DIA IKUT AKU

Bab 5

Aku tenggelam punca. Ke mana pula Syuhada bawa anak-anak aku. Takkanlah mereka keluar rumah. Pintu terkunci, aku pula tak bawa kunci.

“Assalamualaikum,” aku dengar suara yang agak aku kenali, memberi salam kepada aku yang sedang duduk dalam gelap tu.

“Waalaikumussalam,” sahutku sambil memandang ke arah suara itu. Abang Jalal, jiran sebelah rumah aku.

“Syukri, isteri dan anak kamu ada kat rumah aku,” kata Abang Jalal.

“Kenapa pula mereka ke sana?” aku bertanya dengan dahi berkerut.

“Aku baru balik kerja tadi, lalu depan rumah kamu. Aku tengok gelap je, ingatkan kamu takde kat rumah. Masa aku nak masuk rumah, aku dengar bunyi anak-anak kamu menjerit. Aku terus pergi ke rumah kamu. Panggil Syuhada. Mujurlah pintu tak kunci, aku masuk dan tengok mereka empat beranak berpelukan ketakutan kat ruang tamu. Syuhada cuma kata kamu ke masjid. Mereka masing-masing menangis, tak sempat nak tanya apa dah. Aku cuba tengok kotak elektrik, kot suis utamanya jatuh. Tapi suisnya nampak ok. Aku tak tahu nak buat apa, aku ajak mereka ke rumah aku.” Kata Abang Jalal.

“Sekarang mereka macammana?” aku tanya.

“Nampak dah tenang sikit. Aku risau tengok anak-anak kamu menggeletar tadi. Mereka macam ketakutan sangat. Tapi aku taknak tanya banyak lagi,” kata Abang Jalal.

“Takpelah, saya ikut pergi rumah abang. Nanti saya fikirkan macammana nak masuk rumah ni,” kataku sambil melangkah ke rumah Abang Jalal.

“Sejak seminggu ni, aku selalu nampak ada perempuan tua kat halaman rumah kamu. Mak kamu ada kat sini ke?” tiba-tiba Abang Jalal bertanya masa kami berjalan beriringan ke rumahnya.

Aku berhenti melangkah. Abang Jalal pun terhenti langkahnya lalu memandang aku.

“Aku salah cakap ke?” Abang Jalal tanya aku.

“Abang pun nampak ke?” aku tanya.

“Nampak apa?” Abang Jalal tanya aku.

“Perempuan tua tu,” aku jawab.

“Haah, Seminggu ni la. Selalu aku nampak dia tapi tak pernah la aku tegur. Sebab dia diam je, pandang keliling macam nak marah je. Mula-mula jumpa tu, aku senyum juga kat dia, tapi dia pandang aku macam singa. Lepas tu tak pernah lagi aku tegur dia kalau nampak pun,” kata Abang Jalal.

Aku diam, termenung. Berkerut dahi berfikir, tapi sebenarnya otak aku kosong, tak boleh fikir.

“Mak kamu ke mak Syuhada?” Abang Jalal bertanya lagi.

“Bukan mak saya, bukan mak Syuhada juga.” Sahutku.

“Habis tu, siapa tu? Saudara datang melawat?” Abang Jalal masih bertanya.

“Macam ni bang. Kami memang sedang buntu. Anak-anak saya pernah nampak perempuan tua tu. Saya pernah nampak. Syuhada pun pernah nampak. Tapi kami tak pernah nampak bersama-sama. Kami nampak di masa yang lain. Dan kami tak tahu siapa dia. Tapi saya tahu, dia ada kat dalam rumah tu, cuma saya tak tahu siapa dia dan dia nak apa,” kataku berterus terang dengan Abang Jalal.

“Dah pergi tanya ustaz?” Abang Jalal tanya aku.

“Tu yang saya tinggalkan mereka sekejap tadi. Saya pergi masjid. Jemaah Isya’ dan terus jumpa Imam Rosli tanyakan hal ni,” aku beritahu Abang Jalal.

“Imam Rosli kata apa?” Abang Jalal tanya.

“Dia kata jangan ada bilik yang dibiarkan kosong untuk tempoh yang lama. Takut ada makhluk lain datang menumpang,” jawabku ringkas.

