SAMPAIKAN HAJATKU

Bab 3

“Kau ok ke Rul?” Ahmad tanya.

“Aku dengar macam ada orang panggil aku,” aku jawab. Ahmad dan Izhar berpandangan sesama sendiri.

“Tadi ada bunyi air paip kat dapur. Tapi bila pergi tengok, takde siapa pun,” kata Izhar.

“Aku rasa ada benda lain dalam rumah kita ni. Benda tu hidup tapi bukan manusia atau binatang,” kata Ahmad lagi.

“Selama kita tinggal kat rumah ni, tak pernah pun ada kejadian macam ni.” Kata Izhar.

“Kan? Aku pun pelik. Elok-elok lepas Halim pergi, macam-macam pula yang jadi,” kata Ahmad buatkan aku pandang Ahmad.

“Apa maksud kau?” aku tanya Ahmad. Entah kenapa aku rasa tak suka dengan ayat tu. Seolah menyalahkan Halim.

“Takdelah. Aku tak maksudkan apa-apa. Cuma kenapa lepas dia pergi baru jadi macam ni. Itu je. Selama hari ni ok je,” kata Ahmad lagi.

“Dah benda nak jadi sekarang ni, apa pula kena mengena dengan Halim balik kampung?” aku merungut sendirian.

“Aku tanya je. Mana tahu dia ada bela apa-apa ke? Benda tu yang kacau kita sekarang ni,”  kata Ahamd sambil melangkah meninggalkan aku dan Izhar yang terkejut dengan ayatnya.

“Kau jangan suka-suka nak tuduh Halim. Dia lebih dulu duduk kat rumah ni sebelum kau. Kalau dia nak buat apa-apa, takkan dia izinkan korang kongsi sewa dengan kami,” kataku.

Izhar tepuk bahu aku. “Dia tak maksudkan apa-apa Rul. Tak perlu silap faham. Benda kecil je,” kata Izhar menenangkan aku bila tengok muka aku dah naik merah.

“Sekarang ni aku nak tanya kau, betul-betul kau tak nampak ke kotak hijau yang Halim letak kat atas meja makan tu? Ke kau dah ambil?” kataku sengaja nak cari pasal.

“Kau nak kata aku curi barang Halim ke?” Ahmad tanya aku.

“Aku tak kata kau curi. Aku tanya je,” sahutku sambil masuk semula ke bilik aku dan tutup pintu. Entahlah kenapa aku rasa bengang dengan ayat Ahmad. Aku sapu muka aku dengan tangan, tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan. Mungkin aku kepenatan sangat.

Aku baring semula di atas katil. Aku ambil satu lagi bantal, tutup telinga aku. Aku pusing ke kanan, ‘A’uzubillahiminassyaitonirrojim’. Aku pejam mata dan tak lama, aku lena.

Keesokan harinya, Ahmad dan Izhar keluar awal dari aku. Sebab mereka bekerja waktu pejabat, masuk pukul 8 keluar pukul 5. Macam aku, bengkel buka pukul 10 tapi pukul 9 aku dah ada kat bengkel dah. Sesekali aku masuk lambat, pukul 11 pun pernah, tapi Pak Sani tak pernah marah. Dia tahu aku selalu balik lambat dari bengkel pada sebelah malamnya. Tambahan aku dah jadi supervisor kat bengkel tu, senior kan.

Tapi hari tu hati aku tak berapa sedap. Aku minta dari Pak Sani untuk balik awal, sebelum maghrib. Lebih kurang pukul 6.30 aku sampai rumah. Belum sempat aku turun dari motor, Ahmad meluru kat aku dan tumbuk muka aku. Izhar yang mengejarnya dari belakang cepat-cepat menarik Ahmad dari terus memukul aku.

Aku turun dari motor dan pandang Ahmad yang menjerit marahkan aku.

“Kau dah kenapa tiba-tiba tumbuk aku macam ni hah? Apa aku buat kat kau?” aku tengking Ahmad.

“Rul, kau masuk rumah. Kau tengok bilik Mat,” kata Izhar, masih memegang Ahmad walaupun Ahmad dah nampak tenang sikit.

Aku terus melangkah masuk ke rumah dan menjenguk ke bilik Ahmad. Berderau darah aku bila tengok bilik Ahmad berselerakan, seperti baru digeledah orang.

“Kau geledah bilik aku kan? Kau cari kotak hijau kawan kau tu. Kau masih ingat aku ambil barang dia kan?” kata Ahmad kat muka pintu.

“Demi Allah, aku tak buat kerja ni Mat. Aku pun baru balik kerja ni,” sahutku masih memegang pipi yang pedih ditumbuk Ahmad tadi.

