TETAMU ASING

Bab 2

Aku pinjam telefon Pak Halim, cuba hubungi nenek. Aku beritahu nenek bahawa ayah dan Haziq dah meninggal dunia. Nenek hanya ucap Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Lepas tu letak telefon. Aku hubungi Pak Long dan Pak Su, tak berjawab. Aku tak telefon Mak Uda sebab aku tahu Mak Uda tiada di Malaysia.

“Keluarga sebelah ayah kamu?” Pak Halim tanya aku bila aku serahkan telefonnya semula.

“Keluarga sebelah ayah takde telefon. Opah sebelah ayah dah takde, Cuma ada Atok. Atok pun lumpuh, Acu yang jaga. Ayah dua beradik je dengan Acu,” kataku. Pak Halim anggukkan kepala. Dia menghampiri mak.

“Timah, kita uruskan pengebumian Daim dan Haziq di kawasan kita saja, boleh ke?” Pak Halim tanya mak dengan nada sehabis lembut.

Mak aku anggukkan kepala. Pak Halim pandang aku. “Saya serahkan pada Pak Halim. Mak pun tak berapa kuat ni. Saya tak pandai,” kataku.

“Jangan risau, Pak Halim akan uruskan semuanya. Kamu jaga mak aku baik-baik. Jangan bagi dia jalan seorang diri. Takut dia rebah. Kalau dia jatuh nanti lebih susah,” kata Pak Halim. Aku anggukkan kepala. Buat masa ni, aku tak boleh nak fikirkan selain dari mak aku. Dia lebih utama.

Segalanya diuruskan oleh Pak Halim, dari membawa jenazah ayah aku dan Haziq keluar dari hospital, sampailah masa pengkebumian. Aku dan mak hanya duduk diam terkedu memerhati segalanya dari satu sudut rumah. Air mata dah kering. Orang datang dan pergi, mengucapkan takziah dan memujuk mak dan aku agar bersabar. Namun tiada wajah nenek mahupun adik beradik mak datang menjenguk.

Setelah segalanya selesai, Mak Senah meminta izin untuk menemani kami pada sebelah malamnya. Aku dan Mak Senah duduk membaca Al Quran. Mak berbaring di ruang tamu berlapikkan tikar mengkuang lusuh. Badan mak panas, mak demam. Mujurlah Mak Senah sudi menemani kami malam tu.

Pagi esoknya, barulah Mak Uda telefon. Mak Uda telefon nombor Pak Halim, aku rasa nenek yang bagi nombor tu dan bagitahu kat Mak Uda. Mak Uda pun terkejut dengan berita kematian ayah dan Haziq. Meraung-raung dia kat dalam telefon sebab tak dapat balik dan menziarah kami. Mak tak cakap banyak, tapi aku tahu mak terkilan sangat dengan sikap ahli keluarganya. Namun mak tak cakap apa-apa dengan kami.

Lepas seminggu, Mak Uda datang melawat kami. Aku pun dah seminggu tak sekolah sebab tak berani tinggalkan mak sendirian kat rumah. Mak nampak macam ok, memasak, mengaji dan mengemas rumah. Tapi aku tahu mak tak ok. Banyak kali aku nampak mak bercakap seorang diri. Bila aku curi dengar, mak macam sedang bercakap dengan ayah atau Haziq.

“Kakak duduk dengan kami ye. Abang Daim pun dah takde, Hazirah ni perlu sekolah. Saya akan tanggung kakak dan Hazirah.” Kata Mak Uda memujuk mak aku.

“Mak benci kat Abang Daim. Jadi, biarlah dia. Jangan ganggu mak dengan kehadiran kami. Abang Daim selalu pesan, hidup ini sentiasa ada jalan. Jangan susahkan orang,” kata mak aku.

“Kakak, yang dah lepas tu, biarlah berlalu. Kakak ikut saya duduk sekali dengan mak ye,” kata  Mak Uda, masih pujuk aku.

“Kakak dah fikir. Kakak akan pindah ke rumah ayah Abang Daim. Abang Daim sangat sayangkan ayahnya. Dia selalu risaukan ayahnya. Biarlah kakak jaga ayahnya, bolehlah Damia bekerja dan sara keluarga.” Kata mak aku.

Aku yang dari tadi pasang telinga pun terkejut juga. Mak aku nak pindah ke rumah Atok aku? Tapi betul juga kata mak, kalau mak jaga Atok, bolehlah Acu bekerja. Acu aku rajin tapi sebab dia kena jaga Atok aku, dia tak dapat bekerja dengan tekun.

