TETAMU ASING

Bab 4

“Uda rasa, kakak kena pergi jumpa mak. Kena selesaikan perkara ni.” Kaat Mak Uda memecahkan kesunyian.

“Kakak bukan taknak jumpa mak. Mak bencikan Abang Daim sebab benda ni juga. Uda tahu kan, kakak sepatutnya yang warisi benda ni. Tapi sebab kakak berkahwin dan Abang Daim jadi penghalang daripada benda tu turun kat kakak. Sekarang dia berani datang sebab Abang Daim dah takde,” kata mak aku pula.

“Sebab itu Uda kata, kakak kena jumpa mak. Cakap pasal benda ni terus terang.” Kata Mak Uda lagi.

“Kakak tahu, kalau kakak jumpa mak, kakak takkan boleh menolak. Kakak taknak. Abang Daim dah pesan, walau apapun jadi, jangan ambil benda tu. Mak pun sampai hati tak datang ziarah Abang Daim dan Haziq untuk kali terakhir, luka hati ni belum terubat lagi Uda,” kata mak aku sambil menguis-nguis bahagian tepi tikar mengkuang lusuh.

“Kakak, mak tetap mak. Abang Daim tetap suami kakak. Takde yang berubah. Kalau benda tu tak dibuang atau diturunkan sekarang, Uda risau nanti dia cari pewaris baru. Sekurang-kurangnya sekarang kita tahu benda tu di mana dan sedang cari kakak. Kalau kakak terus menerus biarkan, mak pula makin tak mampu menjaganya, risau dia terlepas cari tuan sendiri sampai kita tak tahu dia dah pergi mana. Buatnya dia datang kat Zira, macammana? Itu cucu perempuan sulung. Mak kan pernah kata, waris seterusnya mestilah seorang perempuan,” kata Mak Uda lagi.

Mak aku diam sambil menoleh memandang aku yang sedang duduk di meja makan, sambil buat kerja sekolah kononnya. Lepas tu mak pandang Mak Uda dan buat isyarat suruh diam. Mak taknak aku dengar kot. Mak Uda pun menjeling sekejap ke arah aku dan terus menukar topik perbualan.

Lepas Mak Uda balik, aku tanya mak. “Mak, benda apa yang mak sembang dengan Mak Uda tadi?”

“Takde apalah. Hal orang dewasa. Kamu belajar je elok-elok,” sahut mak sambil lipat kain. Aku duduk di kaki katil Atok sambil mengurut kaki Atok.

“Mak, sebab benda tu ke nenek bencikan ayah?” aku tanya lagi. Aku tak suka mak sorokkan perkara macam tu dari aku. Mungkin aku tak memahaminya begitu dalam, tapi sekurang-kurangnya mak beritahu aku. Aku bukannya budak kecil lagi. Aku dah 17 tahun kot. Lagipun sekarang tinggal aku dengan mak je, takkan itupun mak masih nak berahsia dengan aku?

“Takde apa, jangan risau,” kata mak lagi, seakan tak suka aku tanya banyak kali.

“Kamu kena beritahu dia. Dia perlu tahu supaya dia tak mudah diperdaya,” tiba-tiba Atok bersuara buatkan mak berhenti melipat kain. Sunyi seketika sebelum mak kembali melipat kain.

“Mak akan selesaikan hal ni dengan nenek kamu. Kamu tu jangan masuk hutan tu lagi. Kalau nampak perempuan tua tu lagi, jangan pergi dekat dia. Ini bukan benda main-main, nak ambil kalau taknak buang. Kalau dia dah melekat kat kamu, memang susah nak buang.” Kata mak.

“Benda apa tu mak?” aku tanya lagi.

“Saka keturunan,” Mak aku jawab singkat.

“Saka keturunan tu apa?” Aku tanya lagi, memang aku tak faham.

“Keturunan nenek yang terdahulu, entah keturunan ke berapa, ada membela jin. Jin itulah yang akan turun temurun mengikut keturunan. Sekarang ni ada dekat nenek. Sepatutnya dia turun kat mak, tapi mak taknak ambil. Ayah kamu pun tak izinkan. Sekarang, dia datang semula,” kata mak buatkan aku terlopong.

“Sebab tu mak cakap kamu takkan faham. Nantilah mak jumpa nenek kamu, selesaikan perkara ni,” kata mak aku.