“Memang kau baru balik, tapi kau yang last keluar dari rumah ni pagi tadi,” kata Ahmad lagi masih tak puas hati dengan aku.

“Ya Allah Mat. Kalau betul aku nak buat kerja ni, kenapa aku nak selerakkan. Aku boleh je cari elok-elok supaya kau tak tahu kan,” sahutku.

“Ahh! Banyaklah kau punya alasan.” Kata Ahmad sambil mencapai topi keledarnya dan terus keluar dari rumah. Seketika kemudian terdengar bunyi enjin motor Ahmad bergerak keluar dari perkarangan rumah kami.

“Aku sumpah Izz, aku tak buat kerja ni,” kataku memandang Izhar yang duduk di tepi meja.

“Aku percayakan kau Rul. Jangan ambil hati sangat dengan Mat tu. Dia stress kerja agaknya. Balik je terus nampak keadaan ni. Memang la hati panas,” kata Izhar.

“Nak buat apa sekarang ni?” Aku tanya Izhar.

“Aku pun tak tahu. Ini bilik dia. Dia pula keluar. Kang kita kemas kang, kot ada barang dia hilang dah satu hal pula. Susah-susah sangat, kita panggil polis je la. Kot ada perompak masuk rumah tadi,” kata Izhar.

“Kalau perompak masuk rumah, kenapa dia geledah bilik Mat je. Bilik kita berdua takde pula digeledahnya,” kataku.

“Iye tak iye jugak kan. Takpelah, kita tutup je bilik dia ni dulu. Tunggu dia balik. Biar dia sendiri susun balik.” Kata Izhar.

“Pang!” Tiba-tiba pintu bilik aku dihempas kuat. Aku dan Izhar berlari keluar dari bilik Ahmad dan pandang ke pintu bilik aku yang tertutup rapat.

“Siapa tu?” aku tanya.

“Angin kot,” sahut Izhar. Aku diam. Aku tengok jam, dah pukul 7.30 malam.

“Tutuplah pintu tu. Dah maghrib ni.” Kataku kepada Izhar yang memandang keluar rumah.

“Mat tadi ada bawa kunci ke tak?” Izhar tanya aku. Aku angkat bahu dan terus masuk bilik. Masa mandi, aku tengok pipi aku yang kena tumbuk dengan Ahmad tadi, lebam dan bengkak sikit. Kuat juga Ahmad tumbuk aku, marah betul dia.

Masa aku masih kat dalam bilik air, aku dengar bunyi pintu bilik aku dibuka dan ditutup. Berkerut dahi aku. Siapa pula tu. Takkan Ahmad masuk ke bilik aku. Cepat-cepat aku sudahkan semua urusan aku kat bilik air, ambil wudhu dan terus keluar.

Aku pandang sesusuk tubuh berdiri dekat almari Halim. Susuk tubuh yang amat aku kenali.

 “Lim? Kau ke tu?” kataku memandang tepat ke arah susuk tubuh tu dengan dada berdebar.

Susuk tubuh itu berpusing ke arah aku dan pandang aku.

“Lim, bukan ke kau kat kampung sekarang ni? Kenapa kau kat sini? Bila masa pula kau balik sini?” aku tanya bertalu-talu.

“Panjang ceritanya Rul. Nantilah aku ceritakan kat kau. Sekarang ni aku nak mandi, aku letih sangat ni,” kata Halim sambil mengambil tualanya dan terus masuk ke bilik aku. Tak putus mata aku memandangnya.

Masa ni hati aku mula berkata-kata, adakah Halim yang geledah bilik Ahmad?

Aku solat maghrib. Selesai solat maghrib, Halim keluar dari bilik air, dan dia pula solat. Masa dia solat, aku jenguk keluar rumah, mencari motor Halim tapi tak nampak. Aku duduk semula sambil perhatikan dia. Nampak wajahnya sugul, seperti berada dalam kesusahan, nampak macam sangat susah hati. Kesian pula aku tengok dia.

Selepas Halim selesai solat, aku masih duduk di kerusi di tepi suatu sudut dalam bilik kami. Aku pandang Halim.

“Kau ceritalah kat aku, macammana kau ada kat sini? Motor kau mana?” aku bertanya tak sabar.

“Aku laparlah. Tak makan dari pagi tadi. Jom makan dulu. Nanti dah tenang, aku cerita kat kau,” kata Halim sambil menyarungkan seluar ke kakinya.

Aku pun terus tukar baju. Walaupun hati aku masih tak tenang selagi tak tahu cerita Halim. Aku keluar dari rumah. Aku cari motor Ahmad, pun takde. Dia belum balik agaknya. Halim membonceng motor aku, kami pergi ke kedai makan yang berdekatan.

