TETAMU ASING

Bab 13  (AKHIR)

“Zira! Zira!” belum sempat aku minum, aku dengar suara yang amat aku kenali. Itu suara mak!

Aku letakkan semula cawan besi tu. Aku pandang keliling. “Mak! Mak! Zira kat sini. Zira tak nampak mak.” Aku bersuara sambil memerhati keliling.

Aku pandang Makcik Sakinah. Dia pun sama seperti aku, memerhati keliling, mencari suara mak. Aku bangun dan melangkah  keliling kawasan tu sambil mencari suara mak aku.

“Zira!” aku dengar suara Mak Uda dan Acu. Aku yakin mereka berada dekat dengan aku tapi aku tak nampak mereka.

“Makcik, itu suara mak dan mak sedara saya. Tapi kenapa saya tak nampak mereka?” kataku bila melihat Makcik Sakinah terus memandang aku dengan mata merah seperti menahan marah.

“Pulangkan dia ke tempat asalnya. Kamu tiada hak menahannya,” aku dengar suara Tok Imam.

“Dia milik aku. Itu perjanjian aku dengan pemilik aku.” Makcik Sakinah bersuara sendirian tapi dengan suara yang kuat dan nyaring. Aku masih pandang keliling mencari suara-suara tu.

“Pemilik kau dan dia adalah Allah yang Satu. Tiada siapa memiliki sesiapa. Semuanya milik Allah,” kata suara Tok Imam lagi.

“Allahu Lailahaillaa Huwal Haiyul Qaiyum, Laa Tak Khuzuhuu Sinatun Walaa Naum,” aku dengar suara Tok Imam mengalunkan ayat Kursi.

Makcik Sakinah menghampiri aku, dia cuba tarik tangan aku tapi tak dapat. Dia seakan satu bayang yang tak dapat memegang aku. Aku pun tunduk melihat diri aku sendiri. Akukah yang jadi bayangan atau Makcik Sakinah?

“Zira!” aku dengar lagi suara mak.

“Mak!” aku menyahut.

“Zira kat mana nak?” suara mak bergema dekat sangat dengan telinga aku.

“Zira kat sini mak. Zira dengar suara mak tapi Zira tak nampak mak. Mak kat mana?” aku tanya lagi.

“Mak kat dalam hutan ni. Sebelah rumah Atok,” kata mak.

“Zira kat dalam satu kawasan kampung kecil, tapi kat dalam hutan tu juga. Tapi Zira tak nampak hutan tu sekarang,” aku menjawab.

“Takpe, Zira duduk diam kat situ. Nanti mak datang,” kata mak.

Tiba-tiba je Makcik Sakinah menjerit nyaring. Suaranya amat menakutkan. Aku pandang Makcik Sakinah, masa ni rupanya dah bertukar. Matanya jadi besar tanpa mata hitam, hidungnya panjang sampai ke dagu. Daging pipinya tiada. Cuping telinganya juga memanjang seakan telinga anjing. Rambutnya kerinting, beruban, kusut masai dan panjang sampai ke tanah. Dia berjalan dalam keadaan membongkok sehingga tangannya sampai ke tanah juga. Aku berundur beberapa langkah ke belakang, menggigil seluruh badan aku melihat rupa Makcik Sakinah. Dah macam raksasa yang aku tengok kat tayangan filem.

Makcik Sakinah menghampiri aku. Dia keluarkan lidahnya yang panjang sampai ke dada, cuba menjilat aku. Aku tak boleh berdiri, kaki aku lemah sekali. Suara aku pun tak keluar.

“Zira, kamu jangan takut dengannya. Dia juga makhluk Allah, tak lebih darjatnya dari kita. Dia sedang memaksa kamu mengikutinya, jadi jangan biar ketakutan kepada makhluk itu melebihi ketakutan kamu kepada Allah. Istighfar jangan henti. Bacalah apa saja ayat Allah yang kamu tahu. Waima surah paling pendek sekalipun. Jangan terpedaya dengannya kalau kamu nak balik kepada mak kamu.” Aku dengar suara Tok Imam.

“Tok kat mana?” keluar pula suara aku bertanya walaupun dengan nada menggigil.

“Ada kat tepi kamu je. Semua ada sini. Cuma sekarang kamu perlu tenang, jangan biar dia pedaya kamu. Barulah kamu boleh balik ke dunia kamu semula,” kata Tok Imam.

Aku diam. ‘Dunia aku? Habis tu sekarang aku kat dunia mana? Aku dah mati ke?’

