DIA IKUT AKU

Bab 7

“Macam ni la makcik, makcik tidur je kat rumah kami malam ni. Esok baru kita cari rumah Sariman. Tapi kalau makcik takde apa-apa nombor untuk kita hubungi, saya hantar makcik balik rumah makcik. Ambil alamat tu. Kalau betul dekat area sini rumahnya, saya hantarkan makcik.” Kataku.

“Eh, tak menyusahkan kamu ke Syukri?” kata makcik tu dengan muka serba salah.

“Takdelah makcik. Esok saya pun cuti. Boleh balik kampung jenguk mak abah. Lepas tu saya pun tetap nak balik sini. Bolehlah sekali jalan,” kataku.

“Aduh. Serba salah pula rasanya. Lain yang dirancang, lain pula yang jadi.” Kata Makcik Zabedah.

“Takpelah makcik. Lagipun hari dah nak malam. Makcik pun dah penat. Jom masuk. Rumah kami pun dah lama takde tetamu datang.” Kata Syuhada sambil mengambil beg Makcik Zabedah dan menarik tangan Makcik Zabedah membawanya masuk ke dalam rumah kami.

Hari pun dah makin gelap. Masa aku masuk rumah, dan dekat pukul 7. Aisyah dan Amani dah siap pakai baju malam mereka dah. Syuhada bawa Makcik Zabedah ke bilik tingkat bawah.

“Dah ada teman ni, abang pergi masjid boleh? Cadangnya nak jumpa Imam Rosli kejap. Nak sembang sikit pasal rumah ni,” kataku kepada Syuhada yang sedang memanaskan lauk untuk makan malam.

“Boleh. Abang pergilah. Cuma jangan balik lambat je la.” Kata Syuhada.

Aku melangkah ke pintu meninggalkan Syuhada yang masih di dapur. Alif sedang menonton televisyen, ada kartun kegemarannya. Masa aku lalu kat bilik Makcik Zabedah, pintu biliknya terbuka sikit. Aku jeling la ke dalam biliknya sementara aku jalan tu.

Aku nampak Makcik Zabedah duduk bersila di atas katil, menghadap ke dinding. Matanya terpejam, mulutnya bergerak-gerak seakan sedang membaca sesuatu. Tangannya diletakkan di atas lututnya dengan ibu jari dan jari hantu disatukan.

Aku berhenti sekejap di situ. Memerhatikan apa yang Makcik Zabedah sedang buat dekat-dekat waktu maghrib ni. Tiba-tiba Makcik Zabedah buka matanya dan terus pandang aku. Aku pula terkejut terus buat-buat tak nampak dan jalan terus ke pintu. Risau pula aku kalau Makcik Zabedah kata aku intai dia. Aku terus ambil motor aku, hidupkan enjin dan berlalu ke masjid.

“Saya minta tolong jasa baik Imam untuk datang ke rumah saya, tengokkan keadaan rumah saya. Saya risaukan keselamatan anak isteri saya. Macam yang saya ceritakan pada Imam tadi, kejadian lepas saya balik dari masjid semalam, betul-betul buat saya tak tentu hala. Kat tempat kerja siang tadi pun hati tak tenang, jiwa tak keruan. Ini saya datang pun sebab ada seorang makcik dari kampung saya tersesat kat sini. Saya ajak tidur kat rumah saya sebab hari dah malam. Esok saya nak hantar dia balik kampung. Itulah kalau Imam boleh datang rumah saya malam ni sebab esok saya takde kat rumah. Saya tak boleh tangguh dah benda ni Imam,” kataku kepada Imam Rosli yang tekun mendengar kisah aku semalam.

“Baiklah, nanti lepas isya’ saya ajak Sulaiman ikut sekali. Jauh juga saya nak menapak balik nanti dari rumah kamu.” Kata Imam Rosli. Sulaiman ialah anak kepada Imam Rosli, yang selalu membawa Imam Rosli ke mana dia nak pergi.

“Takpe Imam, saya boleh hantar balik nanti,” kataku.

“Hish, nanti dah tengah malam, takkan nak tinggalkan anak isteri. Dah la rumah tu macam tu,” kata Imam Rosli.

“Ok Imam. Saya ikut je yang mana-mana Imam selesa. Asalkan Imam sudi jenguk rumah saya kejap. Minta maaf sangat Imam, saya menyusahkan Imam pula. Tapi saya takde jalan lain selain dari minta tolong dari Imam,” kataku kepada Imam Rosli.

