DIA IKUT AKU

Bab 11

Selesai makan tengahari, aku ikut ayah aku pergi ke masjid dalam kampung untuk tunaikan solat zohor. Ayah perkenalkan aku dengan Ustaz Sofian. Aku bayangkan Ustaz Sofian tu seorang tua. Macam Imam Rosli kat tempat aku. Rupanya ustaz muda, mungkin muda dari aku lagi. Patutlah aku rasa aku tak pernah dengar nama Ustaz Sofian sebelum ni.

“Kalau ikutkan dari cerita pakcik dan abang, saya rasa saka belaan arwah Makcik Zabedah masih mencari tuannya yang berhak. Maksudnya, arwah Makcik Zabedah Cuma menjaganya sementara dia dapat kembali kepada tuannya yang datang dari keturunan asal semasa saka ni memasuki keluarga pakcik. Sebab itu dia cari Abang Syukri, sebab dia mahu turun kepada keturunan lelaki,” kata Ustaz Sofian selepas ayah bercerita tentang Makcik Zabedah.

“Macammana dia boleh cari saya sampai sana?” aku bertanya, pelik juga kan. Macam ada waze pulak saka ni.

“Jin dan syaitan ni, mereka pegang pada janji. Kalau kita janji begitu, begitulah yang dituntutnya tak kisahlah di mana kita berada. Walau dihujung dunia, dia pasti jumpa kita bila perjanjian diingkar,” kata Ustaz Sofian lagi.

“Kalau macam tu, siapa yang datang ke rumah saya semalam dan siapa yang saya bawa dalam kereta saya pagi ni?” aku tanya lagi.

“Kalau ikut cerita, itu mungkin saka keturunan keluarga abang yang dijaga sekejap oleh arwah Makcik Zabedah. Makcik Zabedah dah meninggal dunia, jadi saka perlu cari tuan baru. Dia belum jumpa tapi dia dapat ‘signal’ bahawa perjanjian bahawa keluarga abang tak boleh menyimpan batu zamrud, telah diingkari, maka dia cari abang untuk turunkan apa yang perlu,” kata Ustaz Sofian.

“Tapi saya tak simpan batu zamrud,” sahutku dengan yakin.

“Abang dah periksa keseluruhan rumah abang? Anak-anak, mana tahu dalam beg sekolah mereka. Atau isteri abang, kan isteri abang ambil tempahan menjahit baju? Mana tahu ada baju yang mempunya batu zamrud,” kata Ustad Sofian. Aku terdiam berfikir.

“Kau fikir elok-elok. Mesti ada. Benda-benda ni sensitif, dia ada ‘signal’, dia akan dapat tahu tanpa kita sedar,” kata ayah pula.

“Syukri kena check balik. Kena tanya anak-anak dan Syuhada,” sahutku.

“Ok Ustaz, katakan kalau saya jumpa batu zamrud tu, apa saya nak buat?” aku bertanya.

“Bawa batu zamrud tu kepada mana-mana ustaz yang pandai dalam bab begini. Bagi mereka lihat. Kalau-kalau batu zamrud tu dah diwarisi,” kata Ustaz Sofian.

“Diwarisi?” aku tanya.

“Batu zamrud tu sebenarnya hanya bahan perantara. Perlu ada mantera untuk saka tu diwarisi. Cara saka diwarisi ada 3, pertama melalui perkataan seperti akad memberi dan menerima. Kedua melalui barangan dan ketiga melalui mimpi. Untuk kes abang ni, ianya melalui barangan iaitu batu zamrud tu. Tapi mungkin batu zamrud tu masih belum dijampi untuk menjadi milik abang, maka sebab itu saka tu pergi mencari batu zamrud tu untuk melengkapkan proses penurunan milik,” Ustaz Sofian menjelaskan dengan penuh sabar.

“Tapi kenapa dia menyerupai Makcik Zabedah, bukankah sepatutnya dia menyerupai nenek saya?” aku masih bertanya dan bertanya sampai aku sendiri makin tak faham.

“Sebab Makcik Zabedah adalah tuan sementaranya. Makcik Zabedah yang bagi makan dan tempat tinggal untuknya. Maka dia menyerupai tuannya yang terkemudian,” kata Ustaz Sofian.

Aku diam dan pandang ayah. “Kamu faham tak?” ayah aku tanya aku.

“Faham sikit-sikit. Maknanya sekarang saya kena cari batu zamrud tu di rumah saya la kan? Lepas tu kalau jumpa, bawa kepada mana-mana ustaz untuk diperiksa batu zamrud tu. Kalau dah selesai proses penurunan milik, maknanya saka tu ada dengan saya? Dan kata belum selesai proses penurunan milik, maknanya saya belum jadi tuannya? Macammana kalau saya nak buang saka ni?” aku bertanya.

