TETAMU ASING

Bab 12

Makcik Sakinah tuangkan air ke dalam cawan. “Minumlah,” pelawanya.

Kebetulan aku pun dahaga. Cepat je aku sambut cawan tu dan teguk. “Bismillahirroh-maanirrohim,”

Prangggggg! Cawan tu pecah. Tinggal tangkal cawan je kat tangan aku. Airnya tumpah tak sempat aku minum. Aku terkejut. Makcik Sakinah dan Juma pun terkejut. Aku cepat-cepat bangun dan lap air tu dengan kain aku. Aku kutip cawan yang pecah.

“Minta maaf Makcik. Saya tak sengaja,” kataku dengan rasa bersalah walaupun aku tak buat apa-apapun sampai cawan tu pecah. Aku pandang muka Makcik Sakinah dan Juma, muka mereka merah. Tak tahulah merah kenapa, menahan marah atau kecewa cawan tu pecah.

“Makcik, saya minta maaf. Nanti saya minta mak gantikan.” Kataku bila melihat mereka seakan masih terkejut kerana cawan tu pecah sebelum sempat aku minum airnya.

“Takpe Hazirah. Nanti Juma ambil cawan lain.” Kata Makcik Sakinah, dengan senyum yang dibuat-buat.

“Takpelah Makcik, saya balik dulu. Takut nanti mak saya cari saya. Saya datang sini pun tadi tiada yang perasan,” kataku sambil pandang keliling.

“Awal lagi. Lagipun bukan selalu kamu sampai sini. Makan tengahari dulu. Kamu nak makan apa? Makcik boleh masakkan. Tapi makan kampung la. Makcik tak tahu masak moden-moden ni,” kata Makcik Sakinah lagi. Kali ni dia nampak lebih tenang berbanding tadi.

“Takpe Makcik, jangan susah-susah. Lain kali saya datang lagi. Saya minta izin mak dulu. Saya takut mak risau,” kataku memandang keliling, mencari jalan keluar.

“Hish, mak kamu kenal makcik. Nanti masa balik makcik sendiri akan hantar kamu. Takdelah mak kamu marah nanti,” kata Makcik Sakinah lagi.

Aku diam seketika kerana Juma datang membawa cawan besi.

“”Haaa, yang ni takkan pecah. Minumlah,” kata Makcik Sakinah lagi sambil tuangkan air ke dalam cawan besi tu.

“Saya minum air je ye makcik. Lepas tu saya balik. Lain kali saya datang makan tengahari pula,” kataku sambil menyambut cawan besi yang dihulurkan oleh Makcik Sakinah.

“Bismillahirrohmaanirrohim,” ucapku sebelum minum air tu.

Dan sekali lagi, seperti ada yang menolak cawan tu sampai jatuh dan tumpah lagi airnya buat kali kedua. Kali ni aku yang terkedu, memang aku rasa ada orang tolak cawan tu.

Makcik Sakinah berdiri dan pandang keliling dengan wajah marah. Dia suruh Juma masuk ke dalam rumah. Aku pun bangun perlahan-lahan dari pangkin. Aku berdiri di sana dan turut sama pandang keliling. Tiada siapa di keliling kami, kampung tu kelihatan sama macam ketika aku mula-mula sampai tadi, kosong.

“Saya minta maaf sekali lagi makcik. Saya rasa bukan rezeki saya minum air makcik. Lain kali saya datang lagi.” Kataku dengan rasa serba salah. Lagi rasa bersalah bila lihat muka Makcik Sakinah lain macam. Macam marah sangat sebab aku tak minum air yang diberinya. Bukan aku taknak minum, memang aku dahaga sangat, tapi dah cawan dia pecah, lepas tu jatuh pula. Apa nak buat, bukan rezeki aku la tu.

“Kamu tak boleh balik selagi tak minum air kat sini,” kata Makcik Sakinah buat aku dah mula curiga. Apasal dia nak marah sangat? Lain kali aku datang la, minum setempayan pun boleh.

“Makcik, saya kena balik dulu, nanti mak saya risau,” kataku.

Makcik Sakinah pandang aku dengan mata merah dan tubuhnya agak menggigil menahan marah. Aku tak pedulikan dia. Aku terus melangkah ke satu arah. Aku nak cari jalan balik rumah. Aku toleh ke arah Makcik Sakinah, dia masih berdiri di pangkin tadi memandang tajam ke arah aku.

