TETAMU ASING

Bab 10

“Kebetulan je tu. Kamu semua mimpi ni. Tok Imam dah cakap, dia dah pagar rumah ni. Dah tu. Kakak nak solat sunat. Tak payah tunggu pintu bilik mak ni,” kata mak aku sambil melangkah ke bilir air di dapur. Aku terus ikut mak.

Sepanjang masa mak membaca Al Quran dalam rumah tu, kami semua dapat dengar bunyi barang dihempas dan raungan kuat dari dalam bilik nenek. Mak teruskan juga membaca seolah dia tak dengar apa yang kami dengar.

Sampailah masuk waktu subuh, kami berjemaah bersama. Tiada lagi bunyi dari bilik nenek.

Selesai solat, mak ke dapur, menggoreng lempeng dan masak sambal tumis. Kami semua berpandangan sesama sendiri melihat mak dalam keadaan begitu. Beberapa kali Mak Uda tanya samada mak ok ke tak, tapi mak jawab dia ok. Aku sendiri pelik dengan perangai mak, macam takde apa yang jadi.

“Lepas sarapan nanti, tolong hantar kakak dengan Zira balik rumah Damia ye. Kakak risaukan mereka,” kata mak masa kami sedang sarapan bersama.

“Tapi hal mak ni tak selesai lagi,” kata Pak Lang.

“Korang selesaikanlah dengan Tok Imam nanti. Kakak ikut je yang mana elok pada kamu semua,” kata mak. Pak Lang, Mak Uda dan Pak Su berpandangan sesama sendiri.

“Assalamualaikum,” kedengaran suara memberi salam dari luar rumah.

“Waalaikumussalam,” kami jawab hampir serentak.

Pak Lang bangun dan melangkah ke ruang tamu lalu membuka pintu. Kelihatan Tok Imam sedang berdiri di luar rumah. Pak Lang menjemput Tok Imam masuk ke dalam rumah.

“Tok, mari sarapan lempeng dulu,” Pak Su pelawa.

“Takpe, Tok dah makan,” kata Tok Imam sambil duduk di ruang tamu.

Mak Uda mengangkat secawan kopi lalu menghidangkannya kepada Tok Imam.

“Tok, semalam kami semua dapat mimpi buruk. Pasal mak merayau-rayau dalam rumah ni.” Kata Mak Uda.

“Korang mimpi ke memang nampak?” Tok Imam tanya kami.

“Sebenarnya kami nampak macam nyata. Tapi bila ingat Tok kata dah pagar rumah ni, takkanlah masih ada gangguan kan?” Mak Uda tanya lagi.

“Tok bukan pagar apa dalam rumah ni, tapi Tok pagar agar apa yang berada dalam rumah ni tak boleh keluar kacau orang kampung,” kata Tok Imam buatkan kami semua meremang bulu roma.

“Maknanya, apa yang kami nampak semalam tu betullah ye?” Pak Su bertanya.

“Wallahu alam. Kalau benda tu memang ada, dia memang ada kat dalam rumah ni. Tok pagar dia agar dia tak boleh keluar,” kata Tok Imam dengan wajah tenang. Mak pun macam tu.

“Mati-mati kami ingat Tok pagar agar benda tu tak dapat masuk rumah ni dan kacau kami,” Kata Pak Lang, seakan baru tersedar bahawa dia dah salam faham dengan ayat Tok Imam semalam.

“Jadi, dapat apa-apa petunjuk tak?” Tok Imam tanya. Mak Uda pandang mak. Mak melangkah perlahan ke arah Tok Imam dan duduk di hadapan Tok Imam.

“Kata Uda, sebelum mak meninggal dunia, mak ada minta Uda serahkan satu loket emas kepada saya. Katanya tiada orang lain yang boleh warisi loket emas tu selain dari saya. Mungkinkah loket emas itu petunjuknya?” Mak tanya Tok Imam.

“Cuba ambil loket emas tu,” kata Tok Imam.

Mak Uda melangkah ke bilik nenek. Tapi tangannya terhenti dari membuka pintu bilik nenek.

“Saya tak berani masuk bilik mak,” kata Mak Uda.

“Boleh Tok masuk?” Tok Imam minta izin.

“Silakan Tok. Kami serahkan kepada Tok untuk buat apa saja, asalkan benda tu pergi, mak kami tenang dan kami pun tak takut lagi,” kata Pak Lang.