“Takpe, cari dulu batu zamrud tu dan bawa jumpa ustaz. Selepas tu baru kita fikirkan langkah selanjutnya. Semua ni tak boleh buat kelam kabut. Nak atau tak, cepat atau lambat, benda tu memang dah wujud sejak berkurun lamanya. Buat perlahan-lahan. Step by step,” kata Ustaz Sofian dengan nada lembut dari mula sampai akhir walaupun suara aku dah macam lagu rap, kejap kuat kejap perlahan, kejap laju kejap tersangkut-sangkut.

“Ok, ustaz kata benda ni pegang pada janji kan? Tadi saya hantar Makcik Zabedah ke rumahnya. Dan saya janji akan ambil dia semula bila saya nak balik ke rumah saya. Dan saya janji nak bawa dia ke rumah anaknya Sariman. Ayah kata, Sariman dah duduk di Johor, jauh sangat untuk saya hantar. Dan sekarang saya dah tahu, Makcik Zabedah tu bukan manusia. Adakah saya masih perlu pergi ambil dia dan bawa dalam kereta saya? Atau kalau saya tinggalkan dia, takut nanti dia marah dan serang saya,” kataku lagi.

Ustaz Sofian ketawa kecil. Aku mengerutkan dahi aku.

“Taklah sampai macam tu. Syaitan dan jin tak serang orang. Kita tak nampak mereka pun. Alam kita lain-lain. Sekarang abang dah tahu dia bukan manusia kan. Tak perlulah ambil dia lagi. Abang balik je terus. Jangan ingat dia lagi. Abang balik, cari batu zamrud tu,” kata Ustaz Sofian.

“Oooo… ok ok. Saya faham. Terima kasih banyak-banyak ye ustaz,” sahutku.

“Sama-sama.” Jawa Ustaz Sofian.

Aku dan ayah aku balik ke rumah. Sampai kat rumah, aku terus suruh Syuhada bersiap dan siapkan anak-anak kami semua. Aku ajak mereka balik ke rumah kami.

“Tunggulah petang sikit baru balik. Bukannya jauh sangat rumah kamu tu. Lagipun esok bukannya kerja,” mak aku menegur.

“Takpelah mak. Ada hal yang Syukri perlu selesaikan,” kataku.

“Nanti lain kali kami datang lagi ye mak,” kata Syuhada masa bersalaman dengan mak aku.

“Biarlah mereka balik selesaikan hal mereka dulu,” kata ayah aku.

“Syukri, kalau ada apa-apa yang perlu ayah bantu, telefon ayah. Jangan diam je. Kalau perlu, ayah datang rumah kamu,” kata ayah aku.

“In Shaa Allah. Syukri cari dulu benda tu. Kalau jumpa, Syukri bawa jumpa Imam kat masjid tempat Syukri tu. Dia pun boleh tolong rasanya. Kalau ada apa-apa nanti, Syukri beritahu ayah,” kataku kepada ayah. Ayah aku anggukkan kepala.

“Uwekkkkkk!!! Busuknya!!!” aku dengar suara Aisyah menjerit kat kereta. Dia yang mula-mula buka kereta sebab Syuhada minta dia letakkan beg ke dalam kereta. Aku, mak aku dan ayah aku memandang ke arahnya.

“Kenapa tu Along?” aku panggil. Dan Syuhada bergegas ke arah Aisyah.

“Busuk sangat bau dalam kereta tu. Bau bangkai macam dah lama,” kata Syuhada.

Aku berjalan pantas ke kereta. Aku buka pintu depan. Giliran aku pula rasa nak muntah. Busuk bau bangkai.

Semua yang berada di situ tutup hidung. “Macammana nak balik ni? Busuk sangat ni, tak lalu kita duduk dalam kereta ni pun. Mau muntah sepanjang jalan,” kata Syukri.

“Kamu bawa kereta ayah. Tinggalkan kereta kamu kat sini. Nanti ayah panggil orang cucikan. Kamu balik dulu,” kata ayah aku menawarkan keretanya.

“Nanti kalau ayah nak pakai kereta?” Syuhada bertanya.

“Allah, petang ni ayah panggillah orang cucikan kereta kamu tu. Esok elok dah keringnya. Ayah pun bukannya nak ke mana sehari dua ni. Kalau ayah nak pakai kereta, ayah bawa le kereta korang tu. Boleh?” kata ayahku.

“Kalau macam tu, bolehlah ayah. Syukri bawa kereta ayah ye,” kataku.

