SAMPAIKAN HAJATKU

Bab 5

Sampai kat bengkel, aku terus masuk pejabat. Pak Sani sedang duduk kat mejanya, macam tengah buat kira-kira. Aku bagi salam, Pak Sani angkat kepala pandang aku.

“Waalaikumussalam. Awal kau hari ni Rul? Mimpi apa?” Pak Sani tanya aku.

“Saya nak minta izin keluar sekejap hari ni Pak Sani. Nak bawa Halim pergi tengok motor dia sekejap,” kataku. Pak Sani buka spek matanya dan pandang tepat ke muka aku dengan wajah berkerut. Lepas tu dia tengok kalender kat tepi dinding.

“Motor Halim?” Pak Sani tanya aku. Aku memang dah agak Pak Sani akan bagi reaksi macam tu. Semua orang pun memang terkejut bila tahu Halima ada kat sini, sedangkan mereka fikir Halim sepatutnya dah berada di kampung.

“Haah. Motor dia rosak kat highway. Dia balik sini tumpang bas,” kataku.

“Bukan dia kata dia akan berada di kampung sampai hari adik dia kahwin ke?” Pak Sani tanya aku lagi.

Aku pun ceritakan serba sedikit hal Halim ni.

“Kat mana dia tinggalkan motornya?” Pak Sani tanya.

“Katanya kat kilometer 135 highway ke Perlis,” sahutku.

Kalau ikut cerita kamu tadi, dia dalam perjalanan balik ke KL kan? Kenapa pula rosak kat highway ke Perlis? Bukan sepatutnya highway ke KL ke?” Pak Sani tanya aku. Aku pula macam baru perasan.

“Dia silap cakap la tu kot. Mungkin serabut sangat dengan motor rosak, keluarga dia macam tu, barang dia hilang lagi,” kataku.

“Dia pergi hari Sabtu, hari ni dah Rabu. Sabtu ni adik dia kahwin kan?” Pak Sani tanya aku lagi.

“Iye Pak Sani. Itu yang saya nak tolong dia selesaikan hal dia cepat supaya dia boleh balik semula ke kampung untuk urusan perkahwinan adik dia. Nak cari barang dia yang hilang lagi ni. Katanya barang tu nak bagi kat adiknya masa hari perkahwinan,” kataku lagi.

“Takpelah, kamu pergilah tolong dia. Kalau perlu bantuan Pak Sani, beritahu. Kalau motornya tak jauh, bawa je ke sini, betulkan elok-elok. Macammmanalah motor seorang mekanik boleh rosak?” kata Pak Sani sambi merungut dan memakai semula spek matanya lalu menyambung kerjanya yang terhenti tadi.

“Terima kasih Pak Sani.” Kataku sambil bangun dari kerusi dan melangkah keluar dari pejabat.

“Sekejap, tadi kau kata nak cari barang kahwin adik dia yang hilang. Barang apa?” Pak Sani tanya aku buatkan langkah aku terhenti di pintu pejabat.

“Kotak kecil berwarna hijau. Dia kata malam sebelum dia balik, dia tinggalkan kat meja makan kat rumah. Masalahnya kotak tu takde kat sana. Tak tahu kat mana dia letak. Saya suruh je dia beli yang baru, tapi dia taknak beritahu apa dalam kotak tu,” kataku.

“Kotak hijau?” Pak Sani sekali lagi buka spek matanya. Dan menggosok matanya berkali-kali.

“Iye Pak Sani, kotak hijau. Pak Sani ada nampak ke? Kot la dia tertinggal kat sini tapi dia ingat kat rumah,” sahutku.

“Hari sabtu sebelum dia balik kampung, dia ada singgah sini. Memang ada kotak hijau tu kata atas meja makan kat belakang sana. Amir yang jumpa, dia bagi kat Pak Sani. Masa Halim datang pagi Sabtu tu, Pak Sani dah bagi kotak tu kat dia. Memang dia cakap dia cari kotak tu. Lepas tu dia terus balik kampung.” Katanya Pak Sani buatkan aku pula yang berkerut dahi sekarang ni.

“Maknanya dia dah jumpa la kotak hijau yang dia cari tu? Kenapa dia masih cakap pasal kotak hijau tu?” kataku.