“Saya ikut saja apa yang kakak rasa baik. Asalkan kakak tak tinggal berduaan dengan Hazirah di rumah ini. Rumah ayah Abang Daim pun tak jauh sangat, saya boleh datang selalu.” Kata Mak Uda. Mak Uda ni memang baik, tak pernah membantah apa yang mak cakap. Dia tak pernah buang keluarga kami.

Mak Uda uruskan pertukaran sekolah aku. Dia juga uruskan perpindahan aku dan mak ke rumah Atok aku. Alhamdulillah segalanya dimudahkan. Acu pun gembira mendengar keputusan mak nak berpindah dan tinggal bersama mereka dua beranak. Dari dulu Acu pernah suarakan hasratnya untuk kami sekeluarga tinggal bersama mereka. Tapi ayah aku tak mahu. Ayah tak mahu nanti nenek aku kata apa pula, bawa mak aku tinggal bersama keluarga mereka, menjaga mertua yang sakit. Cukuplah kebencian yang nenek dah tunjuk kat ayah aku, tak payah tambah lagi.

Setelah segalanya diuruskan, aku dan mak pun tinggal kat rumah Atok. Mula-mula memang terasa janggal, sekolah baru, persekitaran baru, kawan baru. Kalau ikutkan hati, aku memang taknak bertukar sekolah. Dah la tahun ni aku nak ambil peperiksaan SPM. Aku dah ramai kawan baik di sekolah lama. Dan aku dah kenal cikgu-cikgu. Tapi takpelah, demi mak, aku turutkan. Kalau nak ikut susah aku dengan susah mak, susah mak lebih memeritkan.

Acu pun dah mula meniaga semula. Acu meniaga ikan di pasar pagi. Di sebelah malamnya Azu meniaga char keey teow kat pasar malam. Kalau takde pasar malam, Acu meniaga char kuey teow kat tepi jalan besar di taman sebelah kawasan perumahan Atok aku. Seronok juga, kalau aku takde kerja sekolah, aku akan ikut Acu meniaga. Acu tak begitu menggalakkan aku membantunya. Dia suruh aku duduk kat rumah ulangkaji pelajaran. Tapi aku yang berdegil, alasan aku bahawa aku pun nak keluar juga sekali sekala, tak lalu nak hadap buku je. Lagipun Acu bekerja nak tanggung aku dan mak juga, apa salahnya aku tolong.

Nasib baik Mak Uda selalu bagi aku duit belanja, jadi taklah aku perlu minta duit dari Acu. Biarlah Acu tanggung perbelanjaan rumah je, duit Mak Uda bagi aku akan gunakan untuk persekolahan aku. Mak Uda selalu pesan kat aku, kalau nak guna duit, cakap kat Mak Uda, jangan cakap kat mak. Mak Uda janji, bulan depan dia akan belikan satu telefon untuk kegunaan aku dan mak.

Sampai satu hari tu, masa tu aku sedang kayuh basikal balik dari sekolah. Kat sebelah rumah Atok aku tu kawasan berhutan. Tak tahulah tanah siapa, memang terbiar je macam tu. Hutan dah macam apa. Tak tahulah ular ke apa yang ada kat dalam kawasan hutan tu. Aku tak berani masuk. Atok pun selalu pesan, jangan masuk kawasan tu. Atok aku bed-ridden, lumpuh keseluruhan. Tapi dia masih boleh bercakap.

Paling aku kagum dengan Atok masih solat walau dalam baringnya. Aku ni, kalau demam sikit pun, mulalah cari alasan taknak solat. Selalunya aku tengok Acu akan wudhukkan Atok. Dan Atok solat kat tempat pembaringannya. Di setiap masa, Atok selalu berzikir. Dan Atok selalu baca surah-surah dalam Al Quran. Banyak surah yang Atok hafal. Malu pula aku yang masih muda ni. Ayat seribu dinar pun susah aku nak hafal.

Ok, aku sambung pasal hari yang aku balik kayuh basikal tu. Aku nampak seseorang kat dalam hutan tu. Aku berhenti kat tepi jalan dengan matahari terpacak kat atas kepala dan perhatikan orang tu. Aku rasa dia seorang perempuan sebab aku nampak rambutnya panjang mengurai. Rupanya tak nampak jelas, tapi aku yakin dia seorang perempuan tua sebab nampak dia seakan membongkok.

