TETAMU ASING

Bab 6

Sebaik masuk ke perkarangan rumah nenek, hanya beberapa orang sahaja yang kelihatan di dalam dan luar rumah. Aku tercari-cari Pak Ngah dan Pak Su tapi mereka tiada. Mak terus mengikut Mak Uda masuk ke dalam rumah. Beberapa orang wanita kat situ memandang kami macam tak pernah nampak kami. Atau mungkin ini kali pertama mereka nampak kami. Maklumlah, kami jarang ke rumah nenek.

Baru je aku nak tanggal kasut, mak aku muncul semula. “Kamu tunggu kat luar je,” kata mak.

“Zira nak tengok nenek, bagi penghormatan terakhir. Dah lama Zira tak tengok nenek,” kataku.

“Tak payah. Nanti kamu ikut masa hantar ke kubur je,” kata mak.

Aku pun diam. Nak kata apa lagi? Dah mak tak bagi aku masuk dalam rumah tengok jenazah nenek. Aku melangkah mengelilingi rumah, cuba menjenguk ke dalam rumah melalui tingkap. Bau busuk amat menyengat hidung sejak dari aku sampai ke rumah ni lagi. Bau seperti bangkai atau isi perut ikan yang dah disimpan lama. Mungkin bau dari longkang. Sesekali aku rasa nak termuntah dengan bau tu. Kawasan rumah orang kaya, takkanlah mereka biarkan bau busuk macam ni. Takkanlah Majlis Perbandaran tak cuci longkang atau kutip sampah.

Aku terus mengintai ke dalam rumah. Di bahagian dapur, aku nampak beberapa wanita sedang berkumpul seperti sedang menyiapkan sesuatu. Beberapa orang wanita yang melihat dari jauh, menutup hidung dan berbisik-bisik sesama sendiri.

Aku terus mengintai dari tingkap. Aku nampak Mak Uda dan mak aku bersama-sama dengan tiga lagi wanita lain, sedang mengerjakan sesuatu. Ada tab mandi, ada kain putih. Yang melihat itu ramai tapi yang membantu tu hanya lima orang termasuk Mak Uda dan mak aku.

Aku nampak sesuatu di atas tempat mandi jenazah, mungkin mereka sedang memandikan jenazah nenek. Kawasan mandian jenazah tu ditutup dengan kain putih. Tapi mereka lupa tutup di bahagian tingkap. Kebetulan aku seorang je yang berdiri di tingkap dan memerhatikan segala gerak geri mereka.

Entah macammana kain yang menyelimuti jenazah terselak sedikit dan masa ni aku nampak kaki jenazah nenek aku. Aku pun tak tahu itu kaki atau apa. Ianya seperti dahan kayu yang dah reput. Atau seperti kayu yang dah dibakar menjadi arang. Hitam rentung.

Aku alihkan pandangan aku ke arah lain. Aku beristighfar. Tapi aku cuba bersangka baik, mungkin aku dah silap tengok. Aku pandang semula ke dalam rumah. Kali ni aku ternampak bahagian kepala pula. Sama macam kaki tadi, aku nampak muka jenazah hitam rentung dengan mata tersembul keluar. Ya Allah!

Aku berundur beberapa langkah ke belakang. Dan terus melangkah ke satu bahagian. Aku tak sanggup nak tengok. Itu jenazah nenek ke? Nenek sakit apa? Terbakar ke? Aku berfikir sendirian. Mak tak cakap apa-apapun sejak dari pagi tadi, hanya menangis je. Bila aku tanya kenapa nenek meninggal dunia, mak kata sebab darah tinggi. Iye ke?

“Ke tepi semua. Kita nak bawa jenazah ke masjid untuk disolatkan. Lepas tu terus kebumikan kat sebelah masjid. Kepada sesiapa yang berkelapangan, boleh ikut ke kubur ye,” aku dengar suara seorang lelaki memberi arahan.

Aku bangun dari duduk. Aku melangkah ke bahagian depan rumah. Beberapa lelaki sedang bersedia untuk mengangkat keranda. Mak dan Mak Uda, dengan mata yang bengkak, berdiri di belakang keranda. Aku tak merapati mereka, aku hanya melihat dari jauh.

“Al Fatihah,” lelaki tadi bersuara. Orang-orang di situ tunduk ke tanah membacakan surah Al Fatihah. Suasana sunyi seketika.

“Baiklah, boleh angkat keranda sekarang,” kata lelaki tadi lagi.

Beberapa lelaki yang bersedia di tepi keranda tunduk dan mengangkat kayu pemegang di kiri kanan depan dan belakang keranda. Tapi tak dapat angkat. Berkerut muka mereka.

“Kenapa?” Lelaki tua bertanya. “Berat tok,” kata seorang lelaki yang berdiri di bahagian depan.

