TETAMU ASING

Bab 1

Kesedihan masih menyelubungi aku dan mak aku. Mak aku dari semalam tak mahu jumpa sesiapa. Paling sedih, nenek aku sebelah mak langsung tak jengukkan muka menziarah kami, apatah lagi nak tanya khabar kami dua beranak. Aku tahu nenek aku memang bencikan ayah aku, ayah aku bukan menantu yang disukai. Aku tak tahu apa sejarah antara mak, ayah dan nenek aku. Mak tak pernah ceritakan kat aku, cuma yang aku tahu, nenek tak pernah datang ziarah kami sekeluarga sejak aku mengenali dunia. Cuma mak yang selalu menziarah nenek kat rumah nenek yang letaknya tak sampai sejam perjalanan tu. Kadang-kadang mak bawa aku dan Haziq. Kadang-kadang mak pergi sendiri.

Tapi nenek amat sayangkan aku dan Haziq. Setiap kali kami datang ke rumah nenek, macam-macam dia masakkan untuk kami. Tapi bila sebut je pasal ayah, mood nenek akan bertukar. Dia akan marah-marah, dia tak suka kami sebut pasal ayah di depannya. Sampai satu masa, aku pun dah faham. Aku takkan buka cerita pasal ayah kat depan nenek. Aku pesan kat Haziq supaya dia pun tak buka cerita pasal ayah kat depan nenek.

Mujurlah Mak Uda ada datang melawat kami. Mak Uda ialah adik kepada mak aku. Mak aku adalah anak sulung kepada empat adik beradik. Pak Ngah dan Pak Su jarang tunjukkan muka kat rumah nenek apatah lagi kat rumah kami. Mereka tak membenci, tapi masing-masing buat hal masing-masing, tak masuk campur, taknak ambil tahu langsung pasal adik beradik. Nak pula masing-masing dah ada keluarga sendiri, tinggal pun jauh, berlainan negeri.

Mak Uda belum kahwin, dia selalu menziarah rumah kecil kami. Tiap kali Mak Uda datang, macam-macam yang dibawanya. Makanan, mainan, pakaian dan macam-macam lagilah. Mak Uda kerja kat bank, gaji besar kot. Dulu Mak Uda pakai kancil je, lepas tu Mak Uda beli Honda. Kereta Kancil tu Mak Uda bagi kat mak. Dengan kereta itulah kadang-kadang ayah bawa kami jalan-jalan. Itupun kalau ada duit untuk isi minyak kereta. Ayah kerja kat kilang simen, dia bawa motor tuanya saja ke hulu hilir.

Aku dan Haziq sampai akhir tak tahu kenapa nenek aku bencikan ayah aku. Sekarang umur aku dah 17 tahun, Haziq dah 14 tahun, kami pun dah putus asa mencari jawapan. Akhirnya kami diam, dan ikut saja keadaan keluarga aku dan nenek aku.

Tapi sampai semalam, aku betul-betul terkilan dan berkecil hati dengan nenek aku. Aku betul-betul kesian kat mak aku. Mak Uda pula kebetulan sedang hadiri seminar di luar negara. Dia tak dapat balik, tapi dia ada hubungi mak sehari selepas kematian ayah dan Haziq melalui nombor telefon Pak Halim. Aku dengar mak menangis teresak-esak, aku dengar Mak Uda pujuk mak dan minta maaf sebab tak dapat balik menziarah kami dan memberi penghormatan terakhir buat ayah aku dan Haziq.

Tiga hari lepas, masa mak memasak, baru mak perasan garam dah habis. Mak suruh ayah belikan. Sebaik ayah hidupkan enjin motor, Haziq kata nak ikut. Pergilah ayah dan Haziq ke kedai membeli garam. Mak pula duduk di pangkin luar tunggu ayah balik. Aku tengah buat kerja sekolah masa tu.

Lama ayah keluar. Mak dan mula tak senang duduk. “Ke mana ayah kamu ni? Beli garam je pun. Bukannya jauh sangat kedai tu,” aku dengar mak merungut. Tapi aku tak layan, aku terus buat kerja sekolah aku.

Lebih kurang setengah jam lepas tu, Zaini tergesa-gesa mengayuh basikalnya masuk ke perkarangan rumah kami yang agak tersorok. Maklumlah, rumah usang je. Itupun sewa rumah orang. Sebab rumah dah usang, sewa pun murah, itu je yang ayah aku mampu.

“Makcik Timah, Makcik Timah!” Zaini memanggil mak aku dalam keadaan tercungap-cungap.

