DIA IKUT AKU

Bab 9

Selesai aku bersiap, aku terus keluar dari bilik sementara Syuhada masih menyiapkan Alif yang susah nak kejutkan dia tidur. Aisyah dan Amani masih bersiap. “Abang keluar dulu ye. Nanti bila awak dan anak-anak dah siap, panggil abang,” pesanku pada Syuhada. Syuhada hanya anggukkan kepala sebab dia masih sibuk menenangkan Alif yang bad mood kerana diganggu tidurnya.

Aku melangkah keluar dari bilik perlahan-lahan. Aku jenguk ke tingkat bawah. Aku tak nampak sesiapa. Tapi aku dengar bunyi pinggan berlaga di dapur. Aku melangkah menuruni tangga perlahan-lahan dan terus pasang telinga. Aku jenguk dapur. Aku nampak Makcik Zubedah sedang membancuh air teh.

“Syukri, marilah sini. Makcik dah buatkan air. Semalam Syuhada ada tunjukkan makcik tempat letak gula dan the. Ini yang makcik tolong bancuhkan. Nak tolong masak, tak berani pula kat rumah orang,” kata Makcik Zabedah.

“Takpe makcik, kita sarapan kat luar je. Lepas tu saya hantar makcik balik ke rumah makcik. Macam yang kita sembangkan semalam. Makcik ambil alamat Sariman. Kalau betul kat area sini, saya bawa makcik balik sini,” kataku masih berdiri di tepi pintu.

“Ooh, makcik ingat nak masak sarapan dulu. Takpelah kalau macam tu, makcik bersiap dulu la.” Kata Makcik Zabedah dan terus berlalu masuk ke biliknya. Aku hanya memerhati.

Nampak macam biasa je Makcik Zabedah ni. Takde pula yang kelihatan pelik, macam semalam masa aku nampak dia kat tangga dan depan pintu bilik atas. Aku cuba bersangka baik, mungkin Makcik Zabedah ada masalah mengigau berjalan.

“Syu, Along, Kakak, dah siap ke?” aku panggil dari ruang tamu.

“Dah. Sekejap lagi kami turun,” aku dengan Syuhada menyahut.

Aku ambil kunci kereta dan keluar rumah lalu panaskan enjin kereta. Seketika kemudian, aku masuk ke dalam rumah semula. Lambat betul mereka turun ke tingkat bawah. Aku pun melangkah naik ke tingkat atas. Masa aku nak masuk ke bilik aku, aku nampak Makcik Zabedah keluar dari biliknya di tingkat bawah. Aku perhati je dia dari tingkat atas. Aku nampak dia seakan mencari sesuatu.

Aku menyorok sikit, supaya dia tak nampak aku. Aku intai untuk lihat apa dia nak buat. Aku nampak dia ambil sesuatu dari buah rantai yang dipakainya, benda tu seakan satu bungkusan kecil berwarna kuning. Tapi aku tak dapat lihat dengan jelas sebab jarak yang agak jauh.

Aku nampak Makcik Zabedah meletakkan bungkusan kuning tu di belakang pasu bersebelahan dengan televisyen. Lepas tu Makcik Zabedah terus keluar dari rumah.

Aku pula terus masuk ke dalam bilik. Aku terkejut lagi sekali bila melihat Makcik Zabedah berada di dalam bilik tu bersama Syuhada dan anak-anak aku.

“Eh, makcik ada di sini? Bila masa makcik masuk sini?” aku tanya sambil menutup perasaan hairan aku. Makcik Zabedah tunduk je, tak pandang aku pun.

“Dari tadi kat sini. Katanya dia rindu kat cucunya. Dia minta izin nak masuk, saya izinkan.” Kata Syuhada sambil menutup zip begnya. Syuhada ni walaupun dah cakap pergi sekejap, macammanapun dia akan bawa sepersalinan pakaian anak-anaknya. Dulu aku marah juga tapi bila ada satu hari tu Amani muntah kat dalam kereta, baru aku tahu memang ada kegunaan bawa baju lebih terutama jika ada anak-anak kecil. Betullah kata orang, perempuan ni nampak complicated tapi sebenarnya merekalah yang buat kita jadi completed.

“Dah siap, jom makcik. Abang dukung Alif ye,” kata Syuhada. Aku diam je sambil menjeling ke arah Makcik Zabedah. Dia berjalan di belakang Syuhada. Aku mengikut di belakangnya sambil mendukung Alif.