“Takpe, kita tambah orang. Mari cepat para lelaki yang berdiri kat depan tu. Tolong kita sama-sama angkat keranda ni,” kata lelaki yang mereka panggil tok tu tadi.

Beberapa lelaki yang duduk di luar pagar rumah nenek, segera bangun dan berdiri di tepi keranda. Aku tengok dah ada 10 orang lelaki berdiri di kiri kanan keranda bersedia untuk mengangkat keranda.

“Baiklah, angkat sekarang,” kata lelaki tua tadi lagi. Namun 10 orang lelaki tadi masih tak mampu mengangkat keranda tersebut.

“Tak bergerak langsung tok,” Kata lelaki muda di bahagian depan.

Beberapa wanita yang berada di situ dah mula buat muka dan berbisik sesama sendiri.

“Kalau kamu rasa tiada yang kamu boleh tolong di sini, kamu boleh balik. Jangan berbisik-bisik di sini untuk memperkatakan perkara yang tak baik.” Kata lelaki tua tadi dengan nada agak tegas. Wanita-wanita yang berbisik tadi berhenti berbisik dan tunduk memandang tanah, seakan faham kata-kata lelaki tua tadi ditujukan kepada mereka.

“Tok, panggil ambulan je la bawakan ke kubur,” kata seorang lelaki yang berada di situ.

“Masjid dan kawasan perkuburan tu selang tiga rumah je dari sini. Takkanlah nak panggil ambulan juga,” kata seorang lagi lelaki lain.

“Habis tu, dah tak boleh angkat langsung ni. Macammana?” sahut lelaki yang mengesyorkan ambulan tadi.

“Sabar ye. Sekejap saya ikhtiarkan,” kata lelaki tua tu lagi. Wajahnya nampak tenang je walaupun wajah lain yang berada di situ dah seakan berputus asa ataupun terpaksa.

Lelaki tua tadi berdiri di hadapan keranda. Dia meletakkan tangannya di atas keranda dan membacakan sesuatu. Kemudian dia berdiri semula dan meletakkan tangannya di telinga lalu melaungkan azan.

Setelah habis azan dilaungkan, lelaki tua tadi meminta mereka mengangkat semula keranda tersebut. Mujurlah kali ini keranda dapat diangkat dan dibawa keluar dari kawasan rumah nenek. Mak Uda dan mak aku ikut di bahagian belakang. Aku pun ikut sekali tapi di barisan paling akhir.

Ketika menghampiri pagar masjid, tiba-tiba kedengaran sesuatu yang menggelupur di dalam keranda. Semua lelaki yang sedang mengangkat keranda itu terhenti langkahnya serentak.

“Tok!” mereka memanggil lelaki tua yang berjalan di hadapan keranda. Lelaki tua itu berhenti melangkah dan menoleh ke belakang.

“Kenapa berhenti? Jalan terus. Kita dah nak masuk masjid ni,” kata lelaki itu.

“Ada benda bergerak kat dalam keranda,” kata lelaki muda tu.

“Subhanallah, perasaan kamu semua je tu. Teruskan berjalan,” kata lelaki tua tu lagi.

Lalu mereka teruskan membawa keranda tersebut dan lelaki tua tadi membiarkan mereka berlalu dahulu, lalu dia mengikut di bahagian kanan keranda.

Ketika separuh dari keranda dah masuk ke dalam pagar masjid, sekali lagi bunyi menggelupur itu kedengaran, kali ni lebih kuat dan lebih panjang, membuatkan mereka yang memegang keranda terkejut dan melepaskan pegangan mereka, hingga terjatuh keranda tersebut ke atas tanah.

“Astaghfirullahal azim. Allahu Akbar, Allahu Akbar. Ampunkan kami Ya Allah,” aku dengar suara lelaki tua tadi beristighfar panjang dengan nada terketar-ketar.

“Kenapa kamu lepaskan keranda ni?” lelaki tua itu bertanya.

“Tok, ada benda hidup kat dalam keranda tu,” kata salah seorang lelaki yang mengangkat keranda tadi.

“Ingat Allah. Semuanya dengan izin Allah. Kita nak kebumikan seorang hamba Allah. Jangan begini, kesian arwah,” kata lelaki tua tadi seakan nak menangis.

“Mana anak-anak lelaki arwah? Setahu saya dia ada dua orang anak lelaki,” terdengar suara seseorang bercakap.

“Haah. Saya tak berani nak angkat keranda ni lagi tok. Entah apa yang ada kat dalam tu.” kata seorang lelaki yang kemudiannya melangkah meninggalkan kawasan masjid.

“Saya pun tak berani tok.” Kata seorang lagi lelaki dan dia juga terus berlalu.

“Allah!” aku dengar suara lelaki tua tadi. Nadanya sebak sangat. Mak dan Mak Uda memang tak boleh cakap apa dah, aku nampak mereka menangis tersedu sedan di belakang keranda.

