DIA IKUT AKU

Bab 3

Bunyi air paip berhenti. Aku dengar bunyi pinggan berlaga. Aku dengar bunyi periuk dibuka. Aku dengar semua tu, seakan ada seseorang di dapur yang sedang makan atau membuat sesuatu. Tapi siapa?

Langkahku menuruni anak tangga setapak demi setapak hingga aku tak sedar, aku dah berada di pintu ke dapur. Aku dengar bunyi rengusan seperti anjing yang sedang marah bila diganggu ketika dia sedang makan. Aku melangkah perlahan-lahan dan menjenguk di muka pintu ke dapur.

Aku nampak seseorang. Seorang perempuan tua, dengan rambut beruban kerinting mengerbang, memakai baju kurung kedah lusuh dan kain batik, sedang tunduk di lantai menjilat-jilat nasi yang tumpah. Aku terkedu. Apa benda tu? Orang ke? Hantu? Itukah rupa hantu? Siapa dia?

Sedang aku memerhati tu, perempuan tua tu angkat kepala dia. Dia pandang tepat kepada aku. Aku pula yang tak sanggup nak tengok. Aku pandang ke lain. Tapi kaki aku dah terpaku di situ. Aku tiada daya bergerak, mahupun nak bernafas pun aku takut. Tak pernah aku lalui perasaan macam ni.

Perempuan tua tu tersengih kepada aku. Wajahnya seperti orang tua biasa, cuma kelihatan sangat tua. Dengan pipinya yang dah tersedut ke dalam rongga mulut, giginya yang tak nampak sebatang pun, matanya besar seakan nak terkeluar dari kelopak mata, kulitnya hitam seakan kayu mati. Dia pandang aku. Dia mula bergerak seakan nak menghampiri aku.

Seram weh. Kaki aku berat sangat, tak boleh nak angkat langsung. Aku nampak perempuan tua tu merangkak perlahan-lahan menghampiri aku. Sambil tersengih-sengih, macam jumpa kekasih hati. Ya Allah, apa aku nak buat ni? Siapa perempuan ni?

“Abang?” aku dengar Syuhada memanggil aku. Spontan aku menoleh ke arah Syuhada yang sedang berdiri di tangga.

“Abang buat apa dalam gelap tu?” Syuhada tanya aku lagi bila aku tak menjawab.

Aku menoleh semula ke arah perempuan tua tadi, tapi di depan aku cuma kegelapan. Tiada perempuan tua, tiada lampu terpasang. Aku gerakkan kaki aku, masih berat tapi aku masih boleh berjalan.

“Kenapa ni bang?” Syuhada bertanya aku sebaik sahaja dia sampai di tempat aku berdiri.

“Abang nak minum,” sahutku, cuba menutup apa yang aku nampak tadi. Aku perlu selidik dulu apa yang aku nampak tadi, samada aku berkhayal akibat penat dan banyak fikir, atau aku mimpi sampai berjalan?

“Kenapa tak pasang lampu?” Syuhada bertanya aku lagi sambil melangkah ke dapur dan terus memasang lampu.

“Ya Allah, siapa punya kerja ni?” Syuhada menjerit perlahan, wajahnya berubah sama sekali.

Aku pun ikut menjenguk ke dapur. Pinggan berselerakan di lantai, dengan periuk nasi pun terbalik. Nasi bersepah di lantai dapur.

“Abang buat apa?” Syuhada tanya aku.

“Takde apa, abang belum sampai dapur lagi,” sahutku.

“Habis tu, ni semua siapa punya kerja ni? Anak-anak dah tidur, saya dah kemaskan dapur sebelum bawa Alif naik ke bilik tadi. Sekarang ni abang je yang berada kat dapur ni. Takkan kucing buat macam ni. Orang je yang boleh angkat periuk pinggan dan tumpahkan nasi kat lantai macam ni,” Syuhada merungut sambil mengutip nasi dan pinggan yang berselerakan di lantai.

“Abang tak tahu, bukan abang buat,” aku menyahut, walaupun dadaku berdebar. Maknanya apa yang aku lihat tadi betul. Memang itulah keadaan yang aku nampak tadi, Cuma perempuan tua itu tiada di situ.

“Kalau bukan abang buat, siapa buat? Hantu?” Syuhada terus membebel, marah betul dia. Memang dia suka lihat keadaan bersepah macam tu. Dia akan kemas semua sebelum dia masuk tidur. Dia nak rumah kemas sentiasa.

