SAMPAIKAN HAJATKU

Bab 7

Halim dibawa ke hospital, aku pula dibawa ke balai polis. Aku diminta membuat laporan tentang penemuan Halim di dalam hutan selepas 5 hari dia menghilang.

“Macammana kamu boleh tahu secara tepat tempat dia kemalangan tu?” pegawai polis tu tanya aku.

“Dia beritahu saya,” sahutku tanpa fikir panjang.

“Dia?” pegawai polis tu tanya aku dengan wajah berkerut.

“Saya tak tahu macammana tapi Halim sendiri beritahu saya. Orang lain tak nampak dia, cuma saya yang nampak dia. Mungkin rohnya minta tolong,” kataku.

“En Zarul, kita sekarang kat balai polis. Boleh tak beritahu perkara yang saya boleh tulis dalam laporan?” pegawai tu tanya aku lagi.

“Tulis je la dia dapat tahu melalui mimpi,” tiba-tiba seorang lagi pegawai entah datang dari mana, muncul dan cakap macam tu kat pegawai yang sedang menyoal aku. Dan pegawai tu terus menaip di komputer tanpa tanya aku soalan selanjutnya.

“Kamu berdua sangat rapat?” Pegawai yang aku nampak nametag Borhan kat bajunya.

Aku anggukkan kepala.

“Saya kena dakwa ke ni tuan?” aku tanya. Pegawai Borhan tu senyum sambil menepuk bahu aku.

“Tak semudah itu nak dakwa orang. Kami cuma nak kamu buat laporan sebab kamu yang jumpa mangsa dan kamu yang menghubungi pihak kami. Kalau mangsa stabil, kami akan dapatkan maklumat lanjut darinya. Itu je,” kata Pegawai Borhan tadi.

“Kalau dia mati?” aku tanya lagi.

“Kita akan dapatkan perintah untuk buat post mortem. Kalau kematian tiada menjurus ke arah pembunuhan, takde apalah. Kalau ada kesan kena pukul, kena tikam atau penderaan fizikal, barulah kami buka kertas siasatan untuk akta bunuh pula,” kata Pegawai Borhan lagi.

“En Zarul, tolong tandatangan kat sini,” kata pegawai yang ambil laporan aku tadi sambil menunjukkan sehelai kertas kat depan aku. Aku pun tak tanya banyak dah, aku terus tandatangan.

“Ok, kamu boleh balik. Tolong jawab telefon kalau kami call.” Kata Pegawai Borhan.

“Saya boleh jumpa Halim kat hospital ke?” aku tanya.

“Boleh, apa salahnya. Kawan kamu tu kuat semangatnya. Untuk seorang lelaki bertahan dalam keadaan sakit dan tak cukup nutrisi, dia boleh hidup hingga lima hari. Itu satu keajaiban. Pergilah lawat dia, moga dia sihat,” kata Pegawai Borhan sambil tepuk bahu aku lagi.

“Terima kasih tuan,” kataku sambil bersalaman dengan Pegawai Borhan.

“Saya boleh ambil motor saya?” aku tanya.

“Boleh. Silakan,” kata Pegawai Borhan.

Aku terus tunggang motor aku, memecut terus ke hospital. Kat hospital, hampir sejam juga baru aku dapat jumpa Halim. Dia masih tak sedarkan diri. Mukanya pucat. Kakinya diikat kepada satu papan kecil.

“Misi, macammana dengan kawan saya?” aku tanya.

“Dia kehilangan nutrisi. Kami dah masukkan air dan garam ke dalam badannya. Terdapat retakan pada tulang kakinya. Selain dari tu, saya tak pasti sebab belum dapat keputusan penuh. Buat masa sekarang, keadaannya stabil. Cuma jangan ganggu dia sangat, biarkan dia berehat,” kata jururawat yang sedang memasang botol air yang dimasukkan ke dalam badan Halim melalui tangannya.

Aku duduk di tepi katil Halim. Mengenang semula segala yang aku lalui dengan ‘Halim’ yang satu lagi sepanjang lima hari dia bertarung nyawa di dalam hutan. Sesekali rasa nak meraung minta maaf kat Halim sebab lambat memahami keadaan yang berlaku.

Sampai habis waktu melawat, Halim masih tak sedar. Tiada pergerakan pun.

