SAMPAIKAN HAJATKU

Bab 2

Pada hari Halim balik ke kampung, aku tengok dia agak gelisah. Aku merapatinya.

“Kenapa Lim? Kau nampak gelisah semacam je,” aku tegur dia yang sedang berdiri menghadap dinding di dalam bilik.

“Barang aku hilang,” sahut Halim.

“Barang apa?” aku tanya lagi.

“Barang tu aku nak bagi kat Zura. Memang aku berhajat sangat nak bagi kat dia bila dia kahwin,” jawab Halim lagi.

“Iyelah, bagitahulah aku barang apa. Kot aku pernah nampak ke,” sahutku. Pelik juga aku bila Halim macam berahsia sangat pasal barang yang dia nak bagi kat adik dia tu.

“Barang tu aku dah bungkus siap dalam kotak. Aku dah balut elok-elok dah. Semalam aku letak kat atas meja makan kat dapur. Tapi pagi ni dah takde,” kata Halim lagi.

“Kotak besar ke kecil? Bungkusan warna apa?” aku masih terus bertanya.

“Kotak kecil je. Pembalutnya warna hijau muda,” sahut Halim lagi.

Aku terus keluar dari bilik. Ahmad sedang membasuh motorsikalnya. Kebetulan hari ini hari ahad, dia dan Izhar cuti. Aku pula lepas Halim bertolak balik kampung, aku akan pergi bengkel. Bengkel Pak Sani memang tak tutup hari minggu. Banyak kereta dan motor nak kena repair tu.

Aku mencari-cari kotak yang dicakapkan oleh Halim. Memang tiada di atas meja. Aku memerhati keliling rumah, tak nampak pun kotak seperti yang dicakapkan oleh Halim. Halim keluar dari bilik dengan beg galasnya.

“Jumpa tak?” aku tanya Halim. Halim hanya gelengkan kepala dengan wajah sugul.

“Kau balik dulu. Nanti aku carikan. Kalau jumpa, masa aku balik kampung nanti, aku bawa,” kataku.

“Aku syak Izhar yang ambil kotak tu. Sebab masa aku letak kat atas meja semalam, dia yang masih tak tidur lagi. Dia nampak aku letak kotak tu kat atas meja,” kata Halim.

“Hish kau ni Halim. Tak baik tuduh macam tu. Dah lama kot kita tinggal sekali, tak pernah lagi dia ambil barang kita tanpa beritahu kita,” kataku, agak terkejut dengan tuduhan Halim. Yang aku kenal Halim ni bukan jenis mudah nak tuduh orang sebarangan. Tak tahu kenapa hari ni dia jadi macam tu pula.

“Aku syak aje. Takpelah, nanti kau tolong cari ye. Bawa balik kampung,” kata Halim.

“Kalau tak jumpa?” aku tanya. Halim diam, tak menjawab.

“Apa benda dalam kotak tu? Kalau dah hilang, tak boleh beli lain ke?” aku tanya lagi.

Halim tak jawab. Tapi wajahnya tak begitu ceria. Dia menyarung jaket ke tubuhnya dan menggalas beg kat belakangnya. Lalu memakai topi keledar dan sarung tangan. Dia melangkah ke arah motorsikalnya lalu menghidupkan enjin.

“Nak balik dah Lim?” Ahmad menegur. Tapi tak disahut oleh Halim.  Ahmad pandang aku, aku angkat bahu.

“Lim, kau jangan susah hati sangat tau. Bawa motor elok-elok. Ingat, adik kau nak kahwin, kau kena ceria. Kau bakal dapat adik ipar. Kali pertama kau nak jadi wali. Tak sangka cepat masa berlalu kan,” kataku cuba menceriakan wajah Halim.

“Aku pergi dulu. Kau cari barang tu ye,” kata Halim tanpa menyahut kata-kata aku tadi.

“In Shaa Allah,” sahutku sambil memandang Halim dengan motorsikal besarnya hingga hilang di jalanan.

“Kenapa tu? Macam bad mood je. Selalu tak macam tu pun,” kata Ahmad.

“Barang dia nak bagi adik dia hilang katanya. Itu yang dia susah hati tu,” sahutku.

“Barang apa?” Ahmad tanya aku.

“Entah. Katanya kotak kecil je dan dia dah bungkus siap dengan pembalut warna hijau muda. Tadi aku cari juga, tapi tak jumpa,” sahutku.

