DIA IKUT AKU

Bab 10

“Makcik Zabedah tu dah meninggal dunia? Bila?” aku tanya mak aku.

“Lama dah. Tiga tahun dah kot. Tak lama lepas suaminya meninggal dunia,” sahut mak aku.

“Sariman?” aku tanya lagi.

“Dengar ceritanya dia berpindah ke Johor, dekat-dekat dengan rumah mak mertuanya,” sahut mak aku lagi.

“Habis tu yang kami hantar tadi siapa? Yang datang rumah kami semalam siapa? Yang tidur kat rumah kami semalam tu siapa?” aku tanya bertalu-talu.

“Manalah mak tahu,” mak aku jawab selamba.

Aku dan Syuhada berpandangan sesama sendiri. Tegak bulu roma aku. Orang dah mati datang jumpa aku, merayau kat dalam rumah aku, naik kereta aku weh.

“Jangan-jangan apa yang orang kampung ni cakap memang betul,” tiba-tiba mak aku bersuara memecah keheningan yang seketika.

“Hish awak ni. Takkanlah. Awak pernah jumpa?” ayah aku balas mak aku.

“Tak pernah tapi selalu sangat orang kampung bersembang pasal ni,” kata mak aku lagi.

“Orang kampung cakap apa mak?” aku bertanya lagi.

“Lepas kematian Kak Bedah tu, ramai orang nampak dia berkeliaran di kawasan kampung ni. Orang kampung ni tak berani dah nak keluar malam. Lepas maghrib, semua orang duduk dalam rumah. Kadang dia ketuk pintu rumah orang. Kalau siapa yang tak kunci pintu, dia masuk makan. Habis bersepah pinggan mangkuk periuk belanga kat dapur. Semuanya jadi busuk macam bangkai, kena buang.” Kata mak aku bercerita.

“Kalau apa yang orang kampung cakap tu betul, apa maksudnya mak? Makcik Zabedah ada bela hantu raya?” kataku.

“Hish kamu ni. Jangan cakap macam tu. Nanti jatuh fitnah,” kata ayahku. Aku dan mak terdiam seketika. Aku nak tanya lagi, tapi nanti takut ayah marah.

“Rumah kami pun asyik kena ganggu sekarang ni mak,” tiba-tiba je Syuhada bersuara memecahkan kesunyian dan cuba mengalih topik perbualan yang belum selesai.

“Kena ganggu dengan apa? Perompak ke?” ayah aku menyahut.

“Entahlah, macam ada sesuatu dalam rumah kami. Macam ada orang atau sesuatu benda lain yang menumpang kat dalam rumah kami.” Aku menjawab.

“Benda apa?” mak aku bertanya.

“Alif yang pertama sekali nampak. Mula-mula kami ingatkan dia ada masalah. Bawa klinik hospital, semua sama, kata Alif takde apa, cuma imaginasi anak kecil. Tapi bila Aisyah dan Amani pun kata nampak benda yang sama, kami mula risau. Takkanlah ketiga-tiga mereka berimaginasi perkara sama,” kataku.

“Mereka nampak apa?” ayah aku bertanya.

“Nenek tua kat dalam rumah tu. Siap dia pernah beritahu kat Amani bahawa dia tu saudara jauh belah kita.” Sahutku.

Mak dan ayah aku berpandangan dengan mata bulat seakan terfikir akan sesuatu yang sama.

“Itulah saya dah cakap tapi abang taknak percaya. Sekarang tengok apa dah jadi? Masa si Jenal cakap dengan abang, abang kata dia nazak, dah tak tahu apa yang dia cakap. Tapi sekarang rasanya apa yang dia cakap tu betul,” kata mak aku tiba-tiba.

“Jenal tu siapa mak? Dia kata apa?” aku bertanya, makin pening aku dengan cerita mak ayah aku. Cerita Makcik Zabedah tadi tak selesai lagi, sekarang dah keluar cerita Jenal pula.

Ayah aku diam memandang jauh ke tengah halaman.

