SAMPAIKAN HAJATKU

Bab 6

“Aku sakit Rul, tolong aku,” kata Halim lagi dengan penuh kepayahan.

“Kau jatuh ke Lim?” aku tanya lagi.

“Aku sakit, kau kena tolong aku,” kata Halim lagi.

“Jom aku bawa kau ke hospital,” kataku sambil bangun.

Halim pegang tangan aku, cengkamannya kuat sampai sakit tangan aku. Halim berpaut pada aku dan cuba berdiri dengan penuh kepayahan. Mengalir darah dari matanyanya. Seakan menangis.

“Lim, teruk kau Lim. Aku call ambulan,” kataku. Aku cuba capai telefon dari atas meja di tepi kerusi. Baru je aku nak dail nombor ambulan, entah kenapa tiba-tiba Halim tolak aku dengan kuat hingga aku terbaring di atas kerusi.

Aku bingkas bangun. Aku pandang keliling. Astaghfirullah, aku terlena. Aku mimpikan Halim. Aku mimpikan Halim dalam keadaan yang tidak baik.

‘Kenapa dengan Halim? Di mana dia sebenarnya?’ Desis hati kecil aku.

Aku termenung sekejap. Lamunanku terganggu bila aku terdengar bunyi pinggan kat dapur. Aku bangun dan melangkah ke dapur perlahan-lahan. Aku nampak satu susuk tubuh sedang menghadap sinki.

“Lim, kau ke tu?” aku panggil separuh berbisik. Dada aku berdebar. Entah kenapa kali ni aku rasa itu bukan Halim. Walaupun susuk tubuh itu aku kenal sangat. Tapi dia nampak kurus.

“Lim?” aku panggil lagi.

Susuk tubuh itu berpaling ke arah dengan matanya mengalirkan darah sama seperti dalam mimpi aku tadi. Aku terkejut. Aku melangkah beberapa tapak ke belakang. Halim melangkah merapati aku, tapi aku dengan sekuat tenaga berlari keluar pintu rumah walaupun kaki aku dah rasa macam tak pijak tanah.

Macam orang gila, aku berlari keluar pagar dan terus ke taman permainan kat depan rumah.

“Zarul?” aku terdengar suara seseorang memanggil namaku. Aku menoleh ke arah suara itu. Aku nampak Pak Usop berdiri tak jauh dari taman permainan tu.

“Pak Usop,” aku menegurnya.

“Kamu dah kenapa berlari keluar macam orang kena kejar hantu di siang hari ni?” Pak Usop tanya aku.

Aku dah macam orang mengantuk disorongkan bantal. Tanpa selindung aku terus ceritakan segalanya kepada Pak Usop walaupun cerita aku macam tak masuk dek akal manusia normal. Tapi Pak Usop mendengar segala cerita aku sambil menganggukkan kepalanya tanda faham dengan cerita aku.

“Saya minta maaf Pak Usop. Saya tak tahu nak cerita kat siapa lagi sebab tiada siapa yang nampak Halim, cuma saya. Saya takkan salahkan Pak Usop kalau Pak Usop pun rasa keliru dengan cerita saya sebab saya sendiri pun keliru sekarang ni. Tak tahu saya mimpi ke macammana,” kataku perlahan sambil tunduk ke tanah.

“Saya percaya cerita kamu. Memang ada kejadian macam ni. Saya rasa kawan kamu ditimpa kecelakaan tanpa bantuan. Rohnya mencari kamu untuk kamu bantu dia.” Kata Pak Usop, penerangan yang ringkas tapi aku seperti terjaga dari leka. Aku pernah dengar kisah begini.

“Ya Allah! Halim, kenapa aku tak terfikirkan perkara ni? Maafkan aku Halim,” kataku sambil mengusap muka aku berkali-kali. Dadaku sebak. Teringat aku marahkan dia pagi tadi.

“Kat mana saya nak mula cari dia Pak Usop?” aku tanya.

“Kalaulah benar rohnya cuba minta bantuan dari kamu, dia pasti ada bagi kamu satu bayangan tempat. Atau beritahu kamu tentang satu alamat,” kata Pak Usop. Aku berfikir sejenak.

“Kilometer 135, highway ke Perlis,” aku bersuara perlahan. Pak Usop pandang aku sambil mengangkat keningnya sambil tersenyum.

“Terima kasih Pak Usop. Terima kasih. Saya rasa saya faham dah. Saya pergi cari dia,” kataku sambil bersalaman dengan Pak Usop, lalu berlari semula ke rumah dan mengambil kunci motor. Masa aku nak melangkah keluar, aku terasa seperti sedang diperhatikan dari arah dapur. Dadaku berdebar kembali.

