TETAMU ASING

Bab 9

“Macammana nak buat ni Tok? Kat dalam rumah pun dia mengacau. Kat luar pun dia mengacau,” Pak Lang tanya Tok Imam.

“Sebab tu kalau ada benda ni, kena selesaikan sebelum pembela ni meninggal dunia. Sebab kita tahu dia di mana. Macam sekarang ni, pembela dah meninggal dunia, kita tak tahu belaannya berada di mana,” kata Tok Imam.

“Kami ingat kalau mak kami meninggal dunia, benda tu akan pergi sendiri sebab dia takde tuan baru. Bukan macam tu ke?” Pak Lang tanya.

“Itulah silapnya kamu. Kamu sanggup tinggalkan mak kamu kerana tak setuju dengan perbuatannya. Tapi kamu sedar tak perbuatan kamu mengabaikan mak kamu itu saja dah sesuatu yang salah. Kenapa tidak kamu berdepan dengannya pada masa hidupnya, cakap baik-baik dengannya. Tapi kamu abaikan mak kamu. Mak tetap mak walau siapapun dia. Sampaikan yang menyambutnya di liang lahad pun orang lain,” kata Tok Imam perlahan.

Pak Lang dan Pak Su tunduk terdiam. Mak aku pula, aku nampak genangan air di kelopak matanya.

“Benda ni bukan susah nak buang. Tapi bukan mudah juga. Tambahan kalau dah banyak keturunan bersama keluarga kamu. Tapi dia tetap hamba Allah juga, takdelah lebih hebat dari kita pun,” kata Tok Imam meneruskan kata-kata bila kami semua terdiam.

“Selalunya pembela ni takkan mati selagi belaannya tak diturunkan kepada waris yang dia mahu. Dia bukannya tak mati, dia mungkin mati dah lama tapi belaannya yang membuatkan dia masih kelihatan hidup. Sampailah belaan ni dapat tuan baru,” kata Tok Imam.

“Dalam kes mak kamu ni, dia meninggal dunia tanpa menurunkan belaannya kepada waris atau tuan baru. Sebab tu dia merayau mencari tuan baru. Dia akan terus mengganggu sampai dia dapat tuan baru,” kata Tok Imam lagi.

“Maknanya benda macam ni betul wujud lah ye Tok Imam?” Pak Su tanya.

“Kita sebagai umat islam wajib percayakan alam ghaib. Memang ada alam yang kita tak boleh nampak. Mereka ialah jin dan syaitan. Iblis dah bersumpah akan sesatkan seluruh keturunan Nabi Adam dan dia akan hidup sampai hari akhirat. Dari situ saja kamu sepatutnya faham dah maksudnya. Dia memang nak sesatkan manusia. Dia nak manusia bergantung kepada benda lain selain dari Allah. Jadi kamu rasa logik atau tak benda macam ni wujud?” kata Tok Imam lagi.

“Jadi macammana sekarang ni Tok Imam? Orang kampung dah marah. Kami pun tak tahu nak buat macammana?” kata Mak Uda.

“Sebelum mak kamu meninggal dunia, kamu semua tahu tak dia ada membela ni?” Tok Imam tanya dan pandang setiap wajah di depannya.

“Kami tahu,” Pak Lang jawab.

“Dia pernah sebut tak, dia nak siapa yang warisi belaannya ni?” Tok Imam tanya lagi.

Pak Lang, Mak Uda dan Pak Su pandang kat mak.

“Mak nak saya warisi benda tu,” Mak jawab. Masa ni mata aku terbeliak tengok mak.

“Kamu setuju tak?” Tok Imam tanya.

“Tak, suami saya tak izinkan,” mak jawab.

“Maknanya mak kamu tak turunkan kat kamu, sebab suami kamu menghalang?” Tok Imam tanya.

Mak anggukkan kepala.

“Kamu sendiri nak tak benda tu?” Tok Imam tanya.

“Saya memang taknak,” mak jawab.

“Macammana hubungan mak kamu dengan suami kamu?” Tok Imam tanya.

“Mak benci suami saya. Taknak pandang suami saya langsung. Sampai suami saya meninggal dunia, dia taknak jumpa suami saya,” kata mak dengan suara tersekat-sekat. Mak Uda menggosok perlahan bahu mak.

Masa ni baru aku tahu asbab nenek benci sangat kat arwah ayah. Tiap kali aku tanya mak, mak tak cakap. Mak cuma kata itu hal orang dewasa, aku tak perlu masuk campur. Jadi aku tak tanya lagi, walaupun aku nak sangat tahu, kenapa nenek benci ayah. Sampaikan ada masa kami sebut pasal ayah kat depan nenek, muka nenek jadi merah macam marah sangat dan tepis semua barang yang ada di depannya.

