SAMPAIKAN HAJATKU

Bab 4

Selepas bayar harga makanan, kami balik ke rumah. Dalam perjalanan balik tu, masa kat lampu isyarat merah, aku berhenti. Ada sebuah kereta berhenti kat sebelah aku. Cermin tingkapnya terbuka. Aku jeling la sikit, ada seorang lelaki memandu kereta tu. Dia toleh kat aku.

“Dik, siapa kat belakang tu?” lelaki tu tanya aku.

“Kawan saya,” aku menyahut.

“Kawan?” dia tanya lagi.

“Iyelah, kawan saya. Takkan saya bawa kawan abang pulak,” sahutku bengang dengan soalannya.

Aku pandang ke cermin sisi melihat Halim kat belakang aku. Aku tak nampak sesiapa, seakan tiada orang kat belakang aku. Aku menoleh ke belakang, Halim pandang aku. Aku pandang cermin sisi semula. Tiada sesiapa kat belakang aku.

“Lim?” aku panggil.

“Ya,” Halim menyahut.

Aku pandang lelaki dalam kereta tu tadi, dia senyum kat aku. Lampu bertukar jadi hijau.

“Hati-hati, tak semua yang kita nampak zahirnya, tak sama dengan batinnya,” kata lelaki itu lalu memandu pergi dengan keretanya meninggalkan aku. Aku pandang kereta itu dengan penuh tandatanya. Setelah kereta itu berlalu agak jauh di depan aku, aku nampak ada satu objek putih di atas keretanya, seakan pocong, berdiri di atas keretanya.

Masa ni meremang bulu roma aku. Kali pertama aku nampak benda macam tu. Agaknya itulah dia nak beritahu aku, aku nampak dia, tapi aku tak perasan ada sesuatu di atas bumbung keretanya.

“Pin!” Kereta belakang hon aku sebab aku masih belum bergerak. Dan aku terus tekan gear dan pusing minyak, terus jalan balik rumah walaupun hati aku dan tak begitu sedap sebab nampak pocong kat atas kereta tu tadi.

Sampai je kat rumah, Halim tergesa-gesa masuk ke dalam bilik. Aku panggil dia tapi dia tak peduli, terus masuk bilik. Masa aku nak kunci pintu, Izhar keluar datang dari arah dapur.

“Kau ke mana Rul?” dia tanya aku.

“Aku keluar makan. Mat tak balik lagi ke?” aku tanya.

“Belum, tadi aku message dia, katanya dia tak balik malam ni. Dia kat rumah mak dia. Esok dia pergi kerja dari rumah mak dia je,” kata Izhar.

“Dia masih marahkan aku ke?” aku tanya.

“Entahlah. Takde pula aku tanya pasal tu. Kenapa kau makan kat luar pula? Selalunya kan kau bungkus makan kat rumah?” Izhar tanya aku.

“Aku keluar dengan Halim. Dia tengah susah hati tu,” kataku sambil duduk kat kerusi lalu pasang televisyen. Izhar ikut sama duduk kat kerusi.

“Halim? Bukan dia kat kampung ke?” Izhar pandang aku dengan wajah agak terkejut.

“Haah, dia dah balik kampung tapi tak tahulah apa masalah keluarganya, dia balik sini. Entahlah, aku tak tanya habis lagi. Maghrib tadi dia baru sampai rumah.” Katanya dengan mata masih memandang ke televisyen.

“Entah-entah …” Izhar bersuara perlahan tapi tak habiskan kata-katanya.

“Entah-entah apa?” aku tanya sambil pandang muka Izhar.

“Takde apalah.” Kata Izhar.

“Kau nak kata, entah-entah Halim yang geledah bilik Mat kan?” aku bertanya sambil berbisik. Aku menjeling ke arah bilik, risau pula kata Halim dengar perbualan kami.

“Haah, itulah yang aku nak cakap. Tapi takut kau marah pula,” sahut Izhar, juga berbisik.

“Tadi aku pun terfikir macam tu. Tapi bila tengok dia susah hati macam tu, takkan aku nak tanya lagi. Biar dia tenang dulu, nanti aku tanyakan,” kataku kembali memandang ke televisyen.

“Tak nampak pun motor dia kat luar tu,” kata Izhar.

“Haah, motor dia rosak. Dia tinggal kat tepi highway,” sahutku.

“Motor rosak? Dia kan mekanik? Mekanik pun tak boleh repair motor. At least bagi jalan je. Takkan tinggal motor kat tepi highway, tak curi dek orang ke?” Izhar tanya aku lagi.

Aku angkat bahu.

Tiba-tiba kami dengar bunyi pinggan berlaga kat dapur, diikuti bunyi air paip di sinki terpasang. Izhar dan aku saling berpandangan.

