TETAMU ASING

Bab 8

Langkah aku terhenti. Aku cuba merenung ke arah susuk tubuh tu, mana tahu aku salah pandang. Susuk tubuh tu duduk di birai katil membelakangkan pintu bilik. Rambutnya panjang mengurai, uban penuh kepala. Dia pakai baju warna putih.

Aku merapati pintu bilik. Bilik tu tak terang sangat, tapi tak gelap sangat juga. Sebab lampu di luar iaitu betul-betul di tepi bilik nenek tu terpasang, jadi suasana kat dalam bilik tu agak cerah.

Tengah aku memerhati tu, tiba-tiba kucing kesayangan nenek lalu kat kaki aku, geselkan badannya kat kaki aku. Memang kucing yang nenek panggil Hitam tu sangat manja. Bulunya panjang dan tebal, lembut pula tu. Warna hitam berkilat.

Selepas Hitam pergi, aku jenguk semula ke dalam bilik nenek. Susuk tubuh yang aku nampak sedang duduk di birai katil tu dah tiada di situ. Aku jenguk ke sekeliling bilik, tapi aku tak nampak dah susuk tubuh berambut panjang dan beruban tadi.

“Kreeeekkkkk!” Pintu bilik nenek yang betul-betul kat depan muka aku, tiba-tiba bergerak seakan ada yang menarik dari sebelah dalam. Dada aku berdebar dah. Kaki aku rasa melekat kat lantai. Aku kaku kat situ.

Dari tepi daun pintu, aku nampak kelibat sesuatu yang bergerak. Mula-mula aku nampak macam rambut mengurai, makin lama aku nampak wajah seseorang. Nenek! Jelmaan nenek tu pandang aku sambil senyum menakutkan. Dia angkat tangannya nak menyentuh aku. Tangannya laksana kayu arang, hitam terbakar. Aku tak daya bergerak walau seinci dari situ. Suara pun tersekat di kerongkong, susah betul nak dikeluarkan.

“Kamu buat apa kat sini Zira?” Tiba-tiba mak tegur aku. Mak tarik tangan aku dan terus tutup pintu bilik nenek. Aku tak bersuara.

“Bukan ke kamu kata kamu nak tidur tadi? Kenapa masih kat sini?” mak aku tanya lagi bila aku tak bersuara. Muka aku pucat.

“Zira?” mak aku panggil aku dengan suara agak kuat sampai Pak Lang dan Pak Su menjenguk dari ruang depan.

“Kenapa ni Kak?” Mak Uda tanya.

“Zira ni ha, tadi katanya nak tidur. Sekarang dia berdiri kaku kat depan bilik mak ni. Muka pucat lesi, tangan menggeletar. Suara pun tak keluar,” kata mak menggosok-gosok tangan aku. Aku tahu mak risau.

Pak Lang menghampiri aku. Dia bacakan sesuatu lalu menyapu ubun kepala aku turun sampai ke dagu. Masa ni aku terus rasa lemah longlai. Aku terduduk lembik. Mujur Pak Su sempat sambut aku.

“Zira, kenapa ni?” mak aku tepuk pipi aku berkali-kali. Suara mak terketar-ketar menahan kerisauan.

“Zira nampak nenek kat dalam bilik,” kataku pendek membuatkan empat beradik kat depan aku berpandangan sesama sendiri.

Pak Lang terus tolak daun pintu bilik nenek. Dia masuk ke dalam.

“Mak aku dah takde. Kami tak perlukan kamu. Pergi kamu dari sini. Jangan kacau keluarga ni lagi,” Pak Lang menjerit kuat kat dalam bilik nenek.

Langsir bilik nenek berkibaran seperti ditiup angin. Tingkap bilik terbuka dan tertutup sendiri. Mak suruh aku bangun dan bawa aku ke ruang tamu. Mak Uda pun mengikut aku dan mak ke ruang tamu. Pak Su saja yang masih bersama Pak Lang di bilik nenek.

“Salmahhhhhhhhhh….. Salmahhhhhhhhhh….” Jelas kedengaran satu suara perempuan memanggil nama nenek. Suara tu membuatkan meremang bulu roma aku. Mak dan Mak Uda pun kelihatan pucat ketakutan.

“Aku dah kata, mak aku dah takde. Kau jangan kacau kami lagi,” Pak Lang menjerit lagi dengan suara lantang.

“Salmahhhhhh….. Salmahhhhhhh….. Mari kepadaku. Mari kepadaku. Aku laparrrrrr…..” sekali lagi suara tu bergema seakan terlalu rapat dengan kami.

“Abang Ngah, dah la tu. Keluar dari bilik mak dan tutup pintu bilik tu,” kata Mak Uda dengan suara menggeletar.