Aku tengok dia tak bergerak. Dia Cuma berdiri dan memandang ke arah rumah Atok. Aku pandang ke arah yang dia sedang lihat, aku nampak mak sedang angkat kain di ampaian. Aku tongkatkan basikal. Aku nak tengok siapa perempuan tua tu yang asyik sangat memerhati mak aku.

Aku langkah perlahan-lahan ke arah perempuan tua tu. Ketika hampir sampai, aku dengar suara Acu panggil aku. “Zira! Kamu buat apa kat dalam hutan tu? Balik sini,” nyaring suara Acu panggil aku. Aku menoleh ke arah Acu seketika dan menoleh kembali ke arah perempuan tua tadi. Tapi dia dah tiada di sana. Aku menoleh ke sekeliling mencari perempuan tuan tadi tapi takde.

“Zira, buat apa kat situ? Balik. Panas ni. Kan Atok dah pesan jangan masuk kawasan hutan ni,” mak aku pula panggil aku.

Aku akur, melangkah semula ke basikal aku dan berjalan balik ke rumah. Aku masuk ke dalam rumah. Tapi mata aku masih memerhati ke arah hutan tadi. Aku yakin aku nampak perempuan tua tu. Siapa dia?

“Kamu buat apa masuk hutan sana tadi?” Acu tanya aku. Acu ni kasar orangnya walaupun perempuan. Dan dia bekerja di pasar, mana mahunya jadi lemah lembut. Kalau orang tak kenal dia, memang senang kecil hati setiap kali dia bercakap. Dah la kasar, semua cakap straight forward je. Tak suka dia terus cakap tak suka. Tapi dengan mak aku dia macam lembut sikit.

“Takde apa,” aku menjawab.

“Kamu masuk hutan tu Zira?” Atok aku bersuara perlahan dari katilnya.

“Iye ayah. Dia masuk hutan tu. Marah dia ayah. Selalu dah orang pesan jangan masuk hutan tu, dia degil,” Acu aku menambah. Aku jeling Acu aku.

“Kamu tu pun sama Damia. Degil kamu tu la turun kat Zira ni.” Kata Atok aku membela aku. Terus aku tersenyum lebar dan kenyit mata kat Acu. Acu pula jeling aku.

“Zira, mari sini,” Atok aku panggil. Aku akur, melangkah ke arah Atok dan duduk di sisi katilnya.

“Jangan pergi hutan tu. Takut ada ular atau binatang berbisa. Rumah kita ni jauh dari orang. Telefon pun takde, kenderaan apatah lagi. Kalau jadi apa-apa, susah nanti.” Kata Atok. Aku anggukkan kepala.

“Zira minta maaf Atok. Zira takkan masuk hutan tu lagi.” Kataku sambil pegang tangan Atok yang tinggal tulang.

“Dah, mari makan. Mak dah panaskan lauk. Petang ni nak ikut Acu meniaga tak?” Mak aku bercakap sambil meletakkan sepiring masak lemak pucuk ubi kat atas meja makan yang sudah agak lusuh.

“Nak ikut. Kerja sekolah tak banyak, kejap lagi boleh siap,” sahutku sambil melangkah ke arah mak. Acu aku keluar rumah, menyediakan barang-barang untuknya meniaga di pasar malam nanti.

“Mak, tadi mak nampak orang tak kat hutan sebelah?” Aku tanya mak secara berbisik.

“Tadi?” mak aku tanya balik sambil kerutkan dahinya memandang ke arah aku.

Aku anggukkan kepala. “Masa Zira masuk ke dalam hutan tu, Zira nampak seorang perempuan tua. Dia asyik je tengok ke arah mak. Mak angkat kain tadi kan?” Aku masih berbisik kat telinga mak, taknak sampai Atok atau Acu dengar.

“Perasaan kamu je kot,” mak aku terus mencedok nasi ke dalam pinggan.

“Tak mak, Zira memang nampak,” aku masih cuba beritahu mak aku.

“Sudah tu. Makan cepat. Lepas tu solat. Nanti nak ikut Acu, balik dah malam,” kata mak aku lalu terus ke dapur, seakan taknak peduli dengan apa yang aku cakap. Aku pun diam. Aku bangun lalu melangkah ke tingkap, aku jenguk ke kawasan hutan sebelah rumah Atok. Dada aku berdebar. Aku yakin dengan apa yang aku nampak.

-Bersambung-

One thought on “TETAMU ASING

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s