“Kot dia dah letak kat dalam begnya tapi dia lupa,” kata Ahmad.

“Entah. Tapi dia kata masa dia letak kat meja makan semalam, Izhar masih belum tidur, dia tengok tv lagi,” kataku. Segan nak beritahu bahawa Halim mengesyaki Izhar yang ambil barangnya.

“Izhar tidur lagi tu. Nanti dia bangun, kau tanyalah dia. Kot dia ubah letak tempat lain.” Kata Ahmad lalu meneruskan kerjanya membasuh motorsikalnya. Aku pula masuk ke dalam rumah dan mengambil beg aku lalu menunggang motorsikal aku terus ke bengkel.

Aku balik lebih kurang pukul 8 malam. Masa aku sampai rumah, aku tengok Ahmad dan Izhar sedang berdiri di luar rumah sambil menjenguk ke dalam rumah yang masih gelap.

Aku masuk ke pagar rumah teres setingkat yang kami sewa. Ahmad dan Izhar pandang aku, Wajah masing-masing ketakutan. Aku turun dari motor dan tanggalkan topi keledar.

“Korang kenapa? Apasal lampu tak pasang? Rumah lain ada elektrik elok je. Lampu kita rosak ke?” aku tanya.

“Rul, ada sesuatu kat dalam rumah ni,” kata Ahmad.

“Sesuatu apa pula ni? Korang janganlah main-main waktu macam ni. Aku penat kot. Dah la, jom masu rumah,” kataku malas nak layan mereka lalu terus melangkah masuk ke dalam rumah dan pasang suis lampu. Elok je terpasang.

“Elok je lampu ni. Korang dah kenapa?” aku tanya Ahmad dan Izhar yang sedang melangkah masuk ke dalam rumah dengan mata melilau memerhati keliling.

“Tadi ada orang hempas pintu bilik kau kuat-kuat. Lepas tu ada bunyi pinggan berlaga kat dapur. Lepas tu paip air terpasang dan tertutup sendiri. Bila kami periksa, takde siapa pun.” Kata Izhar.

“Korang tak payah merepek sangat boleh tak? Aku penat ni. Mekanik kurang, kereta banyak. Maghrib pun aku belum lagi ni. Korang dah solat ke?” aku tanya mereka lalu masuk ke bilik aku tanpa menunggu mereka menjawab soalan aku.

Aku mandi dan solat. Lepas tu aku ke dapur dan makan nasi yang aku dah bungkus siap-siap sebelum balik tadi. Ahmad dan Izhar datang duduk di meja makan sambil memerhati aku yang sedang makan.

“Rul, kau tak rasa sejuk semacam ke dalam rumah ni. Macam sedang diperhatikan je. Macam ada satu benda lain kat dalam rumah ni,” kata Ahmad.

“Benda apa? Orang ke? Binatang ke? Jangan cakap hantu pula. Hantu tak wujud. Lagipun dah lama kita duduk kat rumah ni, takkanlah tiba-tiba ada hantu,” kataku sambil mengunyah nasi goreng pattaya dalam mulut aku.

“Aku tak tahu. Tapi yang pasti, bukan manusia macam kita. Bukan binatang juga. Senang cakap, bukan dari alam kita,” kata Ahmad buatkan aku angkat muka aku memandang dia dan berhenti mengunyah nasi dalam mulut.

“Korang pernah tengok benda yang dari alam lain tu ke?” aku bertanya.

Ahmad dan Izhar geleng kepala.

“Habis tu? Mana korang tahu ada benda dari alam lain kat dalam rumah ni?” aku tanya.

Ahmad dan Izhar diam.

“Korang ni, nak kata tak pandai, aku lagi tak pandai dari korang. Nak kata penakut, korang tu lelaki. Apasal mengarut sangat ni? Aku tak rasa apa-apa pun,” kataku sambil menyambung makan.

Tiba-tiba televisyen terpasang sendiri. Ahmad dan Izhar memandang ke arah televisyen. Aku pun terhenti makan. Aku tengok televisyen tu. “Siapa pasang televisyen tu?” Ahmad bertanya. Izhar angkat bahu.

“Ada sesiapa tertekan setting kot. Sekarang pukul 9. Mungkin dah set pukul 9 televisyen tu terpasang. Kan televisyen tu ada internal sistem macam tu. Korang dah lupa?” aku tanya.