Aku terus jalan. Jalan dan jalan tapi aku tak jumpa sebarang petunjuk arah ke rumah mak aku. Aku cuba cari kawasan hutan, sebab tadi aku meredah hutan untuk sampai kampung ni. Tapi aku tak nampak bayang hutan pun. Aku terus berjalan, cuba cari orang yang boleh tunjuk aku jalan keluar. Tapi takde orang.

“Ada sesiapa kat sini tak?” aku bersuara memanggil.

Dari satu rumah, aku nampak pintunya dibuka perlahan dari dalam. “Assalamualaikum,” aku terus bagi salam dan tunggu orang tu keluar dari sebalik pintu.

“Encik?” aku panggil sebab aku tak nampak orang. Cuma pintu tu bergerak seakan ada orang tolak. Dan aku dengar bunyi seakan anjing merengus.

Aku tak sabar, aku tarik daun pintu tu dan jenguk ke dalam rumah. Aku terpaku sekejap. Aku tak nampak sesiapa tapi aku nampak seakan satu lubang besar yang dalam dan gelap. Aku tutup pintu tu semula sambil mengurut dada. Ya Allah, tempat apa ni?

Aku teruskan melangkah. Makin laju. Aku rasa aku dah jalan jauh tapi aku tak nampak sebarang petunjuk untuk balik ke rumah aku. Sampailah aku nampak Makcik Sakinah semula. Aku pandang keliling, aku seperti berjalan mengeliling tempat yang sama.

“Tak jumpa jalan balik?” kata Makcik Sakinah seakan memerli aku. Aku gelengkan kepala. Aku tak boleh nak lawan Makcik Sakinah, sebab dia je satu-satunya manusia yang aku nampak sekarang ni.

“Makcik boleh tunjukkan saya jalan balik?” kataku.

“Boleh, tapi minum dulu,” kata Makcik Sakinah.

“Baiklah,” aku terpaksa akur. Dia ajak minum je pun. Mungkin dia terkilan sangat sebab aku tak dapat minum di tempatnya walaupun baru datang sebagai tetamunya.

Makcik Sakinah sendiri tuangkan air ke dalam satu lagi cawan besi lalu dihulurkan kepada aku. Aku menyambutnya.

“Bismillaa…”

“Tak payah baca ayat tu. Minum je,” tiba-tiba Makcik Sakinah memotong bacaan bismillah aku. Aku pandang Makcik Sakinah. Masa ni aku dah rasa ada sesuatu yang tak kena. Kenapa tak boleh baca bismillah pula. Walaupun orang tu tak solat, orang tu jahat, tapi dia takkan halang orang lain baca bismillah.

“Kenapa tak boleh baca bismillah makcik?” aku tanya.

“Aku kata tak payah, tak payah lah,” Makcik Sakinah menyahut dengan nada kasar.

“Kenapa ni makcik? Makcik marah sebab saya pecahkan cawan makcik ke?” aku tanya lagi. Tiba-tiba rasa bengang pula.

“Kamu nak balik ke tak?” Makcik Sakinah tanya aku.

“Saya nak balik, dan saya taknak minum,” kataku juga dengan nada keras.

“Kalau kamu nak balik sangat, pergilah balik,” kataku.

“Tapi makcik kena tunjuk jalan balik,” kataku.

“Kamu datang sendiri, kamu baliklah sendiri,” kata Makcik Sakinah lalu bangun dan masuk ke rumahnya.

Aku terkedu dengan sikap Makcik Sakinah yang tadi sangat lembut dan ayu dalam senyumannya. Aku toleh keliling. Aku perlu cari jalan balik. Rasanya macam dah lama aku menghilang dari rumah mak ni. Aku tengok matahari macam nak turun dah, maknanya hari dah petang menjelang senja.

Aku berpusing-pusing dalam kampung tu. Sampai sudah aku tak jumpa orang. Dan aku tak nampak kawasan hutan pun. Dan hari mula gelap. Aku risau dah. Aku cuba cari masjid tapi tak jumpa. Tapi aku perasan, walau jauh mana aku berjalan, aku akan kembali ke tempat Makcik Sakinah tadi semula.

Suasana makin gelap. Aku makin gelisah. Kampung tu tiada lampu. Dan setiap rumah pun tak dipasang lampu. Gelap segelap-gelapnya. Aku tak nampak apa-apa.

Tiba-tiba aku dengar suara. Suara ramai. Tapi aku tak faham apa yang dicakapnya.

“Hello!” aku memanggil dalam gelap. Memang aku tak nampak apa-apa. Aku cuba bangun dan berjalan lalu meraba keliling aku. Aku terpegang sesuatu, seperti ranting kayu. Dan ranting kayu itu bergerak melepaskan dirinya dari pegangan aku.

