SAMPAIKAN HAJATKU

Bab 1

Aku Zarul. Aku bekerja di sebuah bengkel motor dan kereta. Aku tinggal di tengah kotaraya, menyewa sebuah rumah kecil bersama seorang kawan aku namanya Halim. Aku kenal Halim dah lama, sejak kecil lagi. Kami dari kampung yang di Kuala Perlis, sama-sama berhijrah ke kotaraya demi mengejar cita-cita dan impian. Kami dengar di kotaraya besar, kami mudah mencapai cita-cita dan kemewahan hidup. Walaupun mak aku agak keberatan melepaskan aku berhijrah ke kotaraya selepas aku tamat SPM dulu, tapi ayah aku memberi galakan.

Ayah aku kata, anak lelaki samada pandai atau tak, dia tetap perlu berdikari menjaga diri sendiri. Anak lelaki punyai tanggungjawab yang besar, kepada keluarga dan masyarakat.

Halim pun begitu, maknya tak begitu merelakan dia berhijrah ke kotaraya dengan aku. Tambahan Halim adalah anak sulung daripada empat orang adik beradik. Halim dah takde ayah. Ayahnya meninggal dunia ketika dia berada di tingkatan 3. Segalanya perbelanjaan harian dan persekolahan dia dan tiga lagi adiknya ditanggung oleh emak Halim yang meniaga nasi lemak kat depan sekolah dalam kawasan kampung. Bila hari cuti, Halim selalu mengikut Pak Wahid buat catering kat rumah kenduri.

Aku boleh kata hidup Halim lebih susah dari aku. Halim yang beriya-iya mengajak aku berhijrah ke kotaraya. Dia kata nak ubah nasib keluarganya. Dia nak tolong emaknya. Katanya kalau dia dah boleh dapat pendapatan yang lumayan, dia nak suruh emaknya berhenti kerja. Dia nak tanggung semua adik-adiknya yang semuanya masih bersekolah.

Halim suruh aku pujuk emak dia untuk benarkan dia berhijrah ke kotaraya. Sebab dia tahu aku memang rapat dengan Halim. Walhal yang mengajak aku ke kotaraya tu ialah dia, bukan aku yang ajak dia.

“Kamu tahu ke nak tinggal di mana kat sana? Nak cari kerja kat mana? Kat sana bukannya ada orang yang kamu berdua kenal. Makcik dengar penipu pun ramai kat sana. Nanti elok-elok duduk kat kampung ni, pergi sana lagi teruk pula jadinya. Biarlah kat kampung ni je, susah-susah pun kita masih dapat makan nasi. Susah-susah pun, kamu ada kat depan mak. Mak tak susah hati mengingatkan kamu kat sana, makan ke tidak, tidur kat mana, kacau dek orang ke,” kata Mak Siti, emak kepada Halim ketika aku datang ke rumahnya untuk memujuk Mak Siti supaya benarkan kami ke kotaraya.

“Mak, pandailah kami jaga diri nanti. Lagipun Halim pergi dengan Zarul, mak kenal dia, mak kenal keluarganya. Kami pergi dulu, cari kerja, cari tempat tinggal. Mak bagi tempoh tiga bulan kat Zarul dan Halim. Kalau Halim masih tak dapat sebarang pekerjaan atau tempat tinggal kat sana, Halim balik ke sini semula. Halim janji,” kata Halim masih gigih memujuk emaknya.

“Mak kamu lepaskan kamu pergi ke Zarul?” Mak Siti tanya aku.

“Mula-mula mak tak bagi juga. Tapi ayah bagi galakan. Ayah kata anak lelaki kena berdikari tak kira dia pandai atau tak. Ayah kata rezeki itu ada di mana-mana. Segalanya dengan izin Allah. Tapi kita kena berikhtiar untuk mencari masa depan kita. Nabi pun berhijrah, tak salah kita mencuba,” kataku.

Mak Siti diam sambil melipat kain di depannya.

“Boleh ye mak? Halim janji, tiga bulan je. Kalau masih tak dapat apa yang Halim cari di sana, Halim balik semula ke sini,” kata Halim sambil pegang tangan maknya membuatkan Mak Siti berhenti melipat kain dan merenung wajah anak sulungnya.

“Mak takut. Nanti kamu macammana kat sana. Siapa nak jaga makan minum kamu. Mak tak mampu nak bagi duit belanja kat kamu.” Kata Mak Siti mula sebak.

“Mak, tujuan Halim pergi sana ialah untuk bagi belanja kat mak dan adik-adik, bukannya Halim nak mak bagi duit belanja kat Halim. Mak jangan risau, mak jaga diri dan adik-adik je. Halim ni lelaki, Halim pengganti ayah untuk menyara keluarga ni. Tapi mak kenalah lepaskan Halim. Halim cuba ubah nasib keluarga kita. Halim boleh je terus pergi tanpa beritahu mak, tapi Halim masih perlukan doa mak. Mak doakan Halim berjaya, mak doakan Halim selamat di sana ye,” kata Halim masih memegang tangan Mak Siti. Sedih pula aku tengok dua beranak ni.