“Siapa tu?” Izhar tanya aku.

“Entah. Halim dah masuk bilik tadi. Aku tak nampak pun dia keluar,” sahutku.

Izhar bangun lalu terus ke dapur. “Takde siapa pun Rul,” katanya dari arah dapur.

Aku bangun dan menghampiri Izhar lalu menjenguk ke dapur. Tiada sesiapa tapi kami dengar bunyi air kat bilik air.

“Rul, siapa tu?” Izhar tanya aku lagi.

“Halim kot.” Sahutku sambil melangkah ke pintu bilik air lalu mengetuk.

“Lim, kau ke kat dalam tu?” panggilku. Tiada sahutan tapi bunyi air dah berhenti.

“Aku tak nampak pun dia keluar dari bilik korang tadi,” kata Izhar.

“Kita tak perasan kot. Dah-dah, jom ke depan. Tak usah ganggu dia dulu. Jiwa kacau tu,” kataku sambil melangkah ke ruang tamu dan duduk semula di kerusi. Izhar ikut aku.

“Kau dah kemas bilik Mat ke?” aku tanya.

“Aku kemas gitu-gitu je la. Sebab aku dah tanya dia, nak report polis tak. Dia kata tak payah,” sahut Izhar.

“Kreeekkkk!” pintu bilik aku tertutup sendiri dengan perlahan seakan ada orang menutupnya dari dalam.

Izhar pandang aku dengan wajah semacam.

“Halim la tu. Betullah dia kat dapur tadi,” kataku walaupun hati aku berdebar semacam sebab aku tak nampak Halim lalu dari dapur ke bilik sedangkan dia perlu lalu depan kami untuk ke bilik.

“Iye ke?” Izhar tanya aku.

“Dah la. Aku malas nak fikir dah. Badan aku penat. Aku nak tidur dulu la. Nanti kau tutup tv,” kataku sambil meletakkan remote tv kat tepi tv. Izhar hanya pandang aku. Aku terus melangkah masuk ke bilik.

Aku nampak Halim sedang duduk kat atas katil sambil membelakangkan aku. Aku tukar kain pelekat, dan masuk ke bilik air. Ambil wudhu lalu solat isya’ Selesai aku solat isya’ Halim masih dalam kedudukan tadi, tak bergerak langsung. Berkerut dahi aku melihatnya. Risau pula aku tengok keadaannya, macam tak betul dah.

“Lim, kau tidurlah Lim. Jangan susah hati sangat. Aku tengok kau duduk macam tu je dari tadi. Jangan ikutkan sangat, nanti aku call Zura tanya apa sebenarnya yang terjadi. Aku rasa silap faham je ni.” Kataku sambil menyidai sejadah.

Halim tak menyahut. Aku melangkah menghampiri Halim. Tapi Halim bangun dan pergi ke almarinya. Dia berdiri lama di situ pula.

“Lim, kenapa ni? Kau tidur dulu. Semua akan ok. Takde masalah yang tak boleh selesai.” Kataku cuba memujuk.

“Kau tidurlah dulu Rul. Aku nak cari kotak hijau aku lagi kat sini. Mungkin aku salah letak haritu,” kata Halim masih berdiri kat depan almarinya dan membelakangkan aku.

“Lim, aku nak tanya sikit boleh?” aku tanya.

“Apa dia?” Halim menyahut.

“Kau sampai rumah ni tadi pukul berapa?” aku tanya.

“Kenapa?” Halim tanya aku balik.

“Sajalah aku tanya. Kau nak tahu tak, bilik Ahmad kena geledah hari ni. Tak tahu siapa punya kerja. Nak kata perompak, takkanlah perompak tu geledah bilik Ahmad je. Tempat lain takde pun dia usik,” kataku cuba tarik perhatian Halim.

“Kau nak kata aku geledah bilik dia ke?” Halim tanya aku.

“Takdelah, aku tanya je. Kot la kau sampai awal tadi, mungkin kau nampak siapa yang masuk ke dalam rumah ni,” kataku cuba mengelakkan Halim terasa hati.

Halim diam semula kat depan almari dia.

“Kau nak aku tolong cari ke?” aku tawarkan khidmat.

“Tak payah. Kau tidurlah dulu. Kau pun penat seharian bekerja. Esok kita sembang pula,” kata Halim.

Aku tak menyahut. Aku terus ke katil aku dan rebahkan badan. Tak sampai lima minit kot, aku terlelap.

Aku tersedar bila terdengar satu suara memanggil aku. “Rul, Rul,” sama macam panggilan malam semalam. Aku cuba pasang telinga. “Rul, tolong aku Rul,” aku dengar lagi suara tu. Aku buka mata. Gelap dah bilik aku. Meremang bulu roma aku.