“Benda ni kena dihalau. Selagi dia berada dalam keluarga kita, selagi tu kita tak tenang. Selagi tu semuanya jadi porak peranda,” kata Pak Lang.

“Iye, memang kena dihalau. Tapi ada caranya. Bukan macam halau kucing,” kata Mak Uda lagi.

Pak Lang keluar dari bilik nenek lalu menutup pintu bilik. Kedengaran bunyi barang-barang di dalam bilik tu dihempas dan dilempar ke dinding. Kami yang berada di luar bilik hanya termenung dan mendengar bunyi amukan dari dalam bilik nenek.

Pak Su laungkan azan. Dan bunyi amukan dari dalam bilik nenek terhenti. Jam dinding dah pukul 12.30 tengah malam.

“Esok kita cuba tanya Tok Imam. Mungkin Tok Imam boleh tolong. Tadi pun Tok Imam ada pesan, kalau nak minta bantuan apa-apa, bagitahu dia,” kata Mak Uda.

“Kakak dan Uda pergilah tidur kat dalam bilik. Biar Alang dan dan Halim tidur kat ruang tamu,” kata Pak Su. Mak pegang tangan aku. Aku menurut sahaja. Mak Uda juga. Kami berjalan berpimpin tangan ke bilik kami di bahagian belakang dan terpaksa merentasi bilik nenek.

Masa kami lalu depan pintu bilik nenek, tiba-tiba pintu rumah diketuk bertalu-talu. Semua yang berada di dalam rumah berpandangan sesama sendiri. Pak Lang bagi isyarat supaya kami semua diam.

Selepas tiga kali pintu rumah diketuk, terdengar bunyi lerekan benda tajam di dinding rumah. Melerek dari dinding ke tingkap dan terus mengelilingi rumah. Aku, mak dan Mak Uda berpelukan walaupun kepanasan.

“Halim, kau tengok semua tingkat dah tutup. Tutup semua lubang kalau ada.” Pak Lang bagi arahan kepada Pak Su. Pak Su akur. Dia berlari ke dapur dan memeriksa semua tingkap dan pintu.

“Aku nampak kamu. Aku nampak kamu. Kamu milik aku,” kami dengar suara perempuan sedang menyanyi-nyanyi di luar rumah. Bunyi lerekan benda tajam tu masih berjalan mengelilingi rumah nenek.

Pak Su mengambil Al Quran dari dalam kabinet di ruang tamu lalu duduk dan membacakannya dengan kuat. Masa Pak Su baca Al Quran tu, aku dengar suara perempuan kat luar juga mengikut bacaan Pak Su. Itu lagi buat aku seram sejuk dan meremang bulu roma.

“Mak, apa benda tu? Kenapa dia boleh ikut bacaaan Pak Su?” kataku separuh berbisik, dengar tak dengar je.

Mak suruh aku diam. Jadi aku pun diam. Mak Uda menggeletar dari tadi.

Pak Su terus bacakan Al Quran dengan suara yang makin kuat, suara kat luar pun mengikutnya dengan nada makin kuat juga tapi agak menggeletar. Keadaan itu berterusan lebih kurang setengah jam.

“Tok Tok Tok!” Tiba-tiba pintu rumah diketuk lagi. Kali ni lebih kuat dan disertai dengan suara beberapa orang lelaki di luar rumah. Kami semua berpandangan sesama sendiri.

Pak Lang membuka sedikit tingkat kat tepi pintu. Lepas tu Pak Lang tutup semula tingkap tu dan pandang kami semua. “Siapa?” Mak tanya.

“Beberapa orang kampung,” kata Pak Lang.

“Betul ke orang kampung? Dah pukul 1 pagi ni, takkan mereka datang rumah kita, takkan tak boleh tunggu esok?” kata Mak Uda.

“Manalah aku tahu. Ni nak buka pintu ke tak ni?” Pak Lang tanya.

“Diorang datang nak apa?” Mak Uda tanya lagi.

“Kenalah tanya diorang kalau nak tahu,” kata Pak Lang yang dah tak tahan mendengar bunyi pintu diketuk dengan kuat, macam nak pecah pintu tu bergegar.

“Bukalah,” kata mak.

Pak Lang terus buka pintu. Kelihatan beberapa orang lelaki penduduk kampung sedang berdiri kat luar rumah.

“Assalamualaikum,” Pak Lang menyapa.

“Waalaikumussalam,” sahut salah seorang dari lelaki tu.

“Apa hal malam-malam ni ke rumah kami?” Pak Lang tanya.