“Kenapa kamu ni Zaini?” Mak aku menghampiri Zaini yang masih mencari udara.

“Pakcik Daim kemalangan. Motornya kena heret dengan lori. Ambulan baru sampai masa saya datang sini. Mungkin dah dibawa ke hospital,” kata Zaini masih dengan nafas yang terputus-putus.

Mak aku terdiam, wajahnya pucat. Aku tutup buku aku dan berlari keluar rumah mendapatkan mak aku yang nampak terhoyong hayang macam nak rebah. Cepat-cepat aku pegang mak aku dan dudukkannya.

“Haziq?” aku tanya Zaini.

“Sekali la ayah kau dengan Haziq,” kata Zaini.

“Ya Allah. Ya Allah…. Ya Allah,” aku dengar suara mak aku, beberapa mengucapkan kalimah tersebut. Tiada perkataan lain yang keluar dari mulutnya.

Seketika kemudian, Pak Halim muncul kat depan rumah kami.

“Kamu dah dapat berita ke Timah?” Pak Halim bertanya dari dalam keretanya.

Aku anggukkan kepala. Mak aku dah tak boleh bercakap.

“Pergi siap. Jom aku bawakan ke hospital,” kata Pak Halim.

“Mak, jom kita ke hospital, tengok ayah dan Haziq,” kataku. Mak aku tak menyahut, hanya kalimah Ya Allah yang keluar dari mulutnya.

Pak Halim keluar dari keretanya. Kebetulan Mak Senah, isteri Pak Halim pun ada bersamanya. Mak Senah merapati mak aku. “Zira pergi ambilkan tudung mak. Dan bawa sekali dokumen pengenalan ayah kamu dan Haziq. Kunci pintu rumah, tutup gas kalau terbuka. Mak Senah bawa mak masuk kereta.” Kata Mak Senah.

Aku anggukkan kepala dan terus berlari masuk ke dalam rumah. Aku tutup semua tingkap, tutup gas dapur. Aku ambil tudung mak aku, aku sendiri pakai tudung, gapai kunci rumah dan terus keluar. Masa tu mak aku dah berada kat dalam kereta Pak Halim dengan Mak Senah di bahagian tempat duduk belakang. Aku terus masuk kereta dan duduk di sebelah Pak Halim. Aku hulurkan tudung kepada mak. Mak tak menangis pun, cuma aku nampak mak macam menggeletar. Bibirnya hanya keluar kalimah Ya Allah dari tadi untuk entah ke berapa kalinya. Mak Senah menggosok-gosok belakang mak aku sambil memujuk mak aku dan menyuruhnya beristighfar.

Aku sendiri tak tahu nak kata apa. Jantung aku berdegup laju, lebih laju dan masa aku lari merentas desa 5 kilometer kat sekolah. Laju lagi dari aku berlari 5×100 meter masa sukan sekolah. Laju lagi dari masa aku lari pass button kat sekolah. Sampaikan badan aku terasa bergetar mengikut rentak jantung aku.

Suasana sunyi sepanjang perjalanan. Tiada esakan samada dari aku mahupun mak.

Sampai di hospital, aku nampak Pak Zahid berdiri di bahagian kecemasan, dengan bajunya berlumuran darah. Sebaik meletakkan kereta, Pak Halim terus keluar dari kereta dan mendapatkan Pak Zahid. Mak Senah memimpin tangan mak aku untuk keluar dari kereta. Aku tengok Pak Zahid, aku nampak Pak Zahid gelengkan kepala. Entah kenapa hati aku bagai dihiris pisau tajam, pedih sangat. Tak tahulah kenapa aku rasa macam tu. Mengilu sangat, sampai aku pegang dada aku.

Aku pimpin tangan mak aku. Kami berjalan perlahan mendapatkan Pak Zahid dan Pak Halim yang sedang berdiri menunggu kami sampai kepada mereka. Sesekali mak aku hampir terjatuh, namun aku dan Mak Senah memegang tangan mak.

“Macammana?” Mak Senah tanya Pak Zahid ketika kami sampai kepada Pak Zahid.

“Masih kat dalam,” Pak Zahid menjawab.

“Dua-dua pun?” Mak Senah tanya lagi. Pak Zahid anggukkan kepala.

Aku dudukkan mak di satu kerusi kat tepi dinding. Mak masih dengan kalimah Ya Allah, tiada yang lain keluar dari mulutnya sejak Zaini menyampaikan berita tu kepada mak. Aku pandang Pak Halim dan Pak Zahid, wajah mereka amat tidak menyenangkan hati aku. Pak Zahid kelihatan menangis. Jarang aku tengok suasana macam tu.