“Mungkin juga tu. Dia lebih arif, kau ikut je apa dia cakap. Sekarang jom kita tengok anak isteri kamu tu. Kak Lina kamu ajak makan tapi diorang kata dah makan,” kata Abang Jalal sambil melangkah masuk ke kawasan rumahnya. Aku mengekori dari belakang.

Sebaik aku masuk ke dalam rumah Abang Jalal, Aisyah dan Amani berlari memeluk aku sambil menangis. Syuhada duduk di sofa sambil memangku Alif yang sedang tidur.

Aku menghampiri Syuhada dan duduk di sebelahnya.

“Kenapa? Apa dah jadi?” aku bertanya.

“Saya rasa ada orang lain atau benda lain kat dalam rumah kita tu.” Syuhada menyahut dengan nada lemah, tak bersemangat seperti selalu. Mungkin dia keletihan, atau memang ketakutan atau dia segan kerana berada di rumah orang.

“Awak nampak apa?” aku tanya.

“Lampu tertutup dan terbuka sendiri. Suara Alif ketawa kat dalam bilik padahal saya sedang pegang Alif. Dengar suara Aisyah dan Amani menyanyi tapi dua-dua mereka berada dengan saya. Semua pintu tertutup dan terbuka sendiri. Macam-macam lagi. Sampai saya tak tahu yang saya sedang pegang tu anak-anak saya atau bukan, sebab suara mereka berada di tempat lain,” kata Syuhada sambil menyeka air mata yang hampir jatuh.

“Along ok? Kakak?” aku tanya anak-anak aku, mereka geleng kepala dan hanya peluk aku macam taknak lepas.

“Tidur sini je la malam ni. Esok baru balik,” kata Kak Lina, isteri Abang Jalal. Mereka memang tinggal berdua je. Anak ada dua orang tapi dua-dua dah berkahwin dan tinggal dengan keluarga masing-masing.

“Tak boleh kak. Esok nak sekolah. Barang-barang sekolah tak kemas lagi ni,” sahutku.

“Ayah, kami taknak balik,” kata Amani sambil menangis.

“Takpe, ayah dah ada. Kita pasang ayat quran ye. Malam ni Along dan kakak tidur dengan mama dan ayah,” aku memujuk. Segan pula nak tidur kat rumah Abang Jalal. Kalau kecemasan lain boleh la aku pertimbangkan lagi, tapi ini pasal benda yang tak tentu apa dia. Lagi satu, kalau boleh aku taknak rumah aku dibiarkan kosong buat masa ni. Aku taknak perkara ni melarat jadi lebih besar.

“Kita balik rumah kita ye,” aku pujuk anak-anak aku. Mereka diam.

“Tapi kan pintu rumah kamu tu berkunci? Macammana nak masuk? Bukannya ada tukang kunci pun nak datang dah malam macam ni,” kata Abang Jalal. Haah, iye juga.

“Kan saya ada letak satu lagi kunci kat rak kasut,” Syuhada bersuara. Baru aku teringat bahawa kami memang selalu letak satu kunci spare kat rak kasut, kot la aku atau Syuhada terlupa bawa kunci kalau kami keluar serentak. Terutama Syuhada yang selalu keluar masuk rumah, ambil anak dari sekolah, hantar baju tempahan orang semua tu.

“Ok, jom kita balik rumah kita. In Shaa Allah takde apa. Kita doa banyak-banyak kat Allah, nanti Allah akan jaga kita,” kataku memujuk Aisyah dan Amani. Mereka tak membantah, masing-masing memegang tangan kanan dan kiri aku. Syuhada mendukung Alif.

“Kalau ada apa-apa nanti, panggil je kami ye. Hati-hati, anak kecil tu,” kata Kak Lina seakan tak sanggup nak lepaskan kami balik ke rumah kami. Mereka suami isteri memang baik sangat dengan kami, mungkin sebab mereka kesunyian. Anak-anak kamilah tempat mereka bermanja.

“In Shaa Allah Kak Lina. Apa-apa nanti kami panggil akak dengan abang,” Syuhada menyahut.