“Mak kamu ada membela ye? Dah seluruh kampung ni dikacaunya. Dia masuk ke rumah orang, selerakkan dapur. Dia kacau pemandu di jalan. Habis semua terbabas. Perkakasan yang dia dah pegang, busuk sangat,” kata lelaki itu lagi.

“Ya Allah. Iye ke? Mana abang tahu itu kerja mak saya?” Pak Su bertanya, dengan nada macam nak bertengkar.

“Dah dia tunjuk rupa. Memang rupa mak kamu. Selama ni takde pun gangguan macam ni. Lepas mak kamu meninggal dunia baru ada gangguan ni. Apa lagi bukti yang kami nak cari?” kata lelaki tadi lagi.

Pak Lang, Mak Uda, Pak Su dan mak berpandangan lagi.

“Kami tak tahu pasal ni. Kami pun kena kacau ni.” Kata Pak Lang.

“Jadi, betullah mak kamu ada membela?” kata lelaki tadi lagi.

“Menyusahkan orang. Sekarang macam mana ni? Kami ada anak isteri yang ketakutan di rumah. Buat kerja tak ingat orang, lepas tu susahkan orang,” aku dengar suara merungut di bahagian belakang.

“Assalamualaikum,” terdengar suara lembut seseorang memberi salam dari arah belakang.

Semua yang berada di situ menjawab salam lalu menoleh ke arah suara itu. Kelihatan Tok Imam dan anaknya sedang berdiri di situ.

“Kenapa kecoh-kecoh kat sini? Kan dah malam buta ni?” Tok Imam bersuara lembut.

“Tok, ada jelmaan Kak Salmah mengganggu seluruh kampung. Yang kemalangan pun ada. Anak-anak kecil menangis sampai terbeliak mata putih. Melampau sungguh.” Kata salah seorang lelaki di situ.

“Jadi, kamu serang anak-anak dia, kamu rasa perkara ni selesai?” Tok Imam bertanya masih dengan nada lembut dan tersenyum memandang setiap wajah di hadapannya.

“Mereka sepatutnya tahu pasal mak mereka ada membela ni. Kenapa tak selesaikan dalam keluarga mereka sendiri. Kenapa nak libatkan penduduk kampung. Elok-elok kampung ni aman sejak saya tinggal kat sini dengan mak ayah saya dulu, sekarang dah jadi macam ni. Mereka kenalah bertanggungjawab,” kata lelaki itu lagi, marah betul nampaknya dia.

“Lama dah kamu tinggal di sini. Sejak dari keturunan mak ayah kamu kan. Maknanya berkurun lamanya kamu hidup aman. Baru satu malam Allah turunkan ujian, kamu dah nak mengamuk?” Tok Imam tanya lagi. Dan masa ni semua tetamu tadi terdiam dan tunduk ke lantai.

“Syaitan ni memang nak kita berpecah belah, bergaduh sesama sendiri. Dan kamu pun mudah sangat terpedaya, maka dia menanglah,” kata Tok Imam lagi.

“Habis tu Tok, dah diganggunya kami, takkan kami nak duduk diam je.” Kata salah seorang lelaki di situ.

“Memang kamu tak patut duduk diam. Kamu kena bangun, ambil wudhu, buat solat sunat, buat solat hajat, minta agar kamu dan keluarga kamu serta kampung ini dijauhkan dari malapetaka. Bila dah siang esok, kita cari jalan. Kita cari orang yang pandai bab ilmu ghaib  ni untuk bantu kita. Bukan dengan cara serang orang macam ni,” kata Tok Imam lagi.

Semua yang berada di situ diam.

“Dah, balik ke rumah masing-masing. Kamu dah tahu anak isteri kamu ketakutan kat rumah, kamu masih boleh tinggalkan mereka kan? Bukankah sepatutnya masa ni kamu temankan mereka kat rumah?” Tok Imam terus menegur mereka.

“Kami balik dulu Tok. Tok fikirkanlah apa yang patut dibuat. Tak lalu kami hidup ketakutan tengok orang mati hidup semula macam ni,” kata mereka lalu beredar seorang demi seorang.

Tok Imam tersenyum memandang mereka.

“Minta maaf Tok kalau kami ganggu Tok,” kata Mak Uda.

“Rumah kita selang sebuah je. Tok boleh dengar semuanya,” kata Tok Imam. Kami semua diam.

“Dan Tok dengar juga bunyi panggilan nama mak kamu tu,” kata Tok Imam lagi membuatkan kami sekali lagi berpandangan sesama sendiri.

“Tok dengar?” Pak Lang tanya dan Tok Imam anggukkan kepalanya.

-Bersambung-

One thought on “TETAMU ASING

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s