DIA IKUT AKU

Bab 1

Aku Shukri. Aku dah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak yang comel. Dua perempuan dan yang bongsu lelaki berusia 10 tahun, 7 tahun dan 4 tahun. Aku bekerja di sebuah syarikat percetakan di Johor. Isteri aku ambil upah menjahit baju. Aku kata dia tak perlu bekerja sebab gaji aku dah cukup untuk tampung kami sekeluarga tapi katanya biarlah dia menjahit. Dia boleh bekerja dari rumah, boleh bantu untuk simpan duit. Jadi aku tak menghalang, lagipun katanya dia jemu juga duduk rumah terperap buat benda sama setiap hari. Sekurang-kurangnya bila dia menjahit, dia boleh berjumpa dengan orang-orang yang menempah baju dengannya. Dia pun dapat duit sendiri.

Kami hidup bahagia setelah 10 tahun mendirikan rumahtangga. Pada permulaan perkahwinan kami, kami hanya menyewa rumah dengan bayaran RM500 sebulan. Lama juga kami menyewa, sampai anak aku yang kedua lahir. Alhamdulillah, masa isteri aku disahkan hamil anak ketiga, kami berjaya membeli sebuah rumah teres dua tingkat. Mujurlah isteri aku berkeras nak ambil upah menjahit, dapat juga dia membantu serba sedikit dalam membeli perkakasan dalam rumah sebab duit aku dah bayar deposit dan insuran bank semua.

Lepas tiga bulan berpindah ke rumah baru kami, lahirlah anak bongsu kami. Satu-satunya anak lelaki kami. Gembira? Mestilah gembira. Segalanya indah. Ada keluarga bahagia, isteri yang cantik, anak-anak yang sihat dan comel, ada rumah sendiri, kereta kecil untuk isteri aku berulang alik, motor mahal untuk aku pergi dan balik kerja dan sebuah van untuk kami sekeluarga keluar berjalan-jalan.

Sampai satu ketika, kegembiraan kami terusik. Masa tu usia Alif, anak bongsu kami, dua tahun. Dia bercakap seorang diri. Sesekali dia bermain aum cak dengan seseorang di balik pintu bilik. Bila kami tanya, dia bermain dengan siapa, katanya ada seorang nenek. Bila kami lihat di tempat dia melihat, tiada sesiapa di situ.

Aku dah bawa pergi ke klinik pakar kanak-kanak, doktor kata itu adalah perkara biasa bila kanak-kanak kecil seusia Alif untuk berimaginasi dan mempunyai rakan imaginasi. Doktor kata itu adalah baik untuk mindanya. Dan semua tu akan hilang sikit demi sikit setelah dia meningkat remaja. Maka, aku percaya kata-kata doktor. Setiap kali Alif ketawa sendirian atau aku lihat dia seolah sedang bermain dengan seseorang, aku anggukkan kepala je kat dia. Dan akhirnya dia pun tak mengadu kat aku dah.

Isteri aku Syuhada pernah beritahu aku, Alif bermain sampai jatuh dan berdarah. Tapi masa jatuh tu, Alif masih ketawa dan melompat-lompat. Syuhada kata dia bimbang lihat keadaan Alif. Katanya mana-mana budak normal pasti menangis bila jatuh dan berdarah kakinya.

Masa ni aku bawa Alif berjumpa dengan doktor lain. Doktor tu kata, memang ada sejenis penyakit yang membuatkan penghidapnya tak merasai kesakitan. Dan penyakit ini agak bahaya, kerana penghidapnya mungkin boleh cedera parah kerana dia tak merasai kesakitan. Masa ni aku dah risau. Doktor tahan Alif kat wad untuk buat pemeriksaan lanjut. Namun akhirnya dia dilepaskan setelah doktor mengesahkan Alif tak sakit. Sebab masa doktor nak suntik dia, Alif menangis takut dan kata sakit lepas disuntik.

Aku bawa Alif balik. Masa sampai kat rumah, dua lagi anak aku, Aisyah dan Amani berlari mendapatkan kami sambil menangis. Aku tanya kenapa, katanya ada nenek tua berambut panjang sampai ke lutut, panggil mereka suruh ikut dia. Masa ni berderau darah aku. Aku dan Syuhada berpandangan sesama sendiri.

“Nenek tu kat mana sekarang?” aku bertanya. Aisyah dan Amani hanya menunjukkan ke dalam rumah.