Aku pejamkan mata, tak sanggup melihat Makcik Sakinah yang dah bertukar rupa, merangkak kat depan aku macam serigala laparkan daging. Aku baca beberapa surah yang aku tahu dan ingat. Tapi aku yakin segala yang aku baca berterabur. Permulaan surah An-Nas, pengakhiran dah jadi surah Al-Falaq. Aku tak peduli, aku teruskan bacaan aku. Walaupun aku dapat dengar suara rengusan sedang mengelilingi aku. Inilah yang dikatakan serahkan diri sepenuhnya kepada Allah agaknya.

Tiba-tiba pipi aku sakit seperti ditampar seseorang. Aku buka mata. Aku berada di tempat lain. Aku di dalam hutan, terbaring kat akar pokok kayu. Kepala aku pening. Aku pandang semua wajah di depan aku. Mak, Mak Uda, Acu, Pak Lang, Pak Su dan Tok Imam, serta beberapa orang lelaki yang berdiri tak jauh dari tempat tu.

Aku terus peluk mak. Mak menangis dan ucap syukur tak tahu berapa kali.

“Kamu ke mana?” Mak Uda tanya sambil tampar pipi aku lagi.

“Tak tahu. Semalam masa Tok Imam dan semua orang sibuk kat rumah Atok, Zira nampak kain Acu tersangkut kat ranting pokok. Zira ingat nak pergi ambil. Lepas tu ada seseorang kat dalam hutan tu, gamit Zira ajak Zira ikut dia. Zira tengok semua orang pun masih sibuk, jadi Zira taknak ganggu. Zira ikut dia sebab Zira nak tahu sangat, dia tinggal di mana. Kenapa dia boleh berada kat dalam hutan tu,” kata Zira.

“Semalam?” Acu tanya aku.

“Haah, semalam kan mak, Tok Imam semua tu datang rumah Acu. Eh, kan Acu dengan Atok takde kat rumah masa tu? Acu pergi mana?” aku bertanya lagi.

“Zira, dah lima hari kamu hilang,” Mak Uda cakap kat aku.

“Bila pula lima hari. Hari semalam kan?” aku tanya balik.

“Dah, jangan tanya dia apa-apa lagi. Bawa dia balik. Badan dia dah kekurangan nutrisi, kena bawa jumpa doktor,” kata Tok Imam.

Aku cuba bangun, tapi tak boleh. Kaki aku lemah, badan aku lemah. Kepala aku pening. Mata aku kabur. Pak Lang dan Pak Su menghampiri aku. Mereka papah aku keluar dari kawasan hutan tu. Tapi Tok Imam dan beberapa lelaki lain tadi, masih berada kat dalam hutan tu.

Mak terus bagi aku air minuman. Mak Uda bawa beberapa potongan buah-buahan bagi aku makan. Baru makan sepotong buah, aku terus muntah. Segala macam daun dan rumput keluar dari mulut aku. Ulat pun ada, baunya jangan cakap la.

Selesai aku muntah, Pak Lang suruh mak siapkan aku. Nak bawa aku ke klinik katanya. Aku memang tak cakap apa, sebab aku masih tak boleh berfikir dengan baik. Kepala aku masih pusing.

Aku ditahan di wad. Doktor kata badan aku kehilangan nutrisi dan zat makanan yang keterlaluan. Doktor tanya aku diet ke. Sebab dalam badan aku langsung tiada makan, tekanan darah pun sangat rendah. Doktor masukkan air ke dalam badan aku. Tak pasal-pasal aku kena tidur kat wad.

Dua hari di wad, aku makin kuat dan sihat. Hari ketiga aku dibenarkan balik.

Kat rumah Atok, aku tanya mak. Apa yang terjadi sebenarnya?

Mak kata, mereka semua terpedaya dengan helah jin belaan nenek. Mereka ingat saka nenek sedang mencari mak. Maka maklah yang dijaga dan dipagar supaya tak diganggu oleh saka tersebut. Rupa-rupanya, saka tu sedang mencari aku, cucu perempuan sulung dalam keturunan nenek. Bungkusan, mantera dan loket emas tu, memang nenek mahu aku yang buka. Itu menjadi lafaz untuk aku terima saka tersebut. Sedangkan aku buka semua itu sebab mereka taknak mak yang buka, risau mak terlafaz penerimaan saka tersebut. Mana tahu memang saka itu mensasarkan aku sebab nenek dah berjanji dengan saka tu untuk serahkan aku sebagai pewaris sakanya, sebagai syarat saka tersebut melepaskan nenek pada malam nenek meninggal dunia.