Setelah semua barang diletakkan dalam kereta Alza ayah aku, kami bergerak pulang ke rumah kami semula. Ketika melalui kawasan rumah Makcik Zabedah, aku berhenti seketika.

“Kenapa nak berhenti kat sini? Jalan je la terus,” Kata Syuhada tak selesa. Aku tak menyahut. Cuma aku memerhati rumah tersebut.

Rumput dah sampai paras tingkap rumah tu. Tangga kayu dah reput bahkan dah ada yang patah. Dinding rumah pun dah reput dan dimakan anai-anai. Jelas sangat rumah tu dah ditinggalkan telah sekian lama. Kenapa aku masih tak dapat memahami akan keadaan itu?

“Jalan la bang. Takkan nak tumpangkan orang mati lagi?” kata Syuhada dengan suara agak tinggi sebab Alif seakan tak begitu selesa.

Aku pandang sekali lagi ke arah rumah Makcik Zabedah dan tiba-tiba tingkap rumah tu terbuka. Aku dapat lihat ada pergerakan di dalam rumah tu. Masa ni aku tak tunggu lagi, aku terus masukkan gear dan teruskan perjalanan. Meremang bulu roma aku. Mujurlah Syuhada tak nampak apa yang aku nampak.

Sampai di rumah, waktu dah pukul 5 petang. Selesai solat asar, aku dan Syuhada mula menggeledah rumah aku. Aku tak beritahu Syuhada secara lengkap tapi aku minta dia carikan batu zamrud di dalam rumah tu. Syuhada macam biasa, tak tanya banyak. Dia pun tolong aku cari.

Habis satu rumah kami selongkar, memang tak jumpa batu zamrud.

“Abang, haritu abang kata jelmaan Makcik Zabedah tu pergi ke bilik tetamu kan? Mungkin batu tu ada kat bilik tu. Sebab tu dia asyik ke sana,” kata Syuhada.

“Tapi kan kita dah check kat bilik tu, tak jumpa pun,” kataku.

“Kita cari sekali lagi,” kata Syuhada.

“Lagipun bilik tu tak banyak barang kan. Sebab kita tak guna bilik tu,” kataku.

Syuhada tak menjawab kata-kata aku tapi dia terus melangkah ke bilik tetamu. Aku pun terus ikut dia. Kami memandang keliling bilik, mencari-cari kalau ternampak benda yang pelik kat dalam bilik tu. Memang bilik tu kosong, hanya ada satu almari dua pintu, katil queen dan besi penyidai kain. Sebab bilik tu tak digunakan jika tiada tetamu.

Syuhada melangkah ke almari, membuka pintu almari dan melihat ke dalamnya. Kosong.

Aku pandang Syuhada, tiba-tiba terasa dejavu bila melihat Syuhada berdiri di situ. Macam aku pernah nampak suasana tu. Aku cuba ingatkan kembali.

Ya! Ada satu malam tu, aku pernah nampak seseorang berdiri di dalam bilik tu dengan keadaan yang sama macam keadaan Syuhada sekarang. Dan orang tu memegang satu kotak. Cepat-cepat aku pergi ke tempat Syuhada dan menyuruhnya ke belakang sikit. Aku tengok ke dalam almari tu. Ada beberapa tuala dan sejadah terlipat kemas di dalamnya. Aku buka laci. Aku nampak satu kotak kecil dan aku ambil.

“Itu bukan kotak yang abang dapat masa hari anugerah pekerja cemerlang tu kan?” Syuhada tanya aku. Aku anggukkan kepala.

“Abang belum buka ke?” dia bertanya lagi. Aku gelengkan kepala.

“Dah lama abang dapat kan? Apa kat dalam tu?” Syuhada terus tanya aku. Aku angkat bahu.

“Teruklah abang ni. Orang lain kalau dapat hadiah, cepat-cepat nak buka sebab nak tahu dapat apa. Abang ni pula sorok kat dalam almari. Lepas tu lupa,” rungut Syuhada.

Aku buka kotak tu perlahan-lahan. Dan ada sebiji batu berwarna hijau di dalamnya.

“Wah, batu zamrud. Cantiknya, mahal ni bang,” kata Syuhada cuba mengambil kotak itu dari aku. Tapi aku menghalangnya.

“Inilah yang dia cari,” aku bersuara perlahan.

“Siapa cari?” Syuhada tanya aku.

“Makcik Zabedah,” sahutku.

“Kan Makcik Zabedah dan meninggal dunia?” Syuhada tanya aku lagi. Aku tak menyahut.

Aku tutup kembali kotak yang berisi batu zamrud tu dan masukkan kotak itu ke dalam poket. Aku tengok jam dah hampir maghrib.

-Bersambung-

4 thoughts on “DIA IKUT AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s