Aku terpegang lagi satu, seperti tangan seseorang tapi kukunya panjang sangat. Aku sendiri lepaskan tangan itu. Aku menggigil. Aku cuba berlari tapi aku terasa macam ada terlalu ramai orang atau ‘benda’ dikeliling aku. Sampailah aku terjatuh dan aku tak sedarkan diri.

Aku tersedar bila terdengar bunyi azan. Aku terus buka mata. Masih gelap tapi aku dapat dengar bunyi azan tu dengan jelas.

“Tolong! Ada sesiapa di sini?” aku bersuara. Tiada sahutan.

“Zira! Zira!” aku dengar suara orang memanggil aku.

“Saya kat sini, tapi saya tak nampak orang. Tempat ni gelap sangat,” aku bersuara sendirian dalam kegelapan, mengharapkan ada sesiapa yang mendengar suara aku dan menemui aku.

Malangnya, tiada yang menjumpai aku. Aku masih dalam kegelapan, sendirian. Dan suara-suara tadi makin menjauh. Aku cuba bangun untuk berjalan, tapi seakan ada tangan yang memegang kaki aku hingga aku tak dapat berjalan dan rebah semula.

Lama aku kat tempat tu. Aku hanya boleh menangis. Beberapa kali aku terasa ada tangan berbulu menyentuh kepala aku. Rasanya seperti tangan monyet besar. Aku menolak tapi aku tak dapat larikan diri. Aku tak tahulah di dunia mana aku sekarang ni. Atau adalah Tuhan dah tarik penglihatan aku? Aku dah buta? Allah.

Sampailah ketika matahari mula menampakkan diri, barulah aku dapat lihat sedikit demi sedikit. Aku nampak Makcik Sakinah di depan aku, sedang tengok aku.

“Makcik, tolong saya. Saya sesat,” kataku.

“Kamu tak sesat. Ini memang tempat kamu.” Kata Makcik Sakinah.

“Maksud makcik?” aku bertanya.

“Nenek kamu suruh aku ambil kamu, jaga kamu baik-baik sebelum dia mati. Jadi tempat kamu di sini, bukan lagi dengan mak kamu atau sesiapa saja,” kata Makcik Sakinah.

“Tapi nenek tak cakap apa-apapun dengan saya,” kataku lagi.

“Mak kamu tahu,” kata Makcik Sakinah.

“Mak pun tak pernah cakap apa-apa kat saya,” kataku lagi.

“Itu bukan masalah aku. Tapi kamu sekarang dah jadi sebahagian dari masyarakat di sini. Itu perjanjian aku dengan nenek kamu,” kata Makcik Sakinah.

“Masalahnya saya pun tak tahu ini tempat apa. Saya tak kenal makcik. Dan saya tak nampak sesiapapun kat kampung ni. Macammana saya nak tinggal kat sini. Kalau iye pun, bagilah saya jumpa mak saya dulu. Saya nak tanya mak saya perkara sebenar. Mana boleh tiba-tiba je makcik kata saya kena tinggal di sini sebab nenek buat perjanjian dengan makcik. Makcik ni siapa sebenarnya?” aku tanya lagi.

“Akulah yang jaga nenek kamu dan keturunan-keturunan sebelum nenek kamu dulu. Keturunan aku dan keturunan kamu pernah bersatu. Kami bersama-sama melindungi sesama sendiri. Tapi tiba-tiba nenek kamu nak putuskan hubungan kami. Kami seolah macam kain buruk, diguna masa diperlukan, dibuang masa dah tak diperlukan. Lalu nenek kamu bagi kamu kepada kami sebagai tanda putusnya hubungan kami. Kamu akan jadi sebahagian dari masyarakat kami,” kata Makcik Sakinah.

“Saya tak faham makcik,” sahutku.

“Kamu minum air ni, nanti kamu akan faham. Kamu jangan risau, makcik akan jaga kamu. Lepas ni kalau kamu nak balik rumah mak kamu pun, makcik takkan halang. Asalkan kamu minum dulu,” kata Makcik Sakinah. Aku pun tak tahu kenapa dia beriya-iya sangat suruh aku minum.

Aku rasa aku tiada pilihan lain. Aku ambil cawan dari tangan Makcik Sakinah dan aku rapatkan ke mulut. Sekarang aku hanya serahkan diri aku kepada Allah. Bismillah aku baca dalam hati.

-Bersambung-

One thought on “TETAMU ASING

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s