Tok Imam bangun dari kerusi dan melangkah ke bilik nenek. Dengan tenang Tok Imam pula tombol pintu bilik dan menolak daun pintu ke dalam. “Astaghfirullahal azeem,” aku dengar Tok Imam beristighfar di pintu masuk bilik nenek.

Mak Uda, Pak Lang dan Pak Su menjenguk ke dalam bilik nenek.

“Ya Allah!” aku dengar suara setiap dari mereka. Aku pun hilang sabar, aku bangun dari kerusi dapur dan jenguk ke bilik nenek.

Bilik tu berselerak. Katil pun terbalik ke dinding, almari jatuh ke bawah, semua hiasan kaca jatuh berderai, kain baju berselerak merata-rata.

“Macammana boleh jadi macam ni?” Pak Su tanya.

“Patutlah kami dengar bunyi barang dihempas dan suara raungan dari bilik ni. Ini semua kerja benda tu ke Tok?” Pak Lang tanya.

“Wallahu alam. Sekarang kamu cari loket emas tu,” kata Tok Imam sambil berdiri di penjuru bilik, pejamkan mata dan berpeluk tubuh.

Aku pandang ke arah mak. Mak duduk tenang di kerusi ruang tamu. Mak termenung di sana. Selalunya mak akan buat muka risau atau sedih, jarang mak nampak tenang dalam keadaan macam ni. Betul ke mak aku tu?

Pak Lang dan Pak Su mengangkat beberapa peralatan yang jatuh. Betulkan semula katil dan kutip kaca yang berderaian.

“Tok, benda tu kat mana sekarang?” Pak Lang tanya.

“Ada je kat dalam bilik ni, tengah perhati kita,” kata Tok Imam, masih pejamkan mata dan berpeluk tubuh.

“Tok jangan buat lawak Tok,” kata Pak Su, tak selesa dengan kata-kata Tok Imam.

“Iyelah, dia ada kat bilik ni. Nak ke mana lagi? Kan Tok dah pagar dia supaya dia tak boleh keluar dari rumah ni?” Tok Imam terus menjawab tanpa merasa apa yang kami rasa iaitu ketakutan dan panik.

“Cepatlah cari Uda, aku taknak duduk dalam bilik ni lama-lama,” kata Pak Su. Mak Uda tak menjawab tapi dia terus mencari.

Aku dapatkan mak. “Mak ok?” aku tanya. Mak anggukkan kepala sambil pandang ke luar pintu. Apa yang sedang berlaku di bilik nenek tak menarik perhatiannya langsung.

“Kenapa mak nampak tenang je? Tak risaukan apa yang sedang terjadi,” aku tanya mak.

“Mak tak risau yang kat sini. Tapi mak risau Acu dan Atok kamu,” kata mak.

“Lepas ni kita minta Mak Uda hantarkan kita ye,” kataku pujuk mak. Mak diam.

Hampir setengah jam, Mak Uda jumpa loket emas tu. Ianya berbentuk silinder, ada penutup di bahagian bawah. Mak Uda serahkan loket emas tu kepada Tok Imam, tapi Tok Imam menolak.

“Berikan kepada kakak kamu, kerana itu wasiat arwah,” kata Tok Imam.

Mak Uda terus serahkan loket emas tu kepada mak. Mak sambut dan belek loket emas tu.

“Ada apa-apa yang pelik tak?” Tok Imam tanya. Mak gelengkan kepala lalu menyerahkan loket emas itu kepada aku dan menyuruh aku melihatnya. Aku pandang Tok Imam. “Ambillah, jangan takut,” kata Tok Imam.

Aku menyambut loket emas itu dari tangan mak. Aku belek penuh hati-hati. Aku jumpa penutup di bahagian bawah loket. “Ada penutup kat sini. Boleh buka ke?” Aku tanya. “Bukalah,” kata Tok Imam.

Aku pun buka penutup loket itu. Ada sekeping kertas. Aku tarik keluar kertas tersebut dan serah kat mak. Mak ambil kertas tu dan buka lipatannya. Muka mak berubah, aku yang duduk kat belakang mak pun rasa meremang bulu roma.

“Ada apa?” Mak Uda tanya.

Mak letakkan kertas tu di atas meja. Gambar lembu yang kepalanya dah terputus dari badan. Aku terus teringatkan Acu dan Atok. Pagi tadi kepala lembu ada kat depan rumah.