“Jenal tu suami Zabedah. Sebelum dia mati, dia ada cakap kat ayah kamu. Katanya Zabedah tak buang saka keturunan kita. Dia kata dia buang tapi sebenarnya dia simpan dan jaga.” Kata mak aku, dan aku makin pening.

“Sekejap mak. Saka keturunan kita? Maksud mak? Keluarga kita ada saka? Apa pula kena mengena dengan Makcik Zabedah?” aku makin pening.

“Nenek kamu dulu, iaitu mak kepada ayah kamu. Dia memang taknak saka ni semua. Dari entah keturunan ke berapa sebelumnya mereka cuba buang tapi tak berhasil. Sampai pada nenek kamu, ada orang beritahu, Zabedah pandai buang saka. Kami pun minta tolong dia buangkan saka dari nenek kamu. Nenek kamu tu dah sampai keturunan ketujuh yang menjaga saka tu. Lepas nenek kamu, saka tu patut diwarisi oleh anak lelaki sebab tujuh keturunan sebelum tu turun kepada anak perempuan. Nenek kamu dah cakap, dia taknak saka tu diturunkan lagi. Dia nak buang,” kata mak aku bercerita panjang lebar. Ayah aku diam je membiarkan mak aku bercerita. Mungkin dia dah tiada alasan untuk menahan mak aku dari bercerita.

“Jadi Makcik Zabedah dah buang saka keturunan kita la kan?” aku bertanya.

“Katanya dah buang. Tapi arwah suaminya beritahu ayah kamu masa dia nazak. Katanya Zabedah tak buang, tapi dia simpan dengan perjanjian.” Kata mak aku lagi.

“Ayah, adik berak,” perbualan kami terganggu dek panggilan Aisyah dari dalam rumah mak aku. Syuhada lantas bangun dan masuk ke dalam rumah.

“Perjanjian?” aku tak pedulikan anak aku dah. Aku nak tahu kisah selanjutnya dari mak aku.

“Katanya dia tak buang saka tu sebab saka tu jenis elok dan susah nak dapat. Dia buat perjanjian supaya saka tu tak mengganggu sesiapa hingga salah seorang keturunan ayah kamu menyimpan batu zamrud di rumahnya. Kalau ada keturuan ayah kamu yang menyimpan batu zamrud di rumahnya, maka saka itu akan kembali memasuki keturunan ayah kamu.” Mak aku berhentikan ceritanya. Dia bingkas bangun dari kerusi dan melangkah masuk ke rumah.

“Mak nak ke mana tu? Cerita tak habis lagi ni,” aku panggil mak aku.

“Mak nak masak. Dah tengahari ni. Kamu sembang la dengan ayah kamu. Dia lebih tahu, Cuma taknak beritahu.” Kata mak aku sambil menjeling ayah aku yang masih buat muka tak tahu.

“Ayah, kenapa ayah tak cakap pasal ni semua kat Syukri? Sekurang-kurangnya Syukri tahu sesuatu, Syukri berjaga-jaga,” kataku.

“Sebab ayah taknak kamu terlalu taksub dengan benda tu. Terlalu berjaga-jaga kerana benda tu. Ayah taknak akidah kamu goyah kerana benda tu. Semua tu makhluk Tuhan, sama macam kita. Kenapa nak berjaga-jaga? Cukuplah kita jaga hubungan kita dengan Allah,” kata ayah lagi.

“Ayah, cakaplah. Betul ke apa yang mak cakap tu?” aku merayu agar ayah aku bercerita.

“Betullah tu,” sahut ayahku pendek.

“Habis tu kenapa Makcik Zabedah cari Syukri?” aku tanya lagi.

“Kamu ada simpan batu zamrud kat rumah kamu ke?” ayah aku tanya aku.

“Takde pun. Saya memang tak pakai benda tu semua,” sahutku.

“Kalau macam tu, takde apa la.” Kata ayah aku.

