DIA IKUT AKU

Bab 6

Aku batukan diri, walaupun peluh dah membasahi seluruh badan aku. Aku pasang telinga, bunyi tapak kaki tu betul-betul kat belakang aku. Dan bunyi tu berhenti kat belakang aku. Allahu. Menggeletar seluruh badan aku.

Aku tahan nafas. Aku dengar bunyi nafas seseorang kat belakang aku. Makin kuat macam menghampiri telinga aku. “Kamu sedar kehadiran aku,” aku dengar satu suara berbisik kat tepi telinga aku. Aku betul-betul tersentak, aku terus bangun dan berpaling ke arah suara tu. Tiada sesiapa di belakang aku. Aku pandang keliling.

Dari celahan pintu yang terbuka sedikit, aku nampak kelibat sesuatu bergerak. Aku terus turun dari katil. Aku melangkah perlahan-lahan ke pintu. Aku jenguk keluar pintu. Aku nampak seseorang dari arah belakang. Memakai baju kurung warna kelabu dan kain batik. Rambutnya kerinting dan memutih. Dia berjalan terbongkok-bongkok.

Aku terus perhatikan perempuan itu. Dia menghala ke bilik depan iaitu bilik tetamu. Aku ikut perlahan-lahan. Entah dari mana datangnya keberanian tu, tapi aku terlalu terdesak dengan perasaan ingin tahu aku, siapa yang ganggu keluarga kami.

Pintu bilik tetamu terbuka sedikit tapi lampu tak pasang. Aku rasa tadi Syuhada dah pasang semua lampu, dari tingkat bawah sampai tingkat atas. Kenapa bilik tetamu tu gelap? Siapa tutup lampu?

Aku menolak daun pintu bilik tetamu perlahan-lahan. Melalui cahaya dari tingkap, aku nampak bayang seseorang berdiri di tepi rak kayu yang terletak di satu sudut. Dia memegang satu kotak. Aku perhatikan kotak apa tu, tapi tak dapat lihat dengan jelas.

“Abang?” aku melompat sikit bila Syuhada memanggil aku dari arah belakang. Aku menoleh memandang Syuhada.

“Kenapa ni?” Syuhada tanya aku.

Aku letakkan jari di bibir, sebagai isyarat suruh dia diam. Dan aku kembali berpaling ke dalam bilik tetamu. Ada seorang perempuan tua di depan aku, mukanya betul-betul berdepan dengan muka aku, saling menghadap satu sama lain. Aku menjerit terkejut dan menolak diri aku ke belakang sedikit.

Syuhada menghampiri aku. “Kenapa bang?” dia tanya aku. Aku pandang semula ke arah perempuan tua tadi tapi dia tiada di situ. Bilik tetamu tu terang benderang, sama keadaannya macam ketika aku masuk tidur semalam.

“Astaghfirullahal azim,” aku beristighfar dan mengusap muka aku dengan tangan. Dahi aku basah, tapak tangan aku pun basah dengan peluh.

“Kenapa ni bang?” Syuhada tanya aku lagi.

“Abang macam nampak orang kat dalam bilik ni.” Sahutku, separuh berbisik.

“Perempuan tua kan?” Syuhada tanya aku. Aku pandang Syuhada dengan penuh tanda tanya.

“Awak pun nampak ke?” aku tanya Syuhada.

“Tadi tak nampak la. Hari lain memang saya ada nampak kelibat perempuan tua kat dalam bilik ni. Tapi saya anggap itu perasaan saya je,” kata Syuhada. Aku diam sambil mengerutkan dahi.

“Kita kena panggil ustaz datang tengok rumah ni. Biar mereka tengok sendiri apa masalahnya.” Kata Syuhada.

“Tadi abang dah tanya Imam Rosli. Katanya mungkin sebab ada bilik yang kita tak guna, Jadi mungkin ada makhluk lain datang menumpang,” kataku tersandar di tepi tangga.

“Panggillah orang datang rumah tengokkan. Kalau pasal rumah ni, kenapa baru sekarang dia muncul? Kita dah lama duduk kat rumah ni. Lagipun rumah kita bukannya dalam hutan. Kat tengah bandar kot, kalau ada jin bertandang sekalipun, kenapa rumah kita? Rumah Abang Jalal tu ha, lagi banyak bilik kosong tak pakai, takdepun masalah ni. Takut ada orang hantar benda tak elok ke? Atau kot ada yang sesat ke. Kita tak tahu. Panggillah sesiapa yang pandai tengok benda-benda macam ni,” kata Syuhada lagi.

