DIA IKUT AKU

Bab 12 (AKHIR)

“Abang nak pergi masjid la. Awak boleh ke tinggal dengan anak-anak?” aku tanya Syuhada.

“In Shaa Allah boleh. Tapi abang tak tunggu sampai Isya’ kan? Lepas maghrib abang balik la kan?” Syuhada tanya aku.

“Iye, lepas maghrib abang balik. Abang nak jumpa Imam Rosli sekejap,” sahutku sambil berlalu keluar dari bilik.

“Perlu ke abang bawa batu zamrud tu? Nanti jatuh kat masjid. Susah nak dapat kot batu zamrud macam tu,” kata Syuhada.

“Batu zamrud ni la punca segalanya. Kita selesaikan masalah kita dulu. Nanti kemudian baru kita bincang pasal batu zamrud ni ok?” balasku kepada Syuhada. Syuhada anggukkan kepalanya dengan wajah sedikit hampa.

Ketika aku keluar dari rumah, azan maghrib dah berkumandang. Aku pesan kat Syuhada supaya kunci pintu, tutup semua tingkap. Jangan buka pintu walau siapapun yang datang. Walau mak atau ayah aku yang datang. Kerana pada masa ini, benda tu boleh menjelma menjadi sesiapa sahaja asalkan dia dapat masuk ke rumah aku.

Selesai solat maghrib, aku terus dapatkan Imam Rosli.

“Eh, bukan kamu balik kampung ke?” Imam Rosli tanya aku.

“Balik hari je. Hantar orang,” sahutku.

“Hantar Makcik Zabedah?” Imam Rosli tanya aku. Aku anggukkan kepala.

“Jumpa rumahnya?” Imam Rosli tanya aku lagi. Dan aku masih anggukkan kepala.

“Dia jemput masuk rumah dia tak?” Imam Rosli tanya lagi dan kali ni aku gelengkan kepala.

“Kenapa tak masuk ke rumahnya?” Imam Rosli masih tanya aku. Seperti dia mengetahui sesuatu.

“Imam, mak dan ayah saya dah ceritakan segalanya kepada saya. Ada seseorang yang buat perjanjian dengan saka yang berdamping dengan keluarga saya bahawa andai ada mana-mana keturunan nenek saya yang menyimpan baru zamrud di rumahnya, maka saka ini akan diwarisi olehnya.” Ceritaku seringkasnya kepada Imam Rosli.

“Siapa yang simpan batu zamrud?” Imam Rosli tanya.

“Saya, tanpa saya sedar. Saya dapat hadiah masa hari anugerah pekerja cemerlang kat tempat kerja. Saya tak buka hadiah tu terus simpan. Dan lepas tu saya terlupa. Sampailah terjadi perkara ni semua. Dan Makcik Zabedah yang tidur kat rumah saya malam tu, rupanya dah meninggal dunia. Tapi sebab dialah yang menyimpan saka nenek saya, dan dia takkan aman selagi tak jumpa tuan baru. Sebab tu walau dah meninggal dunia, dia masih mencari saya,” kataku.

“Saya tahu,” kata Imam Rosli buatkan aku pandang dia.

“Apa yang Imam tahu?” aku tanya semula.

“Semalam masa saya datang ke rumah kamu, saya dah tahu makcik yang kamu cakap tu, bukanlah yang sama alam dengan kita. Dan masa saya masuk ke bilik tetamu kamu, saya nampak seorang tua berdiri di tepi almari kamu. Kerana kesuntukan masa dan kekurangan persediaan barangan, saya Cuma boleh bataskan pergerakan dia. Bermakna dia tak boleh sentuh apa-apa saja di dalam rumah kamu.” Kata Imam Rosli.

Aku pandang Imam Rosli meminta dia meneruskan penerangannya.

“Masa saya pagarkan dia, dia menjerit marah. Masa tu kamu dengar kan bunyi orang menjerit dari bilik bawah, di mana Makcik Zabedah kamu tu berada. Betul kan?” Imam Rosli tanya aku. Aku anggukkan kepala.

“Sebenarnya masa tu dia nak keluar dari bilik. Sebab tu saya dah suruh Sulaiman tunggu di tingkat bawah. Supaya dia boleh halang Makcik Zabedah tu keluar dari biliknya dan buat huru hara,” kata Imam Rosli.

“Kenapa Imam tak cakap kat saya semalam?” aku tanya lagi dengan wajah tercengang.

“Kalau saya cakap semalam, kamu akan panik. Lepas tu kamu takkan hantar Makcik Zabedah balik kampung. Dan akhirnya kamu tak tahu kebenarannya macam sekarang kan?” Imam Rosli tanya aku balik. Aku diam.

