TETAMU ASING

Bab 11

“Apa syaratnya?” Pak Lang tanya lagi.

“Tok tak tahulah, apa syarat yang dijanjikan antara dua pihak. Mungkin dia nak anak sulung, mungkin dia nak anak sulung perempuan, macam-macam. Kita tak tahu,” kata Tok Imam.

Kami semua kat situ diam.

“Jadi sekarang ni macammana Tok?” Mak Uda tanya.

“Pergilah ke rumah yang kamu kata ada kepala lembu di depan rumah tu,” kata Tok Imam.

“Tok boleh ikut ke? Saya pun tak tahu nak buat apa ni,”  kata mak.

Tok Imam tengok jam tangan. Aku pun ikut tengok jam dinding. Pukul 10 pagi.

“Bolehlah, tapi Tok kena balik dulu ambil barang,” kata Tok Imam.

“Ok Tok. Kami tunggu,” kata Mak Uda.

Tok Imam keluar dari rumah dan menghala ke rumahnya yang tak jauh dari rumah kami. Mak aku tak boleh buat apa dah, dia dah tunggu kat pintu rumah je. Aku kemaskan beg aku dan mak. Mak Uda kemas dapur. Pak Lang dan Pak Su kata mereka nak ikut sekali. Tok Imam pun galakkan mereka ikut, sebab kemungkinan lelaki diperlukan. Tok Imam kata, dia pun tak tahu apa yang bakal mereka hadapi, jadi sebaiknya bersedialah.

Lima belas minit selepas itu, Tok Imam datang semula ke rumah kami. Kami bergerak bersama menaiki MPV Pak Lang.

Sebaik sampai di rumah Acu, mak terus melompat turun dari MPV Pak Lang. Aku terus ikut mak. Pintu depan berkunci dari dalam. Kepala lembu dah takde di depan rumah. Tapi bungkusan yang Acu tegur semalam masih ada di pangkin depan rumah.

Mak bagi salam, tiada sahutan.

Aku melangkah ke bahagian dapur, dan bagi salam. Juga tiada sahutan. Mak dah panik, muka mak macam orang nak menangis.

“Rumah berkunci dari dalam, maknanya ada orang kat dalam. Tapi mereka tak menyahut pun. Kakak risau lah,” kata mak mengadu kepada Mak Uda.

“Cuba buka pintunya.” Kata Tok Imam kepada Pak Lang. Pak Lang akur. Diambilnya sebatang kayu yang berada di situ, lalu pergi ke pintu rumah. Pak Lang kopak sedikit pintu tersebut dengan menggunakan kayu yang Pak Lang pegang, dan pintu rumah terbuka.

“Mak menyerbu masuk ke dalam rumah. Tiada sesiapa di dalam rumah. Mak panggil Acu dan Atok, tiada sahutan.

“Tok, mereka takde kat sini,” kata mak memang dah menangis.

“Mereka ada kat sini, mata kita dah dikaburkan,” kata Tok Imam.

“Tolonglah Tok. Nak buat macammana ni? Kalau perlu saya ambil benda tu, saya ambillah,” kata mak seakan dah putus harapan.

“Kenapa terlalu cepat nak tunduk pada syaitan?” kata Tok Imam.

“Ayah mertua saya lumpuh. Adik ipar saya perempuan. Saya taknak mereka diapa-apakan. Ini bukan masalah mereka, ini masalah mak saya. Dan akibat saya yang taknak menerima benda tu, saya taknak orang lain terima akibatnya,” kata mak.

“Sabar. Kita ada Allah. Jangan cepat tunduk kepada perkara syirik ni,” kata Tok Imam.

“Sabar kak, Tok Imam akan tolong kita,” kata Mak Uda.

Mak bangun dan melangkah keluar rumah. Mak pergi ke arah bungkusan yang berada di atas pangkin depan rumah, yang kami tak tahu siapa yang meletakkannya. Mak pegang bungkusan tu lalu membukanya.