Mak pernah menolak ketika nenek minta mewarisinya. Jadi, saka itu memang takkan turun kat mak. Tapi sebab usia aku yang masih terlalu muda untuk mewarisi saka berkenaan, aku diambil untuk di‘simpan’ kononnya. Mujurlah Tok Imam cepat tersedar tipu daya itu. Ketika Tok Imam mengelilingi rumah Atok, Tok Imam terjumpa satu botol kaca yang tertanam separuh di dalam tanah. Tok Imam ambil botol itu. Terdapat kain putih di dalamnya dan Tok Imam buka kain tu. Ada tertulis nama aku dengan titisan darah di atas kain itu. Masa tu Tok Imam cari aku, aku dah takde kat situ.

Tok Imam bacakan beberapa surah lalu menepuk dinding rumah Atok dan masa ni terdengar suara Acu dan Atok dari dalam rumah memangil mak. Mak masuk rumah, memang Acu dan Atoka ada kat dalam rumah. Acu kata, dia nampak je mak, Tok Imam, Pak Lang dan Pak Su masuk ke dalam rumah. Beberapa kali dia panggil mak tapi mak tak dengar. Mak tak nampak dia pun. Acu kata dia tak boleh bergerak, seluruh badannya seakan diikat tali tapi dia tak nampak tali tu.

Acu pun kata dia nampak aku masuk ke kawasan hutan tu melalui tingkap yang terbuka. Sebaik sahaja Acu dan Atok dijumpai, Acu terus beritahu Tok Imam bahawa dia nampak aku masuk ke dalam hutan tu.

Lima hari mereka cari aku. Sampaikan pihak polis dan penyelamat dipanggil. Tapi tak jumpa aku. Tempat yang mereka jumpa aku tu, mereka dah lalu beberapa kali, memang tak nampak aku. Sampailah pada hari aku ditemukan, tak tahu macammana, mereka dengar suara aku memanggil. Terus Tok Imam ajak aku masuk dalam hutan walaupun masa tu pihak polis dan penyelamat sedang dalam perbincangan untuk menghentikan pencarian.

Mak kata, makin lama makin kuat kedengaran suara aku. Macam kat sebelah je tapi mereka tak nampak aku. Begitu juga aku. Aku hanya terlopong mendengar mak dan Acu dan Mak Uda bercerita. Walaupun aku masih tak dapat memahami sepenuhnya, aku taknak bertanya lanjut. Aku cuma nak tahu, siapa Makcik Sakinah tu? Dimana kampung itu? Kenapa aku baru pergi satu hari tapi mereka kata dah lima hari?

Tok Imam kata, jangan difikirkan lagi. Katanya aku dah dibawa masuk ke dunia jin. Jin yang mahukan peneman dari kalangan manusia. Tapi Tok Imam kata, dia dah hantar Makcik Sakinah ke tempat yang sepatutnya. Cuma Makcik Sakinah boleh muncul semula jika kita mencarinya. Cukuplah aku tahu bahawa jin yang jahat itu sangat jahat. Hinggakan jin yang paling baik pun adalah bersamaan dengan manusia yang paling jahat. Jangan sesekali mensyirikkan Allah, jangan sesekali mencari bantuan lain selain daripada Allah.

Mak Uda telah menjualkan tanah dan rumah milik nenek. Lalu dia beli tanah hutan di sebelah rumah Atok dan dibina sebuah rumah yang lebih besar. Lalu dia membawa Atok dan Acu tinggal bersama-sama. Aku dan mak pun tinggal sekali. Kawasan hutan lain di situ telah diterangkan, tiada lagi hutan. Beberapa orang telah membeli tanah-tanah di situ lalu terbinalah sebuah perkampungan di situ. Tanpa ada yang mengetahui asal usul kawasan itu.

Aku pula masih tertanya-tanya ke mana perginya Makcik Sakinah dan kampung kecil itu. Hinggakan aku lupa pesan Tok Imam, jangan ingat dia kalau taknak dia ingat aku. Jangan cari dia kalau taknak dia cari aku. Ada sesekali aku bermimpi bertemu dengan Makcik Sakinah yang muncul sebagai seorang nenek yang sangat baik dan menyayangi aku. Seringkali dia mengajak aku berjalan-jalan dengannya. Namun sehingga kini, aku masih berat hati untuk mengikutnya. Walaupun aku lupa pesanan Tok Imam, tapi aku tak pernah lupa pada Allah swt. Hanya Dia yang Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu kejadian.

= T A M A T =

One thought on “TETAMU ASING

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s