“Korang tunggu kat luar ni. Jaga adik. Biar ayah masuk tengok,” kataku sambil menyerahkan Alif kepada Syuhada. Syuhada nak ikut aku masuk ke dalam rumah tapi aku kata tak perlu, biar aku seorang je yang masuk. Aku masih tak percaya dengan apa yang anak-anak aku katakan tapi aku perlu siasat juga. Tambahan pula Syuhada selalu marahkan aku kalau aku kata aku tak percaya pada benda ni semua.

Aku bagi salam lalu menolak daun pintu rumah perlahan-lahan dan masuk ke dalam rumah. Aku tolak semua pintu bilik dan membukanya luas lalu menjenguk ke dalam setiap bilik. Tiada sesiapa. Masa aku masuk ke bilik kecil di bahagian dapur, aku dengar bunyi pintu bilik di tingkat atas tertutup kuat. Aku pandang ke tingkat atas.

Rumah aku ni, kat bawah ada dua bilik dan kat tingkat atas ada tiga bilik lagi. Dulu mak aku pesan, tak payah beli rumah dua tingkat, beli je rumah berkembar setingkat yang agak besar sebab bila rumah dua tingkat ni, dia macam kita kena jaga dua biji rumah. Tambahan usia aku bukannya makin muda, tenaga makin lama makin kurang. Mula-mula memang seronok rumah dua tingkat ni, tapi bila dah lama, terasa penatnya. Kalau tertinggal barang di tingkat atas, kena naik tangga lagi. Masa muda memang tak rasa, nanti usia dah meningkat barulah terasa.

Aku masih diam di tingkat bawah tangga sambil memandang ke tingkat atas sambil memasang telinga kalau-kalau ada terdengar bunyi apa-apa lagi. Aku ni bukannya apa, risau pencuri masuk rumah.

“Kreeekkkkkkkk….” Aku dengar bunyi pintu bilik di tingkat atas berbunyi perlahan seakan ada yang menolaknya. Aku masih diam tapi dada aku dah berdegup kencang.

“Dumm!” Bunyi pintu bilik dihempas.

“Siapa tu?” aku jerit dari tingkat bawah. Tiada sahutan.

Aku mencapai kayu besbol yang aku letakkan di bahagian bawah tangga. Memang kayu tu dah lama kat situ, tak guna pun. Kayu tu aku jumpa kat pejabat aku dulu, masa pejabat pindah, aku bawa balik, terus tinggal kat bawah tangga tu sampai sekarang.

Aku melangkah perlahan-lahan menaiki tangga. Suasana sunyi je kat tingkat atas. Aku intai dari arah tangga, aku tak nampak sesiapa ataupun apa. Aku terus melangkah menaiki tangga terus ke tingkat atas. Aku tengok pintu ketiga-tiga bilik bertutup. Berdebar juga dada aku masa ni. Tak tahulah kenapa. Rasa nak turun ke tingkat bawah dan telefon polis pun ada. Tapi nanti kalau polis tanya ada kecemasan apa, aku nak jawab apa? Takkan nak kata anak aku kata ada nenek tua dalam rumah aku. Atau aku nak kata ada orang main tutup dan buka pintu bilik? Macam tak sesuai pulak.

Aku melangkah perlahan. Aku buka pintu bilik pertama, jenguk ke dalam bilik, tiada apa. Aku teruskan melangkah ke bilik kedua, buka tombol pintu dan tolak daun pintu lalu jenguk ke dalam bilik, pun tiada sesiapa.

Aku teruskan ke bilik ketiga, masa aku tolak pintu bilik ke tiga ni la, pintu bilik yang pertama aku dah buka tadi, tiba-tiba tertutup kuat. Melompat aku terkejut. Aku pandang bilik pertama, aku kembali ke bilik pertama tadi dan menolak pintu tersebut menggunakan kayu besbol yang masih aku pegang. Aku masuk ke dalam bilik tu, aku pandang keliling, tiada sesiapa tapi aku tengok tingkap bilik tu terbuka. Langsir berterbangan akibat angin kuat dari luar.

“Kreeeekkkkkk” aku dengar bunyi pintu bilik dibuka perlahan-lahan. Aku melangkah perlahan keluar dari bilik pertama tu. Aku jenguk keluar. Aku nampak pintu bilik ketiga yang belum sempat aku buka tadi, sekarang terbuka perlahan. Aku tunggu di balik dinding, untuk lihat siapa yang membuka pintu tu. Berpeluh-peluh aku kat balik dinding tu walaupun angin kuat dari luar masuk ke dalam bilik.

Aku nampak sesuatu yang bergerak dari dalam bilik ketiga tu. Aku tunggu dengan dada berdebar. Aku dengar bunyi loceng dari dalam bilik tu. Aku masih menunggu. Dan masa ni aku aku nampak seekor kucing hitam dengan loceng dilehernya melangkah keluar dari bilik ketiga. Masa ni aku rasa lega. Aku tarik nafas panjang. Rasa macam dah selesai satu misi pun ada.