“Leman, kamu pergi tengok kat dalam masjid. Kalau ada sesiapa, panggil mereka tolong angkat keranda ni.” Kata lelaki tua tadi kepada seorang lelaki yang juga mengangkat keranda tu tadi.

Lelaki bernama Leman tadi terus berlari masuk ke dalam masjid. Beberapa ketika kemudian, dia keluar semula dari masjid dengan tiga orang lelaki lain.

“Zahid, Arif, Man, tolong angkat keranda ni bawa masuk ke masjid. Kita nak solat jenazah,” kata lelaki tua tu lagi.

Ketiga-tiga lelaki tadi anggukkan kepala dan mereka kembali mengangkat keranda terus masuk ke dalam masjid lalu meletakkannya di bahagian depan, di bawah mimbar.

“Sekarang kita solat jenazah untuk arwah. Moga Allah mengampuni segala dosa arwah, dan dimudahkan segala urusannya di alam barzakh kelak,” kata lelaki tua tadi lalu mengambil tempat di bahagian imam.

Aku, mak dan Mak Uda menunggu di tangga masjid. Beberapa orang wanita lain hanya menunggu di luar pagar masjid. Hanya ada enam orang lelaki yang bersama-sama mendirikan solat jenazah untuk arwah nenek.

Aku terus perhatikan dari luar. Sepanjang solat jenazah dijalankan, aku dengar bunyi benda menggelupur dari dalam keranda. Keranda pun seakan bergerak seperti ada hentakan kuat dari dalam keranda. Tiga orang lelaki yang sedang solat jenazah bersama, berhenti mengerjakan solat dan terus berlari keluar masjid. Tinggallah tiga orang sahaja, iaitu lelaki tuan tadi, lelaki yang dipanggil Leman dan Zahid.

Sesudah solat, lelaki tua tadi menoleh ke belakang dan menggelengkan kepala bila melihat hanya dua orang lelaki yang masih meneruskan solat bersamanya.

“Takpelah, sekarang kita perlu bawa jenazah ni ke kuburnya untuk dikebumikan,” kata lelaki tua tadi.

“Mana waris arwah tadi?” lelaki tua tadi bertanya ketika dia keluar dari masjid.

Mak Uda menghampiri lelaki tua itu.

“Saya anak dia Tok Imam. Dan ini kakak sulung saya,” kata Mak Uda sambil menuding jari menunjukkan ke arah mak aku.

“Kita akan kebumikan jenazah mak kamu sekarang. Kalau ada saudara mara yang baru sampai dan nak ziarah arwah buat kali terakhir, boleh lakukan sekarang,” kata Tok Imam tersebut.

“Takpelah tok. Tiada siapa yang datang lagi. Tok boleh teruskan dengan pengebumian.” Kata Mak Uda. Tok Imam anggukkan kepala.

“Zahid, kamu pergi panggil Pak Mail dan kawannya. Tok rasa mereka dah selesai menggali kubur. Panggil mereka minta tolong angkat keranda.” Kata Tok Imam lagi.

Lelaki bernama Zahid tadi akur. Dia terus berlari keluar kawasan masjid ke arah kawasan perkuburan di sebelah masjid.

“Tok, keranda tu berbunyi lagi,” kata Leman dari dalam masjid dengan muka panik.

Tok Imam melangkah masuk ke dalam masjid. Aku intai dari luar. Aku nampak Tok Imam duduk di tepi keranda dan memegang keranda lalu membaca sesuatu dengan mata terpejam.

Seketika kemudian, Zahid datang dengan empat orang lelaki lagi.

“Mail, kamu dan kawan-kawan kamu, tolong angkat keranda ni bawa ke kuburnya,” kata Tok Imam.

“Kami ni kotor Tok, Boleh ke masuk masjid ni. Tunggu kami bersihkan pakaian dulu,” kata Pak Mail.

“Tak perlu. Boleh terus angkat keranda ni.” Kata Tok Imam.

Pak Mail dan kawan-kawannya berpandangan sesama sendiri dan melihat diri masing-masing yang penuh dengan lumpur dan tanah kerana mengorek kubur tadi. Tapi sebab Tok Imam dah arahkan begitu, maka mereka terus masuk ke dalam masjid perlahan-lahan dan mengangkat keranda keluar dan terus ke kuburnya.

Tiada sebarang perkara pelik berlaku semasa pengkebumian. Setelah jenazah dimasukkan ke liang lahad, tali yang mengikatnya dilonggarkan sedikit. Wajahnya dibuka dan di hadapkan ke arah kiblat. Aku dengar beberapa suara beristighfar semasa pengkembumian jenazah nenek. Aku nak jenguk lihat ke liang lahad tapi Mak Uda dan mak menahan.

Setelah tanah dikambus, kami semua duduk di atas tikar. Talkin dibacakan. Dan masa ni aku terasa ada seseorang mencuit bahu aku dari belakang.

-Bersambung-

One thought on “TETAMU ASING

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s