DIA IKUT AKU

Bab 4

“Kenapa ni Syu? Awak nampak apa?” aku tanya Syuhada.

“Tadi masa saya panaskan lauk, ada perempuan tua mengintai dari ruang antara siling dengan tingkap tu. Saya tak tahu dia panjat tangga ke apa, tapi saya tak tahu macammana dia boleh tinggi macam tu. Lepas tu dia pandang saya, dia senyum sambil lambai tangan kat saya suruh saya datang dekat dia. Saya macam kena pukau, datang kat dia. Katanya dia nak masuk rumah, tapi saya kena buka pintu. Saya buka pintu dan jenguk dia kat luar, takde sesiapa kat luar, takde siapa berdiri kat tingkat tu pun, tapi bila saya lihat dia dari dalam rumah, kepalanya masih terjengul kat ruang tu. Dia sengih pandang saya. Katanya dia tersangkut,” kata Syuhada dengan nada masih terketar-ketar setelah aku pujuk dia dan tiupkan Al-Fatihah di kepalanya.

Aku termenung. Aisyah dan Amani yang mendengar mama mereka bercakap, terus duduk kat tepi aku dan pandang keliling. “Along dan kakak, pergi naik atas solat maghrib ye.” Aku menyuruh.

“Taknak, kakak takut. Nenek tu pun selalu kacau kakak. Dia kata dia nak tinggal kat rumah ni. Bila cakap kat ayah, ayah taknak percaya,” kata Amani yang sememangnya paling petah di antara anak-anak aku yang lain.

“Nenek tu buat apa kat kakak?” aku bertanya.

“Nenek tu duduk kat bucu bilik. Dia duduk kat kerusi. Dia tengok je kakak dan Along tidur,” Amani menyahut.

“Along pun nampak ke?” aku tanya Aisyah. Aisyah menganggukkan kepala.

Aku diam. Masa ni pintu bilik depan tertutup dan terbuka sendiri, seperti ada yang bermain dengan pintu tu. Aisyah dan Amani terus peluk aku. Syuhada masih duduk di sofa, menahan rasa takut.

“Ayah, siapa kat bilik atas tu?” Amani tanya aku.

“Angin kot,” sahutku cuba mengalih perhatian mereka.

“Alif mana?” tiba-tiba aku teringatkan Alif. Sejak aku balik tadi, aku tak nampak dia atau dengar suaranya.

Syuhada, Amani dan Aisyah menoleh sekeliling, memang tak nampak Alif. Ah sudah! Alif hilang pulak dah, maghrib-maghrib ni.

Aku terus bangun, memanggil Alif. Membuka setiap pintu bilik di tingkat bawah. Tak nampak kelibat Alif. Nak taknak, aku terpaksa naik ke tingkat atas.

Baru je tiga anak tangga aku naiki, aku dengar suara Alif ketawa riang. Aku pandang Syuhada, dia angkat bahu. Aku berjalan perlahan-lahan, mengikut arah datangnya suara Alif. Aku dengar suara Alif berbicara tapi tak dengar butirannya.

Aku suruh Syuhada tunggu di tingkat bawah bersama Aisyah dan Amani. Aku melangkah perlahan-lahan, dan akhirnya aku menghampiri bilik tetamu di bahagian depan. Aku dengar suara Alif di dalam bilik itu. Dan masa ni bulu roma aku meremang satu badan. Rasa sejuk tiba-tiba.

Pintu bilik terbuka sedikit tapi tiada lampu terpasang. Aku Cuma nampak kegelapan di dalam bilik tu, tapi aku dapat dengar dengan jelas suara Alif kat dalam bilik tu. Berani pula Alif masuk ke bilik tu sendirian.

Aku tolak daun pintu perlahan-lahan. Kreeeekkkk! Bilik gelap. Aku pasang suis lampu. Aku nampak Alif sedang duduk di atas katil sambil bermain dengan anak patungnya.

“Alif?” aku panggil dia. Alif menoleh memandang aku dan menunjukkan anak patungnya.

“Alif main dengan siapa kat sini?” aku tanya.

“Dengan nenek,” sahut Alif dengan pelatnya.

“Nenek mana?” aku tanya.

“Tu,” dia tunjuk ke arah penjuru bilik tu. Aku pandang tempat yang Alif tunjuk, tiada sesiapa kat sana. Belakang tengkuk aku sejuk, macam ada ais batu kat situ.