“Bagi orang lain yang buka.” Kata Tok Imam.

“Zira, cuba kamu tengok apa benda kat dalam bungkusan tu. Mana tahu ini memang barang keluarga Atok kamu. Kamu yang lupa,” kata Mak Uda.

Aku melangkah perlahan ke arah bungkusan tersebut. Aku buka ikatan bungkusan tu. Aku tengok kat dalam bungkusan tu. Aku terkejut lalu campakkan bungkusan tu ke tepi.

“Kenapa?” Tok Imam tanya.

“Ada macam bungkusan mayat kat dalam tu, tapi kecil,” sahutku.

Tok Imam menghampiri bungkusan tu lalu mengeluarkan satu bungkusan seakan mayat anak kecil yang telah siap dikafankan. Tok Imam letakkan bungkusan itu di atas pangkin dan membuka pengikat di bahagian kepala. Sebaik terbuka, aku lihat ada satu objek seakan orang-orang yang selalu pesawah padi gunakan untuk halau burung yang makan padi.

Dua batang buluh yang diikat membentuk huruf t dan kain berwarna hitam yang diikat di bahagian tengah buluh untuk membentuk seakan tubuh manusia.

Di bahagian bawah buluh itu, aku nampak sehelai kain putih. Aku tarik kain putih itu dan rentangkannya. Ada tulisan di sana.

“Pulang sirih pulang ke gagang, aku mengajak kamu pulang, tempat jatuh kita kenang, tempat main kita pusakakan. Aku datang menjemput, kau datang menyerah. Bila bersatu…”

“Dah jangan baca.” Tiba-tiba Tok Imam merentap kain tersebut dari pegangan aku.

“Ini lafaz menteranya,” kata Tok Imam.

“Maksud Tok Imam?” Mak Uda bertanya.

“Dia memang cari kakak kamu untuk gantikan mak kamu,” kata Tok Imam.

“Sekarang ni kita nak buat apa? Kat mana nak cari Acu dengan ayah mertua saya?” Mak tanya lagi.

Tok Imam berjalan mengeliling rumah. Mak menangis, Mak Uda tenangkan mak. Pak Lang dan Pak Su menunggu di jarak yang agak jauh dari rumah.

Masa ni aku terpandang sesuatu di dalam hutan di sebelah rumah Atok. Nampaknya macam baju Acu tersangkut di salah satu pokok besar di situ. Mungkin diterbangkan angin sampai sana. Aku pandang orang lain di situ, semua masih dengan hal masing-masing.

Sementelah menunggu tindakan selanjutnya, aku melangkah ke arah hutan sebelah rumah Atok.

Tak tahu kenapa aku rasa berani sangat sedangkan Atok dah selalu pesan, jangan pergi ke dalam hutan tu. Tapi takpelah, aku nak ambil baju Acu je. Lagipun ramai kat rumah Atok sekarang, takde apa kot.

Sampai je kat tempat baju Acu tersangkut tu, aku nampak seseorang. Orang itu melambai-lambai ke arah aku, seakan memanggil aku datang kepadanya. Aku perhatikan, itu bukan jelmaan orang tua seakan nenek yang aku pernah nampak dulu. Ini orang lain, nampak seperti agak muda sedikit. Dia lambai aku untuk datang kepadanya. Entahlah kenapa aku boleh ikut lambaiannya orang tu.

Makin aku rapat kepada orang itu, makin orang itu jauh dari aku. Dia terus melambai dan aku terus mengikut, macam dipukau. Aku peluk baju Acu yang aku ambil dari ranting pokok tadi.

Ikut punya ikut, aku sampai ke satu kawasan seakan perkampungan. Aku tak nampak dah orang yang melambai aku tadi. Kat depan aku sekarang ialah satu perkampungan kecil. Nampak tenang dan aman je. Tapi aku tak nampak sesiapa.

