TETAMU ASING

Bab 7

Aku menoleh ke belakang, tiada sesiapa di belakang aku. Kebetulan mak suruh aku duduk di bahagian belakang. Jangan ada sesiapa di belakang aku.

Aku rasa mungkin perasaan aku sahaja kot. Aku kembali pandang ke arah kubur dan mendengar talkin yang dibaca oleh Tok Imam. Masa ni aku nampak seseorang di belakang Tok Imam. Sebab aku duduk berhadapan dengan Tok Imam. Aku pandang semua orang yang berada di situ. Tak ramai pun. Semuanya boleh dikira dengan tangan.

Perempuan cuma ada 3 orang, aku, mak dan Mak Uda. Yang lain semuanya lelaki termasuk penggali kubur. Tapi aku nampak seorang lagi perempuan duduk di belakang Tok Imam dengan tudungnya menutup separuh dari wajahnya.

Aku cuba mencari wajah perempuan di belakang Tok Imam. Dan perempuan itu tiba-tiba mengangkat kepalanya dan memandang tepat ke arah aku. Aku terkejut, itu nenek aku. Tapi dengan rupa yang lebih muda. Iras-iras wajah mak aku pun ada. Memang mak aku paling iras dengan wajah nenek.

Perempuan itu terus pandang tepat ke arah aku, membuatkan aku panik seketika. Kalau tak silap, aku tak nampak pun perempuan tu walau sejak dari rumah nenek lagi. Aku tunduk, cuba beri perhatian kepada bacaan talkin oleh Tok Imam.

“Wahai Salmah binti Halimah, tetapkanlah hatimu, inilah dia dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di alam barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar. Insaflah wahai Salmah binti Halimah. Bahawasanya mati itu benar, soalan Mungkar dan Nangkir itu benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula itu benar, berkumpul dan berhimpu di Padang Mahsyar itu benar, dihisab dan dikira segalam amalan itu benar, minum di kolam nabi itu benar, syurga dan neraka itu benar.”

Sekali lagi bahu aku dicuit orang. Sepantas kilat aku menoleh. Mak aku sedang pandang aku sambil tersenyum. “Eh, bila masa mak ke sini? Tadi bukan mak duduk kat sebelah Mak Uda ke?” aku berbisik tanya mak. Tapi mak tak jawab.

Aku toleh melihat ke tempat mak duduk tadi, depan aku je pun. Mak ada kat situ. Aku mula panik. Siapa pula kat belakang aku ni? Senyum-senyum pandang aku. Aku toleh semula, tapi tiada siapa di sana. Masa ni aku pandang ke arah Tok Imam. Perempuan yang menyerupai nenek aku semasa muda tadi, masih duduk di sana dan pandang aku.

Aku bangun. Semua yang berada di situ pandang aku. Mak pandang aku. Aku angkat tangan dan tunjukkan ke arah perempuan di belakang Tok Imam. Semua orang menoleh ke arah Tok Imam, sampai Tok Imam sekali menoleh ke belakang, tapi ternyata tiada siapa di situ.

“Kenapa dengan kamu ni Zira?” Mak tanya aku. Aku diam dan duduk semula tapi hati aku dah tak tenang, mata aku melilau tengok sekeliling. Tengok batu nisan pun aku rasa macam nampak hantu dah. Tok Imam menamatkan bacaan talkinnya.

Selesai bacaan talkin, kami semua bangun. Tok Imam meninggalkan kawasan perkuburan diikuti oleh kami semua. Aku masih berjalan di bahagian belakang sekali. Dan aku yakin ada seseorang di belakang aku, mengikuti langkah kami. Tapi aku tak berani menoleh.

Kat tepi pagar kawasan perkuburan tu, Tok Imam menghentikan langkahnya.

“Kamu semua boleh balik. Terima kasih di atas segalanya. Apa yang terjadi di sini, kita lupakan saja. Jangan dipanjangkan apa je yang terjadi hari ni. Kepada waris arwah, saya nak jumpa sekejap,” kata Tok Imam. Lalu lelaki-lelaki yang turut serta dalam pengkebumian nenek terus melangkah pergi meninggalkan kawasan perkuburan, meninggalkan Tok Imam bersama aku dengan mak dan Mak Uda.

“Boleh saya tanya sikit?” Tok Imam memulakan pertanyaan.

“Silakan Tok,” Mak Uda jawab.

“Dua lagi anak lelaki arwah, dah tahu ke maknya meninggal dunia?” Tok Imam bertanya.

“Saya dah maklumkan mereka.” Sahut Mak Uda.

“Okaylah, kalau dah maklumkan. Mungkin mereka tinggal jauh ye?” Tok Imam bertanya.