“Esok jumaat. Sabtu nanti abang minta Imam Rosli datang rumah tolong tengokkan ye,” kataku memujuk. Masa ni meremang bulu roma aku bila teringat malam ni malam jumaat. Cepat-cepat aku ajak Syuhada kembali ke bilik dan aku kunci pintu bilik. Mujur anak-anak aku tak sedar bila aku menjerit tadi.

Tiada lagi gangguan. Aku lena sampai azan subuh berkumandang. Syuhada dah tiada di tempatnya, mungkin dah sibuk siapkan sarapan di dapur. Aku bangun dan kejutkan Aisyah dan Amani.

“Ayah, kami takut nak balik bilik. Boleh tak bersiap kat bilik ayah je,” kata Amani sambil menggosok matanya kerana masih mengantuk.

“Boleh, pergi ambil baju sekolah bawa sini,” kataku.

“Alaaa… Ayah pergilah ambil. Kakak takut,” kata Amani lagi merengek.

“Nak takut apa? Dah siang dah ni,” kataku. Amani pandang Aisyah. Aisyah gelengkan kepala.

“Kenapa? Along pun takut?” aku tanya. Aisyah anggukkan kepalanya.

“Hish kamu ni. Jom ayah temankan,” kataku sambil melangkah keluar dari bilik dan terus ke bilik belakang, diikuti oleh dua anak perempuan aku.

Selesai bersiap, Alif pun dah bangun mencari mamanya. Aku dukung Alif dan ajak Aisyah dan Amani turun ke tingkap bawah. Sedap aroma bihun goreng dari arah dapur.

Aku letakkan Alif di sofa. Dia baring di sana. Aku ajak Aisyah dan Amani ke dapur untuk bersarapan. Syuhada sedang mengelap dapur masa kami duduk di meja makan. Segalanya dah terhidang, siap sekali dengan bekalan kami bertiga.

“Saya minta tolong Kak Lina temankan awak hari ni ye?” aku syorkan kepada Syuhada.

“Tak payahlah, saya ok je,” kata Syuhada.

“Berani ke?” aku tanya lagi.

“In Shaa Allah. Lagipun hari siang, takde apalah.” Sahut Syuhada.

“Kalau ada apa-apa, telefon abang terus. Telefon tu jangan letak jauh. Duduk kat dapur, jangan tinggal kat ruang tamu,” aku berpesan. Risau tu memang risau, tapi aku perlukan masa untuk ajak Imam Rosli datang tengokkan rumah aku.

“Iye, abang jangan risau. Tahulah saya jaga diri. Alif ada temankan saya,” kata Syuhada lagi.

Setelah selesai bersarapan, aku terus menghantar anak-anak aku ke sekolah dan terus pergi ke tempat kerja aku. Setiap jam aku message Syuhada, lambat je dia jawab, aku call dia. Sampai dia pula rimas. Katanya jangan call dia lagi, dia ada banyak kerja nak buat. Aku ni bukannya apa, aku risau. Tapi sebab dia dah warning aku macam tu, aku pun tak call lagi. Tapi hati aku tak senang. Rasa macam lambat sangat jam berjalan hari tu.

Tepat jam 5 petang, aku terus punch card. Kawan-kawan aku ajak pergi main futsal, aku tolak dengan baik.

“Hai, dah kena gari jugak ke Syukri?” Rasyid mengusik aku.

“Aku ada hal sikit, kena balik awal sikit,” balasku sopan.

“Takpelah, lain kali kita main sama-sama,” kata Heri.

Aku terus angkat beg dan balik. Tak tunggu lama dah. Jasad aku je kat pejabat, hati dan minda aku dah sampai rumah.

Ketika aku sampai di rumah, pintu berkunci. Aku bagi salam, tiada sahutan. Allah, hati aku berdebar semula. Aku buka kunci rumah, aku masuk ke dalam rumah dan panggil anak-anak dan isteri aku. Aku cuak dah.