“Mak kamu ada bagi apa-apa barang kat kamu?” Tok Imam tanya mak.

“Takde,” mak jawab ringkas.

“Kamu yakin tiada?” Tok Imam tanya lagi. Mak gelengkan kepala.

“Mak kamu pernah buat apa-apa ungkapan tak? Macam kalau kamu buat begini, akan jadi begini begini. Macam lafaz janji,” kata Tok Imam.

Mak diam, cuba mengingatkan.

“Takde rasanya,” mak jawab.

“Suami kamu? Atau kamu sendiri? Pernah lafaz apa-apa tak?” Tok Imam terus bertanya.

Jam dah pukul 3 pagi. Mak masih diam memikirkan.

“Takpelah, kamu fikir baik-baik dulu. Ini penting untuk tahu benda tu kat mana sekarang untuk kita buangkannya. Esok pagi saya datang lagi,” kata Tok Imam.

“Tok Imam, jelmaan tu takkan menggangu lagi ke malam ni?” Pak Su tanya.

“Dia akan terus mengganggu sehingga dapat tuan baru, atau tuan baru tu datang ambil dia,” kata Tok Imam sambil pandang mak aku. Mak aku buat buat serba salah.

“Mak kami macammana Tok Imam?” Pak Lang bertanya.

“Dia dah masuk alam barzakh. Itu antara dia dan Allah dah. Kesilapan kamu sebagai anak-anak, mengabaikan mak kamu kerana tak setuju dengannya. Tidak usaha untuk membetulkan mak kamu, bahkan kamu larikan diri tanda protes. Nak patah balik masa, memang tak boleh. Menyesal kemudian pun tiada guna. Apa yang kamu boleh buat sekarang ialah berdoa kepada Allah. Mohon Allah ampunkan dosa mak kamu, mohon ampunkan dosa kamu sebagai anak juga. Bacakan Al Quran untuk mak kamu, bersedeqah atas nama mak kamu. Dan doakan agar usaha kamu diterima Allah,” kata Tok Imam keras, seakan marah dengan perbuatan anak-anak nenek.

Mak Uda sahaja yang boleh tarik nafas lega sikit sebab dia tetap menjaga nenek hingga akhir hayatnya, walau bagaimanapun sikap dan sifat nenek.

Tok Imam melangkah mengelilingi rumah nenek dan menaburkan sesuatu di kelilingnya. Lepas tu dia minta diri untuk balik. Katanya dia dah ‘pagar’ rumah tu. Kami menarik nafas lega. Bolehlah kami berehat sekejap sebab dah kepenatan dari pagi sampai malam.

Selepas Tok Imam pergi, kami semua masuk ke dalam rumah. Pak Lang dan Pak Su baring di ruang tamu. Mak Uda, mak dan aku masuk ke bilik belakang. Kami tidur sementara menunggu pagi menjelma.

Aku tersedar bila aku dengar bunyi pintu bilik dihempas kuat. Aku angkat kepala. Mak dan Mak Uda masih tidur lena, seakan tak dengar bunyi pintu terhempas tu. Aku tengok jam, pukul 4 pagi. Aku letak kepala semula, cuba untuk tidur.

Belum sempat aku lena, aku dengar bunyi pintu bilik dibuka perlahan-lahan, seakan ada yang menolak dari luar. Aku buat-buat tidur, aku baring kat tempat aku. Aku tutup muka aku dengan bantal tapi aku intai dari celah bantal tu.

Aku nampak jelmaan yang aku nampak di bilik nenek tadi, sedang berjalan perlahan sambil mengheret kakinya. Dia melihat mak dan Mak Uda yang sedang tidur. Aku dah berpeluh-peluh, nak bergerak pun tak berani.

“Heheheheheheeeeeeeee….” Aku dengar suara garau tertawa perlahan. Jelmaan tu tiba-tiba pandang ke arah aku. Aku pejamkan mata aku. Rasa macam nak menangis tapi aku tahan. Aku dengar bunyi seretan kakinya berjalan ke arah aku. Aku menggeletar. Ya Allah, matilah aku malam ni. Lama juga aku tekup muka aku sendiri dengan bantal, sampai aku rasa macam nak lemas.

Tiba-tiba ada sesuatu menyentuh tangan aku. Aku terus menjerit macam tak ingat dunia, macam orang gila. “Zira, kamu ni dah kenapa? Menggeletar macam tu. Lepas tu tekup muka macam nak bunuh diri,” kata mak memandang aku yang ketakutan. Aku terus peluk mak.