“Dah, jom kita keluar,” aku angkat Alif dan mendukungnya. Alif menangis, katanya dia nak main lagi. Aku pegang Alif kuat, Alif terus menangis macam kena pukul, meronta-ronta macam taknak ikut aku. Merah padam mukanya marah sebab aku angkat dia. Terkejut juga aku tengok sikapnya. Bukan dia tak pernah tantrum macam tu, selalu. Tapi kali ni agak melampau sampai dia ketuk kepala aku.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar. Allaaaahu Akbar Allaaaaaahu Akbar!” Laungan azan maghrib berkumandang di perkarangan rumah. Kebetulan masjid tak jauh dari rumah aku. Jadi memang boleh dengar dengan jelas. Dan Alif tak semena-mena terjelepuk tidur di atas dukungan aku. Penat agaknya mengamuk tadi.

Aku dukung Alif dan bawanya keluar bilik. Aku tak tutup lampu bilik, sengaja aku biarkan bilik itu terang benderang.

Aku bawa Alif ke bilik aku. Aku jenguk ke tingkat bawah dan panggil Syuhada bawa Aisyah dan Amani naik ke tingkat atas untuk menunaikan solat maghrib.

Aku baringkan Alif di atas katil. Aku suruh Syuhada solat di bilik Aisyah dan Amani. Aku pula solat di bilik kami. Hati aku tak begitu sedap, terasa seperti memang ada sesuatu di dalam rumah kami, yang cuba mengambil sesuatu ataupun mahu melakukan sesuatu. Yang pasti, sesuatu itu bukanlah manusia biasa, atau haiwan, atau sesuatu yang boleh dilihat dengan mata kasar.

Selesai aku solat maghrib, Alif bangun dari tidurnya sambil menggosok-gosok matanya. Aku bangun dan ajak Alif keluar bilik. Aku terus ke bilik belakang, Syuhada, Aisyah dan Amani baru selesai solat. Syuhada pandang aku, seperti bertanya situasi sekarang dan apa perlu dilakukan.

“Jom kita makan dulu. Isya’ nanti abang pergi ke masjid. Abang jumpa Imam Rosli. Abang cuba minta pendapat dia. Kalau perlu, abang bawa dia datang ke rumah kita ni, mungkin dia boleh tahu sesuatu,” kataku.

Syuhada akur. Dia terus melangkah menuruni tangga, diikuti oleh Aisyah dan Amani. Aku pula membawa Alif. Kami makan dengan tenang, walaupun tak banyak bicara yang keluar dari mulut anak-anak kami. Selalunya masa makan malam tu la, mereka buka diari sepanjang hari di sekolah. Tapi hari ni mereka diam.

“Along ada kerja sekolah?” aku tanya, Aisyah anggukkan kepala.

“Dah siap?” aku tanya lagi.

“Ada lagi sikit,” sahutnya.

“Kakak?” aku tanya Amani pula. Amani tak jawab, dia Cuma gelengkan kepala.

“Kakak takde kerja sekolah?” aku tanya lagi.

“Tadi kakak dah buat kat dalam kelas masa cikgu lambat masuk,” Amani menjawab perlahan sambil menyuapkan nasi ke mulutnya.

“Lepas makan ni, buat kerja sekolah. Kakak boleh baca buku. Lepas tu susun buku untuk jadual esok. Ayah ke masjid kejap.” Kataku.

“Ayah janganlah keluar. Kakak takut,” kata Amani.

“Mama ada. Ayah keluar sekejap je,” sahutku. Dan dia diam.

Selesai kami makan, aku ambil kopiah di atas almari kat ruang tamu. “Abang pergi dulu Syu. Kejap je, nanti abang tanyakan kat Imam Rosli,” kataku kepada Syuhada yang sedang mengemas dapur.

“Abang jangan lambat sangat tau. Saya pun tak berapa berani ni,” kata Syuhada.

“Iye, selesai solat isya’ nanti, abang jumpa Imam Rosli je sekejap. Kunci pintu. Duduk je kat tingkat bawah ni sampai abang balik,” pesanku. Syuhada anggukkan kepala.