Aku tak jawab dah. Tak guna bertekak dengan Syuhada di malam buta macam tu. Takkan aku nak beritahu dia apa yang aku nampak tadi. Sedangkan aku sendiri tak tahu apa yang aku lihat tadi. Hantu tak wujud. Jin? Macam tu ke rupa jin? Kenapa jin nak masuk rumah aku cari makan kat rumah aku? Dan kenapa dia macam suka sangat bila nampak aku?

“Abang pergilah naik atas. Kat sini pun bukannya abang boleh tolong saya. Alif seorang kat bilik tu, nanti dia terjaga saya takde, dia nangis nanti.” kata Syuhada, masih dengan nada tak puas hati dengan apa yang terjadi di dapur tu.

“Abang tunggu awak. Kita naik sama-sama,” kataku. Syuhada tak menyahut. Dia terus mengemop lantai. Aku tengok jam dinding, pukul 2.30 pagi.

Selesai mengemas dapur, Syuhada tutup lampu dapur. Aku dan Syuhada menaiki anak tangga ke tingkat atas, masuk ke bilik kami. Syuhada tak bercakap apapun, masih bengang kot, terpaksa mengemas dapur di malam buta ni. Syuhada masuk ke bilik. Aku menjeling ke bilik depan bila aku terperasan seakan diperhati oleh sesuatu dari dalam bilik tu.

Masa aku pandang bilik tu, pintu bilik tu terbuka kecil. Aku yakin aku dah tutup pintu bilik tu. Tapi dengan apa yang aku lihat di dapur tadi, aku takkan buat apa-apa lagi. Aku nak masuk bilik dan tidur. Esok baru aku fikir apa yang sebenarnya sedang terjadi kat dalam rumah aku. Masa aku nak tutup pintu bilik, aku dengar bunyi pintu bilik depan ditutup oleh seseorang.

Aku tak peduli dah. Aku terus kunci pintu bilik dan melangkah ke katil.

“Kenapa abang kunci pint utu? Nanti Amani atau Aisyah nak panggil kita tak boleh pula. Dah la mereka dalam situasi tak berapa betul sekarang ni,” kata Syuhada. Memang aku tak pernah kunci pintu bilik kami. Sebab Amani dan Aisyah akan cari kami kalau mereka takut atau nak apa-apa.

“Takpe, diorang ok tu,” sahutku.

“Hish abang ni. Jangan kunci pintu tu. Tutup je,” kata Syuhada. Aku tak peduli, aku terus baring di katil. Syuhada bangun dan buka kunci pintu bilik. Aku tak menghalang dah. Aku baring di sebelah Alif, tutup muka aku dengan kain selimut. Aku taknak pandang ke mana-mana dah, taknak dengar apa-apa dah. Dada aku macam nak meletup.

Aku sedar bila terdengar laungan azan dari telefon aku. Aku memang dah set azan untuk setiap waktu solat. Aku buka mata, Alif masih tidur di sebelah aku tapi Syuhada dah takde di tempatnya. Memang dia selalu bangun awal, sediakan sarapan, siapkan Amani dan Aisyah yang nak pergi sekolah.

Aku bangun perlahan-lahan lalu selimutkan Alif yang masih lena. Aku ambil tuala dan masuk ke bilik air yang berada di dalam bilik kami. Aku mandi dan solat subuh. Selesai solat, aku keluar dari bilik. Mata aku menjeling ke bilik depan, tertutup rapat. Aku melangkah ke bilik tu, aku nak masuk. Aku nak tengok kalau-kalau ada apa-apa yang mencurigakan.

Baru je aku nak pulas tombol pintu tu, Amani keluar dari biliknya dan memanggil aku.

“Ayah, semalam kakak mimpi. Kakak jumpa nenek yang selalu kakak nampak dalam rumah kita,” kata Amani sambil membetulkan baju kurung sekolahnya. Aku menghampiri Amani lalu membantunya betulkan kainnya yang senget sebelah.

“Nenek tu cakap apa dengan kakak?” aku bertanya.

“Nenek tu kata, dia sayang kakak. Dia nak tinggal dengan kakak. Dia kata dia kenal ayah dah lama, dia saudara jauh ayah. Tapi ayah tak kenal dia,” kata Amani sambil menyikat rambutnya.

Aku diam.

“Amani! Mana sikat?” aku dengar suara Aisyah memanggil adiknya. Amani berlari ke bilik semula, meninggalkan aku yang masih terpinga memikirkan apa yang Amani beritahu aku.

Aku menoleh semula ke arah bilik depan. Tak tahulah kenapa, naluri aku berkata ada seseorang di dalam bilik tu. Lama aku termenung di situ.