Aku toleh ke belakang aku, aku tak nampak hutan lagi. Aku tak nampak rumah Atok. Aku tak nampak mak dan Tok Imam, Mak Uda, Pak Lang dan Pak Su. Aku mula panik. Aku berpusing dan melangkah laju mencari arah hutan.

“Kamu Hazirah?” tiba-tiba ada satu suara menegur aku. Aku berhenti melangkah dan berpaling memandang ke arah suara yang menegur aku.

Seorang perempuan tua, tapi dengan badannya yang masih kuat, memakai baju kurung dengan kain batik, dengan kain pelikat menutup kepalanya. Dia senyum ke arah aku.

“Siapa makcik ni? Saya kat mana ni? Macammana makcik kenal saya?” aku bertanya.

“Jangan takut, kamu kat kampung makcik ni.” Kata makcik tu masih senyum pandang aku.

“Macammana makcik tahu nama saya?” aku tanya lagi.

“Makcik ni kawan nenek kamu. Makcik pernah datang rumah nenek kamu dulu. Masa tu kamu kecil lagi, baru tiga bulan kot. Comel je kamu masa tu. Entahlah kenapa makcik boleh cam kamu walaupun kamu dah besar macam ni,” kata makcik tu lagi.

“Makcik kenal nenek saya? Siapa nama makcik?” aku bertanya.

“Panggil je Makcik Sakinah. Jom kita duduk kat bawah pokok tu,” kata Makcik Sakinah sambil menunjukkan satu pangkin di bawah satu pokok besar. Aku menurut.

“Makcik, saya kena balik rumah Atok. Takut nanti mak risau pula tengok saya takde,” kataku.

“Takpe, jangan risau. Nanti makcik beritahu dia kamu ada kat sini. Mak kamu pun selalu datang sini masa kamu pergi sekolah,” kata Makcik Sakinah.

“Tapi mak tak pernah cakap pun kat dalam hutan ni ada kampung macam ni. Atok pula selalu bagi amaran, jangan masuk ke dalam hutan ni,” kataku.

“Dulu ada anak buah Makcik, dia buat hal kat luar sana. Sampai Atok kamu marah. Sebab tu Makcik tak bagi budak-budak kampung ni main kat luar sana. Tapi mak kamu faham, dia kadang-kadang hantar kuih kepada makcik. Kadang-kadang makcik hantar kuih kat mak kamu. Tapi secara senyap la, risau Atok kamu marah,” kata Makcik Sakinah.

“Saya tak nampak sesiapapun kat sini? Mana orang yang lambai saya ajak saya sampai sini tadi?” aku bertanya sambil memerhati keliling.

Kampung tu nampak biasa je. Sama je macam kat rumah Atok. Ada rumah papan, tapi semua rumah kecil je. Suasananya sama macam kawasan perkampungan orang asli. Aku pernah ikut cikgu buat rombongan ke perkampungan orang asli, untuk tugasan sejarah tempatan. Suasananya sama je macam suasana kampung ni.

“Makcik, ini kampung orang asli ke?” aku tanya.

“Taklah.” Makcik tu jawab sepatah. Seketika kemudian Makcik Sakinah seperti melambai ke arah seseorang. Aku pandang ke arah yang dilambainya, dan masa ni aku nampak beberapa orang kanak-kanak sedang bermain. Dan tiba-tiba je aku nampak ramai orang.

“Juma, bawakan air untuk tetamu jauh kita ni. Tengoklah apa-apa kuih yang ada tu, hidangkan sini,” Makcik Sakinah memberi arahan.

“Siapa Juma Makcik?” aku tanya.

“Anak makcik. Dia tua dua tahun je dari kamu.” Kata Makcik Sakinah. Tak lama lepas tu muncul seorang gadis muda, membawakan dulang berisi jag air dan sedikit kuih. Jag air tu macam jag air orang dulu-dulu, yang dibuat dari tanah liat kot kalau tak silap aku. Cantik.

-Bersambung-

One thought on “TETAMU ASING

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s