Pranggggg! Tiba-tiba aku dengar bunyi pinggan pecah kat dapur. Lantas aku bangun dan terus melangkah ke dapur. Sekeping pinggan kaca dah pecah berderai di dapur dan aku nampak Tompok sedang berlari keluar.

“Apa yang pecah tu Zira?” Mak aku laung dari tengah rumah.

“Pinggan kaca ni, Rasanya Tompok jatuhkan,” kataku sambil mengutip kaca pinggan di lantai.

Sedang aku mengutip tu, terasa gelap seperti ada yang menghalang cahaya di pintu dapur. Aku angkat kepala. Aku menggeletar. Perempuan tua yang menyerupai nenek aku, yang aku nampak kat dalam hutan sebelah rumah Atok sedang berdiri di pintu yang terbuka luas, memerhati aku dengan pandangan tajam.

“Allah!” Aku jerit kuat. Kaca yang aku pegang tadi jatuh berderai semula kerana terlepas dari tangan aku.

“Kenapa tu Zira?” Mak aku memanggil dari tengah rumah. Aku tak menjawab, hanya memerhati perempuan tua itu. Dia seakan menghampiri aku walaupun aku tak nampak kakinya melangkah. Lidah aku kelu, bila teringatkan perempuan tua itu bukan nenek aku.

“Zira?” Tiba-tiba mak aku tersembul dari ruang tengah. Aku pandang mak aku. “Kenapa ni?” Mak aku tanya aku. Aku paling semula ke arah perempuan tua tu tadi, dia dah tiada di situ.

“Zira? Mak tanya ni? Kenapa? Kamu nampak apa? Kenapa kaca berterabur dua kali?” Mak aku terus tanya.

Aku bangun dan meluru ke pintu. Aku perhatikan keliling, aku nampak perempuan tua itu sedang berdiri di dalam hutan sebelah rumah. Aku pandang dia, dia berpusing membelakangkan aku dan terus masuk ke dalam hutan.

“Kenapa ni Zira?” Mak aku terus bertanya.

“Takde apa mak. Tompok terkejutkan Zira.” Sahutku berdalih.

“Kamu ni, dengan Tompok pun boleh terkejut. Padahal malam-malam tidur sama,” kata mak aku sambil tangannya laju mengutip deraian kaca di lantai.

“Mak, macammana caranya nak warisi jin belaan nenek tu?” aku bertanya masa aku tengah makan malam dengan mak. Mak pandang aku macam matanya nak tersembul keluar.

“Jangan cakap pasal ni lagi,” kata mak.

“Zira kena tahu mak. Manalah tahu, kot dia datang cari Zira ke,” kataku sambil menyuapkan ikan sepat goreng ke mulut.

Mak aku terdiam seketika sebelum dia teruskan suapannya. Aku pun diam juga, risau soalan aku menyinggung perasaan mak.

“Kalau ada orang bagi barang, jangan ambil. Kalau bermimpi ada orang bagi kain, tak kiralah kain apapun, atau mimpi ada orang bagi bayi kecil, atau kamu melahirkan bayi, bangun buat solat tahajjud minta dijauhkan dari perkara yang tak baik. Kalau ada orang suruh kamu sebut ungkapan yang kamu tak faham maksudnya, jangan sebut. Mohon pada Allah, untuk pelihara diri dari perkara syirik,” kata mak aku perlahan dan tersusun, jelas dia nak aku faham.

“Kalau mimpi, macammana kita nak kawal?” aku tanya lagi.

“Itu yang mak cakap, bila bangun, buat solat tahajjud. Kena ingat satu perkara, walau bagaimana hebat kuasa yang kamu jumpa, takkan berdaya melawan kuasa Allah. Allah yang Maha Berkuasa, mohonlah pada Dia,” kata mak aku lagi.

Tak sempat aku tanya lagi, aku dengar bunyi Tompok mengiau seperti sedang bergaduh atau marahkan sesuatu. Aku bangun. Mak aku tahan.

“Biarkan je. Kamu makan dulu sampai habis,” kata mak aku buatkan aku duduk semula dan menyambung makan malam aku. Walaupun telinga aku tak senang mendengar Tompok mengiau kuat kat luar. Tak dengar pun bunyi suara kucing lain.

Selesai makan malam, aku suap Atok makan. Mak basuh pinggan kat dapur. Tiba-tiba pintu rumah terbuka perlahan-lahan. Aku pandang pintu yang terbuka tu. Aku tengok jam dinding, baru pukul 9 malam, takkanlah Acu dah balik. Selalunya Acu balik dalam pukul 11 ke atas.