Aku sempat menjeling jam dinding kat rumah Abang Jalal, dah pukul 11 malam. Aku berjalan cepat-cepat menghala ke rumah kami. Dari jauh kedengaran lolongan anjing. Memang kawasan kami ada banyak anjing. Tapi sebab kejadian yang baru menimpa keluarga kami, lolongan anjing tu macam amat menyeramkan.

Kami masuk ke halaman rumah kami yang masih gelap. Aku tunduk di rak kasut, mencari kunci yang aku letak di dalam salah satu kasut kat situ. Belum sempat aku jumpa kunci rumah, tiba-tiba pintu rumah terbuka sendiri. Bagai dibuka dari dalam, perlahan je. Aku dan Syuhada saling berpandangan. Mujurlah Aisyah dan Amani sedang memandang memeluk aku dan menekup muka mereka ke bahu aku, jadi mereka tak nampak.

“Awak tak kunci tadi, sebab tu dia terbuka sendiri,” aku berbisik, cuba nak tenangkan keadaan walau aku sendiri pun agak goyah.

“Mungkin la,” Syuhada menjawab.

Aku melangkah masuk ke dalam rumah. Aku petik suis lampu. Menyala. Terang dah rumah aku. Aku panggil Syuhada dan anak-anak aku masuk ke dalam rumah.

“Buku sekolah dah susun?” aku tanya, cuba nak mengalih perhatian Aisyah dan Amani yang masih memegang tangan aku sambil mata mereka memerhati keliling.

“Dah ayah,” mereka menyahut serentak.

“Dah solat isya’?” aku tanya lagi.

“Dah ayah,” dan mereka menyahut serentak juga.

“Ok, jom kita naik atas. Basuh kaki, ambil wudhu dan tidur. Kita baca doa sama-sama ye,” kataku cuba menceriakan keadaan mereka.

Syuhada memasang semua lampu dalam rumah. Lampu dapur, lampu bilik, semua dipasangnya. Aku tak menghalang. Baik juga dia buat demikian. Biarlah rumah kami terang benderang.

Syuhada membentang tilam di dalam bilik kami untuk Aisyah dan Amani tidur. Alif memang lena sejak tadi.

“Abang, ada satu perkara yang saya masih tertanya-tanya,” kata Syuhada ketika anak-anak kami dah lena.

“Apa dia?” aku tanya dia.

“Masa saya keluar dari rumah ni, saya tak tutup suis lampu. Lampu tu je terpadam sendiri. Tapi masa kita balik tadi, abang tekan suis lampu dan lampu tu menyala kan?” Syuhada tanya aku.

“Haah, petik suis macam biasa,” sahutku.

“Maknanya ada orang dah tutup suis tu la kan?” kata Syuhada. Aku terdiam sejenak cuba fikirkan apa yang Syuhada fikirkan. Betul juga apa dia kata. Kalau takde orang tutup suis tu, macammana aku nak petik buka kan. Masalahnya siapa yang tutup suis lampu rumah kami? Selain dari aku dan Syuhada?

“Takpelah, kita biarkan saja dulu. Esok baru kita fikirkan ye. Kita tidur. Awak pun dah penat saya tengok,” kataku. Syuhada diam. Dia pejamkan mata untuk tidur. Begitu juga aku.

“Kreeeekkkk” aku tersedar bila aku terdengar bunyi pintu dibuka perlahan-lahan. Aku tak bergerak tapi aku buka mata aku perlahan-lahan. Aku pandang ke arah pintu bilik, pintu tu terbuka sedikit. Aku masih tak bergerak, aku nak tengok siapa yang buka pintu tu.

“Kreeekkkk” Pintu tu seakan ditolak lagi hingga terbuka agak luas. Tapi tiada sesiapa di sana. Aku masih keraskan badan aku di situ. Tak mahu bergerak.

Aku dengar bunyi tapak kaki di dalam bilik aku. Sebab aku berbaring di sudut paling hujung, jadi aku boleh nampak semua orang yang sepatutnya aku nampak, Syuhada, Alif, Aisyah dan Amani. Semuanya sedang tidur di tempat masing-masing. Jadi bunyi tapak kaki siapa tu?

-Bersambung-

One thought on “DIA IKUT AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s