“Takde apalah Syukri. Kalau saya sihat, In Shaa Allah boleh. Kita hidup kat dunia ni, memang macam ni. Kamu pandai itu, tapi tak pandai yang lain. Ada orang lain pandai bab lain pula tapi tak pandai buat kerja kamu. Sebab tu hidup ni perlu bermasyarakat, tolong menolong. Allah dah beritahu, jaga silaturrahim dengan baik, inilah sebabnya. Kita saling memerlukan,” kata Imam Rosli sambil menepuk-nepuk bahu aku.

Selepas solat isya’, aku balik dulu. Imam Rosli kata dia akan menyusul kemudian.

Ketika aku hampir sampai kat rumah, aku nampak sesuatu yang bergerak di buju pagar rumah aku. Suasana agak gelap, jadi agak samar untuk aku mengecam apa benda tu. Semakin aku hampir, aku nampak benda tu seakan monyet. Dia duduk berjuntai kaki di atas buju pagar batu rumah aku. Aku tak tunggu kat situ, aku terus masuk ke dalam rumah.

Lepas aku matikan enjin motor, aku pandang semula ke arah monyet tadi, takde dah kat situ. Tapi aku nampak Makcik Zabedah sedang berdiri memandang aku dari buju pagar tu, di tepi pokok bunga kertas Syuhada.

“Makcik buat apa kat situ?” aku panggil dia. Tapi dia hanya berdiri dan pandang aku. Masa ni aku tercium bau kemenyan yang agak kuat. Meremang bulu roma aku. Aku terus masuk ke dalam rumah.

Amani dan Aisyah sedang menulis di meja kat ruang tamu. Alif masih dengan didi and friendnya.

“Mama mana?” aku tanya Aisyah.

“Kat dapur,” Aisyah menyahut.

Aku melangkah ke dapur. Pintu bilik Makcik Zabedah masih terbuka sedikit seperti masa sebelum aku pergi ke masjid tadi. Aku jeling ke dalam bilik tu, tapi dah gelap. Aku terus ke dapur.

Aku dengar suara Syuhada sedang berbual-bual dan ketawa. Dengan siapa pula dia berbual? Anak-anak kami semua ada kat ruang tamu. Aku terus jenguk ke dapur. Syuhada sedang duduk di meja bersama dengan Makcik Zabedah.

“Eh, abang dah balik? Tak sedar saya, asyik sangat bersembang dengan makcik,” Syuhada menegur aku.

“Tadi bukan makcik kat luar ke?” aku tanya Makcik Zabedah.

“Hish abang ni, makcik ni dengan saya sejak abang keluar maghrib tadi. Abang salah orang kot,” kata Syuhada.

“Tapi ada orang kat luar tadi. Dia berdiri kat dalam pagar rumah kita,” kataku.

“Makcik dari tadi kat sini Syukri, bersembang dengan Syuhada ni. Tak sangka pula mak dia berasal dari kampung yang sama dengan makcik,” kata Makcik Zabedah.

Aku diam. Bukan kisah tu yang buatkan aku berfikir tapi aku masih fikirkan siapa yang berdiri kat luar rumah aku tadi? Aku yakin aku nampak itu Makcik Zabedah.

“Abang nak makan? Kami semua dah makan. Jom saya temankan abang makan,” kata Syuhada.

“Assalamualaikum,” belum sempat aku menyahut kata-kata Syuhada, kedengaran suara Imam Rosli memberi salam dari luar rumah.

“Waalaikumussalam,” aku menyahut.

“Siapa tu?” Syuhada tanya aku.

“Abang ajak Imam Rosli datang, minta dia tengokkan rumah ni. Cadangnya nak tunggu esok, tapi kan esok kita nak balik kampung,” kataku.

“Oh, elok juga tu. Sekejap saya pakai tudung,” kata Syuhada sambil berlari masuk ke bilik solat kami di tingkat bawah, sebelah bilik Makcik Zabedah.

Aku terus membuka pintu. Imam Rosli berdiri di luar pintu pagar rumah aku, dengan anaknya Sulaiman. Aku terus pakai selipar dan berlari anak ke pintu pagar, untuk bukakan pagar.

“Alhamdulillah, terima kasih Imam sebab sudi datang ke rumah saya malam ni. Minta maaf sekali lagi kalau saya dah menyusahkan,” kataku hormat.

Imam Rosli tak menyahut. Hanya anaknya Sulaiman bersalaman dengan aku. Aku terus mengajak Imam Rosli masuk ke rumah tapi Imam Rosli mengangkat tangannya sebagai isyarat tunggu dulu. Dia melangkah ke bahagian kiri rumah aku. Rumah aku ni bahagian hujung, jadi adalah tanah lebihan sikit dalam 5 kaki kat sebelah kiri tu.