Mak Siti menyapu air mata yang mula bergenang dengan hujung tangan baju kurung kedah yang dipakainya. “Pergilah nak. Mak izinkan. Tapi kalau kamu susah kat sana, jangan tunggu tiga bulan, kamu balik sini ye,” kata Mak Siti.

“Iye Mak, Halim janji,” kata Halim sambil peluk Mak Siti. Aku pandang keluar halaman. Tak sanggup tengok dua beranak tu berpelukan.

“Bila kamu berdua nak pergi?” Mak Siti tanya selepas beberapa kali mengesat air matanya.

“Isnin depan,” aku menyahut bila lihat Halim masih mengesat air matanya.

“Sempatlah mak buatkan biskut-biskut kering, buat penahan lapar sebelum dapat makan ye,” kata Mak Siti.

“Terima kasih mak. Mak doakan Halim dan Zarul ye mak,” kata Halim dengan suara seraknya.

“Iye, mak selalu doakan,” kata Mak Siti lalu bangun meninggalkan kami di ruang tamu.

Halim senyum kat aku. Jelas kelihatan wajahnya lega sebab dapat restu emaknya untuk berhijrah ke kotaraya. Dia betul-betul tekad nak ke kotaraya di masa aku masih berbelah bagi nak pergi ke tak.

Seminggu kami kat Kuala Lumpur, jadi gelandangan. Tidur kat mana yang sempat je. Makan pula pada masa kami betul-betul lapar je. Sebab kami taknak gunakan duit yang kami bawa. Takut nanti tak sempat sebulan, kerja tak dapat lagi, tapi duit dah habis. Aku tekad taknak minta bantuan ayah aku dulu. Aku nak cuba berdikari. Memanglah ayah ada bagi duit poket sikit, dan ayah pun pesan, kalau duit dah habis, beritahu ayah. Nanti ayah masukkan duit kat bank.

Seminggu dah jadi dua minggu. Dah jadi tiga minggu. Kami dah pusing banyak tempat, masuk banyak kedai. Takde kerja kosong. Duit pun dah nak habis. Sepanjang kami kat Kuala Lumpur, baru sekali kami telefon kampung. Susah nak cari telefon awam kat Kuala Lumpur, maklumlah semua dah pakai telefon bimbit. Kalau ada telefon awam pun, kebanyakannya dah rosak. Aku memang dah nak putus asa. Kalau tak sebab Halim yang masih nampak gigih dan bersemangat, mungkin aku dah lari balik kampung.

Sampailah satu hari tu, masa kami nak beli makanan. Aku dan Halim masing-masing ambil nasi putih dengan kuah kari je. Takut nak ambil lauk, risau duit tak cukup. Lepas ambil nasi dan order air kosong, aku dan Halim duduk kat meja paling tepi, yang agak jauh dari orang lain.

Baru sesuap nasi masuk ke mulut kami, tiba-tiba ada orang letak kari kambing dengan sayur goreng kat atas meja kami. Kami pandang orang tu, seorang lelaki dalam usia 40an kot. “Pakcik, kami tak order lauk ni,” aku cakap kat pakcik tu.

Pakcik tu tak jawab, dia tarik kerusi sebelah Halim lalu duduk dan letak nasinya di atas meja. Aku dan Halim hanya pandang dia.

“Itu lauk pakcik. Pakcik tumpang makan kat sini boleh?” kata Pakcik tu lagi.

“Ooo.. Boleh pakcik. Duduklah,” kataku dan kami pun sambung makan nasi dengan kuah kari tu, sambil berulamkan air kosong.

Pakcik tu sudukan kari kambing dan sayur ke dalam pinggan kami. “Eh, takpelah pakcik. Pakcik makanlah. Kami cukup dah ni,” kata Halim dengan wajah serba salah.

“Takpelah, Pakcik dah terambil lebih ni. Bukannya boleh letak balik,” kata Pakcik tu sambil suapkan nasi ke mulutnya. Aku dan Halim berpandangan sesama sendiri.

“Sebenarnya kamu berdua ni tinggal kat mana?” kata Pakcik tu tiba-tiba. Sekali lagi aku dan Halim berpandangan sesama sendiri. Aku teringat juga pesanan ayah aku, katanya kata kota besar tu jangan mudah percayakan orang. Yang dilihat baik tu mungkin ada niat tak baik, dan yang dilihat sombong tu, belum tentu dia jahat.