Aku berlari keluar rumah, terjerit-jerit memanggil Syuhada dan anak-anak aku. Sampai Kak Lina menegur aku, “Kenapa Syukri?”

“Kak Lina, Syuhada dan anak-anak saya takde kat rumah. Mereka kat rumah akak ke?” aku tanya.

“Bukan ke masa ni Syuhada ambil anak-anak kamu dari sekolah agama?” Kak Lina tanya aku balik dan aku macam baru tersedar, jam pukul 6.10 petang, Syuhada ambil anak-anak dari sekolah agama. Allah, sampai semua aku lupa, punyalah panik.

Tak sampai lima minit, kereta Syuhada memasuki perkarangan rumah kami. Anak-anak keluar dari kereta dan berlari mendapatkan aku.

“Cepatnya abang balik?” Syuhada tanya aku. Aku diam je.

Ketika aku nak masuk rumah, tiba-tiba seseorang memberi salam di pintu pagar. Syuhada yang dah masuk rumah pun keluar semula bila mendengar orang bagi salam.

“Orang nak ambil baju ke?” aku tanya Syuhada.

“Takde pun. Semua baju dah hantar kat tuannya. Yang ada ni semua baju yang baru orang hantar. Takkan nak ambil dah,” kata Syuhada.

“Waalaikumussalam,” aku menyahut dan berjalan ke pintu pagar. Seorang wanita dalam usia macam mak aku. Memegang satu beg sulaman dari mengkuang.

“Iye makcik? Makcik cari siapa?” aku tanya.

“Kamu Syukri kan? Anak Borhan?” perempuan tu tanya aku.

“Iye saya, makcik ni siapa?” aku tanya.

“Laa, kamu tak kenal makcik ke? Makcik Zabedah, mak kepada kawan kamu kat kampung, Sariman,” kata makcik tu memperkenalkan diri.

Dan masa ni baru aku boleh recall siapa makcik tu. Patutlah rasa macam biasa tengok.

“Allah makcik. Minta maaf sangat. Saya dah kalut dengan anak-anak tadi, tak berapa cam makcik. Masuklah, makcik dari mana ni? Macammana boleh sampai sini?” aku bertanya bertalu-talu.

Makcik Zabedah melangkah masuk ke dalam rumah aku.

“Takpe, makcik faham. Penat balik kerja lagi.” Kata Makcik Zabedah sambil duduk di kerusi depan rumah aku.

“Macammana makcik sampai sini?” aku tanya.

“Panjang ceritanya. Makcik ni nak pergi rumah Sariman. Isteri dia bersalin. Makcik tertinggal telefon kat rumah, nak call dia pun tak tahu nombor. Sariman ada tulis alamat kamu kat dalam kertas, katanya kalau tak jumpa rumah dia, boleh pergi rumah kamu. Mujurlah kertas alamat kamu tu makcik bawa. Tadi minta teksi hantar ke sini,” kata Makcik Zabedah.

“Kenapa makcik tak suruh teksi tu hantar terus ke rumah Sariman?” aku tanya lagi.

“Itulah masalahnya, makcik tak tahu kat mana makcik letak alamat dia. Masa dia telefon kata isteri dia nak bersalin, makcik cepat-cepat kemas beg. Tak sempat nak tengok apa yang ada,” kata Makcik Zabedah.

“Sebelum ni makcik tak pernah pergi rumah dia ke?” aku masih bertanya.

“Pernah 2-3 kali. Tapi dia yang bawa. Mana la makcik ingat jalan ke rumahnya,” kata Makcik Zabedah lagi.

“Saya pun tak tahu alamat Sariman. Kami tak pernah berjumpa selain dari di kampung. Dia tinggal area sini ke?” aku tanya Makcik Zabedah lagi.

“Makcik tak pasti. Takpelah, makcik rasa makcik ambil teksi balik semula ke kampung la,” kata Makcik Zabedah seperti dah putus asa. Ada kekecewaan di wajahnya.

“Dah nak malam ni. Ajaklah dia tidur kat sini dulu. Esok kita hantar dia balik kampung. Kita pun dah lama tak jumpa mak dan ayah abang kan? Boleh singgah kejap.” Syuhada berbisik kat telinga aku.

-Bersambung-