“Lembu? Apa maksudnya Tok?” Pak Su tanya.

“Tok rasa, kakak kamu dah tahu apa maksudnya,” kata Tok Imam sambil membelek gambar tersebut.

“Tok, semalam ada orang letak kepala lembu kat depan rumah yang saya duduk dengan adik ipar dan ayah mertua saya. Pagi tadi saya terus ke sini. Adik ipar saya kata akan minta tolong kawan  lelaki dia kat pasar untuk buangkan kepala lembu tu,” kata mak.

Pak Lang, Mak Uda dan Pak Su pandang muka mak tanpa berkelip.

“Kamu tahu siapa yang letak kepala lembu kat situ?” Tok Imam tanya.

“Kami tak tahu. Tapi malam sebelum mak meninggal dunia memang ada gangguan sikit. Saya nampak jelmaan menyerupai arwah mak, mengelilingi rumah kami. Di tengah malam, kami dengar bunyi macam rengusan binatang, bunyi macam lembu disembelih pun ada. Tapi kami tak berani keluar rumah. Sampailah pagi semalam baru kami buka pintu dan nampak kepala lembu dengan darah masih segar berada kat depan rumah. Sebelum-sebelum tu, Zira kata dia nampak neneknya kat dalam hutan sebelah rumah ayah mertua saya, katanya neneknya itu fokus memandang ke arah saya yang berada di rumah,” kata mak menceritakan segalanya.

“Apa maksudnya tu Tok?” Pak Lang tanya. Tok Imam diam.

“Uda, kakak risaukan Damia dan ayah kat rumah tu,” mak cakap kat Mak Uda.

“Lepas ni kita pergi sana ye kak. Jangan risau,” Mak Uda pujuk mak.

“Rasanya dia dah hantar kepada kamu belaannya. Cuma ada lafaz yang belum kamu jawab,” kata Tok Imam.

“Lafaz apa?” Mak tanya.

“Lafaz supaya kamu terima belaan itu,” kata Tok Imam.

“Saya tak boleh menolak ke?” kata mak.

“Boleh, kamu tak perlu lafaz. Tapi belaan tu akan ganggu kamu sekeluarga, ganggu orang kampung, dan ganggu sesiapa sahaja hingga ada yang mahu mengambil dan membelanya,” kata Tok Imam.

“Tak boleh ke bunuh je dia tanpa dia ada tuan?” Pak Lang tanya.

“Syaitan tak boleh dibunuh. Tapi boleh diperdaya,” kata Tok Imam.

“Benda ni syaitan ke Tok?” Pak Su tanya.

“Syaitan dan jin, bila bergabung, memang boleh lumpuh manusia,” kata Tok Imam.

“Apa tujuan benda ni dibela? Tak nampak tujuan pun,” kata Pak Lang merungut.

“Orang dulu-dulu, bela benda ni untuk jaga rumah dia, jaga ladang dia. Ada yang boleh bagi kekuatan tenaga.” Kata Tok Imam.

“Jaga rumah? Maksudnya kalau ada pencuri, dia akan takutkan pencuri tu?” Pak Su tanya.

“Bukan takutkan. Tapi dia akan jaga rumah. Buat rumah tu seperti ada tuannya sentiasa. Lampu berpasang bila tiba masanya. Tingkap tertutup. Kalau ada orang panggil, dia akan jenguk keluar dengan rupa tuannya. Jadi, orang tak tahu bahawa tuan rumah tiada. Sebab mereka ingat tuannya sentiasa ada. Macam tu la contohnya. Banyaklah benda lain yang dia boleh buat,” kata Tok Imam.

“Mak bela untuk apa pula?” Mak Uda tanya.

“Mak kamu mungkin mewarisinya sekadar nak lepaskan tuan sebelumnya. Macam keadaan sekarang, sepatutnya bila mak kamu meninggal dunia, kakak kamu perlu mewarisinya. Yang jadi masalah sekarang ni, kakak kamu taknak ambil. Jadi dia nak pergi ke mana?” Tok Imam tanya.

“Kenapa kakak? Kenapa tak boleh pergi kat orang lain?” Mak Uda tanya.

“Dia akan pilih siapa yang dia nak. Bukan main serah macam tu je. Ada syaratnya,” kata Tok Imam.

-Bersambung-

One thought on “TETAMU ASING

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s