“Pakcik dah selalu tengok kamu berdua ni. Pakcik pun tahu kamu tidur kat kaki lima kedai je. Kamu datang dari mana?” Pakcik tu tanya lagi, kali ni dia pandang kami.

“Kami dari kampung. Datang sini nak cari kerja,” Halim menyahut.

“Nak cari kerja sebagai apa?” Pakcik tu tanya lagi.

“Kami tak kisah kerja apa, asalkan halal,” kata Halim lagi. Aku diam je.

“Kerja apa pun takpe?” Pakcik tu tanya lagi.

“Iye Pakcik. Kerja apapun takpe asalka tak langgar undang-undang,” Halim menyahut lagi. Halim memang lebih berani berbanding aku.

“Nak kerja dengan pakcik?” Pakcik tu tanya lagi.

“Kerja apa?” Halim tanya.

“Bengkel motor dan kereta.” Pakcik tu menyahut.

“Kami nak.” Sahut Halim.

“Tapi Pakcik, kami takde kemahiran,” aku membalas. Risau pulak aku. Kami ni tak pernah repair motor atau kereta pun, tiba-tiba nak kerja kat bengkel.

“Takpe, janji nak belajar,” kata Pakcik tu lagi.

“Kami boleh belajar,” Halim menyahut.

“Tapi Pakcik tak boleh nak bayar banyak. Pakcik nak gunakan seorang pekerja saja, sebab pekerja Pakcik dah berhenti. Tapi nanti salah seorang dari kamu takde kerja pula.” Kata Pakcik tu lagi.

“Takpe Pakcik, bayar kami sikit pun takpe, asalkan kami ada kerja dan boleh cari pengalaman.” Sahut Halim dengan wajah mempamerkan harapan.

“Kalau macam tu, lepas makan ni jom ikut Pakcik balik bengkel Pakcik. Untuk sementara waktu, kamu boleh tidur di bengkel je, itupun kalau kamu boleh tidur kat bengkel.” Kata Pakcik tu lagi.

“Takpe Pakcik, dapat tempat berteduh dari hujan panas pun dah ok,” sahut Halim lagi.

Sejak itulah kehidupan aku dan Halim mula berubah. Sebulan kot kami tidur kat bengkel. Lepas sebulan, kami dapat rumah sewa satu bilik tak jauh dari bengkel. Lalu kami berpindah ke sana. Alhamdulillah, mujurlah kami berjumpa dengan orang yang baik. Pakcik Sani melayan dan memberi tunjuk ajar kepada kami dengan sangat baik. Berkat doa mak kami di kampung, kehidupan kami semakin baik. Pakcik Sani pun ada cakap, sejak kami bekerja di bengkelnya, perniagaannya makin maju. Rezeki tu dari Allah, kami cuma jadi asbab sahaja.

Dan hingga kini, dah lima tahun kami bekerja dengan Pakcik Sani. Bengkel Pakcik Sani pun dah semakin besar. Ada lagi empat orang lain yang bekerja dengan Pakcik Sani. Semua pun mekanik yang pada mulanya belajar dari Pakcik Sani. Mak dan ayah aku pun gembira dengan keadaan aku, dah pandai berdikari. Dah dapat beli motor sendiri, tak payah lagi balik kampung naik bas.

Bagi Halim, tiada yang lebih gembira selain dari mak dan adik-adiknya. Dia mampu menyara persekolahan adik-adiknya, dia pun suruh emaknya berhenti meniaga tapi Mak Siti tetap teruskan jual nasi lemak sebab maknya masih kuat dan dapat mengisi masa lapang sambil menambah duit belanja keluarga.

Kami dah pindah ke rumah sewa yang lebih besar, ada tiga bilik. Dan kami berkongsi dengan lagi dua orang kawan yang bekerja di tempat yang tak sama dengan kami. Ahmad bekerja di syarikat pelancongan dan Izhar bekerja di syarikat guaman. Aku dan Halim sewa bilik paling besar dalam rumah tu. Manakala Ahmad dan Izhar menyewa sebilik seorang kerana bilik mereka agak kecil. Alhamdulillah, kami direzekikan bertemu teman serumah yang baik juga.

Satu hari Halim beritahu aku, adiknya Zura nak berkahwin. Halim nampak gembira sangat. Aku pun tumpang gembira. Aku dengar bakal suami Zura pun bukan calang-calang orang, seorang bos di syarikat pemaju perumahan. Dah jodoh dan rezeki dia.

Halim dah beritahu Pakcik Sani, dia akan ambil cuti seminggu sebelum majlis perkahwinan adiknya berlangsung. Dan Pakcik Sani pun dah bagi izin. Tapi aku takdelah minta cuti awal. Aku akan balik sehari sebelum majlis perkahwinan Zura. Maknanya Halim akan balik dulu.

– Bersambung –

One thought on “SAMPAIKAN HAJATKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s