“Lim, aku balik dulu. Esok aku datang lagi. Aku harap kau dah sedar esok. Nanti aku akan beritahu mak kau dan Pak Sani. Kau kena kuat, kau nak jadi wali untuk Zura kan. Kau mesti kuat. Kan kau yang excited sangat, kau bangga sangat kau jadi wali di usia muda. Kau kata kau nak nikahkah adik kau sendiri. Betul kan? Jadi kau kena sihat. Lagi dua hari Zura nak menikah. Kau wajib ada,” kataku berbisik kat telinganya.

Aku melangkah keluar dari bilik hospital. Aku balik rumah. Sampai rumah pun dah maghrib. Masa aku masuk rumah, Izhar dan Ahmad ada kat dalam rumah.

“Mat, kau dah balik.” Aku tegur Ahmad.

“Rul, aku minta maaf pasal aku tumbuk kau haritu. Memang aku tak dapat kawal diri masa tu.” kata Ahmad perlahan tanpa pandang aku.

“Takpelah, benda dah lepas. Korang tau tak? Aku jumpa Halim kat dalam hutan tepi highway ke Perlis. Rupanya dia kena langgar dan terbabas ke dalam hutan tu. Dari hari dia pergi dulu, dah masuk hari kelima hari ni,” kataku memaklumkan Ahmad dan Izhar. Bulat mata mereka mendengar cerita aku.

“Dia kemalangan? Ya Allah. Tapi yang dua malam lepas kau kata kau dengan Halim?” kata Izhar lagi.

“Aku pun tak tahu nak cakap pasal ni. Memang aku nampak dia. Memang aku keluar makan dengan dia. Pagi tadi pun aku masih nampak dia. Sampailah aku jumpa Pak Usop kat taman depan, dia nampak rupa aku yang panik. Dia yang beritahu aku tentang hal ni. Terus aku pergi ke tempat yang Halim cakap dia tinggalkan motornya tu. Dan aku jumpa dia kat sana. Aku ingat dia dah mati, masa ambulan datang, mereka kata dia masih hidup. Terus bawa dia ke hospital.” Kataku.

Ahmad dan Izhar memandang aku dengan mulut terbuka.

“Aku tak pasti siapa geledah bilik kau. Mungkin Halim, mungkin orang lain. Tapi kalau Halim yang selongkar bilik kau, mungkin sebab dia nak bagi isyarat kat kita. Sebab kita tak nampak dia, jadi dia perlu usik benda lain yang buat kita sedar kehadiran dia,” kataku lagi.

“Kau kata dia cari kotak hijau dia?” kata Ahmad.

“Dia dah jumpa kotak hijau dia. Tinggal kat bengkel.” Sahutku sambil melangkah ke bilik bila terdengar azan maghrib berkumandang.

Lepas solat maghrib, aku call Pak Sani. Beritahu dia pasal Halim. Lepas tu aku call Zura. Teresak-esak dia menangis. Itu belum dia tahu pasal ‘abang’nya ada balik kampung tapi tak dipedulikan oleh mereka. Aku pesan kat Zura, bagitahu kat mak dia perlahan-lahan. Aku takut maknya terkejut, nanti ke heart attack pula. Kenduri tak lama je lagi.

Lepas solat isya’ aku terus tidur. Penat sangat rasa badan aku ni. Dalam tidur aku, aku bermimpi jumpa Halim. Halim tak bercakap, dia cuma pandang aku. Dia pakai baju melayu warna putih. Tiap kali aku rapat kepadanya, dia makin menjauh dari aku. Aku panggil dia tapi dia hanya pandang aku dengan wajah tenang. Sayunya aku rasa masa tu.

“Lim, Lim, kau nak ke mana?” aku panggil dia. Suasana sama je. Keliling aku takde orang. Hanya kawasan berkabus.

Tiba-tiba aku rasa pipi aku sakit ditampar orang. Aku buka mata. Izhar dan Ahmad kat depan aku. Aku duduk dan pandang keliling.

“Kau mimpi apa sampai keluar dengar suara kau menjerit panggil Halim?” Izhar tanya aku.

“Halim. Aku mimpikan dia,” kataku sambil pegang pipi aku yang pedih akibat ditampar dek Izhar.

“Kau terbawa-bawa sangat kejadian siang tadi kot. Pergilah basuh kaki, baca doa tidur. Jangan fikirkan sangat. Esok kita pergi tengok dia. In Shaa Allah dia ok kat hospital tu. Lima hari dia boleh bertahan sendirian kat dalam hutan dengan kesakitan, takkanlah dia tak boleh bertahan di tempat yang selesa kat hospital nun,” kata Ahmad cuba menenangkan aku.

