TETAMU ASING

Bab 3

Malam tu lepas balik dari pasar malam dengan Acu, aku terus mandi dan salin baju. Rumah Atok cuma satu bilik. Acu memang tak tidur kat dalam bilik sebab dia tidur kat tepi katil Atok. Mak aku pun sama, mak bentang tilam nipis kat tepi Acu aku, diorang tidur kat situ. Jadi bilik tu jadi aku yang punya la.

Jam dinding dah tunjuk pukul 11 masa aku letakkan kepala aku untuk tidur. Dengan badan yang penat dan mata yang mengantuk, memang aku senang terlena. Tapi ketika aku dah hampir terlena, aku terdengar bunyi ranting patah seakan dipihak seseorang kat hutan sebelah rumah Atok. Kebetulan bilik pun memang kat tepi hutan tu. Aku buka mata, cuba mendengar sekali lagi. Aku dengar bunyi langkah seseorang.

Aku bangun dari katil dan jenguk keluar bilik. Lampu dah tutup, Acu dan mak dah tidur kot. Aku tutup semula langsir yang jadi pintu bilik, aku melangkah ke tingkap. Aku buka selak tingkap, dan menolak daun tingkap perlahan-lahan. Aku tak buka luas, aku cuma intai dengan sebelah mata aku. Tak nampak apa-apa, cuma hutan yang diterangi oleh cahaya bulan penuh. Aku tutup tingkap itu semula dan baring di katil.

Aku pejamkan mata, cuba lupakan apa yang aku dengar tadi. Bak kata mak, sebab aku terbawa-bawa dengan apa yang aku lihat tadi, buatkan aku terlalu fokus pada perkara tu, sedangkan sebenarnya perkara tu tak wujud pun.

Sekali lagi, baru je aku nak lena, aku dengar bunyi ranting kayu dipijak lagi. Kali ni makin rapat ke rumah Atok. Bunyi langkah pun semakin kuat aku dengar, bermakna apa saja yang sedang berjalan di situ, makin rapat dengan rumah Atok. Aku duduk di katil. Cuba mendengar bunyi tu lagi.

Bunyi tu makin jelas. Disertai dengan lolongan anjing liar, juga dari hutan itu. Aku memang takut dengar bunyi anjing melolong panjang ni. Sebab aku percaya dengan apa yang ustazah aku cakap dulu, kalau anjing melolong panjang, maknanya dia nampak sesuatu dari alam ghaib, yang tak dapat dilihat oleh mata kasar manusia biasa.

Aku bangun dari katil, mendekatkan telinga aku ke dinding papan. Aku yakin aku dengar bunyi orang berjalan di atas ranting kering di sebelah rumah Atok. Dan orang itu betul-betul di tepi bilik aku sekarang. Aku buka semula selak tingkap, baru je aku nak tolak daun tingkap, mak aku panggil aku. Melompat aku terkejut.

Aku menoleh melihat mak aku yang sedang berdiri kat pintu bilik. “Kamu buat apa lagi Zira? Kenapa tak tidur lagi?”

“Hish mak ni, terkejut Zira. Takde apa la mak, mata ni tak mengantuk lagi,” sahutku sambil mengunci semula tingkap.

“Kenapa buka tingkap tu?” Mak aku tanya.

“Panas, ingatkan nak buka tingkap, dapat angin luar,” sahutku berdalih, walhal rumah Atok tu sejuk dingin je.

“Jangan buka tingkap waktu tengah malam macam ni. Awak tu anak dara. Dah malam, tak payah jenguk keluar lagi,” kata mak aku, dengan nada agak tegas. Aku anggukkan kepala, kalau mak nak bersuara macam tu, maknanya mak maksudkan apa yang dia cakap, dan ingatlah sampai bila-bila, dia takkan ulang dengan nada baik lagi nanti.

“Dah, tidur. Esok nak sekolah,” kata mak aku sambil menutup langsir pintu bilik aku.

Aku pun terus baring semula. Ambil kain selimut dan tutup telinga aku. Aku lena.

Aku tersedar bila jam loceng tinggalan arwah ayah berbunyi pukul 6 pagi. Aku tutup jam loceng yang berdering. Aku bangun menggeliat.

Aku ambil tuala dan melangkah keluar bilik. Mak aku dah sibuk kat dapur, sediakan sarapan. Acu aku baru keluar dari bilik air. Dia nak pergi meniaga kat pasar. Atok aku sedang solat subuh di katilnya.

Aku terus mandi dan bersiap untuk ke sekolah. Mak bekalkan Acu dengan mee goreng. Acu keluar awal. Aku pula lepas bersiap, duduk sarapan dengan mak.

“Lepas habis sekolah terus balik, jangan merayau ke mana-mana,” mak aku pesan.

“Mak, Zira rindu kat ayah dan Haziq. Bila kita nak ziarah kubur mereka?” aku tanya mak aku. Mak aku tak jawab, tapi wajahnya murung.