“Sebenarnya saya tak tahu pasal sejarah ni keturunan kamu ni semua. Yang saya tahu, ada seseorang sedang nak lunaskan sesuatu kerja yang masih tergantung. Tapi apa urusan tu saya tak tahu. Jadi, bila kamu balik kampung, dapat cerita ni, maka saya pun dah faham jalan ceritanya. Kenapa Makcik Zabedah tu cari kamu. Kenapa saya nampak ada monyet besar duduk di atas pagar rumah kamu. Kenapa ada suatu bayangan di pintu masuk depan rumah kamu.” Kata Imam Rosli.

“Imam pun nampak monyet besar tu?” aku tanya.

“Iye, dengan seorang perempuan tua,” Imam Rosli.

“Sebab itulah Imam taknak masuk ikut pintu depan?” aku bertanya lagi. Dan Imam Rosli anggukkan kepala.

“Jadi apa yang saya perlu buat sekarang? Saya tak boleh lama ni. Isteri saya tak berani tinggal lama-lama kat rumah dengan anak-anak.” Kataku.

“Jangan risau, kalau dia datang pun, dia tak boleh buat apa-apa. Saya dah pagar rumah kamu semalam. Dia tak boleh masuk kalau dah keluar,” kata Imam Rosli.

“Imam, macammana saya boleh bawa orang yang dah mati kat dalam kereta saya. Sampai bau bangkai la kereta saya.” Kataku sambil gelengkan kepala, masih tak percaya dengan apa yang dah jadi.

“Kamu bukan bawa orang mati. Kamu bawa jin yang menyerupai tuan terakhirnya. Orang mati, macammanapun dia jahat atau baik, takkan balik ke dunia ni dah. Kalau yang baik matinya, dia takkan nak balik ke dunia dah sebab dia dah terlalu seronok kat sana. Kalau yang jahat matinya, dia takde masa nak balik ke dunia dah sebab dia sibuk diseksa di sana. Orang mati takkan balik. Ingat tu,” kata Imam Rosli.

“Sekarang ni macammana Imam? Saya nak hentikan semua ni. Saya taknak saka tu menjelma sebagai Makcik Zabedah lagi, dan saya juga taknak saka tu turun kat saya. Macammana nak hentikan semua ni?” aku tanya.

“Kena buat perjanjian baru la,” kata Imam Rosli.

“Haa?? Perjanjian apa pula? Saya taknak perjanjian semua ni. Kalau buat perjanjian lagi, nanti perkara yang sama akan jadi. Mungkin kat anak saya, mungkin kat cucu saya. Saya taknak jadi macam mak ayah saya, mereka tertipu dengan Makcik Zabedah. Makcik Zabedah kata saka tu dah takde tapi rupanya dia masih simpan atas perjanjian,” kataku menyuarakan hasrat hati aku.

“Kamu yang kata, saka ni dah 7 keturunan dengan keluarga kamu. Dan dia mahukan keturunan kelapan adalah lelaki. Nampaknya kamulah yang paling dekat untuk dia, tambahan kamu yang ingkar dengan perjanjian. Untuk 7 keturunan dia bersama keluarga kamu, tak semudah petik jari untuk membuangnya begitu saja. Kalau kamu nak cepat, kamu perlu ambil warisi dulu saka ini. Lepas tu baru kamu buat perjanjian dengan dia. Macam yang Makcik Zabedah buat dulu. Bezanya Makcik Zabedah memang nak benda tu, tapi kamu taknak. Caranya tetap sama. Sebab kalau kamu nak buat perjanjian dengan dia, kamu perlu jadi tuannya dulu,” kata Imam Rosli.

“Saya taknak jadi tuannya walau sesaat pun Imam. Saya nak buang dia, matikan dia,” kataku tegas.

Imam Rosli senyum. “Lepas Isya’, kita pergi ke rumah kamu,” kata Imam Rosli yang berkebetulan azan Isya’ berkumandang. Aku tengok jam. Allah, aku dah janji dengan Syuhada akan balik lepas solat maghrib. Sekarang dah Isya’.

“Imam, saya balik dulu. Risau kat anak isteri saya kat rumah.” Kataku.

“Kan dah masuk Isya’. Kita solat dulu. Jangan risaukan anak isteri kamu, Allah akan jaga mereka,” kata Imam Rosli dengan tenang sambil tersenyum memandang gelagat aku yang kelam kabut.

Aku tengok jam tangan sekali lagi dengan muka serba salah. Imam Rosli memaut bahu aku.

“Jangan risau. Takde apa yang terjadi kepada anak isteri kamu tanpa izin Allah. Kita solat, doa kepada Allah. Allah je yang boleh tolong kita kat dunia ni. Sebab semuanya termasuk manusia, syaitan jin, adalah hamba-Nya, Dia yang cipta semua tu,” kata Imam Rosli.

Aku akur. Aku ambil wudhu dan solat berjemaah bersama-sama dengan ahli kariah di situ. Hatiku tenang, tidak gundah gulana macam tadi.