“Mana boleh takde apa ayah. Mesti ada sebab kenapa Makcik Zabedah, errr arwah Makcik Zabedah cari Syukri sampai sana. Dia dah mati kot, kenapa masih cari Syukri? Kenapa tak cari orang lain, cari ayah ke. Ayah, Syukri ada keluarga, ada anak-anak. Syukri kena tahu semua ni. Tengok sekarang pun rumah Syukri dah kena kacau. Beritahulah apa yang Syukri perlu tahu.” Kataku.

“Nak beritahu apa lagi, itulah yang macam mak kau ceritakan tu. Itu aje la,” kata ayah.

Aku diam. Tapi aku tahu masih ada sesuatu yang tak betul. Kenapa Makcik Zabedah cari aku? Dia dah mati. Aku takde hutan dengan dia pun. Aku pun dah lama tak jumpa dia. Lepas habis sekolah, aku dengan Sariman terputus hubungan. Kami dah bawa haluan masing-masing. Memang tak berhubung langsung. Tapi aku memang masih ingat kat dia la.

“Sebenarnya macam ni. Dari apa yang Jenal beritahu, lepas Bedah ambil saka dari mak ayah, dia jaga. Sedangkan dia cakap kat kami, dia dah buang benda tu. Setiap malam Selasa, dia akan bagi saka tu minum tiga titis darah dari jari hantunya. Benda tu ikut cakap Bedah. Tapi dia tetap mahukan keturunan kita sebab dah tujuh keturunan bersama kita. Jadi Bedah buat perjanjian, jika ada keturunan ayah yang lelaki menyimpan batu zamrud di rumahnya, Bedah akan serahkan benda tu kat keturunan ayah tu la. Sebab tu mak selalu pesan kat kamu, jangan simpan batu zamrud dalam rumah.” Ayah aku berhenti bercerita.

“Tapi sekarang Makcik Zabedah dah meninggal dunia. Saka tu berada di mana?” aku tanya.

“Mungkin itulah yang orang kampung nampak berkeliaran pada sebelah malam tu. Dia mencari tuan baru,” kata ayah.

“Macammana dia boleh sampai ke rumah Syukri?” aku tanya lagi.

“Yang itu ayah tak pasti. Entah ya entah tidak itu dia. Mana tahu syaitan nak melagakan kita.” Kata ayah.

“Samada ya atau tidak, Syukri perlu cari jawapannya. Syukri perlu tahu sebelum balik ke rumah. Lagipun, Syukri berjanji dengan Makcik Zabedah bahawa Syukri akan ambil Makcik Zabedah semua petang ni dan bawa dia ke rumah Sariman. Mana tahu itu juga janji yang dia pegang. Kalau tak bawa dia pun, nanti dia tetap ikut kami balik rumah,” kataku lagi mengharapkan ayah aku cuba bantu aku.

“Nantilah lepas makan, kita pergi masjid solat Zohor. Lepas tu kita jumpa Ustaz Sofian, cuba tanya dengan dia,” kata ayah aku sambil bangun dari duduknya dan terus masuk ke dalam rumah meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga di tengah kelompok buah rambutan yang banyak.

“Ayah, masuklah rumah. Alif nak ayah,” Aisyah panggil aku.

“Ok, ayah datang,” sahutku lalu turun dari pondok kecil depan rumah mak aku dan terus masuk ke dalam rumah.

Tengahari tu mak aku masak ikan haruan bakar cicah air asam. Gulai tempoyak pucuk  lagi, Ada pula ulam petai rebus cicah sambal belacan. Ya Allah, nikmatnya. Hilang sekejap masalah dunia aku.

“Sedapnya nenek masak.” Amani mengulangi ayat ni tak tahu berapa kali sepanjang dia makan. Kuah tempoyak tu dah macam kuah sup dalam pinggannya, kotor habis bajunya terkena kuah tempoyak. Mak aku kata biar dia makan dulu, nanti baru bersihkan. Nasib baik Syuhada bawa baju lebih untuk anak-anak kami.

-Bersambung-

2 thoughts on “DIA IKUT AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s