Mak Uda dan mak aku anggukkan kepala dengan rupa yang serba salah.

“Arwah mak kamu, dia ada amalkan apa-apa yang salah di sisi agama ke masa hidupnya?” Tok Imam tanya lagi soalan keras.

Mak dan Mak Uda berpandangan sesama sendiri. “Kami tak pasti Tok,” Mak Uda jawab.

“Saya bukan nak masuk campur dengan hal keluarga kamu. Tapi ada tetamu asing sepanjang pengkebumian jenazah mak kamu tadi. Dia bersama kita sejak keluar dari rumah mak kamu. Seorang yang bukan dari alam kita,” kata Tok Imam buatkan mak dan Mak Uda pandang Tok Imam dengan mata yang besar.

“Siapa Tok?” Mak Uda tanya.

“Tanya dia, dia nampak orang tu,” kata Tok Imam sambil menunjukkan ke arah aku.

Mak dan Mak Uda pandang aku dengan pandangan kaget. Aku pula terasa panik.

“Kamu nampak siapa Zira?” Mak tanya aku.

“Hmmmmm….. Arrrrr….” Aku tergagap-gagap nak jawab.

“Beritahu mereka apa yang kamu nampak,” kata Tok Imam.

“Zira nampak nenek duduk di belakang Tok Imam. Tapi nampak muda. Lepas tu Zira nampak mak duduk kat belakang Zira,” sahutku terus terang. Aku bukan taknak cakap, nanti mereka kata aku buat cerita pula, atau aku suka berkhayal.

“Hish kamu ni Zira. Kan nenek dah dikebumikan?” Mak aku sambung.

“Itulah tetamu asing yang mengikut dari rumah mak kamu.” Kata Tok Imam lagi.

“Macam ni Tok. Sebenarnya memang arwah mak ada saka keturunan. Tapi kami semua taknak ambil sampailah mak meninggal dunia. Kami fikir, bila mak meninggal dunia tanpa menurunkan sakanya kepada sesiapa, maka saka itu akan pergi setelah tuannya mati,” kata Mak Uda.

Tok Imam gelengkan kepala.

“Tak semudah itu. Kamu sepatutnya mencari ustaz untuk membuang saka tu sebelum mak kamu meninggal dunia. Sekurang-kurangnya kamu tahu saka tu di mana. Tapi sekarang mak kamu dah meninggal dunia, di mana sakanya? Kamu yakin dia dah pergi? Lagi susah nak cari. Dia mencari tuan baru, dikalangan darah dan bau yang sama dengan tuan lamanya,” kata Tok Imam.

Mak dan Mak Uda terdiam. Aku pula terasa seram. Aku pandang keliling. Risau kalau ‘tetamu asing’ tu berada di kalangan kami berempat.

“Macammana sekarang ni Tok?” Mak Uda tanya.

“Sebaiknya biarlah ada lelaki di rumah kamu dalam seminggu ni,” kata Tok Imam.

“Tapi kami je yang ada.Adik beradik lelaki kami tak dapat balik.” Kata Mak Uda.

“Carilah sesiapa sahaja saudara mahram kamu,” kata Tok Imam.

“Kalau kami pergi tinggal kat tempat lain dalam seminggu ni Tok? Macam tu ok tak?” kata Mak Uda.

“Jangan tinggalkan rumah arwah. Banyakkan solat dan bacaan Al Quran dalam rumah tu,” kata Tok Imam.

Mak dan Mak Uda terdiam. Masa ni aku sedar, betapa pentingnya persefahaman sesama adik beradik. Betapa pentingnya adik beradik bersatu padu, yang kuat menongkat yang lemah, yang bijak menongkat yang kurang bijak.

“Macam ni la. Malam nanti lepas maghrib, saya ajak Jemaah surau datang ke rumah kamu. Kita bacakan tahlil untuk arwah. Boleh?” kata Tok Imam.

“Boleh sangat Tok.” Mak Uda jawab.

“Kamu tak perlu sediakan apa-apa. Kita cuma buat bacaan Al Quran untuk arwah.” Kata Tok Imam.

“Baiklah Tok,” kaa Mak Uda.

Tok Imam memberi salam lalu melangkah pergi meninggalkan kami bertiga di bawah pokok besar di tepi kubur. Kami masing-masing memandang ke arah kubur nenek. Seseorang sedang duduk di tepi kubur nenek.

“Siapa tu kak?” Mak Uda tanya mak.

“Mana akak tahu. Tadi dia takde,” mak aku jawab.

“Dah la Mak Uda, mak. Jom kita balik dulu,” kataku dengan rasa tak selesa.

“Iyelah, jom kita balik dulu.” Kata mak aku. Mak Uda tak membantah. Kami berjalan balik ke rumah nenek.