“Entahlah kalau ada kotak lain. Kamu cubalah tanya dia. Pergi selesaikan hal dia cepat, Sabtu ni adik dia dah nak kahwin,” kata Pak Sani kembali memakai spek matanya dan tunduk menghadap akaun kira-kiranya semula.

Aku pula melangkah keluar dari pejabat dengan muka penuh tandatanya. ‘Kalau dah jumpa kotak tu, dia nak cari apa lagi?’ desis hati kecil aku. Aku mula rasa ada sesuatu yang tak kena. Cepat-cepat aku melangkah ke motorsikal aku. Baru je nak masuk gear, telefon aku berbunyi.

“Hello. Assalamualaikum Abang Zarul. Zura ni,” aku dengar suara Zura, adik Halim di hujung talian.

“Waalaikumussalam Zura. Ada apa ye?” aku tanya dia, kononnya nak buat-buat tak tahu la hal keluarga mereka.

“Abang Halim masih kat KL ke? Harini dah Rabu. Bulan lepas dia kata akan balik seminggu lebih awal dari hari Zura kahwin. Sekarang dia tak balik lagi. Zura dan mak dah cuba telefon banyak kali tapi dia tak jawab. Sampai semalam nombornya tak dapat dihubungi. Itu yang Zura call Abang Zarul ni,” kata Zura di talian.

Aku terdiam sejenak, tak tahu nak jawab apa. Halim cakap kat aku, dia dah balik kampung tapi keluarganya tak pedulikan dia. Dia syak Pak Ngahnya dah burukkan dia kat mak dia. Dia pula terkilan sebab tak dapat bagi barang yang dijanjikan kat Zura. Tapi sekarang ni ceritanya lain pula.

“Abang Zarul?” Zura panggil aku di talian.

“Halim ada kat KL. Motor dia rosak. Nanti abang tolong dia, lepas semua ok, abang suruh dia balik. Kalau sempat hari ni, dia balik hari ni juga ye,” kataku kepada Zura.

“Ok, terima kasih Abang Zarul. Nanti datang tau kenduri kahwin Zura,” kata Zura mengingatkanku.

“In Shaa Allah, Abang datang nanti,” sahutku. Memang keluarga Halim rapat dengan aku dan keluarga aku sekali. Hubungan kekeluargaan kami dah macam adik beradik.

Sebaik sahaja talian diputuskan, aku cuba dail nombor Halim. Betul macam yang Zura cakap, nombor Halim tak dapat dihubungi. Bateri habis kot.

Entah kenapa aku makin rasa Halim ada sembunyikan sesuatu dari aku. Aku ni kawan baik dia kot, kenapa dia nak tipu aku. Kenapa dia nak buat cerita sedih sampai aku pun tak lalu nak makan. Kalau dia ada masalah, kenapa dia tak cakap terus terang kat aku. Walhal dia dah cakap aku ni kawan dunia akhirat dia. Kawan suka duka, kawan susah senang. Memang itu juga yang aku anggap dia. Tapi kenapa dia tipu aku?

Aku start enjin motor, terus balik ke rumah. Aku nak berdepan dengan dia, aku nak tanya kenapa dia buat cerita semua ni.

Sampai kat rumah, aku nampak Halim sedang duduk di atas buai besi, di depan rumah kami. Dia pandang aku. Wajahnya nampak pucat, dia nampak tak sihat. Aku terus matikan enjin motor dan terus mendapatkannya.

“Lim, aku baru balik dari bengkel. Pak Sani kata kau dah ambil kotak hijau tu dari bengkel pada hari sabtu masa kau nak balik kampung. Kenapa kau kata tak jumpa lagi?” kataku memulakan bicara. Suaraku agak tegas, aku memang rasa nak marah sebenarnya.

“Lepas tu, tadi Zura call aku. Dia kata kau tak balik kampung pun. Kenapa kau kata kau dah balik kampung?” aku tanya lagi.

“Sekarang ni aku nak tanya kau betul-betul. Dan aku juga nak kau jawab betul-betul, kau ke yang geledah bilik Ahmad? Kalau betul, kau cari apa?” aku tanya bertalu-talu.