“Abang buat apa kat situ? Anak-anak dah siap ke?” tiba-tiba Syuhada menegur aku buatkan aku terperanjat.

“Abang ni dah kenapa? Dari semalam lain macam je. Macam orang nampak hantu,” rungut Syuhada. Mungkin masih tak habis marahnya semalam sebab dapur berselerak tu.

Syuhada tak tunggu aku menjawab. Dia terus ke bilik Aisyah dan Amani. Terdengar suara anak-anak aku petah bersembang dengan mama mereka sambil bersiap untuk ke sekolah.

Sepuluh minit kemudian mereka keluar dari bilik. Dan mereka terkejut melihat aku yang masih di situ. Macam orang kebingungan.

“Abang ada masalah ke? Kenapa abang masih kat situ? Bersiaplah, nanti lambat pula anak-anak ni pergi sekolah. Baju semua saya dah gosok kat tempat biasa.” Kata Syuhada memandang aku sambil mengerutkan dahinya, dia mula sangsi melihat gelagat aku yang lain macam.

Aku tarik nafas panjang. Beristighfar beberapa kali. Aku melangkah ke bilik aku semula. Bersiap dengan pakaian pejabat. Selalunya aku akan ke dapur bersarapan dulu baru tukar baju kerja. Tapi sebab aku banyak habiskan masa termenung dan berfikir, rutin aku dah lari. Syuhada pun geram kata aku.

Selepas bersiap, aku turun ke dapur. Amani dan Aisyah dah selesai bersarapan. Syuhada sedang mengisi bihun goreng ke dalam bekas makanan untuk dibekalkan kepada dua orang anak gadisnya ke sekolah. Aku duduk sambil meneguk air teh yang dah dituang di dalam cawan.

“Abang nak bawa bihun ke?” Syuhada tanya aku.

“Boleh juga. Abang bawa je la makan kat pejabat. Tak sempat makan kat rumah kot. Nanti lambat budak-budak ni,” kataku.

Syuhada dengan pantas mengambil satu lagi bekas makanan dan mengisi bihun goreng lalu diserahkan kepada aku. Aku masukkan ke dalam beg galas.

Aku tengok jam tangan, dah pukul 7. Amani dan Aisyah sedang memakai stoking di ruang tamu.

“Abang pergi dulu ye. Awak jaga diri, hati-hati memandu nak ambil anak-anak nanti.” Kataku ketika Syuhada bersalaman denganku.

Syuhada bekerja sendiri jadi dia tak perlu tergesa-gesa. Dia boleh mula kerja ikut masa yang dia suka. Bekerja dari rumah, pendapatan pun ada, anak-anak pun depan mata, keluarga pun terjaga. Aku tak paksa dia, itu keinginan dan kemahiran dia.

Begitulah rutin kami sekeluarga setiap hari. Aisyah dan Amani bersekolah dari pagi sampai petang. Pagi sekolah biasa, petang sambung sekolah agama rakyat pula. Di satu sekolah yang sama. Pukul 5.30 petang baru mereka balik, Syuhada yang ambil mereka. Aku ni balik tak tentu masa. Kalau ikutkan, aku balik pukul 5 tapi selalunya aku tak balik awal, banyak kerja yang tak selesai. Kadangkala, kawan ajak main futsal la, main badminton la.

Dulu selalu la aku ikut kawan-kawan aku. Tapi sejak Alif lahir, dah jarang aku keluar dengan kawan-kawan dan balik lambat. Aku tahu Syuhada pun letih walau dia bekerja di rumah saja. Dia pun perlukan bantuan aku untuk uruskan anak-anak dan rumah. Dia pun perlu rehat. Selalunya malam kami berkumpul semula. Masa Syuhada masak untuk makan malam, aku tengokkan anak-anak aku buat kerja sekolah dan mengaji semua tu.

Tapi hari tu, masa aku balik rumah lebih kurang pukul 7 kot, Aku tengok Syuhada menggigil, wajahnya pucat. Aku tanya dia kenapa? Dia tak jawab tapi jelas dia ketakutan.

Aku tanya Aisyah, “Along, kenapa mama tu?”

Aisyah jawab, “Tadi mama jerit kat dapur sampai pinggan terjatuh kat lantai,”

Aku terus ke dapur, kaca dari pinggan yang pecah bertaburan di lantai. Syuhada masih menggigil duduk di sofa. Risau aku.

-Bersambung-

One thought on “DIA IKUT AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s