Selesai solat, Imam Rosli ikut aku balik ke rumah. Anaknya Sulaiman pun ada sekali. Aku terus masuk ke dalam rumah. Aku lihat Aisyah dan Amani elok je tengok tv. Aku cari Syuhada, dia dan Alif berada di dapur.

“Abang kata maghrib nak balik?” kata Syuhada sebaik sahaja nampak aku tanpa dia sedar Imam Rosli ada bersama kami.

“Maaf, abang bercakap dengan Imam Rosli sampai tak sedar dah masuk waktu Isya’. Imam Rosli dan anaknya Sulaiman ada kat ruang tamu tu. Awak sarung la tudung awak,” kataku membuatkan Syuhada berhenti membebel marahkan aku tak pegang janji nak balik selepas maghrib.

“Saya nak masuk ke bilik yang Makcik Zabedah tu duduk semalam,” kata Imam Rosli bila aku kembali kepadanya.

“Boleh, boleh. Silakan Imam,” kataku sambil membukakan pintu bilik yang Makcik Zabedah duduk semalam.

Imam Rosli masuk ke dalam bilik tu. Matanya melilau seakan mencari sesuatu. Hampir 5 minit Imam Rosli mengelilingi bilik itu. Akhirnya dia jumpa satu bungkusan kain hitam tergantung di tepi besi penyangkut tuala dalam bilik tu. Dia ambil bungkusan tu.

“Apa tu Imam?” aku tanya. Imam Rosli tak jawab.

“Mana batu zamrud tu?” Imam Rosli tanya aku.

Aku pun ambil kotak kecil yang berisi batu zamrud tu dari poket aku lalu serahkan kepada Imam Rosli. Imam Rosli mengambil kotak batu zamrud dan bungkusan kain hitam itu lalu membawanya keluar rumah.

“Ambil satu sudu besi, panaskan dekat api sampai warna besi tu kemerah-merahan. Dan bawa ke sini,” Kata Imam Rosli. Aku buat semuanya.

Imam Rosli mengambil sudu besi yang panas tu dan masukkan ke dalam satu kain putih bersama dengan bungkusan hitam tadi. Lepas tu Imam Rosli serahkan kotak batu zamrud kepada aku semula. Aku agak ragu-ragu untuk mengambilnya.

“Ambil, jangan risau. Mahal tau tak batu zamrud ni. Kalau kamu taknak, saya ambil nanti,” kata Imam Rosli.

“Tapi keturunan saya diharamkan simpan batu zamrud. Nanti benda tu datang balik,” kataku.

“Jangan risau, kita dah gantikannya dengan benda lain,” kata Imam Rosli.

“Sudu besi tu?” aku tanya lagi. Imam Rosli anggukkan kepala.

“Saya akan tanam bungkusan kain putih ni. Bungkusan hitam tu sepatutnya bersatu dengan batu zamrud, dan dititiskan tiga titisan darah kamu, barulah kamu menjadi tuan barunya. Sekarang kita temankan bungkusan hitam tu dengan sudu besi tanpa titisan darah kamu. Saya akan tanam. Jin ni akan menunggu hingga sudu besi itu menjadi batu zamrud, barulah jin ini keluar semula untuk mencari titisan darah tuan barunya,” kata Imam Rosli.

“Nanti kalau dia datang semula cari saya atau keturunan saya?” kataku masih penuh tandatanya.

“Dia akan cari kamu bila sudu besi ini menjadi batu zamrud. Kamu faham tak?” Imam Rosli tanya aku.

“Tapi boleh ke sudu besi tu jadi batu zamrud?” aku masih tak faham dengan soalan Imam Rosli. Sulaiman yang berdiri tak jauh dari kami dah senyum sumbing pandang aku yang masih terpinga-pinga.

“Kamu fikirlah sendiri. Boleh ke sudu besi jadi batu zamrud?” kata Imam Rosli sambil membonceng motosikal Sulaiman dan membawa bersamanya bungkusan kain putih yang telah di ikat dengan benang hitam.

Sejak malam itu, keluarga aku tak diganggu lagi. Alif pun nampaknya makin kurang bermain dengan ‘rakan imaginasi’nya. Aku letak peraturan baru, aku takkan biar mana-mana bilik kat rumah aku kosong. Aku akan penuhkan dengan barang supaya aku akan selalu masuk bilik tu. Dan aku pun dah bagi batu zamrud itu ke sebuah rumah kebajikan anak yatim, aku suruh mereka jual dan duitnya gunakanlah untuk kebajikan anak-anak yatim di situ. Aku cuba lupakan semuanya. Cuma satu yang aku takkan pernah lupa, aku bawa orang mati dalam kereta aku. Oh ya, kereta aku tu pun aku dah jual. Trade in beli kereta lain. Harap-harap tuan baru kereta tu tak kena kacau.

– T A M A T –

2 thoughts on “DIA IKUT AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s