“Rul, kau nak ke mana?” aku dengar suara perlahan dari arah dapur. Aku beranikan diri memandang ke arah ‘sesuatu’ dan suara itu. Lutut aku lemah di kala ternampak susuk tubuh Halim berdiri dengan wajah pucat lesi, tapi tidak berdarah seperti tadi.

“Rul, kau nak tinggalkan aku,” Halim bersuara lagi perlahan.

“Rul, jangan tinggalkan aku. Aku takut,” kata Halim lagi.

Aku tunduk ke lantai. Dada aku berdebar. “Bismillahirrohmaanirrohim, tiada makhluk yang lebih berkuasa melainkan Allah,” ucapku perlahan.

“Lim, aku rasa kau belum sedar. Kau dah mati Lim,” kataku perlahan. Tiada sahutan.

Aku pandang ke arah Halim, dia masih berdiri di situ dan pandang aku.

“Lim, aku akan cari kau. Kau pergilah ke tempat yang sepatutnya. Tinggalkan hal dunia,” kataku perlahan, menahan sebak.

“Tidak Rul. Aku masih ada hajat belum selesai. Aku takkan pergi,” kata Halim juga perlahan.

“Aku akan tunaikan hajat kau Lim. Kau kawan aku dunia akhirat. Aku sayangkan kau. Tapi Allah lebih sayangkan kau,” kataku.

Tiada lagi sahutan dari Halim. Aku angkat muka dan pandang tempat Halim berdiri tadi. Tiada sesiapa di situ. Tanpa berlengah, aku terus melangkah keluar dari rumah. Aku pecut motorsikal aku terus ke tempat yang Halim kata motornya ditinggalkan kerana rosak.

Sampai di kawasan tersebut, aku turun dari motor aku. Aku perhatikan keliling. Aku tak nampak apa-apa, hanya kawasan bukit dan hutan dan kenderaan lalu lalang di atas highway tersebut. Aku tengok jam tangan, pukul 2 petang. Aku nekad untuk masuk ke kawasan bukit tersebut.

Aku berjalan perlahan di dalam kawasan bukit dan berhutan. Sampai aku jumpa motorsikal Halim di satu kawasan yang bukitnya agak curam. Masa tu aku berlari tak sedar diri sampai aku sendiri hampir nak jatuh kat kawasan bukit tu. Aku belek motorsikal Halim. Aku pandang keliling, aku tak nampak Halim.

Aku cuba menuruni lereng bukit tu dengan berpaut pada akar-akar dan dahan pokok hutan yang besar di situ. Aku sampai ke kawasan bawah bukit. Aku melangkah perlahan dengan bantuan cahaya matahari. Melangkah dalam hutan yang berbukit bukau. Aku pasti akan jumpa jasad Halim di situ sebab motornya ada di sana.

Hampir 15 minit aku berjalan, aku jumpa beg galas Halim. Kali ni aku yakin aku akan jumpa jasad.

Lepas lima minit, aku nampak susuk tubuh terbaring di bawah akar pokok yang besar. Aku kenal pakaian pada susuk tubuh itu. Itulah pakaian yang Halim pakai masa hari dia keluar balik kampung Sabtu lepas. Ya Allah! Dengan dada berdebar dan hati yang agak sebak, aku berlari mendapatkan susuk tubuh itu. Hilang semua ketakutan aku.

Sebaik aku menghampiri tubuh Halim, air mata aku tak dapat ditahan lagi. Aku menangis semahu-mahunya. Yang ada dalam hati aku cuma kekesalan. Kenapa aku tak perasan perkara ni dari hari pertama Halim balik ke rumah semula selepas balik kampung.

Dia kata keluarganya tak pedulikan dia. Sedangkan aku sendiri tahu macammana akrabnya mereka. Sedangkan aku tahu betapa emak Halim amat percayakan Halim, semestinya dia takkan percaya khabar angin dari orang lain tanpa tanya Halim. Rupanya bukan mereka tak pedulikan dia, tapi sebenarnya mereka tak nampak dia!