“Itu kami tahu. Tapi siapa yang setting?” Ahmad tanya.

“Aku tak,” Izhar jawab.

“Kau set ke?” Ahmad tanya aku, aku geleng kepala.

“Halim yang set kot,” Izhar menyahut perlahan.

“Oh ye. Sebut pasal Halim. Har, kau ada nampak kotak kecil yang dibalut dengan pembalut warna hijau muda tak? Halim kata semalam dia letak kat atas meja ni sebelum tidur. Dan masa tu kau je yang masih belum tidur. Kot la kau ada alih kotak tu ke lain,” aku bertanya kepada Izhar.

“Kotak hijau muda? Takde pun. Memang la aku masih tengok televisyen masa Halim masuk tidur semalam. Tapi aku tak nampak pun dia letak kotak hijau kat atas meja ni,” kata Izhar dengan dahi berkerut.

“Nanti kalau ternampak, tolong bagi aku tau. Halim nak sangat kotak tu, dia nak hadiahkan kepada adiknya pada masa perkahwinan adiknya nanti.” Kataku.

Izhar dan Ahmad anggukkan kepala. Aku bangun ke sinki, membuang bekas polisterin dan membasuh tangan.

“Aku penat sangat la. Aku masuk solat isya’, lepas tu aku nak tidur.” Kataku kepada Ahmad dan Izhar yang masih duduk di meja makan, melihat ke arah televisyen yang terpasang sendiri tadi.

Aku tak tunggu mereka menyahut, aku terus melangkah masuk ke dalam bilik. Aku ambil wudhu dan solat. Masa aku di rakaat akhir, aku dengar bunyi seperti ada sesuatu yang bergerak di katil Halim. Hilang terus khusyu aku. Sebaik bagi salam, aku terus menoleh ke katil Halim, tiada sesiapa tapi bantalnya dah beralih tempat.

Aku bangun dan melangkah ke katil Halim. Aku angkat bantalnya. Kalau tak silap aku, bantal Halim tak diletakkan di situ. Aku kenal sangat dengan Halim. Dia seorang yang kemas. Dan dia tak suka ubah kedudukan barangannya. Sebab dia bimbang dia akan lupa. Kat mana dia selalu letak, kat situlah dia akan kembalikan.

‘Perasaan aku je kot. Sebab aku penat sangat,’ bisik hati kecilku.

Aku letakkan semula bantal Halim di kedudukan biasa. Aku lipat sejadah dan salin baju melayu kepada tshirt pagoda. Lalu aku tutup lampu dan baring di katil aku. Leganya bila dapat baring. Penat betul hari ni. Dua orang mekanik cuti, Halim dan Azran. Kereta pula banyak, yang sedia ada pun masih banyak, yang datang kecemasan pun banyak.

“Rul,” aku tersentak, aku dengar nama aku dipanggil perlahan, seakan berbisik. Aku pandang keliling dengan bantuan lampu dari luar rumah.

Tiada sesiapa.

Aku berbaring semula. Bismillahirrohmaanirrohim. Aku berpusing menghadap dinding.

“Rul. Rul. Aku ni,” kali ni aku terus bangun duduk.

“Siapa tu? Siapa panggil aku?” aku bersuara perlahan. Tiada sahutan. Suasana sunyi. Aku pandang keliling. Hening je, tiada sesiapa.

“Astaghfirullahal azim,” ucapku sambil mengusap muka.

“Bismika Allahumma Ahya Wa’amut,” bacaku perlahan.

Aku baring perlahan-lahan di katilku. Aku baca segala surah yang aku ingat. Aku pejamkan mata. Memang mata aku mengantuk sangat, tapi sekarang aku dah sakit kepala.

“Kreeekk!” Spring katil Halim berbunyi seakan ada sesuatu yang berat naik ke atasnya. Dan kali ni aku terus bangun dan pasang lampu.

“Siapa ada kat sini? Jangan main-main. Ahmad! Izhar!” aku jerit dengan agak kuat.

Tiba-tiba pintu bilik aku diketuk bertalu-talu. “Rul, kau ok ke?” aku dengar suara Ahmad memanggil dari luar bilik.

Aku buka pintu bilik. Ahmad dan Zarul berdiri memandang aku tanpa berkelip mata.

– Bersambung –

One thought on “SAMPAIKAN HAJATKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s