Sampai di rumah, ada dua biji kereta di halaman rumah nenek. “Kereta siapa pula ni?” bisik Mak Uda.

Kami terus melangkah masuk ke dalam rumah nenek. “Assalamualaikum,” tiba-tiba terdengar suara lelaki memberi salam.

Kami bertiga menoleh serentak ke arah suara itu. Aku nampak Pak Ngah dan Pak Su berdiri di belakang kami.

“Abang Ngah, Halim, bila sampai? Kenapa lambat? Mak dah dikebumikan pun,” kata Mak Uda sambil bersalaman dengan Pak Ngah dan Pak Su. Aku pun turut sama bersalaman dengan mereka.

“Kakak apa khabar?” Pak Ngah tanya mak aku masa bersalaman dengan mak aku.

“Alhamdulillah.” Sahut mak aku acuh tak acuh.

“Kakak, Halim minta maaf sangat sebab tak datang masa Abang Daim dan Haziq meninggal dunia. Halim dah janji kan, takkan balik ke sini selagi mak tak buang benda tu,” kata Pak Su.

Mak tak menyahut. Aku tahu mak masih berkecil hati dengan Pak Ngah dan Pak Su.

“Abang Ngah dan Halim balik sendiri je ke? Anak isteri tak ikut?” Mak Uda bertanya, cuba mengalih topik perbualan.

“Haah, kami balik kami je. Nak selesaikan hal keluarga kita ni. Nanti semua dah ok, kami bawa anak isteri kami balik, In Shaa Allah,” kata Pak Ngah.

“Uda tahu kan, macammana Aiman menangis melalak masa kali terakhir dia tidur kat rumah mak dulu. Sampai hilang mata hitam dia menangis sebab nampak benda tu. Sampai sekarang kalau ajak datang rumah nenek, memang dia taknak.” Kata Pak Su.

Mak Uda diam. Mak memang tak banyak cakap.

“Dah la, jom kita masuk ke rumah. Kita fikirkan hal ni. Lepas maghrib nanti, Tok Imam dan Jemaah surau datang untuk tahlil,” kata Mak Uda.

Kami semua masuk ke dalam rumah. Aku pelik, tiada suasana sedih di kalangan mereka selain dari mak aku. Pak Ngah, Mak Uda dan Pak Su berbual ketawa macam tiada kematian dalam rumah tu. Bukan kematian orang lain, kematian mak kandung sendiri kot.

“Mak ok?” aku tanya mak masa mak sedang duduk termenung di dapur.

“Mak teringatkan Acu dan Atok kamu. Apa cerita dengan kepala lembu kat depan rumah tadi. Kesian pula Acu kamu tinggal sendirian menjaga Atok.” Kata mak.

“Mak nak balik ke?” aku tanya.

“Tak elok juga mak balik dalam keadaan sekarang ni. Sekurang-kurangnya biarlah masa tahlil nanti mak ada kat sini,” kata mak aku.

“In Shaa Allah, Acu ok. Kan mak kata, kalau kita dah tiada sebarang tempat bergantung, kita masih boleh bergantung kepada Allah. Allah tak pernak tinggalkan kita,” kata aku memujuk mak.

Mak pandang aku sambil tersenyum dan anggukkan kepala.

Seperti yang dijanjikan, lepas maghrib Tok Imam dan Jemaah masjid hadir ke rumah nenek. Ramai pula orangnya. Tapi masa pengkebumian nenek, boleh dikira dengan jari tangan je. Itupun ada yang lari balik.

“Alhamdulillah. Dah ada lelaki kat dalam rumah ni, In Shaa Allah tiada yang mengganggu. Banyakkan membaca Al Quran. Doakan kesejahteraan arwah mak kamu. Jangan buruk sangka. Mak tetap mak, walau apapun yang terjadi. Mana tahu, masa nyawanya ditarik malaikat, dia telah bertaubat dan taubatnya diterima. Doakan segala urusan mak kamu di alam barzakh, dipermudahkan. Selepas matinya seorang hamba Allah, terputuslah segala hal dunianya, melainkan tiga perkara. Amalannya, jariahnya dan doa anak soleh. Jadi, doakan mak kamu selalu,” pesan Tok Imam sebelum meninggalkan rumah nenek.

Mak, Pak Ngah, Mak Uda dan Pak Su anggukkan kepala tanda faham.

Tepat jam 11 malam, aku masuk bilik nak tidur. Aku lalu kat bilik nenek. Gatal mata aku nak jeling lihat ke dalam bilik nenek. Dan dada aku berdebar bila nampak satu susuk tubuh sedang duduk di birai katil nenek.

-Bersambung-

One thought on “TETAMU ASING

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s