“Sekarang ni aku pun tak pasti, betul ke motor kau rosak. Betul juga kata Izhar dan Pak Sani, kau tu mekanik motor kot. Takkan motor rosak sikit kat tak boleh repair. Lagipun masa rosak tu siang kan, kau nak kalut apa tumpang naik bas balik KL. Aku tertanya juga, kenapa kau tak call aku,” kataku melepaskan semua tandatanya.

Halim tak jawab, dia hanya pandang aku dan teruskan berbuai. Tapi aku tak dengar bunyi keriut besi buaian tu. Selalunya besi buai tu akan berbunyi bising sebab besi dah karat. Tapi kali ni takde bunyi.

“Lim, aku tanya kau ni. Apa masalah kau sebenarnya? Cuba cakap kat aku. Kita kawan dah lama, sejak kecil lagi. Kita susah payah sama-sama. Aku tak pernah tinggalkan kau, kau tak pernah tinggalkan aku. Tapi kenapa sekarang tiba-tiba kau jadi macam ni? Semua kau tipu aku. Aku kecil hati sangat. Bila aku tahu cerita dari mulut orang lain, tak sama macam cerita kau kat aku.” Kataku sambil melangkah masuk ke dalam rumah, meninggalkan Halim yang masih di atas buaian dan memandang aku dengan mata tak berkelip.

Iye, matanya tak berkelip. Aku berhenti melangkah. Baru aku perasan, Halim tak bersuara langsung, matanya tak berkelip. Aku melangkah semula ke pintu, jenguk ke arah buaian. Buaian besi tu masih berbuai tapi Halim tiada di sana.

“Lim?” aku panggil. Tiada sahutan. Dada aku berdebar, tak sampai tiga puluh saat kot aku datang balik jenguk dia, takkan dia hilang. Lagipun buaian masih berbuai.

“Kau cakap dengan siapa Rul?” tiba-tiba Izhar menegur aku dari dalam rumah. Melompat aku terkejut punya pasal. Aku urut dada aku perlahan-lahan.

“Kau tak kerja ke?” aku tanya Izhar.

“Aku balik jap ambil dokumen tertinggal. Kau tak kerja? Awal kau balik? Tadi kau cakap dengan siapa?” Izhar tanya aku.

“Aku nak bawa Halim pergi tengok motor dia.” Sahutku.

“Halim? Aku tak nampak dia pun dari semalam lepas kau cakap dia ada balik rumah ni,” kata Izhar.

“Tu tadi dia ada kat depan, duduk kat buai. Aku cakap dengan dia la tadi,” kataku sambil panjangkan muncung menunjukkan ke arah depan rumah kami.

Izhar menjenguk keluar. “Takde pun dia kat sini,” kata Izhar.

“Tadi dia ada. Kau tengoklah buai tu pun masih berbuai kan? Dialah yang duduk kat situ tadi,” kataku.

“Kau ni mengigau ke Rul? Buai tu kan tak boleh bergerak dah. Haritu kan Halim dah welding bagi stop terus sebab besinya dah teruk sangat. Mana maunya buai tu bergerak lagi,” kata Izhar dan sekali lagi aku macam terkedu.

“Dah la Rul, aku nak pergi dulu. Nak jumpa klien lagi ni. Nanti kau kunci pintu ye,” kata Izhar dan berlalu pergi meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga kat situ.

Aku duduk kat kerusi ruang tamu. Aku macam hilang arah sekejap. Kenapa aku ni macam kebingungan. Dan aku rasa kepala aku berat. Badan aku terasa letih. Aku baring kat kerusi, cuba tenangkan fikiran aku yang agak bercelaru.

Tapi tak lama, aku terasa ada sesuatu menyentuh bahu aku. Cengkamannya agak kuat sampai berkerut dahi aku. Aku buka mata perlahan-lahan. Aku nampak Halim sedang memandang aku dengan wajah penuh darah.

Aku terus bangun duduk. “Kau dah kenapa Lim?” aku tanya.

“Aku sakit,” Halim menjawab.

“Kenapa kau berdarah macam ni?”

– Bersambung –

One thought on “SAMPAIKAN HAJATKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s