Aku tak menjawab. Bangun ke bilik air, ambil wudhu dan solat sunat 2 rakaat. Moga segalanya selamat.

Keesokan harinya, pukul 12 tengahari aku bawa Zura dan maknya yang sampai dari Perlis, ke hospital untuk melawat Halim. Halim dah sedar, tapi tak dapat bergerak banyak. Mak Siti menangis tak henti kat tepi Halim. Halim senyum lemah memandang emaknya. Cuma dia belum mampu bersuara.

“Mak, jangan ikutkan perasaan sangat. Doakan abang sembuh cepat. Nanti abang boleh nikahkan Zura, kan bang?” kata Zura tersenyum walaupun aku nampak riak sebak dimatanya. Halim mengangguk lemah tapi aku nampak dia menggenggam tangan maknya yang dari tadi tak dilepaskan.

“Macam ni, saya rasa makcik balik kampung uruskan hal kenduri Zura ni. Saya akan jaga Halim kat sini. In Shaa Allah dia akan beransur sihat. Doktor pun kata dia dah stabil.” Kataku.

“Makcik rasa nak batalkan majlis ni la. Tak sedap hati makcik tengok Halim macam ni. Macammana kami nak buat kenduri?” kata Mak Siti. Aku pandang Zura.

“Takpe makcik. Sekurang-kurangnya kita dah tahu Halim dah selamat. Majlis tu lusa je, nak batalkan pun dah agak terlambat. Teruskan je. Kalau tanya Halim pun, mesti dia nak makcik teruskan majlis ni. “ kataku memujuk.

“Halim ni wali si Zura.” Kata Mak Siti.

“Dalam keadaan sekarang, boleh gantikan dengan bapa saudara sebelah ayah mereka kan,” kataku lagi.

“Takpelah mak. Kita balik dulu. Tak perlulah buat kenduri. Kita buat yang wajib je. Sebab persiapan semua dah dibuat. Barang-barang semua dah beli.” Kata Zura cuba memujuk emaknya.

Mak Siti diam. Aku kesian sangat melihatnya. Akhirnya Mak Siti setuju untuk balik ke kampung untuk menguruskan majlis. Aku berjanji untuk jaga Halim kat sini.

Petang Jumaat, aku lawat Halim. Dia nampak lebih sihat. Dia dah bergerak kuat melainkan kakinya yang masih bersimen.

“Rul, aku nak balik kampung. Aku nak nikahkan Zura,” kata Halim. Aku pandang dia sejenak.

“Lim, kau tak sihat lagi. Kau kena betul-betul sihat baru boleh keluar dari hospital. Kau jangan risau, Zura tetap akan berkahwin.” Kataku memujuk.

“Aku nak balik juga.” Kata Halim tegas.

“Doktor takkan bagi kau balik dalam keadaan ni Lim. Kau tengok kaki kau tu, masih bersimen,” kataku.

Halim diam. “Lim, janganlah marah. Aku cuma nak kau sihat betul-betul. Jangan nanti kau sakit, lagi susah. Lama kau terperangkap kat dalam hutan tu,” kataku.

“Kau tahu tak Rul, masa aku kat dalam hutan tu, aku rasa macam aku ada nampak mak aku, nampak Zura, nampak kau. Tapi aku tak tahu itu aku mimpi ke apa,” kata Halim lagi.

“Kau mimpilah tu,” kataku senyum tawar.

“Mungkinlah. Aku mimpi aku geledah bilik Ahmad sampai bersepah bilik dia. Kalaulah aku betul-betul geledah bilik dia, harus putus kawan la dengan dia. Dia kan selalu nak kemas je. Selalu ejek kita yang kena bengkel ni, busuk la, tak kemas la. Puas hati aku dapat sepahkan bilik dia walaupun hanya dalam mimpi,” kata Halim. Dan aku masih tersenyum tawar memandangnya.

Habis waktu melawat, aku balik ke rumah. Tapi aku masih berfikir apa yang Halim cakap. Dia kata dia mimpi, tapi apa yang dilakukan dalam mimpi tu, memang betul-betul terjadi. Aku dah gila ke?

– Bersambung –

One thought on “SAMPAIKAN HAJATKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s