Imam Rosli terus melangkah ke bahagian belakang rumah aku melalui lorong kiri tu. Aku mengikut. Sulaiman juga begitu.

“Kenapa Imam?” aku tanya. Imam Rosli tak jawab. Sulaiman bagi isyarat kat aku supaya diam.

Lama juga Imam Rosli berdiri di bahagian belakang rumah, sebelum dia hentakkan kakinya ke tanah dengan kuat. Aku pun terkejut. Dan masa tu hutan kat belakang rumah aku bergerak macam ada sesuatu yang berlari di situ. Bahagian belakang rumah aku tu adalah kawasan bukit. Di atas bukit itu adalah kawasan hutan. Bukan hutan pun, setahu itu belakang rumah aku tu adalah tanah persendirian, tak tahu milik siapa tapi dibiarkan macam tu.

“Boleh saya masuk ikut pintu belakang?” Imam Rosli bertanya.

“Boleh Imam. Sekejap saya suruh Syuhada bukakan pintu belakang,” kataku sambil berlari ke tingkap dapur dan ketuk tingkap tu. Tak lama, Syuhada buka tingkap tu.

“Syu, buka pintu dapur ni. Imam nak masuk ikut pintu belakang,” kataku. Syuhada akur.

Sebaik Syuhada buka pintu belakang, aku masuk bersama-sama dengan Imam Rosli dan Sulaiman. Aku menyuruh Syuhada membawa anak-anak kami masuk ke bilik di tingkat atas. Makcik Zabedah pula memang dan masuk ke biliknya.

“Ada orang lain dalam rumah ni selain dari isteri dan anak-anak kamu?” Imam Rosli bertanya.

“Makcik Zabedah yang saya kata dia sesat cari rumah anaknya tu. Dia ada kat bilik ni,” kataku sambil menunjukkan bilik Makcik Zabedah.

“Selain dari dia?” Imam Rosli tanya lagi.

“Takde dah. Kami je la lima beranak,” sahutku.

“Macam ada seorang lagi,” kata Imam Rosli. Aku diam.

“Boleh kamu panggil orang yang tak tinggal kat dalam rumah ni?” kata Imam Rosli.

“Maksud Imam?” aku bertanya, tak faham dengan arahannya.

“Panggil orang lain dalam rumah ni selain dari anak dan isteri kamu,” kata Imam Rosli.

“Makcik Zabedah ni je la,” kataku.

“Boleh panggilkan dia?” kata Imam.

“Boleh Imam. Sekejap saya suruh Syuhada panggilkan.” Aku panggil Syuhada. Aku minta dia panggilkan Makcik Zabedah.

“Makcik dah tidur la bang. Nak kejutkan ke?” kata Syuhada sebaik keluar dari bilik Makcik Zabedah.

“Imam, Makcik Zabedah tu dah tidur. Mungkin dia penat berjalan siang tadi,” kataku.

“Takpe, jangan kejutkan. Biar dia tidur.” Kata Imam Rosli.

“Boleh saya tengok bilik tu?” kata Imam Rosli sambil menunjukkan bilik tetamu di tingkat atas.

“Boleh Imam. Silakan,” kataku.

Imam Rosli berbisik sesuatu kepada Sulaiman. Sulaiman anggukkan kepala. Imam Rosli melangkah menaiki tangga ke tingkat atas, manakala Sulaiman tak ikut. Dia berdiri di tepi pintu bilik Makcik Zabedah.

Belum pun sempat aku membuka pintu bilik tetamu tu, tiba-tiba je pintu bilik tu dihempas kuat dari arah dalam bilik. Aku dan Syuhada berpandangan sesama sendiri.

“Anak-anak masuk bilik tu ke?” aku tanya Syuhada.

“Taklah, semua ada kat bilik kita,” kata Syuhada.

“Syuhada boleh masuk bilik, tengokkan anak-anak ye,” kata Imam Rosli kepada Syuhada. Syuhada akur.

Aku terus melangkah ke bilik tetamu tu. Pulas tombol pintu. Terkunci!

“Siapa pula yang kunci pintu bilik ni?” rungutku sambil melangkah ke tempat simpanan kunci di tepi tangga. Imam Rosli masih di situ.

Setelah dapat kunci yang aku cari, aku buka pintu bilik tetamu. Lampu terang. “Siapa pula yang buka lampu bilik ni?” sekali lagi aku bercakap sendirian. Imam Rosli hanya diam.

“Masuklah Imam,” kataku kepada Imam Rosli yang masih berdiri di luar bilik.

“Ada sesuatu di sini,” kata Imam Rosli.

“Sesuatu tu apa Imam?” aku bertanya.

-Bersambung-

One thought on “DIA IKUT AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s