“Mak, esok kita balik rumah Atok. Zira tak boleh duduk sini. Jelmaan nenek tu ada kat dalam rumah ni. Dia perhati semua orang,” kataku sambil peluk mak dan menangis. Mak Uda bangun sambil menggosok-gosok matanya sambil pandang aku dan mak.

“Kenapa ni?” Mak Uda tanya.

“Zira ni, dia kata nampak jelmaan mak,” mak aku beritahu Mak Uda.

“Kamu mimpi kot. Tadi kat Tok Imam kata, dia dah pagar rumah ni. Maknanya tiada gangguan la,” kata Mak Uda.

“Zira tak mimpi Mak Uda, Zira memang nampak. Dia jalan heret kaki,” aku beritahu. Masa tu mak macam teringatkan sesuatu.

“Kenapa kak?” Mak Uda tanya mak.

“Malam sebelum mak meninggal dunia, kat rumah ayah Abang Daim, ada juga terjadi macam ni. Bunyi orang berjalan mengheret kaki mengeliling rumah tu. Dan kat tingkap bilik, kakak nampak wajah seakan wajah mak menjenguk kat tingkap tu pandang kami,” kata mak dan masa ni aku pun teringatkan kejadian tu.

“Maknanya, dia memang cari kakak?” Mak Uda tanya sambil kerutkan dahi.

“Tak pasti la. Tapi kakak risaukan Damia kat rumah tu dengan ayahnya,” kata mak.

“Esok lepas kita jumpa Tok Imam, Uda hantar kakak balik rumah sana ye. Buat masa ni, kita kena fikir, apa lafaz yang Tok Imam maksudkan tadi,” kata Mak Uda.

Mak diam. Mak Uda pun diam berfikir.

“Mak pernah sebut, katanya dia terhalang selagi Abang Daim hidup. Selepas itu kakak akan warisi segala miliknya,” mak kata.

“Maksudnya?” Mak Uda bertanya.

“Mungkin tak lafaz itulah maksudnya. Sebaik Abang Daim meninggal dunia, benda tu turun kat kakak dengan sendirinya,” kata mak. Mak Uda diam berfikir.

“Mak ada buat apa-apa wasiat tak?” mak tanya Mak Uda.

“Wasiat bertulis takde. Tapi mak ada pesan kat Uda, ada satu loket emas tu, kena bagi kat kakak. Yang lain boleh kongsi sama rata kalau nak,” kata Mak Uda.

“Loket emas?” mak tanya Mak Uda semula.

“Haah. Ada kat bilik mak. Memang Uda nak bagi tapi sebab mak pun baru meninggal kan, takkan nak cakap pasal emas pulak,” kata Mak Uda.

“Takpelah, esok pagi je kita tengok loket tu,” kata mak.

“Zira, kamu tidur. Mak nak buat solat sunat, nak baca Al Quran sementara tunggu waktu subuh masuk,” kata mak sambil bangun dari katil.

“Mak, Zira ikut mak la,” kataku sambil turut sama turun dari katil.

“Hish, Uda pun tak berani tinggal seorang diri. Jom la kita keluar sekali,” kata Mak Uda, turut sama mengikut langkah mak keluar bilik.

Sebaik keluar dari pintu bilik, kami terkejut sekali lagi. Kami nampak Pak Lang dan Pak Su memegang sebatang rotan berdiri di depan bilik nenek.

“Kenapa ni?” Mak aku tanya.

“Benda tu merayau-rayau dalam rumah ni. Ke dapur, ke ruang tamu, masuk bilik. Dia buat sama seperti mak. Cuma bezanya mak jalan elok, tapi dia berjalan mengheret kaki,” kata Pak Su.

“Terakhir kami nampak, dia masuk ke dalam bilik ni. Kami tunggu, kalau dia keluar, kami betul-betul akan ketuk dia,” kata Pak Lang.

“Kamu mimpi kot ni? Terbawa-bawa hal mak sampai dalam tidur,” kata mak.

Pak Lang dan Pak Su diam.

“Sebenarnya, seminggu sebelum mak meninggal dunia, lesung batu kat dapur jatuh atas kaki mak. Lepas tu kaki mak membengkak dan menanah tapi mak taknak pergi klinik. Mak memang jalan mengheret kaki sampailah mak meninggal dunia,” kata Mak Uda membuatkan kami semua berpandangan sesama sendiri.

-Bersambung-

One thought on “TETAMU ASING

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s