“Rul,” suara tu memanggil lagi. Kali ni aku dapat cam suara tu, itu suara Halim dalam keadaan serak. Selalunya waktu pagi suara dia memang macam tu, tak berapa nak keluar. Aku selalu panggil dia itik serati bila suara dia jadi macam tu.

Aku buka mata, aku pandang ke katil Halim. Dalam gelap tu, aku nampak susuk tubuhnya sedang duduk di atas katilnya.

“Kenapa ni Lim? Tak boleh tidur?” aku tanya. Tiada sahutan. Tapi aku dengar suara seakan menangis perlahan.

“Lim, kau jangan fikir sangat pasal ni Kau sepatutnya gembira, adik kau dah nak kahwin.” Katanya turut duduk dengan kedudukan yang sama dengan Halim tapi di katil aku.

“Aku betul-betul terkilan Rul. Aku tunggu hari bersejarah ni, aku harap aku dapat tengok adik aku berbahgia dengan suaminya, aku harap dapat beri dia hadiah perkahwinan yang aku dah simpan sejak setahun lalu. Aku sedih sangat Rul,” kata Halim sambil tunduk. Aku dapat dengar sedunya. Aku pula ikut sama menahan sebak.

“Lim, kau dah fikir jauh sangat ni Lim. Kau jangan risau sangat ok. Jangan ikutkan hati dan perasaan. Macam ni la, esok kita pergi ambil motor kau dulu. Kita bawa balik bengkel. Lepas tu aku telefon Zura. Kalau semua ok, esok aku ikut kau balik kampung. Nanti aku cakap dengan Pak Sani untuk cuti awal ye,” kataku memujuk.

Halim tak menyahut. Masih tersedu sedan kat katilnya. Tadi aku rasa sedih, tapi sekarang dah rasa lain macam pula bila tengok Halim tunduk menangis kat katilnya dalam kegelapan macam tu. Terasa macam dia bukan Halim tapi sesuatu yang menyerupai Halim.

“Tapi aku nak kotak hijau tu, aku kena bagi kat Zura walau apa terjadi sekalipun. Itu hajat aku. Kalau lepas tu aku mati sekalipun, aku dah puas hati,” kata Halim.

“Dah dah tu. Apa benda sebenarnya dalam kotak hijau tu? Kita beli lain aje la,” kataku.

“Aku tak boleh beli lain. Aku kena bagi yang tu juga,” kata Halim dengan suara yang agak tinggi. Aku pun tersentak mendengarnya. Takkan la nak marah pula, aku tanya je.

“Ok, esok kita cari sekali lagi. Ni aku nak tanya, motor kau tinggal kat mana?” aku cuba tukar topik.

“Kat kilometer 135 highway ke Perlis. Kat tepi tu ada bukit bukau.” Sahut Halim.

“Ok, esok kita pergi ambil motor kau,” kataku.

“Sekarang ni kita tidur dulu. Esok aku kena pergi kerja dulu. Apapun aku kena jumpa Pak Sani dulu,” kataku.

“Kau tidurlah dulu,” kata Halim, masih menghadap almarinya. Aku taknak sembang panjang lagi, nanti dia bertambah sebak.

Keesokan paginya ketika aku bangun subuh, Halim tiada di katilnya. Aku bangun dan keluar dari bilik. Tiada sesiapa.

“Lim,” aku panggil. Izhar menjenguk keluar dari biliknya.

“Kenapa?” dia tanya aku.

“Ada nampak Halim tak?” aku tanya balik.

“Takde pun.” Sahut Izhar lalu kembali ke biliknya bersiap untuk pergi kerja.

Aku masuk semula ke bilik. Mandi dan solat. Aku cadang nak keluar awal sikit, ajak Halim terus ambil motornya. Lepas mandi ni nanti aku call Pak Sani, beritahu hal ni semua. Harap-harap Pak Sani memahami kesusahan Halim dan benarkan aku balik kampung bersamanya.

Sampai pukul 8 pagi, aku tak nampak kelibat Halim. Puas aku cari tapi tak jumpa.

“Ke mana pula perginya dia ni. Kata nak pergi ambil motor. Nampaknya sekarang aku kena pergi bengkel dulu la,”  rungutku sendirian.

Pukul 9 pagi, Halim masih tak muncul. Aku ambil kunci motor aku dan terus pergi bengkel. Kebetulan Pak Sani dah ada kat bengkel. Lagi senang aku nak cerita dengan Pak Sani, sebelum bengkel buka pukul 10 nanti.

– Bersambung –

One thought on “SAMPAIKAN HAJATKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s