Aku letakkan pinggan. Aku bangun dan melangkah ke pintu perlahan-lahan. “Tutup je pintu tu balik. Angin tolak kot,” kata Atok perlahan. Aku anggukkan kepala kat Atok.

Aku jenguk keluar pintu, tiada sesiapa, hanya kegelapan malam tanpa sebarang lampu jalan. Maklumlah, rumah Atok sebiji saja kat situ. Rumah dan tanah lain sebelah menyebelah semuanya dah ditinggal usang tanpa penghuni sejak sekian lama.

Aku tutup semula pintu dan menguncinya. Aku kembali ke katil Atok dan suap Atok semula tapi Atok kata dia dah taknak. Sikit sangat Atok makan. Rasanya aku baru suap 3 suapan.

“Atok makanlah banyak sikit. Tengok badan Atok dah tinggal tulang je,” kataku memujuk.

“Atok tak lalu dah. Ambilkan air, Atok nak minum,” kata Atok. Aku akur. Letakkan pinggan dan menggapai cawan yang berisi air masak. Aku suap Atok minum guna straw.

Lepas Atok minum, Atok minta aku wudhukkan dia. Belum sempat aku bangun, tiba-tiba pintu diketuk orang dengan kuat. Aku pandang ke arah pintu yang bergegar akibat diketuk.

“Siapa tu Zira?” mak aku tiba-tiba muncul dari dapur sambil mengelap tangannya yang basah.

“Entahlah mak. Tadi pintu tu terbuka sendiri. Zira pergi tengok, takde siapa kat luar,” kataku.

“Biarkan je,” kata Atok perlahan. Mak pandang aku. “Biarkan je la.” Mak aku ulang ayat Atok. Bunyi ketukan pun berhenti.

Tak lama kemudian, aku dengar bunyi pintu dapur pula terbuka. Aku pandang mak, nak pastikan mak dengar tak apa yang aku dengar. Ternyata mak pun dengar. Dia pandang aku.

“Mak rasa mak dah kunci pintu dapur tadi,” mak aku cakap. Aku dah mula rasa seram sejuk.

Mak aku bangun, lalu melangkah ke dapur perlahan-lahan. Aku ikut belakang mak. “Kamu tunggu Atok kat sini,” mak aku tak bagi aku ikut.

Tapi aku tetap ikut mak. Mak jenguk ke dapur. Memang betul, pintu dapur terbuka luas. Mak terus tutup pintu tu dan kunci pintu gunakan selak. Lepas tu mak terus suruh aku ke ruang depan rumah.

“Macammana pintu tu boleh terbuka sendiri kalau dah kunci?” aku tanya mak.

“Mak lupa selak tadi kot. Angin pun kuat kat luar,” kata mak aku perlahan tapi matanya memerhati keliling rumah. Wajahnya ada riak risau.

“Tok Tok Tok!” Pintu dapur diketuk kuat. Aku dan mak berpandangan sesama sendiri.

Serentak dengan itu, kedengaran suara Tompok mengiau kuat seakan memarahi sesuatu.

“Mak, Zira rasa ada sesuatu kat luar tu,” Kataku. Mak aku bagi isyarat suruh aku diam.

Aku pasang telinga. Aku dengar bunyi seperti seseorang sedang berjalan mengelilingi rumah Atok dengan kaki terseret di tanah. Tingkap bilik seakan terbuka dan tertutup sendiri beberapa kali. Aku bangun nak tutup tingkap bilik, tapi mak tahan aku. Mak kata biarkan dulu. Aku akur.

Aku jenguk ke dalam bilik dan melihat ke arah tingkap yang terbuka dan tertutup sendiri. Dan aku nampak wajah perempuan tua seakan nenek tu sedang memerhatikan kami dari tingkap bilik tu. Aku tundukkan muka aku. Aku pegang tangan mak kuat-kuat.

Tiba-tiba mak laung azan. Aku pun terkejut dengar mak laung azan macam tu. Tapi sekurang-kurangnya aku nampak tingkap bilik dah tertutup semula. Dan bunyi orang berjalan menyeret kaki di luar rumah dah berhenti. Cuma aku dapat dengar suara Tompok masih merengus seakan memerhati musuh yang kian menjauh.

-Bersambung-

One thought on “TETAMU ASING

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s