Masa makan kat kedai malam tu, pelayan tu pelik sangat aku order dua nasi goreng dengan dua air. Rupanya dia nampak aku seorang saja yang datang ke kedai makan tu. Malam tu ada tuan kereta yang tanya aku bawa siapa. Lepas tu aku nampak seakan pocong kat atas keretanya. Itu mungkin kerana aku berada di tengah antara dunia aku dan dunia roh Halim. Jadi aku nampak perkara tu, dan mungkin tuan kereta itupun salah seorang dari makhluk Allah di alam roh. Dan paling nyata, bila Izhar kata dia tak nampak pun Halim dalam rumah sedangkan pagi tu kami sarapan bersama.

Kenapa aku tak perasan semua ni? Maafkan aku Halim, aku terlalu bodoh untuk memahami apa yang kau cuba sampaikan. Kau cari aku sebab kau tahu hanya aku yang kau percaya, hanya aku yang sanggup mati untuk kau. Tapi aku lambat. Aku menangis tersedu-sedu di situ. Tapi apa yang aku boleh buat lagi, semua dah terjadi. Nasi dah jadi bubur. Aku tak terkilan kau mati dulu Halim, tapi aku terkilan dengan cara kematian kau dan cara kau beritahu aku pasal kematian kau.

Aku buka beg galas Halim. Sebaik buka zip, aku terus nampak kotak hijau yang dia kata nak bagi kat Zura pada hari perkahwinan Zura. Kali ni aku tak dapat menahan diri, aku meraung sekuat-kuatnya. Aku tak fikir apa dah, aku meraung dan menangis kat tengah hutan tu sendirian bersama jasad Halim yang terbujur kaku.

Setelah hati aku tenang sikit, dengan tangan yang menggeletar, aku ambil telefon dari dalam beg. Aku dail nombor polis dan hospital. Aku duduk di situ menunggu polis dan ambulan sampai. Aku pandang jasad Halim yang masih tertiarap. Aku nak betulkan kedudukannya tapi aku rasa aku perlu polis sampai.

Lebih kurang setengah jam, ambulan dan polis sampai. Aku hanya memerhati dari satu sudut dengan linangan air mata. Tak tahu macammana nak sampaikan berita ni kepada mak dan adik-adik Halim.

“Tuan, dia masih hidup,” aku dengar suara pembantu perubatan yang datang dengan ambulan tadi kepada salah seorang anggota polis yang turut berada di situ. Aku pandang ke arah mereka. Aku pandang Halim yang masih terbaring.

“Betul?” pegawai polis tu tanya.

“Iya, nadinya masih ada tapi tersangat lemah. Mata hitamnya masih bergerak. Tapi kena segera, dia berada di tahap kritikal. Peluang tipis, dalam 5-10% sahaja,” kata pembantu perubatan tu lagi.

“Bawa dia ke hospital,” kata pegawai polis tu lagi. Aku pula terus bangun dan cuba merapati Halim namun dihalang oleh pegawai polis tu.

“Biar pihak ambulan uruskan,” kata pegawai polis tu. Aku hanya mengangguk. Dadaku terus berdebar, memohon agar Halim diizinkan hidup oleh Allah. Aku berharap.

Tubuh Halim di angkat ke ambulan. “Selain dari motor, apa lagi yang encik jumpa milik mangsa di sini?” pegawai polis tu tanya aku. Aku angkat beg galas Halim yang aku jumpa tak jauh dari motornya.

“Kami perlu ambil begnya untuk siasatan kes,” kata pegawai polis tu lagi.

“Boleh tak saya simpan kotak hijau ni?” aku bertanya.

“Kotak itu berada dalam beg mangsa?” pegawai polis tu tanya lagi.

“Iye,” sahutku.

“Kalau macam tu, kami perlu ambil ia juga. Semuanya jangan dikeluarkan dari beg. Selesai urusan siasatan, kami akan serahkan semula kepada waris. Dan kami perlukan kerjasama encik untuk buat laporan dan jika kes ini ada keraguan, encik mungkin akan dipanggil untuk soal siasat. Sila berada dalam daerah ini sehingga kes ini selesai,” kata pegawai polis tu lagi.

“Maksud tuan, saya disyaki cuba membunuh ke?” tanyaku kaget sekejap.

“Belum lagi. Sekiranya terdapat keraguan sahaja,” kata pegawai polis tu lagi.

Aku hanya diam dan menyerahkan beg galas Halim kepada pegawai polis tu.

“Encik naik dengan kereta polis ye. Pihak kami akan uruskan motor encik dan motor mangsa.” Kata pegawai polis tu lagi. Aku hanya menganggukkan kepala. Aku tak dapat berfikir buat seketika.

Apa pula sekarang ni?

– Bersambung –

One thought on “SAMPAIKAN HAJATKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s