Seketika kemudian, datang seorang doktor lelaki india menghampiri kami.

“Siapa waris mangsa kejadian kemalangan tadi?” doktor tu tanya.

Pak Halim menunjukkan ke arah mak dan aku. “Itu isteri dan anaknya,” kata Pak Zahid.

Doktor tu pandang mak. Mak masih tunduk ke lantai. “Mak, doktor nak cakap dengan mak,” aku bisik perlahan kat telinga mak. Tapi mak masih tunduk ke lantai.

“Keadaan mangsa agak teruk. Mereka banyak kehilangan darah, dan beberapa organ dalaman rosak kerana diheret dengan kenderaan besar. Kami dah cuba sedaya upaya, tapi Tuhan lebih berkuasa dan menyayangi mereka. Kami mohon maaf kerana gagal selamatkan mereka.” Kata doktor tu lagi. Aku terkedu, lutut aku terasa lemah, tiada kata yang mampu aku ucapkan lagi. Air mata aku berderaian bagai kolam yang pecah.

“Kedua-duanya ke doktor?” Pak Halim bertanya dengan suara terketar-ketar.

“Kedua-duanya. Anak lelaki tu memang dah tinggal 5% masa sampai hospital. Kami tak sempat buat apa-apa kerana tengkorak kepalanya pecah. Pembedahan hanya sempat dibuat ke atas lelaki dewasa itu , ayahnya saya rasa. Tapi kami masih gagal selamatkannya,” kata doktor tu lagi.

“Allah!” Aku dengar suara Pak Halim agak kuat. Dan masa ni aku meraung. Mak aku masih dalam keadaan tadi. Duduk di kerusi memandang ke lantai. Mak Senah menangis kat tepi mak, masih memujuk mak.

“Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Allah sayangkan mereka. Sabar ye Timah,” aku dengar Mak Senah berbisik di tepi telinga mak aku. Mak Senah peluk mak aku dengan deraian air mata, tapi mak aku masih dalam keadaan itu.

“Timah, banyakkan bersabar. Allah itu Maha Mengetahui,” kata Pak Halim.

Aku merapati mak aku. Aku pegang tangan mak aku. “Mak, ayah dan Haziq dah takde. Mereka dah tinggalkan kita. Mak, cakaplah sesuatu. Zira ada mak je sekarang ni.” Kataku dengan suara terputus-putus. Aku risau lihat keadaan mak aku.

“Timah?” Mak Senah panggil mak aku.

Mak aku angkat mukanya yang tunduk dari tadi. “Innalillahi wainna ilaihi rojiun,” kalimah itu yang keluar dari mulut mak aku. Air mata membasahi pipinya, tapi mak tak meraung, mak nampak tenang.

Mak cuba untuk bangun. Baru setapak mak melangkah, mak rebah ke lantai. Mujur aku sempat pegang tangan mak, jadi mak tak jatuh terus. Pak Zahid memanggil doktor yang berhampiran dengan tempat kami tu. Seorang doktor melayu perempuan berlari mendapatkan mak yang terbaring di lantai. Dia menyuruh kami mengangkat mak dan meletakkannya di atas satu katil kosong di situ.

Aku bertambah risau. Dah la ayah dan Haziq tinggalkan aku, mak pula macam ni. Aku menangis semahu-mahunya masa doktor memeriksa mak aku.

“Tekanan darahnya naik. Saya dah bagi ubat, biarkan dia berehat sekejap. Tiada yang serius, In Shaa Allah,” kata doktor muda itu. Aku terus dapatkan mak aku yang terbaring di katil.

“Mak, janganlah macam ni mak. Sian kat Zira. Zira ada mak je,” kataku menangis berlagu-lagu.

Mak aku usap kepala aku. “Ayah dan Haziq tak sempat makan lagi. Haziq yang nak sangat makan gulai cendawan tu. Merata ceruk ayah cari cendawan kulat tu semalam. Tapi sekarang walau dah dapat, mereka tak sempat makan juga,” kata mak aku perlahan.

“Timah, itu bukan rezeki mereka. Allah dah tulis semuanya,” kata Mak Senah perlahan, juga dengan suara serak akibat menangis.

“Kuatkan semangat Timah. Hazirah masih perlukan kamu. Semua ni takdir Allah.” Pak Halim pula memujuk.

Mak pegang tanganku erat. Aku usap air mata mengalir deras di pipinya.

-Bersambung-

One thought on “TETAMU ASING

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s