Masa kami nak turun tangga, aku nampak Makcik Zabedah buat isyarat di tangannya. Dia satukan ibu jari dan jari hantu sambil kakinya seakan berjingkit. “Kreeeekkkk!” pintu bilik tetamu terbuka sendiri. Kami semua memandang ke arah pintu bilik tu.

Syuhada pandang aku. “Dah, jom kita bergerak cepat,” kataku.

“Abang pergilah tengok, kot tingkap tak bertutup ke, ada binatang masuk ke,” kata Syuhada.

“Takpe, kita jalan terus. Takde apa, jangan risau,” kataku. Aku nampak Makcik Zabedah menjeling ke bilik itu sambil mulutnya terkumat kamit seakan membaca sesuatu.

Baru je kami melangkah , tiba-tiba “Dum!” Pintu bilik tetamu tertutup sendiri. Aku nampak Makcik Zabedah berjalan laju tanpa pandang kiri kanan lagi. Syuhada pun memandang Makcik Zabedah dengan wajah pelik. Dia pandang aku dengan isyarat kenapa makcik tu? Dan aku angkat bahu tanda aku pun tak tahu kenapa.

Kami terus menaiki kereta. Makcik Zabedah duduk di belakang aku, Syuhada meriba Alif di sebelah Makcik Zabedah. Amani duduk kat sebelah aku, dia memang selalu jadi co-pilot sebab dia je takkan tidur pada setiap kali perjalanan, dengan mulut petahnya, aku pun tak mengantuk. Aisyah duduk di bahagian belakang sekali, dia ni pantang naik kereta pasti akan tidur. Sebab tu Amani taknak duduk dengan dia.

“Kita singgah kat kedai tepi plaza tol tu je la ye. Sarapan kat sana,” kataku kepada Syuhada.

“Jangan jauh sangat. Takut anak-anak ni dah tidur, susah pula nak kejutkan diorang nanti,” kata Syuhada.

“Kalau macam tu, kita sarapan dekat jalan besar depan tu je la,” kataku lagi.

“Boleh je, saya tak kisah,” sahut Syuhada. Aku mulakan perjalanan.

Sampai kat warung tepi jalan tu, kami sekeluarga turun dari kereta tapi Makcik Zabedah kata dia nak tunggu dalam kereta je. Katanya dia jarang makan pagi. Masa ni aku tengok dia masih buat isyarat jari macam tadi. Aku bisik kat Syuhada, suruh dia pujuk Makcik Zabedah ikut kami.

“Dah dia taknak, biar je la. Dia segan agaknya,” kata Syuhada.

“Dia taknak makan takpe, tapi dia kena keluar dari kereta ni. Abang taknak dia tunggu dalam kereta,” kataku agak tegas sampai Syuhada pun kerutkan dahi tengok aku. Tapi dia aku dengan arahan aku. Dia tahu, kalau aku dah cakap dengan nada tu, maknanya aku maksudkannya dan tiada soal jawab lagi.

Syuhada berjaya memujuk Makcik Zabedah untuk keluar dari kereta dan duduk bersama kami bersarapan di warung tepi jalan tu. Masa kami sampai, memang ada satu meja kosong. Yang lainnya dah penuh. Lalu kami duduk di situ.

“Kau ada bau bangkai tak?” tiba-tiba seorang lelaki di meja sebelah kami bersuara.

“Haah, tiba-tiba je. Tadi takde pun,” sahutku temannya.

“Bau longkang kot,” sahut yang lainnya.

Aku yang baru duduk kat situ takde cium bau bangkai pun. Aku pandang orang-orang tadi. Mereka pun pandang kami semacam. Seolah bau bangkai tu muncul selepas kami datang ke warung tu.

“Abang nak order apa ye?” kata seorang budak lelaki dalam usia 17 tahun. Dia pun tutup hidungnya dengan tuala kecil yang diletakkan dibahunya.

“Roti canai tiga empat, dua banjir, dua kuah asing. Letak sambal lebih ye. Air teh tarik dua, milo suam dua.” Kataku.

“Makcik nak makan apa-apa ke?” Syuhada tanya Makcik Zabedah. Makcik Zabedah gelengkan kepala.

“Minumlah sikit,” Syuhada masih memujuk.

“Takpelah, makcik dah minum teh kat rumah kamu tadi,” kata Makcik Zabedah.

Orang kat sebelah meja kami tadi bangun sambil terbatuk-batuk dan seakan nak muntah.

“Kamu kenapa Jali?” seorang lelaki agak berusia di meja bahagian depan menegur lelaki tadi.

“Busuk sangat ni Pak Deris. Korang semua tak bau ke?” kata lelaki bernama Jali tadi.