Sampai je aku kat masjid, azan isya’ sedang berkumandang. Aku masuk ke dalam saf yang ada 2 baris je. Aku panjangkan leher, mencari kelibat Imam Rosli. Aku perlu bercakap dengannya. Aku perlu tahu apa yang sedang menganggu keluarga kami.

Selesai solat isya’, ketika bersalaman dengan semua Jemaah, aku terus mendapatkan Imam Rosli yang sedang masih bersalaman dengan Jemaah lainnya.

“Kenapa kamu ni Syukri? Dari tadi saya tengok macam ada yang tak kena je,” Imam Rosli tegur aku ketika dia masih bersalaman dengan Pak Jalal.

“Saya ada hal sikit nak cakap dengan Imam. Boleh bagi masa sikit?” aku bertanya sopan.

“Macam berat je hal kamu tu,” kata Imam Rosli sambil tersenyum. Aku jarang berbual dengan Imam Rosli. Tapi dia kenal aku sebab aku selalu berjemaah di masjid tu. Selalunya maghrib dan isya’, sebab itu je masa aku berada di rumah. Waktu lain aku kat tempat kerja.

Imam Rosli melangkah ke satu sudut, dia mengajak aku duduk di situ. Aku mengikut je.

“Apa halnya?” Imam Rosli tanya aku, dia pandang tepat muka aku yang tak keruan.

“Macam ni Imam. Kat rumah saya tu, dulu anak bongsu saya yang selalu macam nampak benda yang kami tak nampak. Kami ingatkan dia ada penyakit atau apa. Tapi sejak kebelakangan ni, terutama dua hari ni, anak-anak saya yang lain pun nampak kelibat nenek tua dalam rumah tu. Saya pun nampak semalam. Dan hari ni, isteri saya pula nampak nenek tua tu menjenguk di paras siling. Saya nak minta pendapat Imam, kenapa macam tu?” aku bertanya.

Imam Rosli tundukkan kepala seakan berfikir.

“Ada banyak bilik kosong kat rumah kamu?” Imam Rosli bertanya.

“Ada dua, satu kat tingkat bawah, memang kami khaskan untuk mak ayah kami kalau mereka datang. Dan satu lagi di tingkat atas, untuk tetamu,” sahutku.

“Berapa kali masuk ke bilik tu dalam seminggu?” Imam Rosli tanya lagi.

“Sekali atau dua kali seminggu je. Itupun sebab nak sapu habuk,” sahutku.

“Rumah yang ada bilik kosong, jangan dikosongkan terus. Pastikan masuk ke semua bilik setiap hari. Jangan biarkan ada bilik yang kosong. Itu akan membuatkan ada makhluk tumpang berteduh,” kata Imam Rosli.

“Maksud Imam, ada hantu menumpang bilik yang kosong tu?” aku tanya lagi.

“Bukan hantu. Tapi mungkin jin,” sahut Imam Rosli.

“Apa yang perlu saya buat?” aku tanya lagi.

“Solat dan mengaji, itu jangan tinggal. Bilik yang kosong tu, buatlah ia jadi berguna. Tetamu tak datang selalu. Jangan biar tetamu yang tak diundang yang datang. Buatlah apa-apa pun, cuma jangan biarkan ianya kosong tak digunakan,” kata Imam Rosli.

“Baiklah, saya faham. Terima kasih Imam. Saya balik dulu.” Kataku sambil bersalaman dengan Imam Rosli.

“Cuba dalam seminggu ni. Kalau masih berterusan, mungkin ada benda lain.” Kata Imam Rosli sebelum aku bangun dan melangkah pergi.

“In Shaa Allah Imam. Saya cuba. Kalau masih begitu, nanti saya beritahu Imam,” kataku.

Aku terus menunggang motosikal aku dan balik ke rumah. Masa aku sampai kat rumah aku, rumah aku gelap. Nak kata takde elektrik, rumah jiran-jiran aku terang benderang pula. Cepat-cepat aku tongkat motorsikal aku, aku bagi salam. Tiada sahutan. Aku panggil Syuhada, tiada sahutan juga.

Aku buka pintu, pintu berkunci dari dalam. Aku panggil semua anak-anak aku dari luar rumah, tiada sebarang respon. Aku berjalan mengelilingi rumah, sampai dapur. Aku panggil mereka tapi masih sunyi sepi. Aku dah mula cuak.

-Bersambung-

One thought on “DIA IKUT AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s