“Nasi goreng dua, sirap limau dua.” Aku order makanan kat pelayan kedai makan tu.

“Bungkus ke bang?” pelayan tu tanya aku.

“Tak, makan kat sini,” aku menyahut.

“Dua-dua pun?” tanyanya lagi.

“Haah la,” aku menyahut dengan tegas sikit. Kepala aku dah la serabut  dengan kejadian petang tadi, penat kerja di bengkal lagi, sekarang Halim pula balik sini walhal dia sepatutnya berada di kampung. Pelayan tu pula banyak soalan, memang kena la dengan aku. Tapi kalau fikir balik, mungkin pelayan tu tanya sebab selalunya aku beli bungkus, jarang aku makan kat kedai.

“Sementara tunggu nasi kita, cuba kat cerita kat aku, macammana kau ada kat sini?” kataku kepada Halim sebaik pelayan tadi meninggalkan kami.

“Aku dah balik Rul. Aku dah jumpa mak aku, adik-adik aku. Pak Ngah aku pun ada. Aku seronok sangat Rul, jumpa mak dan adik-adik aku. Tapi aku tak tahu kenapa, mereka tak endahkan aku. Mereka macam tak pedulikan aku. Puas aku tanya mak aku, apa salah aku. Tapi mak aku tak pandang aku pun. Aku hulur tangan nak salam mak aku, dia langsung tak pedulikan aku. Aku sedih sangat Rul. Aku sedih.” Kata Halim dengan nada suara yang sebak. Jarang aku tengok Halim sesedih ini.

“Kenapa pula? Kau ada cakap apa-apa yang menyakitkan hati mereka tak?” aku bertanya. Aku pun pelik. Setahu aku, mak dan adik-adik Halim ni adalah orang paling gembira bila Halim balik kampung.

“Aku tak tahu Rul. Tapi aku syak, Pak Ngah aku ada cakap apa-apa kat mak aku kot. Sebab Pak Ngah aku ada kat sana.” Kata Halim.

“Hish kau ni Lim. Tak baik fikir sampai macam tu. Pak Ngah kau datang nak tolong untuk kenduri Zura kot,” pujukku.

“Habis tu, kau rasa kenapa mak dan adik-adik aku tak pedulikan aku?” Halim tanya aku lagi.

“Nanti kita fikirkan pasal tu. Dah tu sekarang ni mana motor kau?” aku tukar topik.

“Dua hari kot aku kat rumah mak aku, takde yang peduli. Aku tegur mereka, tak siapa yang peduli aku. Macam aku tak wujud. Diorang makan, tak panggil aku pun. Ya Allah, Tuhan je tahu betapa sedihnya aku,” kata Halim dengan suara terketar-ketar menahan sebak.

“Sabar Lim. Jangan risau. Nanti kita cari jawapannya. Motor kau?” aku masih bertanya pasal motornya.

“Awal pagi tadi, aku keluar dari rumah. Aku memang nak balik sini. Tapi mana tahu kat tengah highway, motor aku rosak kat tepi hutan. Dah la hati aku sedih, otak aku serabut, motor pula rosak, perut lapar pulak tu. Kau dapat bayangkan tak keadaan aku masa tu?” kata Halim.

“Lepas tu? Macammana kau sampai sini?” aku tanya lagi.

“Aku cuba betulkan motor aku. Tapi tak boleh. Dekat dua jam aku tersadai kat tepi highway tu, takde siapa berhenti tolong aku.” Kata Halim.

“Kenapa kau tak call aku? Aku datang la,” kataku.

“Aku dah tak ingat apa pun masa tu. Aku tahan satu bas ekpress tu. Sebab hari kerja kan, bas tu masih kosong. Aku tinggal je motor kat tepi hutan tu. Aku balik sini naik bas sampai Jalan Duta, ambil teksi balik rumah kita,” kata Halim.

Dan nasi goreng kami sampai. “Makanlah dulu. Nanti kita fikir apa yang patut kita buat,” kataku. Sambil menolak satu pinggan ke depan Halim dan satu lagi pinggan di depan aku. Kami makan tanpa bicara. Sebaik aku habis makan, Halim masih termenung melihat pinggannya. Tak banyak yang dia makan. Susah sangat hatinya.

“Kita bungkus je la kalau kau tak lalu makan. Nanti balik rumah kalau lapar, kau makanlah,” kataku. Halim hanya anggukkan kepala. Aku panggil pelayan tadi, minta dia bungkuskan nasi Halim.

– Bersambung –

One thought on “SAMPAIKAN HAJATKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s