“Aku bau juga. Tapi tak tahu datang dari mana. Tadi ada lori sampah lalu kot,” kata seorang lelaki lainnya.

Dan akhirnya semua yang berada di situ bangun dan membayar harga makanan mereka lalu meninggalkan warung tersebut. Tinggallah keluarga kami saja di situ, terpinga-pinga melihat warung itu kosong tiba-tiba.

Sebaik mendapat makanan yang kami order, kami terus makan. Syuhada memesan kopi suam untuk Makcik Zabedah. Tapi Makcik Zabedah tak minum pun. Aku perhatikan Makcik Zabedah, dia memerhati kami anak beranak, dengan pandangan lain macam. Seakan dia sangat suka dengan kami. Aku nampak matanya besar dan dia asyik tersenyum. Sesekali mulutnya terkumat kamit seperti membaca atau berbisik sesuatu.

Selesai makan, kami teruskan perjalanan. Ketika kami dah separuh jalan, hidung aku terhidu bau busuk seakan bangkai.

“Kenapa bang?” Syuhada tanya aku bila aku terbatuk-batuk.

“Ada bau busuk,” sahutku sambil tutup hidung.

“Iyelah, bau macam bangkai,” sahut Syuhada sambil memandang keliling, mencari punca bau tu.

Aku perasan Syuhada terdiam dan berhenti mencari bila dia memandang Makcik Zabedah. Dia terus tutup hidungnya dengan kain.

“Buka tingkaplah bang. Kita guna angin luar je,” kata Syuhada. Aku akur. Dan kami teruskan perjalanan.

Di satu tempat, aku jeling ke arah Makcik Zabedah melalui cermin pandang belakang. Aku nampak Makcik Zabedah tak macam yang aku nampak sebelum ni. Rambutnya putih mengerbang, matanya hitam terbuka luas. Wajahnya agak menakutkan, nampak seperti dia dah tua sangat dari rupanya ketika datang ke rumah aku semalam.

Dada aku berdebar tapi aku taknak cakap apa-apa. Aku cuba cepatkan pemanduan supaya aku boleh sampai ke rumah Makcik Zabedah dengan cepat. Mujurlah tiada yang berlaku. Cuma Makcik Zabedah tak bercakap langsung ketika dalam kereta. Dan Syuhada pula dah berhenti berbual dengannya lepas kes bau busuk tadi. Wajah Syuhada pun lain macam je aku tengok.

Sebaik sampai rumah Makcik Zabedah, aku pelik melihat keadaan rumahnya yang penuh dengan hutan belukar seperti rumah usang yang telah lama ditinggalkan.

“Makcik masih tinggal kat sini ke?” aku bertanya. Aku tahu rumah tu sebab itulah rumah aku bermain masa kecil-kecil dulu dengan Sariman.

“Iye, makcik masih tinggal kat sini,” kata Makcik Zabedah sambil turun dari kereta.

“Makcik cari alamat Sariman tu. Saya ke rumah mak saya. Nanti lepas zohor dalam pukul 3 saya datang semula ye,” kataku. Makcik Zabedah tak cakap banyak tapi dia asyik memandang ke arah kami anak beranak sambil mulutnya terkumat-kamit.

Aku lihat saja Makcik Zabedah masuk ke dalam rumahnya. Seram sejuk aku tengok keadaan rumahnya, macam rumah hantu. Papannya macam dah nak roboh. Sebaik Makcik Zabedah masuk ke rumah usangnya, aku memandu kereta aku ke rumah mak aku, yang tak jauh dari situ.

Mak dan abah aku terkejut dengan kehadiran kami. Selalunya kami akan beritahu dulu kalau nak datang.

“Kami datang kejap je mak. Kebetulan nak hantar Makcik Zabedah, dia sesat sampai ke rumah kami sebab nak cari rumah anaknya,” kataku.

“Makcik Zabedah mana?” Abah aku tanya sambil mengerutkan dahinya.

“Mak Sariman, kawan saya masa kecil dulu,” sahutku lagi.

“Yang rumahnya kat tepi titi tu?” mak aku tanya dengan suara agak kuat dan mata agak besar.

“Iyelah, dia je nama Zabedah kat kampung ni kan?” aku sahut balik sambil makan buat rambutan kat beranda rumah mak aku.

“Merepek kamu ni Syukri oooiiii.. Makcik Zabedah tu dah lama meninggal dunia,” kata mak aku buatkan aku dan Syuhada berpandangan sesama sendiri, dan aku nyaris tercekik biji rambutan!

-Bersambung-