“Kucing siapa pula sesat dalam rumah ni. Adoi, kau ni meow, buat orang panik je la.” Kataku sambil mengangkat kucing hitam tersebut. Kucing itu pun tak melawan, nampak jinak je. Mungkin kucing jiran-jiran tersesat masuk ke dalam rumah aku. Dia tak tahu nak keluar agaknya. Aku memegang kucing hitam tersebut dan turun dari tangga lalu terus keluar rumah.

Syuhada dan anak-anak aku memandang dengan penuh perasaan ingin tahu. “Takde apa, kucing ni sesat kat dalam rumah kita. Dia takut sebab tak tahu nak keluar. Tu yang dia lari nak cari jalan keluar, keluar dari satu bilik ke bilik lain.” Kataku sambil melepaskan kucing hitam itu keluar dan dia pun terus berlari keluar dari kawasan rumah aku. Mungkin dia dah tahu jalan balik ke rumahnya.

“Ayah tak jumpa nenek tu?” Amani tanya aku. Dan baru aku teringat, misi aku masuk ke dalam rumah sendirian tadi adalah untuk cari nenek tua tu.

“Takde pun. Ayah dah tengok semua bilik dari tingkat bawah sampai atas, takde siapapun. Cuma kucing hitam tu je la,” sahutku sambil mengambil Alif dari dukungan Syuhada.

“Betul ayah, tadi ada nenek kat dalam bilik kakak.” Kata Aisyah masuk takut-takut nak masuk ke dalam rumah.

“Ok ok, jom kita masuk sama-sama, kita tengok bilik kakak sama-sama ye,” Syuhada memujuk.

Aisyah dan Amani berpandangan sesama sendiri. “Jangan takutlah, hantu tak keluar di siang hari. Waktu siang mereka tidur,” kataku mengusik.

Aisyah dan Amani memegang tangan Syuhada manakala aku mendukung Alif, kami masuk ke dalam rumah bersama-sama. Aku bawa mereka ke setiap bilik, teman mereka masuk ke dalam bilik. Tiada apa-apa. Aku pujuk mereka untuk tak merasa takut di rumah sendiri.

“Tapi memang kami nampak nenek tu tadi ayah. Dia duduk kat atas katil kakak ni. Bukan kakak je nampak, Amani pun nampak kan Amani?” kata Aisyah sambil tanya adiknya. Dan Amani anggukkan kepala.

“Kalau nenek tu ada, mestilah kita nampak dia keluar dari rumah ni tadi kan? Kakak pun kata nenek tu dah tua, takkanlah nenek tu boleh panjat siling dan bumbung untuk keluar dari rumah ni.” Kataku masih cuba memujuk.

“Mana tahu nenek tu boleh terbang?” Amani buka mulut.

“Hish, dah tu. Korang ni banyak sangat tengok kartun. Dah tu. Sekejap lagi kita makan. Ayah dan mak baru balik dari hospital ni, dengan adik ni tak tahu apa sakitnya. Dah, takde apa ok. Jangan takut,” kataku mula penat melayan dua orang anak aku yang memang petah bercakap.

Aisyah dan Amani diam. Aku bangun dan keluar dari bilik. Syuhada pandang aku dengan pandangan semacam. Dia memang tak suka aku selesaikan masalah anak-anak dengan tinggalkan mereka tanpa keputusan pasti.

Dia selalu kata kat aku, walau macammana tinggi anak kita berkhayal, kita tak boleh terus kata dia berangan, kita tak boleh kata kita tak percaya kepadanya. Nanti mereka akan hilang kepercayaan kepada kita. Bila ibu bapa sendiri taknak percaya anak sendiri, mulalah mereka bercerita dengan kawan-kawan kat sekolah. Lalu terpedaya dengan pengaruh kawan-kawan. Kalau pengaruh baik takpelah, kalau dapat pengaruh buruk macammana? Masih nak salahkan anak-anak.

Tapi pada aku, kita sebagai ibu ayah, kita perlu tegas. Kita perlu tunjukkan mana betul mana tak betul, tak boleh nak ikutkan saja apa yang mereka cakap. Kadang tu khayalan mereka je, kenapa kita nak terjebak sekali?

Aku terus keluar dari bilik. Syuhada masuk ke dalam bilik dan berbual dengan Aisyah dan Amani. Aku malas nak campur. Aku masih pening kepala fikirkan masalah Alif.

-Bersambung-

One thought on “DIA IKUT AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s