“Mak ok?” Aku tanya sambil pegang tangan mak.

“Mak ok. Mak pun rindukan mereka. Rindu yang tak berbalas, rindu yang tak dapat dilepaskan.” Kata mak dengan nada sebak. Aku pula terasa bersalah sebab buka cerita sedih pula pagi-pagi buta ni.

“Mak Uda kata minggu ni dia nak datang. Kita ajak Mak Uda pergi ziarah kubur ayah dan Haziq ye mak,” kataku. Mak masih tak jawab. Hanya tertunduk sedih di tepi meja.

“Mak janganlah sedih. Zira nak pergi sekolah ni. Mak jaga diri tau,” kataku sambil membasuh pinggan mee goreng aku. Aku ambil bekalan yang mak aku dah sediakan, aku pegang tangan mak dan cium.

“Jaga diri baik-baik. Kayuh basikal tu elok-elok. Tengok kiri kanan bila nak melintas,” pesan yang sama yang mak aku titipkan setiap kali aku nak pergi sekolah. “Iye mak. Mak jangan risau ye,” kataku sambil melangkah ke katil Atok. Atok masih dengan tasbihnya. Aku pegang tangan aku, aku cium tangan aku. “Zira pergi sekolah dulu ye Atok,” kataku. Atok anggukkan kepala.

Mak pandang aku dengan sambil senyum kelat. Aku tahu, mak masih bersedih tapi dia cuba tutup kesedihannya. Dan aku juga tahu, mak memang rindukan ayah dan Haziq, tapi mak lebih rindukan nenek dan adik beradiknya. Rindu pada yang tiada dah tentu tidak berpenghujung tapi rindu pada yang masih ada tapi tak bersua muka, itulah rindu yang paling pedih sebenarnya.

Ada satu hari tu, aku balik lewat sebab ada kokorikulum dan kelas tambahan. Aku dah maklumkan mak. Masa aku balik tu dah pukul enam petang. Haritu aku tak dapat ikut Acu meniaga. Masa aku melintasi hutan sebelum sampai rumah Atok, sekali lagi perhatian aku tertarik ke arah dalam kawasan hutan.

Aku nampak sesuatu yang bergerak. Aku berhenti kayuh basikal. Aku letakkan basikal kat tepi pokok ketapang. Aku pandang keliling, terutama kat rumah Atok. Aku tak nampak mak. Mak kat dalam rumah agaknya. Aku nekad, kali ni aku akan pastikan aku nampak siapa kat dalam hutan tu. Aku pasti dia manusia, bukan haiwan.

Aku melangkah perlahan ke dalam hutan, aku lalu ikut tepi supaya aku dapat lihat orang itu dari belakangnya. Aku melangkah penuh hati-hati supaya orang tu tak sedar akan kedatangan aku. Sedang aku terbongkok-bongkok mengintai mengalahkan Detektif Conan tu, dari celahan kayu hutan, aku nampak perempuan tua yang aku nampak dulu. Kali ni lebih jelas. Rambutnya beruban diikat sanggul, berbaju kurung warna lusuh dengan kain batik yang juga lusuh. Dia memegang satu tongkat.

Aku pandang dia lebih lama. Rasanya seperti aku pernah lihat perempuan tua tu. Tapi di mana ye. Sedang aku terfikir-fikir itulah, tiba-tiba perempuan tua tu berpaling memandang ke arah aku. Dan alangkah terkejutnya aku, rupanya perempuan tua itu adalah nenek aku, mak kepada mak aku!

Nenek pandang aku. Dia tak senyum macam selalu tatkala aku berjumpa dengannya, Dia Cuma pandang aku, tapi dia kelihatan lebih tua dari kali terakhir aku lihat nenek.

“Nenek! Nenek buat apa kat sini? Nak jumpa mak ke? Kenapa tak terus pergi kat rumah Atok? Bila nenek datang sini? Nenek naik apa?” Aku tanya nenek bertalu-talu dengan penuh kehairanan. Nenek tak jawab soalan aku. Dia hanya pandang aku tanpa berkedip matanya.

“Nenek? Nenek ok?” aku tanya lagi, terasa sangsi dengan pandangannya.

“Zira! Ooo Zira! Kamu buat apa kat sana tu? Balik sini cepat,” tiba-tiba aku dengar suara mak memanggil aku. Aku pandang kat mak yang sedang berdiri kat pintu dapur rumah Atok.

Aku berpaling semula memandang nenek, tapi nenek dah berlalu pergi. Aku Cuma nampak nenek berjalan dengan tongkatnya terus masuk ke dalam kawasan hutan yang lebih tebal.

“Nenek?” aku panggil tapi nenek tak menoleh lagi. Bila aku cuba mengikutnya, mak aku panggil lagi dengan nada lebih keras. Nak tak nak aku terpaksa keluar dari kawasan hutan tu dan balik ke rumah Atok.

“Kamu buat apa kat sana? Kan Atok dah pesan banyak kali, jangan masuk kat hutan sana,” kata mak masa aku sedang tanggal kasut sekolah.

