nak solat baring. Aku pun anggukkan kepala je. Sebab aku nampak begitu payah dia nak bergerak. Dengan kaki bersimen lagi.

Masa Halim solat, aku masuk ke dalam bilik air, mandi dan ambil wudhu. Lepas aku tunaikan solat maghrib, aku pandang Halim. Dia lena dengan tenangnya. Aku taknak ganggu dia. Aku terus ke dapur dan buka bungkusan yang aku bawa dari rumah Mak Siti tadi. Memang aku minta sedikit lauk dan nasi, untuk kami makan malam.

Aku ajak Izhar dan Ahmad makan bersama kami sebab banyak juga lauk yang aku bawa balik. Selesai panaskan lauk dan nasi, Izhar tolong hidangkan. Aku pula nak panggil Halim kat bilik.

“Lim, bangun Lim. Makan sikit. Tadi pun kau tak makan banyak. Nanti perut masuk angin,” panggilku. Halim tak bergerak.

“Lim,” aku panggil lagi. Pun tiada sahutan mahupun pergerakan. Hati aku dah berdebar-debar. Aku merapati Halim. Aku pegang tangannya, sejuk.

“Lim, bangun Lim,” panggilku lagi. Tiada sahutan. Tangannya tak bergerak langsung. Aku pegang dahinya, juga sejuk. Aku letakkan jari telunjuk aku kat bawah hidung Halim, tiada angin. Aku dah mula menggeletar. Aku letakkan telinga aku kat dada Halim. Tiada pergerakan mahupun bunyi. Aku melangkah setapak ke belakang. Badan aku menggeletar.

“Izz! Mat! Sini jap,” aku panggil Ahmad dan Izhar.

“Kenapa ni Rul?” Izhar tanya. Aku tak boleh bercakap, mataku panas. Aku tunjukkan Halim kepada mereka.

“Kenapa dengan Halim?” Ahmad bertanya lalu pergi kepada Halim.

“Lim, bangun Lim. Jom makan,” Ahmad memanggil Halim dengan lembut. Izhar juga merapati tubuh Halim tapi dia tak memanggil nama Halim. Dia letakkan jari telunjuknya di bawah hidung Halim. Lepas tu dia pegang pergelangan tangan Halim.

“Ya Allah, Halim dah takde. Dia dah tinggalkan kita.” Kata Izhar perlahan dengan nada sebak, diikuti dengan titisan air mata dipipinya.

Aku pula masih menggeletar kat tepi dinding. Rasa macam berpusing. Aku pitam!

Aku sedar bila terasa mukaku disapu dengan air sejuk. Aku buka mata. Izhar memandang aku dengan wajah sayu.

“Izz, Halim mana?” aku tanya.

“Sabar Rul. Allah lebih sayangkan dia. Aku dah call ambulan, sekejap lagi mereka sampai.” Kata Izhar. Aku terus bangun. Tubuh Halim terbujur kaku diselimuti kain dari hujung kaki hingga hujung kepala di atas katilnya.

“Lim! Kenapa Lim! Kenapa kau pergi macam ni? Ya Allah Lim,” aku meraung tak sedar diri. Izhar peluk aku. Dia cuba tenangkan aku. Aku cuba bangun, tapi kaki aku lemah, tak mampu berdiri pun. Izhar suruh aku duduk dulu, dia risau tengok aku tak boleh berdiri apatah lagi berjalan.

Seketika kemudian, ambulan sampai. Mereka mengesahkan Halim dah meninggal dunia. Mereka membawa jenazah Halim ke hospital. Aku, Izhar dan Ahmad mengikutnya.

Kat hospital, aku berjumpa dengan doktor yang merawat Halim. Doktor tu kata, sebenarnya Halim masih tak sihat. Walaupun Halim nampak sihat, dan tak nampak apa-apa kecederaan serius kat tubuh luarannya, tapi sebenarnya bahagian dalaman badannya agak lemah dan berisiko rosak. Paru-parunya dah dijangkiti kuman. Tapi Halim berkeras nak keluar wad juga petang Jumaat tu walaupun dihalang oleh pihak hospital. Sampai akhirnya pihak hospital memintanya menandatangani surat tanggung risiko sendiri kerana dia sendiri yang berkeras nak keluar dari wad.

Mak Siti dan adik-adiknya redha dengan berita yang aku sampaikan. Mak Siti kata dia redhakan pemergian anaknya dan katanya tempat Halim hanya di syurga. Zura pula menangis tak tertahan. Aku nampak dia pakai rantai tangan yang Halim bagi kat dia. Aku tak boleh tengok, terus keluar dari bilik hospital.

Tiada kata yang mampu aku luahkan. Halim dah pilih jalan begitu. Dia taknak mak atau adik-adiknya melihat saat kematiannya. Sebab tu dia nak balik cepat. Dia dah tahu masanya tak lama. Kuat sungguh semangatnya untuk menyempurnakan hajat mak dan arwah ayahnya. Tapi aku yakin, Halim puas hati kerana segala impiannya terlaksana. Sebagai kawan, aku bangga dengan semangat Halim, yang mana aku tak rasa aku mampu lakukan. Dia bertahan hingga masa nyawanya diambil, demi untuk melaksanakan hajat mak dan arwah ayahnya.

Halim, dari kecil hingga nafas terakhir, kaulah sahabatku dunia akhirat. Moga syurga tempatmu sahabat.

– T A M A T –

One thought on “SAMPAIKAN HAJATKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s