“Mak, Zira nampak nenek kat dalam hutan tu. Mak tak nampak ke?” aku tanya mak aku.

“Nenek?” Mak tanya aku balik.

“Iyelah, nenek. Mak punya mak. Haritu masa Zira nampak kali pertama, nenek juga. Tapi Zira tak sempat tegur. Kali ni Zira memang nampak itu nenek, tapi dia tak menyahut bila Zira tanya dia kenapa dia berada kat situ,” kata aku.

“Zira, kamu jangan buat cerita. Mana nenek tahu rumah ni. Lagipun macammana nenek tu datang kalau takde orang bawa,” kata mak tak percaya dengan cerita aku.

“Zira tak buat cerita la mak. Memang Zira nampak nenek kat dalam hutan tu,” kataku sambil angkat beg sekolah dan terus melangkah masuk ke dalam rumah, meninggalkan mak yang masih duduk di pangkin depan rumah dengan wajah terpinga-pinga.

Aku terus mandi. Masa aku bersiap kat dalam bilik, aku jenguk ke luar tingkap. Aku nampak nenek sekali lagi kat tempat aku nampak dia tadi. “Mak,” aku panggil mak. Mak datang ke bilik. Aku lambai mak untuk menghampiri aku. Aku tunjukkan nenek kat mak. Muka mak berubah.

“Mak nampak tak nenek tu ?” aku tanya.

“Dah, dah, tutup tingkap tu. Jangan tengok lagi,” kata mak dengan wajah yang agak panik.

“Kenapa ni mak? Mak taknak pergi tegur nenek ke?” Aku tanya tanpa sebarang syak.

“Jangan cakap apa-apa lagi pasal nenek. Tunggu sampai Mak Uda datang esok,” kata mak dengan nada yang agak tegas tapi sedikit ketar. Aku pun taknak tanya apa-apa, sebab muka mak nampak pucat. Mungkin marah mak pada nenek masih belum pudar, jadi mak taknak jumpa dengan nenek lagi buat masa ni.

Keesokannya hari Sabtu, Mak Uda datang ke rumah Atok. Seperti yang dijanjikan, Mak Uda bagi mak sebuah telefon bimbit. Mak Uda pesan kat aku lagi, kalau nak apa-apa, beritahu dia. Barang sekolah ke, atau barang rumah ke. Aku anggukkan kepala je. Barang rumah kenalah tanya mak, sebab mak yang jaga rumah. Tapi aku rasa pendapatan Acu pun dah mencukupi. Bisnes Acu makin laku sejak akhir-akhir ni, tapi takdelah mewah sangat.

“Mak sihat ke?” Mak aku tanya Mak Uda.

“Tak begitu sihat. Sejak akhir-akhir ni selalu demam dan batuk.” Sahut Mak Uda. Mak aku diam.

“Kakak taknak jumpa mak ke?” Mak Uda tanya.

“Mak nak jumpa kakak ke?” Mak aku tanya balik. Mak Uda diam.

“Tak tahulah Uda, Kakak terkilan sangat dengan mak. Kakak tahu mak bencikan sangat arwah Abang Daim, tapi dia dah meninggal dunia kot. Takkanlah tak boleh datang ziarah langsung. Benci sangat sampai Abang Daim jadi arwah pun masih taknak datang. Haziq tu cucu dia kot.” Mak aku bersuara dengan suara yang agak bergetar.

“Mungkin mak nak kakak yang datang jumpa dia,” Mak Uda masih berusaha memujuk mak. Aku duduk kat tepi Atok, tapi telingaku terpasang mendengar perbualan dua beradik tu.

“Kakak bukan taknak jumpa dia, tapi kakak takut mak masih dengan hasrat lamanya,” kata mak aku, membuatkan aku lebih pasang telinga.

“Hasrat lama maksud kakak?” Mak Uda tanya. Mak aku pandang aku, tapi aku buat-buat macam tak dengar.

“Haritu Zira nampak mak kat dalam hutan sebelah rumah ni,” mak aku berbisik. Wajah Mak Uda berubah.

“Dia silap tengok kot,” Mak Uda cakap kat mak, juga masih berbisik.

“Ini kali kedua dia nampak. Semalam kakak pun nampak sebab dia tunjuk,” kata mak aku.

“Memang dia?” Mak Uda tanya.

“Takkanlah mak kita datang sini kalau takde orang bawa,” kata mak aku. Aku tengok dahi Mak Uda berkerut.

“Uda ingat dah takde benda tu. Sebab tak nampak dah mak perasap kemenyan bagai kat rumah tu,” kata Mak Uda.

“Kakak tak tahulah betul atau tak. Mungkin syaitan cuba nak perdaya kakak dan Zira. Tapi kakak tetap rasa risau,” Kata mak aku.

Mak Uda diam. Suasana sunyi seketika.

-Bersambung-

One thought on “TETAMU ASING

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s